Isnin, 20 Julai 2020

LEFT KOL PROF IR DR YANG SOO SIANG, SENTIASA FIKIR CARA MENYUMBANG UNTUK NEGARA

Tags

LEFT KOL PROF IR DR YANG SOO SIANG,  SENTIASA FIKIR CARA MENYUMBANG UNTUK NEGARA

SEBAGAI seorang jurutera profesional, kepakarannya dalam Kejuruteraan Instrumentasi dan Kawalan tidak diragukan lagi. Hasil penyelidikannya diterbitkan dalam pelbagai jurnal antarabangsa. Kejayaannya dalam bidang akademik diperolehi kerana kegigihannya. Usaha Tangga Kejayaan, adalah motto yang sering memotivasinya untuk terus cemerlang. Selain itu, beliau seorang yang suka mencabar dirinya sendirinya. Misalnya ketika kecil, beliau seorang yang takutkan askar, kerana sering melihatnya berlatih dengan lasak dan penuh lumpur. Tetapi kini beliau adalah Pegawai Memerintah Batalion Infantri Pertama Rejimen 507 Askar Wataniah.

Leftenan Kolonel Profesor Madya Ir Dr Yang Soo Siang  dilahirkan di Yong Peng Batu Pahat Johor pada 12 Januari 1971. Beliau anak kedua daripada empat adik beradik dari sebuah keluarga penoreh getah. Ir Dr Yang mendapat pendidikan awal di SK Yong Peng pada 1979-1983 sebelum memasuki Sekolah Menengah Sains Johor di Kluang pada 1984 hingga 1988. Beliau sempat belajar di sebuah kolej di Kuala Lumpur untuk peringkat diploma sebelum pengajian pra siswazah di University of Sunderland United Kingdom hingga berjaya mendapat Bachelor of Engineering pada 1994. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di  University of Bradford hingga lulus Master of Science (MSc) in Engineering pada 1995-1996.  Ir Dr Yang mempunyai kepakaran dalam bidang Kejuruteraan Kawalan (Jurutera Profesional dengan Sijil Amalan-Kejuruteraan Instrumentasi dan Kawalan. Beliau pernah berkhidmat di Industri sebelum dilantik sebagai Pembantu Penyelidik RA di Universiti Malaya. Pada 1999, beliau dilantik sebagai pensyarah di Universiti Malaya. Pada tahun 2000, beliau melanjutkan pelajaran di peringkat PhD di  Brunel University of London dan kini berkhidmat sepenuh masa di Fakukti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sabah (UMS). Selain melaksanakan tanggungjawab akademik, beliau juga memegang perjawatan pentadbiran selaku Timbalan Pengarah Pusat Jaringan  Industri dan Komuniti UMS. Bidang penyelidikan beliau adalah berkaitan dengan Kejuruteraan kawalan serta Sistem Elektronik. Hasil Penyelidikan beliau diterbitkan dalam pelbagai jurnal antarabangsa. Antara geran penyelidikan terkini yang diamanahkan kepada beliau adalah berkait rekabentuk pengukur suhu digital mudahalih (Geran Covid19). Selain itu, beliau juga terlibat dengan pelbagai projek industri sebagai perunding pakar.
Prof Ir Dr Yang juga terlibat aktif dalam pasukan simpanan Tentera Darat (Pegawai Bertauliah Rejimen Askar Wataniah) dan kini memegang jawatan sebagai Pegawai Memerintah Batalion Infantri Pertama, Rejimen 507 Askar Wataniah. Beliau mula berkecimpung dalam pasukan Rejimen Askar Wataniah sejak tahun 1999. Pada mulanya beliau  dilantik sebagai Pegawai Latih & Ketua Cawangan Latih (Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan kemudiannya dilantik ke jawatan Pegawai Pemerintah  11 Kompeni Kor Polis Tentera di Raja (AW), Kompeni E/3 Rejimen 507 Askar Wataniah sebelum dinaikkan pangkat sebagai Leftenan Kolonel. Beliau juga dikerah berkhidmat sebagai Komander Sektor Operasi Penawar Covid-19 (Sektor Penampang ,22 Mac-9 Mei 2020 dan Kota Kinabalu,10 Mei -11 Jun 2020)
 Walaupun berkelayakan profesional dalam bidang kejuruteraan Intrumentasi dan kawalan, Ir Dr Yang  mempunyai minat yang mendalam  berkenaan dengan perkara Sejarah Ketenteraan serta Pengajian Strategik dan Pertahanan.


