Sabtu, 1 Februari 2020

Aik Rusa’ Berehun, bekas lombong yang terbiar, kini terkenal

Tags

Aik Rusa’ Berehun, bekas lombong yang  terbiar, kini terkenal
MESKIPUN cuma seketika, kami sempat singgah  di Aik Rusa Berehun, salah satu destinasi pelancongan di Desa Terong, Sijuk, yang terletak kira-kira 16.5 kilometer dari Tanjung Pandan, ibu kota Belitung.
Selepas menikmati jamuan makan tengahari yang disediakan oleh Dinas Kebudayaan dan Pariwisata (Disbudpar) Provinsi Kepulauan Bangka Belitung di Pondok Kelapa, rombongan Kembara Sastera Ikatan Penulis Sabah (IPS) bergegas ke Desa Terong.
“Kita sedang ditunggu di sana,” kata Pak Mawel, pemandu pelancong kami. Sebelumnya, Sahabat IPS di Belitung, Agus Pahlevi menyarankan kepada kami untuk berkunjung ke Desa Terong, bertemu dengan seniman desa dan melihat keistimewaan Aik Rusa’ Berehun.
Setibanya di sana, waktu sudah  menjelang asar. Wah, betapa lapangnya dada melihat danau yang tenang. Terdapat beberapa pondok tempat istirehat. Angin semilir bertiup nyaman, Alangkah baiknya kalau membawa pancing, pasti banyak ikan.
Aik Rusa’ Berehun sebenarnya bekas lombong timah yang terbiar. Tetapi penduduk kampung dengan bantuan kerajaan kemudian menjadikan kawasan itu sebagai sebuah desa wisata kreatif.  Sehingga kini, lebih 7,000 pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung ke Desa Terong sejak tahun 2016. Tahun lalu, seramai 1,511 orang wisatawan yang berkunjung, kata Pak Iswandi, pendiri sekaligus pembina Komunitas Wisata Aik Rusa’ Berehun, Desa Wisata Kreatif Terong.

Kami sempat mengelilingi  Aik Rusa’ Berehun.Walaupun tidak semuanya kerana kawasannya agak luas. Terdapat beberapa pondok rumah yang dijadikan inap desa.. Desa ini sangat menarik. Masyarakatnya memanfaatkan kearifan tempatan, kekayaan alam semula jadi,budaya, adat istiadat, kuliner dan kesenian sebagai tarikan pelancong.
“ Mungkin kita  wisatawan yang pertama dari Sabah yang berkunjung ke Aik Rusa’ Berehun,” Saya memberitahu rombongan kami.
Aik itu ertinya air. Rusa itu artinya binatang rusa, berehun itu ertinya kebersamaan, kata Pak Iswandi lagi.
“Dulu danau ini tempat minum rusa,” katanya ketika dihubungi. Aik Rusa’ Berehun seluas 1.5 hektar. Selain memancing terdapat banyak pakej pelancongan jika ingin berkunjung ke Desa Wisata Kreatif Terong.
Bagaimana dapat idea untuk membangun Aik Rusa’ Berehun?
“Semuanya berawal dari membangun sumber daya manusia dan bagaimana mengubah pola fikir masyarakat untuk sadar wisata. Dengan adanya kesedaran mengenai pelancongan, semua potensi boleh digali, dijaga dan dikembangkan untuk kesejahteraan mereka. Yang lebih penting adalah kesedaran dalam menjaga kelestarian lingkungan, alam dan budaya lokal.
Inspirasi dari mulai berkembangnya pelancongan di pulau Belitung.  “Saat awal-awal dulu, desa kami cuma jadi tempat laluan atau tempat lintasan semata mata.  Tiada  pelancong yang singgah atau berkunjung ke desa kami. Dari situ saya mulai berfikir bahawa harus ada sesuatu yang diperbuat jika desa kami ingin maju, katanya yang juga putera kelahiran Desa Terong.
Sambil menikmati petikan gambus oleh Pak Akil Bujang atau Kik Akil, seniman desa Terong, kami dihidangkan dengan pelbagai juadah tradisi Belitung seperti kuih  nage sari, kuih kelepon, kuih talam dan sebagainya selain kopi dan teh.
Pak Akil Bujang 82, seniman gambus yang sering diundang ke seluruh nusantara kerana kepakarannya. Kami bersyukur kerana sempat menyaksikan beliau memetik gambus. Nampak sekali kemampuan beliau yang luar biasa. Ketika memetik gambus, ibu Hariani dan Puan Jaliha turut menari. Suasana yang mulanya agak kaku, cair dengan keramahan tuan rumah.
Di sini tarian ini dikenali sebagai tarian sepin, kata Ibu Hariani, seorang penduduk kampung, yang juga mengajar menari. Tarian Sepin atau dikenali sebagai zapin sejenis tarian popular di kalangan masyarakat Melayu. Kalau di Sabah, kata Fauziyah,seorang ahli rombongan,ada yang menyebut tarian ini sebagai Jepin, walaupun sebutannya yang sebenar ialah  Zapin.
Bagaimana pula sambutan generasi muda terhadap kesenian?  Menurut ibu Hariani, sambutan belia dalam memelihara dan melestari seni tradisi amatlah membanggakan. Tapi saya cuma mengajar tariannya saja, katanya.
Beliau  mengajar tari seperti Tari selamat datang, tari tempurong,tari terindak, tari selindang dan sebagainya.
Kami duduk bersila di saung tempat bersantai  itu.Pertemuan dengan Kik Akil amat bermakna. Selain Kik Akil, ada Pak Sahid yang sesekali memainkan gendang atau tabuh. Kepala Desa, Pak Suhaimi juga hadir bagi mengalu-alukan kehadiran kami.
Kepala Unit Pelaksana Teknis Dinas (UPTD)  Balai Pengembangan Desa pariwisata (BPP) Wilayah Belitung, Pak Haryadi juga hadir dan mengiringi kami sepanjang kembara sastera tiga hari ke bumi Laskar Pelangi  itu.
Desa Terong pun terpilih sebagai salah satu daripada 19 desa geopark di Belitung dan mendapat kunjungan dari pelancong manca negara.
Sayang sekali kerana waktu yang agak terhad, kami tidak sempat melihat keseluruhan Aik Rusa’ Berehun. Kami hanya dapat melihat rumah-rumah yang dijadikan tempat menginap pelancong.
Padahal di sana ada tempat untuk agrowisata.Kami juga tidak sempat ke hutan bakau menangkap ketam atau kepiting. Kami hanya dapat bersalaman dengan masyarakat kampung Aik Rusa Berehun, kebaikan dan keramahan mereka. Sebelum kami berangkat pulang, gadis-gadis memperlihatkan  tarian sepin.
Budaya kita sama, hampir tak ada bezanya.Kunjungan ke Aik Rusa’ Berehun satu pengalaman yang sangat berharga dan bermakna.