Jumaat, 1 Mei 2020

DR CHUA KIM HING, MANTAN KP DBKK YANG PENUH PENGALAMAN

Tags

DR CHUA KIM HING, MANTAN KP DBKK YANG PENUH PENGALAMAN

KALAU ASAL benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau. Peribahasa lama inilah yang memberi keyakinan dan dorongan kepada  Datuk Dr Chua Kim Hing untuk terus berjuang.Liku-liku kehidupan yang dilaluinya memang penuh kepahitan . Biarpun begitu, semangatnya tetap kukuh untuk terus mencapai tahap yang lebih tinggi. Siapa tahu, orang yang dahulu terpaksa berhenti sekolah ketika berada dalam tingkatan empat kerana kekurangan duit membeli buku, akhirnya menjadi Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan kemudian selepas bersara beliau sempat menjadi profesor  di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Kinabalu.

Datuk Dr Chua Kim Hing dilahirkan di Kampung Kanibongan Pitas dan kemudian membesar di Pinggan Pinggan Pitas. Beliau bersekolah rendah di SRK Pinggan Pinggan Pitas sebelumnya melanjutkan pelajaran di SMK Kudat.Malangnya beliau terpaksa berhenti sekolah ketika berada dalam Tingkatan 4. Sempat bekerja sebagai buruh kasar di Pelabuhan Kudar, beliau kemudian bekerja sebagai Guru Sandaran di SK Lajung Kudat. Selepas itu, beliau diterima memasuki Maktab Perguruan Gaya (MPG) dan kemudian mengajar di SMK Kota Marudu.

Selepas lulus Sijil Tinggi Persekolahan (STP) , beliau melanjutkan pengajian di Universiti Malaya. Sekembalinya ke Sabah, beliau bekerja di Jabatan Perkhidmatan Awam. Beberapa tahun kemudian, beliau melanjutkan pelajaran di University of Birmingham di peringkat MA dan seterusnya PhD. Beliau pernah bertugas sebagai Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sumber sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah dan seterusnya Ketua Pengarah DBKK. Selepas bersara beliau menjadi pensyarah di UiTM dan kemudian membuka pusat pelancongan dan pelatihan di Lohan Ranau.

Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemuramah Prof Datuk Dr Chua Kim Hing di rumahnya di Luyang. Dalam interviu itu, beliau menceritakan cebisan pengalaman sejak kecil hinggalah bersara sebagai Ketua Pengarah DBKK. Salah satu perkara yang menarik minatnya ialah betapa perlunya masyarakat mengubah minda ketika berhadapan soal sampah. “Saya suka bercakap tentang sampah. Banyak yang tak kena” katanya.Apakah kita mahu menimba dari perahu yang bocor atau menampal perahu yang bocor, pilihan di tangan kita, kata Dr Chua. Ikuti petikan interviu bersama beliau yang diadakan di kediamannya di Luyang pada satu hari yang cerah baru-baru ini.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang datuk? Seperti lahir dimana? Latar belakang keluarga dan sebagainya.





DATUK DR CHUA KIM HING: Saya dilahirkan di Kanibongan, Pitas. Selepas itu, kami berpindah ke kampung Pinggan-pinggan Pitas.Ada orang mengenali kami sebagai OCBC iaitu orang cina bukan cina. Kami orang cina, muka cina, nama cina tetapi kurang mahir bercakap cina. Di rumah kami sendiri, kami berkomunikasi dalam bahasa sungai.Bahasa pertama kami adalah bahasa sungai.Saya dan ayah saya bercakap dalam bahasa sungai. Sebab kami tinggal di sekililing masyarakat Sungai.

UB: Tahun berapa lahir?
DR CHUA: Saya lahir kira-kira pada tahun 1952. Masa itu tidak seperti sekarang. Perhubungan antara satu tempat ke satu tempat amat sukar.Jangan cakap kereta, jalan raya pun tidak ada.

UB: Di mana datuk bersekolah dahulu?
DR CHUA: Saya bersekolah rendah di SRK Pinggan-pinggan pitas dari darjah satu hingga darjah lima.  SRK Pinggan-Pinggan masih sekolah kampung, berlantai tanah. Kadang-kadang jadi tempat kambing tidur. Jika sudah begitu, kami selalu angkut pasir untuk menimbusnya.

UB: Naik apa ke sekolah?
DR CHUA: Kami berjalan kaki ke sekolah. Berkaki ayam saja hampir satu jam baru sampai sekolah. Kami orang miskin. Hidup hanya dengan bertani.Padi huma, tanam jagung, tanam ubi dan sebagainya. Saya sering ikut memotong rumput, selepas itu mengetam padi, mengangkat dan mengangkut padi dengan  sikutan dan sebagainya Saya juga masih ingat , ketika dalam darjah tiga, saya sering mengikuti ayah saya memotong kayu. Potong kayu besar.Bawa kapak. Masa itu orang belum mengenal chain saw. Perkataan chain saw masih belum ada dalam kamus. Biarpun sengsara, kehidupan kami  gembira. Jika tidak ada lauk, pergi ke sungai tangkap ikan.