Wartawan kanan Utusan Borneo, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau sambil menikmati teh dan suasana menyegarkan di salah sebuah kafeteria UMS. Ikuti petikan temubual bersama beliau:
UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang prof?
PROF MADYA IR DR YANG SOO SIANG: Saya dilahirkan di Yong Peng Batu Pahat Johor pada tahun 1971, 12 Januari. Saya anak kedua dari empat bersaudara. Kami adalah keluarga penoreh getah. Saya membesar di estet di Yong Peng, kira-kira tujuh batu dari pekan Yong Peng.
UB: Di mana prof mendapat pendidikan awal?
IR DR YANG: Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Jenis Kebangsaan di Yong Peng dari tahun 1979 hingga 1983. Kemudian saya melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Sains Johor di Kluang pada 1984 hingga 1988. Sebenarnya saya tidak pernah memohon untuk memasuki SM Sains Johor, sebuah sekolah menengah berasrama penuh. Pada mulanya saya memohon untuk memasuki Maktab Tentera Di Raja di Sungai Besi. Tetapi kerana masa itu, saya satu-satunya anak lelaki, selepas mendiang abang saya meninggal dunia kerana penyakit thalassemia ketika saya berada dalam darjah enam. Saya tidak dapat menjawab soalan, apakah saya diizinkan untuk masuk tentera memandangkan masa itu saya anak lelaki tunggal dalam keluarga. Akhirnya saya dimasukkan di Sekolah Menengah Sains Johor di Kluang.
UB: Apa pengalaman prof ketika memasuki sekolah berasrama penuh?
IR DR YANG: Itulah pertama kali saya berjauhan bersama keluarga. Mulanya memang rasa amat rindu dengan keluarga tetapi lama kelamaan saya rasakan amat penting bagi saya untuk mencapai cita-cita untuk merubah keadaan hidup keluarga yang masih miskin. Ia menguatkan semangat saya untuk belajar. Saya berasa bertuah kerana dapat bersekolah di asrama penuh. Dengan itu saya dapat mengurangkan bebanan keluarga yang terpaksa menyara kami adik beradik. Selepas abang saya meninggal kerana penyakit thalassemia, saya fikir  saya tidak boleh bebankan keluarga. Itu sebabnya saya memilih tinggal diasrama.
UB: Selepas tamat SM Sains Johor, dimana prof melanjutkan pelajaran?
IR DR YANG: Saya melanjutkan pelajaran di sebuah kolej kecil di Kuala Lumpur untuk mendapatkan diploma kejuruteraan. Kemudian saya melanjutkan pengajian di University of  Sunderland United Kingdom hingga berjaya memperolehi ijazah Bachelor of Engineering pada tahun 1994. Selepas itu saya meneruskan pengajian di  University of Bradford, juga di United Kingdom pada tahun 1995 hingga 1996 hingga memperolehi ijazah Master of Science in Engineering.
UB: Sekembalinya dari United Kingdom, dimana Prof bekerja?
IR DR YANG: Saya sempat bekerja dalam industri pada tahun 1997 hingga 1998. Kemudian saya bekerja sebagai Research Assistang (RA) di Universiti Malaya. Selepas itu, pada tahun 1999, saya dilantik sebagai pensyarah di Universiti Malaya.
UB: Bila prof meneruskan pengajian di peringkat PhD?
IR DR YANG: Pada tahun 2000, saya mengikuti pengajian di  Brunel University of London sehingga mendapat ijazah Doktor Falsafah (PhD).
UB: Pernah kerja sampingan ketika belajar di UK?
IR DR YANG: Saya hanya bekerja dalam universiti untuk membantu demontrasi di makmal. Saya tidak dapat bekerja di luar kampus kerana sebagai pelajar kejuruteraan, banyak tugasan yang diberikan. Jadi kami terpaksa menumpukan dalam pengajian.
UB: Sebagai orang awam, saya ingin tahu mengenai kelayakan mendapat gelar Ir atau Insinyur?
IR DR YANG: Gelar Ir diperolehi apabila kita memiliki kelayakan akademik dan juga terlibat dalam  kerja-kerja berkaitan kejuruteraan dalam industri. Sebagai seorang jurutera profesional, ia  didaftarkan di Lembaga Jurutera Malaysia .Gelar Ir hanya diperolehi selepas seseorang jurutera itu lulus dalam peperiksaan dan temuduga yang diadaan. Hanya selepas lulus dan didaftarkan di Lembaga Jurutera Malaysia barulah kita layak memakai gelar Ir. Gelaran dr pula digunakan selepas lulus doktor falsafah ( PhD ) pada 2004.
UB: Dimana prof bekerja selepas balik dari UK?
IR DR YANG: Selepas tamat pengajian PhD dari United Kingdom pada 2004, saya kembali bekerja di Universiti Malaya. Kemudian ada tahun 2009, saya mendapat tawaran di  Fakulti Kejuruteraan UMS sebagai Profesor Madya.
UB: Mungkin prof boleh cerita sedikit pengalaman kehidupan ketika membesar di estet?
IR DR YANG: Saya dilahirkan di estet Yong Peng iaitu kira-kira tujuh batu dari pekan Yong Peng. Keluarga saya adalah penoreh getah. Ketika di estet, saya benar-benar merasakan kehidupan yang tenteram dalam satu masyarakat majmuk. Estet Yong Peng, dulunya milik Guthrie, adalah sebuah estet yang dihuni pelbagai kaum, dimana setiap keluarga hidup dengan akrab dalam komuniti yang  rapat. Setiap majlis kenduri diadakan, tidak kita siapa yang mengadakan kenduri, kami selalu datang. Saya tak rasa janggal.
Sejak kecil saya membesar dalam masyarakat Malaysia yang hidup toleransi, aman dan harmoni. Ini menyebabkan saya mudah menerima kepelbagaian, menerapkan budaya budaya yang baik ,positif, yang boleh menambah baik kehidupan dan sebagainya. Saya juga sudah terbiasa hidup dalam masyarakat berbilang kaum. Kami menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pergaulan dan komunikasi harian. Di rumah, barulah kami berbahasa Cina dengan ibu bapa.

