Jumaat, 1 Mei 2020

JALAN-JALAN KE BALIKPAPAN, DARI SALAKILO BERAKHIR DI DANDITO

Tags

JALAN-JALAN KE BALIKPAPAN, DARI SALAKILO BERAKHIR DI DANDITO

KALAU belum mencicipi sensasi kelazatan kek salak, jalan-jalan ke Balikpapan  rasanya belum lengkap, kata Pak Widodo. Kami baru saja tiba di Bandara Sultan Aji Muhammad Sulaiman, Sepinggan. Ketika itu,19 Februari. Hari ketiga kami di Kalimantan tetapi hari pertama di Balikpapan. Sebelumnya rombongan DPBS dan FMM Sabah melawat Tarakan, di Kalimantan Utara selama dua hari (17-19 Februari) sebelum terbang lagi ke Balikpapan, yang dijuluki Kota Minyak di Kalimantan Timur.

Pak Widodo, Staf Fungsi Ekonomi KJRI KK tiba lebih dahulu mendampingi  Konsul Ekonomi KJRI KK, Sartono Hendrarso. Mereka mengatur lawatan rombongan dari Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah untuk meninjau kawasan pengolahan sampah terbaik di Indonesia (17-19 Februari). Balikpapan juga dikenali sebagai Kota Terbersih. Sebagai kota yang berada paling dekat dengan lokasi Ibu Kota Negara Indonesia di Penajam, Balikpapan memiliki potensi luar biasa dalam bidang ekonomi dan perdagangan.

Rombongan 24 orang delegasi itu dibawa terlebih dahulu ke Pusat Jualan Dekranasda Balikpapan. Dekranasda adalah organisasi yang menghimpunkan dan memayungi produk kraftangan dan kelompok industri kecil sederhana (IKS) atau dikenali sebagai usaha kecil menengah (UKM) di Indonesia. Ada yang sempat membeli kain dan batik corak Balikpapan yang memiliki ciri khas tersendiri. Batik Kalimantan tidak terlepas dari budaya setempat yang berkaitan dengan alam, flora, fauna hingga kehidupan masyarakatnya.

Kemudian kami dibawa ke Cafe Salakilo di Jalan MT Haryono Batu Ampar Balikpapan. Di sana kami diperkenalkan dengan Riswahyuni. Puteri Balikpapan inilah yang mengilhamkan kek Salakilo, yang pertama dan satu-satunya di Indonesia.

Kek Salakilo dibuat dari buah salak. Buah salak adalah buah tumbuh tanpa mengenal musim, boleh dimakan begitu saja dan banyak terdapat di Balikpapan.

“Saya belum pernah dengar buah salak boleh dibuat kek” kata Jay,seorang peserta rombongan dari Sabah. Lagipun buah salak di Sabah kelihatan bersaiz kecil sedikit, katanya.

Buah salak adalah sejenis buah berwarna coklat dengan kulit bersisik dan biji yang keras. Buah salak atau salacca edulis  adalah buah-buahan tropika yang  memiliki rasa yang manis.Kek salakilo adalah paduan rasa yang lembut kek yang legit dengan cincangan buah salak segar yang menimbulkan rasa manis dan segar di dalamnya.


Bagaimana timbul idea untuk membuat kek dari buah Salak?

Riswahyuni atau Yuni menceritakan kisah perjalanannya dari Balikpapan ke Samarinda. Di Kilometer 21, beliau membeli buah salak dari petani untuk dimakan sepanjang perjalanan. Tetapi sesampainya di rumah, masih ada beberapa biji salak yang tidak habis dimakan.

“Dari situlah timbul idea untuk membuat kek dari buah salak,” katanya. Walaupun pada mulanya beliau kurang menggemari buah salak tetapi suaminya sering membeli buah salak untuk dibawa pulang ke rumah. “Kemudian saya terfikir, bagaimana caranya membantu petani buah salak. Kemudian timbul inspirasi untuk mengolah buah salak menjadi kek yang kini dikenali kek salakilo.

Yuni tidak  menyangka sambutan keluarga dan masyarakat sekitar terhadap kek buah salak sangat luar biasa. Kini sambutannya makin luas kerana kek salakilo juga dijual secara online dan makin dikenali hingga peringkat nasional. Kek yang dibuat tanpa bahan pengawet, bagaimanapun  hanya tahan selama tujuh hari tanpa disimpan di peti ais.

Kek Salakilo memang unik dan enak. Ia dijual dengan berbagai rasa seperti rasa original, almond, keju, coklat, tiramisu dan korma. Kek salakilo ukuran kecil (10x15 cm) dijual dengan harga Rp35,000 manakala ukuran besar (10x20 cm) dijual dengan harga Rp50,000.Ia berkhasiat untuk kesihatan, mencegah barah, melancarkan peredaran darah, baik untuk pencernaan dan membantu proses diet.

