Rabu, 14 Oktober 2020

DR ALIAKBAR GULASAN, MEMBESAR BERSAMA KOKO

Tags

 DR ALIAKBAR GULASAN, MEMBESAR BERSAMA KOKO

 SEJAK kecil, saya membesar bersama koko.Koko sudah menjadi sebahagian daripada darah daging dalam kehidupan kami, kata Dr Aliakbar Gulasan, Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) yang baru dilantik Julai lalu. Koko tidak asing lagi, bagi dirinya. Malah ketika kecil, beliau sering makan biji koko. “Biasanya koko yang sudah dikutip dikumpul satu tempat dan dikopek untuk mengambil isi. Sambil kopek koko,biasanya  saya makan(hisap) biji koko. Rasanya masam manis, katanya kepada Utusan Borneo.



 Dr Aliakbar Gulasan dilahirkan di Kampung Kota Ayangan Keningau dan seterusnya menetap di Tenom, sebuah daerah di pedalaman Sabah. Beliau mendapat pendidikan awal di SK St Anthony, Tenom dan Kemudian SM St Anthony Tenom dari Tingkatan 1 hingga 5. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran dalam Tingkatan 6 di SMK Gunsanad Keningau. Kemudian beliau meneruskan pengajian dalam bidang geografi di Universiti Malaya hingga lulus Sarjana Muda. Selepas itu, beliau mengambil pengkhususan dalam bidang Pengurusan Alam Sekitar untuk Ijazah Sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau menamatkan pengajian  PhD dalam bidang Geografi Bandar  dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2009. Beliau bertugas sebagai Pensyarah Kanan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sejak November 1996  Beliau menerima lantikan sebagai Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) bermula 1 Julai 2020.

Dalam kegiatan NGO, Dr Aliakbar adalah Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Sekolah Rendah Islam Al-Hafidz Bandar Sierra,Ahli Jawatankuasa Kehormat Sabah Relief,Penasihat Pusat Asuhan Tunas Islam(PASTI) Sepanggar dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Sabah.



 Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara beliau untuk ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo di pejabatnya di Tingkat 6, Wisma SEDCO pada Selasa lepas. Ikuti petikan wawancara bersama beliau mengenai pengalaman masa kecilnya, latar belakang keluarga dan kisahya membesar bersama koko.

 UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan serba sedikit mengenai latar belakang Dr?

DR ALIAKBAR GULASAN: Nama saya Aliakbar bin Gulasan.  Saya dilahirkan di Kampung Kota Ayangan Keningau dan seterusnya menetap di Tenom. Saya anak keempat dari lapan adik beradik.Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah SK St Anthony Tenom  bermula 1978 sebelum melanjutkan pendidikan menengah di SM St Anthony Tenom dari Tingkatan 1hingga 5 (1983-1987). Kemudian saya meneruskan persekolahan dalam Tingkatan Enam di SMK Gunsanad Keningau (1988-1999)..

 UB: Selepas itu, di mana Dr melanjutkan pengajian?

DR ALIAKBAR: Saya melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dalam bidang pengajian Geografi. Selepas itu, saya meneruskan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hingga lulus Ijazah Sarjana Pengurusan Alam Sekitar pada 1995 dan kemudian meneruskan pengajian di peringkat PhD dalam bidang Geografi Bandar pada 2009.

 UB: Sebaik tamat universiti, di mana Dr bertugas?

DR ALIAKBAR: Selepas berjaya menamatkan pengajian di UKM pada 1995, saya diterima berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sejak November 1996 hinggalah sekarang.

UB: Mungkin ada yang ingin tahu mengenai kehidupan masa kecil Dr di Tenom?  Ibu bapa kerja sebagai apa?

DR ALIAKBAR: Ayah saya Gulasan bin Mushall Khan, awalnya bekerja sebagai pemandu kereta penumpang menggunakan kereta Land Rover (Tenom-Keningau). Sambil itu, beliau juga ada tanah getah dan koko.Selepas itu, ayah juga menjadi pemandu di Jabatan Kerja Raya (KJR) Tenom. Emak saya, Ruhujah binti Musturullah pula bekerja sebagai suri rumah sepenuh masa.



 UB: Bermakna sejak kecil lagi, Dr sudah terbiasa dengan pertanian?  Membesar bersama koko? Boleh kita katakan begitu?