UB:   Apa pesan orang tua yang masih diingati dan diamalkan?
IR DR YANG: Yang pertama, buat baik berpada-pada. Yang kedua, usaha tangga kejayaan. Ini juga adalah motto sekolah rendah. Setiap kali kita meihat lencana sekolah tertulis usaha tangga kejayaan. Ini memberikan kesan yang sangat signifikan kepada saya. Usaha Tangga Kejayaan, inilah yang menyebabkan saya berusaja hingga ke peringkat yang lebih tinggi.
UB: Sewaktu kecil, apa cita cita prof?

IR DR YANG: Saya memang bercita-cita menjadi jurutera. Masa itu, sekitar tahun 1970-1980an, apa yang kita fikirkan ialah bagaimana membantu keluarga ita yang miskin. Apa kerja yang boleh menampung kehidupan kita. Itulah sebabnya saya tanamkan cita cita dalam minda saya untuk menjadi jurutera, satu kerjaya yang menjanjikan masa depan yang cerah. Apatah lagi, ada ahli keluarga, sepupu -sepupu yang menjadi jurutera.
UB: Sebagaimana yang kita semua ketahui, Prof juga adalah Pegawai Memerintah Batalion Infantri Pertama, Rejimen 507 Askar Wataniah dengan pangkat Leftenan Kolonel. Mungkin boleh cerita sedikit bila mula berkecimpung dalam Askar Wataniah?
IR DR YANG: Saya mula berkecimpung dalam Askar Wataniah pada tahun 1999 iaitu ketika bertugas di Universiti Malaya. Mulanya saya takut masuk askar kerana sewaktu zaman kanak-kanak saya selalu nampak mereka mengadakan latihan ketenteraan di estet kami. Rasa seram melihat mereka berlatih dengan lasak, kadang penuh lumpur, dan sebagainya. Saya takut nak jadi askar. Tak pernah terfikir pun.
Tetapi ketika berada dalam darjah enam, saya pernah memohon untuk bersekolah di Maktab Tentera Di Raja Sungai Besi dan kemudian saya gagal menjawab soalan terakhir yang menyebabkan saya ditolak dan diarahkan untuk memasuki Sekolah Menengah Sains Johor.
Namun ketika menjadi pensyarah di Universiti Malaya, ada masa lapang pada setiap Sabtu dan Ahad. Saya fikir itulah masanya saya mecabar diri sendiri untuk menceburkan diri dalam Askar Wataniah. Sejak kecil memang saya berdikari, boleh urus hidup sendiri, Sebab itu saya fikir saya seronok juga mencabar diri sendiri sambil menyumbang kepada negara.
Saya fikir salah satu cara untuk menyumbang kepada negara. Ada banyak cara lain, tapi bagi saya, ini salah satu cara untuk saya menyumbang kepada negara.