UB: Di mana datuk bersekolah menengah?
DR CHUA: Saya menyambung persekolahan di SMK Kudat. Kami naik bot kira-kira tiga  jam dari Pitas ke Pekan Kudat. Antara rakan-rakan saya masa itu, kebanyakannya jadi wakil rakyat.YB Wilson Malingka, YB Saibul Supu, kami satu asrama. YB Datuk Masrani pula lebih senior. Di SMK Kudat, saya mengikuti bridge class. Tinggal di asrama di atas bukit. Agak jauh dari sekolah. Selepas bridge class, barulah kita naik Form One. Murid murid sekolah rendah terpaksa masuk kelas peralihan ini selama setahun atau dua tahun. Masa itu pengetahuan saya dalam bahasa Inggeris hanya `yes and  no”. Semua mata pelajaran diajar dalam bahasa Inggeris.

UB: Sampai tingkatan berapa di SMK Kudat?
DR CHUA: Saya bersekolah di SMK Kudat hingga tingkatan empat. Selepas lulus Form 3, saya bersekolah hingga Form 4. Bagaimanapun saya terpaksa berhenti separuh jalan kerana tidak mampu membiayai sekolah. Tak mampu beli buku dan sebagainya. Saya ingat lagi, cikgu saya nasihatkan saya supaya jangan dulu berhenti. Kalau saya berhenti setakat LCE,gaji saya hanya RM150 sebulan.Sedangkan kalau saya  sampai form 5, gaji saya RM180 sebulan.

UB: Lepas berhenti sekolah, datuk buat apa?
DR CHUA: Saya cari kerja. Sebenarnya ketika dalam Form 4 itu saya sudah bekerja secara sambilan  sebagai buruh kasar di Pelabuhan Kudat.  Kami kerja tidak tentu masa. Jika ada kapal berlabuh pada sebelah malam, kami terpaksa bekerja sebelah malam mengangkut barang. Masa itu belum ada forklift. Apabila kapal tiba, kami angkat barang. Kami angkut hingga selesai.Kadang-kadang sampai pagi. Jadi sebab itu sampai sekolah, saya rasa mengantuk.
UB: Selepas kerja sebagai buruh kasar, di mana datuk bekerja?
DR CHUA: Saya dapat kerja sebagai guru pelatih di SK Lajung atau sekarang disebut guru sandaran.
UB: Berapa lama mengajar sebagai guru pelatih?
DR CHUA: Kira-kira 16 bulan.Selepas 16 bulan bertugas sebagai guru, saya ditawarkan untuk memasuki Maktab Perguruan Gaya (MPG) selama dua tahun untuk latihan mengajar sekolah rendah. Ketika berada di Maktab Perguruan Gaya, saya belajar sendiri untuk peperiksaan MCE yang sebenarnya tidak boleh kerana saya masih kursus perguruan.

UB: Apa yang mendorong Datuk untuk menduduki MCE?
DR CHUA: Sebenarnya selepas gagal melanjutkan pelajaran kerana tidak mampu membeli buku teks ketika dalam Form 4, saya bertekad untuk terus belajar ke peringkat yang lebih tinggi. Itu sebabnya saya mengambil peperiksaan MCE. Saya bernasib baik kerana lulus MCE.

UB: Masih ingat rakan-rakan sewaktu maktab?
DR CHUA: Antara rakan saya masa itu YB Datuk Sapawi Haji Ahmad, Leong Phau Chu,Alliance Gubat

UB: Dimana datuk ditempatkan selepas tamat dari Maktab Gaya?
DR CHUA: Saya ditempatkan di SMK Kota Marudu.  Ketika mengajar di SMK Kota Marudu, saya mengambil peperiksaan STP. Saya mengajar sambil belajar STP. Kali pertama saya gagal tetapi percubaan kali kedua saya lulus. Saya lulus penuh.

UB: Kemudian?Apa langkah datuk seterusnya?
DR CHUA: Saya berjaya memasuki Universiti Malaya. Itulah kami pertama saya naik kapal terbang. Namun saya hampir putus asa kerana tidak mendapat pinjaman atau biasiswa. Wang simpanan yang disimpan hampir habis. Saya terpaksa berkemas dan balik Sabah. Setelah ke sana kemari, akhirnya saya berjaya mendapat pinjaman dari Yayasan Sabah. Saya rasa amat terhutang budi dengan Yayasan Sabah. Kalau bukan YS saya mungkin tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti. Sebab itu, saya bayar pinjaman pelajaran sehingga habis  walaupun sebenarnya tidak perlu dengan syarat saya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.  Saya berjaya mendapat Second Class Upper.

UB: Siapa antara rakan seangkatan datuk di UM?
DR CHUA: Datuk Haji Ujang Sulani, Jenar Lamdah,Mohd Hekam Trimo, Sabri Mohd Noh, Yusus Abas.