DR ALIKAKBAR: Memang sejak dari kecil, saya sudah  biasa dengan dunia pertanian. Ayah  ada tanam getah dan koko. Koko ditanam secara integrasi dengan getah. Biasanya Getah ditoreh pada sebelah pagi dan sebelah petang membantu ibubapa kerjakan koko.  Saya terlibat dengan aktiviti membantu ibu bapa, biasanya pada hujung minggu. Ya, saya boleh dikatakan membesar bersama koko.

 UB: Saya agak awam soal koko. Mungkin boleh cerita sikit mengenai koko?

DR ALIKAKBAR: Biasanya koko yang sudah dikutip dikumpul satu tempat dan dikopek untuk mengambil isi. Sambil kopek koko biasanya akan makan(hisap) biji koko. Rasanya masam manis. Koko sudah menjadi sebahagian daripada darah daging dalam kehidupan kami.

Getah akan dibuat getah kepingan. Kadangkala saya menghantar getah kepingan, hanya dengan basikal ke tempat jualan. Begitulah antara rutin seharian ketika kecil.



 UB: Bagaimana keadaan ketika itu? Apa aktiviti masa lapang?

DR ALIAKBAR: Saya membesar seperti kanak-kanak lain. Aktiviti masa  lapang biasanya disi dengan bermain basikal, barmain guli, main ‘police and thief’ dan lain-lain. Pernah sekali turun bukit dari Hotel Perkasa Tenom, brake basikal rosak dan terpaksa gunakan kaki. Kaki cedera parah.

 UB: Oh ya. Kebetulan Dr sekarang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) sejak 1 Julai 2020. Untuk itu kami ucapkan tahniah kerana terpilih sebagai Pengerusi LKM, satu jawatan yang tinggi dan saya fikir belum pernah dijawat oleh orang Sabah. Betulkan kalau saya salah. Saya fikir baik juga kalau Dr boleh bercerita mengenai industri koko, ya secara ringkas sahaja. Kalau yang lengkap boleh kita tulis waktu yang lain.

DR ALIAKBAR: Tanaman koko adalah antara tanaman komoditi terawal mula ditanam di Malaysia iaitu sejak tahun 1770-an atau kira-kira 240 tahun yang lalu. Sejak itu, tanaman koko berkembang dengan pesat dan memberi sumbangan yang signifikan kepada pembangunan ekonomi negara.

 UB: Dari aspek keluasan dan jumlah pengeluaran pula?

DR ALIAKBAR: Keluasan kawasan tanaman koko di Malaysia ialah seluas 415,000 hektar, ini menurut rekod 1989. Jumlah pengeluarannya pula ialah sebanyak 247,000 tan dan Malaysia pada ketika itu adalah antara pengeluar koko terbesar di dunia.

Namun demikian, keluasan tanaman koko mulai merosot pada tahun 2000 berikutan beberapa faktor, antaranya persaingan guna tanah dengan tanaman komoditi lain dan penggunaan tanaman tenaga buruh yang tinggi.

 Walau bagaimanapun, sektor hiliran, pengeluaran  produk separa siap dan produk siap adalah dalam tren yang meningkat. Kini, Malaysia adalah negara pengisar koko keenam terbesar di dunia. Pada tahun 2019, perolehan eksport biji koko dan produk-produk koko adalah berjumlah RM6.598 bilion.

 UB: Jika tidak silap saya, Lembaga Koko Malaysia (LKM) di Sabah ini adalah ibu pejabat LKM di seluruh Malaysia? Apa objektif LKM?

DR ALIAKBAR: Lembaga Koko Malaysia (LKM) adalah satu agensi badan berkanun persekutuan di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia. Objektif utama penubuhan adalah untuk membangunkan industri koko Malaysia yang bersepadu dan kompetitif di pasaran global. Penekanan diberikan kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan dalam pengeluaran biji koko dan peningkatan aktiviti hiliran.

Antara objektif LKM ialah untuk memaksimakan sumbangan industri koko kepada pendapatan negara, peluang pekerjaan dan ekonomi negara, untuk meningkatkan pengeluaran biji koko. LKM juga ditubuhkan untuk membangunkan Malaysia sebagai pusat pemprosesan dan perdagangan koko dan produk-produk koko, untuk memperkukuhkan dan mengembangkan pasaran koko Malaysia serta menembusi pasaran-pasaran baru, untuk meningkatkan kualiti dan daya saing koko Malaysia dan produk-produk koko Malaysia.

Selain itu, LKM juga diwujudkan untuk menyediakan infrastruktur dan sokongan bagi perkembangan industri dan untuk menentukan agar pembangunan koko harmoni dengan alam sekitar.