 Melalui usahanya, petani-petani Salak dapat meningkatkan taraf hidup mereka dengan memanfaatkan keseluruhan buah salak, yang diolah dari buah hingga kulitnya, dan dijadikan pelbagai produk berasaskan salak.

Agak menarik kerana Yuni, ibu dua anak ini berjaya  mengolah buah salak, bukan hanya  hanya sebagai makanan khas tetapi  sebagai objek pelancongan dengan mengembangkan kebun salak dan aneka hasil olahannya seperti kuih pia salak, rumput laut, dodol salak, asinan dan manisan salak, selai salak, hingga sambal salak rumput laut dengan jenama salakilo.

Kami ingin membantu meningkatkan ekonomi petani salak selain mengangkat nama balikpapan sebagai pengeluar produk buah salak, kata Riswahyuni lagi. Riswahyuni banyak memenangi anugerah sama ada di Balikpapan malah hingga peringkat nasional kerana usahanya mengembangkan buah salak.Beliau juga membawa kami ke tempat pemprosesan kek dan menunjukkan cara membuat kek dan biskut.
Selepas sesi bergambar, kami bergegas ke Hotel Novotel, di Jalan Brigjen Ery Suparjan, sebuah hotel lima bintang di Balikpapan. Kebetulan sewaktu kami tiba, masih banyak tamu. Kami harus menunggu sebelum giliran kami tiba untuk check-in.

Saya sempat membaca Kaltim Pos, Harian Pagi Pertama dan Terbesar di Kalimantan Timur. Akhbar Kaltim Post 19 Februari  turut memuatkan berita mengenai kunjungan usahawan dan ahli perniagaan dari Sabah ke Kalimantan.

Antara yang menarik ialah kenyataan Wali Kota Tarakan, dr Khairul. Beliau menyatakan Tarakan punya potensi usaha yang sangat menjanjikan khususnya dalam bidang perikanan dan penternakan. Beliau juga mempelawa usahawan membuka kilang di Tarakan. Industri makanan menjadi potensi perdagangan yang menjanjikan, katanya.Dr Khairul menyatakan sudah tiba masanya menghabiskan perdagangan haram yang dilakukan secara sembunyi sembunyi.

Salah satu ruangan dalam suratkhabar itu iaitu  Hoax atau Bukan. Berisi berita palsu mengenai Jackie Chan yang dikatakan pindah agama. Ia bermula dari sebuah foto aktor filem kung fu itu memakai songkok hitam berfoto bersama Ustaz Kazim Elias. Kononnya Jackie Chan memeluk Islam di Filipina tetapi acaranya diadakan di Malaysia. Padahal sebenarnya foto Jackie Chan bersama Ustaz Kazim Elias itu dirakamkan ketika beliau mendapat anugerah datuk sempena Hari Wilayah Persekutuan pada 2 Februari 2015. Zaman ini juga dikenali sebagai zaman dimana banyak tersebar berita palsu atau hoax dan hairannya, ramai juga yang terpedaya dan mempercayainya.

Berita muka depan Kaltim Post agak menyayat. Akhbar itu menyiarkan berita mengenai makam seorang anak kecil dibongkar dan tulangnya di bawa ke Jakarta. Kejadian itu berlaku di Samarinda mengenai Yusuf Ahmad Gazali yang kuburnya digali untuk diautopsi untuk mencari sebab kematian sebenar kanak-kanak itu yang  dibunuh secara kejam dan ditemukan dengan kedua tangan, kaki dan kepala menghilang.

Kompas 19 Februari memilih laporan mengenai Kapal Pesiar, Diamond Princess yang dikuarantin  di Pelabuhan Yokohama. Ketika itu sebanyak 540 orang termasuk tiga warga Indonesia, positif terinfeksi virus COVID-19. Terdapat seramai 3,700 penumpang dalam kapal itu. Sungguh mengerikan. Wabah COVID-19 melanda China dan beberapa negara lain tetapi di Balikpapan, saya melihat belum banyak orang yang memakai penutup muka.

Akhirnya saya mendapat kunci bilik. Tingkat Sembilan. Kami diperingatkan bersiap lebih awal untuk makan malam, sos kepiting di Dandito.

Tak apa, tidak perlu risau walaupun sering diperingatkan jangan banyak makan makanan laut seperti udang, ketam, sotong dan sebagainya kerana banyak kolesterol.

Pak, di sini tidak ada ketam, yang ada hanya kepiting, tak ada sotong kerana yang ada hanya cumi-cumi. Walaupun sama tetapi namanya kan berbeza, kata pak Widodo.