UB: Selepas balik ke Sabah, dimana datuk bekerja?
DR CHUA: Saya bekerja di di Jabatan  Perkhidmatan Awam dan pernah menjadi Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

UB: Kemudian,  ke mana datuk selepas itu?
DR CHUA: Selepas lima tahun bekerja di SPA, saya melanjutkan pengajian di peringkat MA seterusnya PhD di Universiti of Birmingham pada 1992 hingga 1997. Saya mendapat biasiswa dan gaji penuh.

UB: Apa bidang kajian datuk?
DR CHUA:Di peringkat PhD saya mengkaji mengenai kerajaan tempatan. Ketika itu, saya berkesempatan balik ke Sabah untuk membuat kajian kerajaan tempatan di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, dan bandar bandar lain di Sabah. Tetapi kejadian yang tidak diingini berlaku, penyelia saya meninggal dunia. Saya hampir putus asa. Bahkan saya sempat bekerja sebagai tukang masak selama tiga bulan. Dari hasil kerja itulah saya dapat membeli kereta volvo terpakai. Banyak juga kisahnya ketika membawa volvo ke Sabah, saya dikenakan cukai dua kali ganda dari harga volvo yang saya beli ketika di UK. Hampir tiga bulan kereta itu tersadai di kastam kerana sebagai pelajar, saya mana ada duit.

UB: Di mana bertugas sekembalinya dari UK?
DR CHUA: saya sempat bertugas sebagai Timbalan Setiasaha Tetap di Kementerian Pembangunan Sumber pada  pada 1998-1999. Kemudian barulah saya berpindah di Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada tahun 2000, mulanya sebagai Timbalan Ketua Pengarah dan kemudian Ketua Pengarah DBKK sehinggalah saya bersara. Selepas bersara, saya menerima tawaran sebagai pensyarah di UiTM dan sempat bertugas di sana selama lima tahun.

UB: Saya tertarik dengan pengalaman datuk sewaktu bekerja sebagai Ketua Pengarah DBKK. Mungkin datuk boleh bagi pandangan sedikit mengenai pengurusan sampah?

DR CHUA: Saya berpendapat set minda kita mengenai sampah perlu diperbetulkan. Sewaktu masih bertugas saya pernah melawat dan melihat bagaimana kotakota besar seperti Manila, Denmark, Kaherah, Guangzhou mengurus sampah mereka.Saya suka bercakap tentang sampah. Banyak yang tak kena.

UB: Boleh jelaskan? Apa yang tak kena?
DR CHUA: Saya fikir kita perlu mengubah mindset kita. Kita lihat banyak sekali program yang diadakan tertumpu kepada soal memungut sampah.Orang buang sampah, kita pungut kutip sampah.Minda kita sudah tertanam begitu, orang buang kita pungut.Sepatutnya yang kita perbanyak ialah Kempen Anti Kutu Sampah (KAKS)

Orang ramai, PBT perlu main peranan.Kita mesti ubah mindset dan sikap kita.Gotong royong yang kita adakan mungkin dapat bantu hapuskan sampah dalam sekejap. Kita pungut sampah tetapi kita tidak hentikan orang buang sampah. Kita seperti Menimba air dari perahu yang bocor.Kita sepatutnya menampalnya.

Pihak berkuasa tempatan juga perlu mengambil langkah menghentikan orang buang sampah. Selama ini kita lihat kutu sampah berkeliaran, bebas membuang sampah, dibiarkan dan dibiarkan sehingga sampah merata tempat, bahkan saya pernah lihat di pejabat PBT sendiri ada sampah.

PBT perlu set semua minda terlebih dahulu.
UB: Bagaimana menghentikan orang membuang sampah?
PBT: Kita perlu melaksanakan Kempen Anti Kutu Sampah (KAKS). Penguatkuasaan sangat perlu.  Adakan gotong-royong bukan memungut sampah tetapi menangkap kutu sampah. Penguatkuasaan sangat perlu. Penguatkuasa  tangkap orang yang buang sampah. Yang patut dihukum  ialah orang yang membuang sampah. Mereka yang ditangkap kerana membuang sampah mestilah dikenakan hukuman denda dan sebagainya. Jumlah kadar denda tidak perlu tinggi tetapi yang penting mampu menanamkan kesedaran kepada orang ramai untuk tidak membuang sampah.

Selain itu, kita anjurkan acara tanpa sampah (LiFE). Litter Free Event, Litter Free Everywhere, Litter Free Everyday, Litter Free Everyone. Kita adakan pejabat tanpa sampah,sekolah tanpa sampah, kampung tanpa sampah, tamu tanpa sampah, tapak jaja tanpa sampah,pasar tanpa sampah, taman perumahan tanpa sampah, blok kedai tanpa sampah, klinik tanpa sampah, hospital tanpa sampah dan sebagainya.

Selama ini kita asyik mengadakan gotong-royong memungut sampah tetapi kita tidak berusaha untuk menhentikan orang untuk membuang sampah.Pilihan ditangan kita, sama ada mahu menimba perahu yang bocor atau menampal perahu yang bocor.