Sebenarnya, perkembangan pesat industri koko pada akhir 1970-an dan awal 1980-an mencetuskan kesedaran untuk menyelaras dan mengintegrasi pelbagai aktiviti industri ke bawah organisasi payung untuk memastikan satu perkembangan yang sihat. Oleh itu, LKM diwujudkan. Akta Penubuhan LKM diluluskan oleh Parlimen pada Julai 1988 dan digazetkan sebagai Akta 343 pada 8 September 1988. LKM mula beroperasi secara rasmi pada 18 Julai 1989. Ibu pejabat LKM kini di Tingkat 5,6 dan 7 Wisma Sedco, Lorong Plaza Wawasan Kota Kinabalu.

 UB: Siapa yang paling banyak membeli galakan kepada Dr?

DR ALIAKBAR: Saya boleh katakan antara orang paling banyak memberi galakan, dan banyak membantu saya sehingga berjaya ke menara gading ialah abang sulung saya, Omar Ali. Beliaulah yang membantu saya mengisi borang dan membantu memberikan belanja ketika di Universiti.

 UB: Boleh cerita sedikit mengenai ayah? Apakah beliau seorang pemarah atau bagaimana?

DR ALIAKBAR: Arwah ayah seorang yang agak pendiam tetapi punya kecenderungan kepada agama yang agak tinggi. Ayah sentiasa dijemput untuk membaca berzanji, menjadi imam sembahyang dan mengetuai sebarang majlis kenduri(bacaan Yaasin dan tahlil). Mungkin kebolehan ayah ini sedikit sebanyak menurun kepada saya.

 UB: Kalau ibu, bagaimana pula pembawaannya?

DR ALIAKBAR: Arwah ibu seorang yang tegas tetapi amat penyayang. Kebanyakan urusan rumah tangga diuruskan oleh ibu.

 UB: Apa pesan ibu yang masih Dr ingat sampai sekarang?

 DR ALIAKBAR: Saya masih ingat pesanan sebelum masuk Universiti Malaya, iaitu pertama kali akan hidup berjauhan, ‘Jangan lupa Tenom ni’, katanya. Sampaikan emak masukkan sikit tanah diambil dari sekitar rumah dan disimpan  dalam plastik dan suruh bawa ke UM. Supaya tidak lupa tanah tumpah darah kita.

 UB: Dr tidak biasa berjauhan dengan keluarga?

DR ALIAKBAR: Saya kategori ‘homesick’- sangat suka duduk di rumah bersama keluarga. Kalau orang tua jalan baru saya ikut.

 UB: Oh ya, apa cita-cita Dr sewaktu masih kanak-kanak?

DR ALIAKBAR: Cita-cita awalnya mau jadi ahli bomba. Mungkin sebab uniform dan suka misi menyelamat. Selepas membantu ayah menternak lembu, minat pula mau jadi doktor haiwan. Apapun semuanya tidak kecapaian, dengan izin Allah saya menjadi pensyarah.

 UB: Sejak bila pula minat dalam bidang kepimpinan?

 DR ALIAKBAR: Sejak di sekolah menengah telah dilantik menjadi Pengerusi Persatuan Pelajar Islam. Sehingga Tingakatan 6 di SMK Gunsanad juga jawatan yang sama. Di kampus Universiti Malaya pernah bertanding dan menyertai pilihanraya Kampus.

 UB: Selain bertugas sebagai pensyarah, saya lihat Dr juga banyak terlibat dengan aktiviti pendidikan, kebajikan dan politik. Mungkin boleh peranan dr dan aktiviti yang diceburi?

DR ALIAKBAR: Dalam aktiviti pendidikan, kebajikan dan politik, saya adalah Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Sekolah Rendah Islam Al-Hafidz Bandar Sierra,Ahli Jawatankuasa Kehormat Sabah Relief,Penasihat Pusat Asuhan Tunas Islam(PASTI) Sepanggar dan dalam politik, saya adalah Setiausaha Badan Perhubungan PAS Sabah.

 UB: Apa aktiviti lain?

DR ALIAKBAR: Saya sering memberikan kuliah dan khutbah di masjid-masjid sekitar Kota Kinabalu. Mempunyai tauliah daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.

 UB: Oh ya, Apa cita-cita Dr pada masa depan?

DR ALIAKBAR: Cita-cita paling besar untuk menjadi ahli politik yang adil dan saksama disamping mau melihat anak-anak Sabah punya daya intelektual yang tinggi. Hanya dengan ilmu akan mampu mengubah manusia.