Isnin, 23 Disember 2019

DATUK BUNG MOKTAR RADIN, TIDAK PERNAH TERFIKIR JADI WAKIL RAKYAT

Tags

DATUK BUNG MOKTAR RADIN, TIDAK PERNAH TERFIKIR JADI WAKIL RAKYAT

SUARANYA tetap lantang ketika berucap di Dewan Rakyat dari dahulu hingga sekarang. Bahkan tidak jarang juga kenyataan sering menimbulkan kontroversi. Tetapi sejak menjadi Ahli Parlimen Kinabatangan sejak tahun 1999, Datuk Bung Moktar Radin terus memperjuangkan aspirasi rakyat di kawasannya. Namun di sebalik kelantangannya, beliau seorang pemimpin yang baik hati.

Datuk Bung Moktar Radin dilahirkan di Kampung Bilit, Sukau Kinabatangan pada 15 September 1960Anak ketujuh daripada 13 adik beradik ini berkelulusan Sarjana (MA)  dalam bidang sains politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Bung mendapat pendidikan awal di SRK Kampung Bilit sebelum melanjutkan pelajaran menengah di SMK Sandakan. Namun selepas SPM, beliau terus bergiat dalam politik. Namun beliau terus berusaha meningkatkan pelajaran melalui pendidikan jarak jauh sebelum kuliah sepenuh masa di UKM dan mendapat sarjana Sains Politik  (Analisis Polisi dan Keselamatan).

Sebelum menjadi ahli Parlimen, beliau pernah berkhidmat di Bahagian Hal Ehwal Khas Sandakan (1987-1991) Pegawai Luar Bandar Mara Sandakan (1991-1992) dan Setiausaha Politik Kementerian Kewangan Sabah (1994-1999).


Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual Datuk Bung Moktar Radin di pejabatnya di Kota Kinabalu untuk berkongsi pengalamannya ketika bersekolah dan ketika mula menceburkan diri dalam politik.Ikuti petikan temubual seperti berikut:

UTUSAN BORNEO (UB): Boleh berikan sedikit latar belakang Datuk? Di mana datuk dilahirkan?
DATUK BUNG MOKTAR RADIN (BUNG) : Saya dilahirkan di Kampung Bilit Kinabatangan pada 15 September 1960. Saya anak ketujuh daripada 13 orang adik beradik.Ayah saya bernama Radin Yatim dan ibu saya bernama Rashidah Jikrun. Saya bersekolah rendah di SRK Kampung Bilit kemudian melanjutkan pelajaran di SMK Sandakan.

UB: Jauh juga tu Datuk. Masa itu, apa pengangkutan utama ke Sandakan? Cuba ceritakan bagaimana perjalanan dari Kinabatangan ke Sandakan ketika itu?
BUNG: Perjalanan ke Sandakan dari Kampung Bilit masa itu mengambil masa kira-kira 10 jam , naik kapal nelayan. Pukul 6.00 pagi berangkat, boleh sampai kira-kira jam 4.00 petang di Sandakan. Kalau ombak besar, terpaksa tidur di Terusan atau di Mumiang. Itupun kapal hanya ada tiga kali seminggu. Kapal hanya muat kira-kira 15 orang sekali jalan. Biasanya orang kampung pergi kr bandar untuk membeli barang-barang keperluan.

UB: Bila datuk mula menceburkan diri dalam politik?Bagaimana Datuk terlibat dalam politik?
BUNG: Ketika berada di bangku sekolah menengah, saya sudah terlibat dalam politik. Ketika itu, saya bergiat dalam Pemuda Usno.
Pada tahun 1975, apabila kerajaan Berjaya mengambil alih kuasa, tiga orang  saya yang bekerja dengan kerajaan, diberhentikan kerja.  Saya bertanya apakah politik memang begitu, apabila bertukar kerajaan, kakitangan kerajaan boleh dibuang sesuka hati? Saya mahu tahu. Mungkin kerana kurang berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh wakil rakyat ketika itu, menyebabkan saya masuk politik.

UB: Datuk sudah aktif dalam politik ketika itu. Apa jawatan datuk dalam parti?
BUNG; Selepas itu, saya dilantik sebagai Setiausaha Pergerakan Pemuda USNO. Kemudian saya dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Sukau,kini Kinabatangan (1991-1995) Exco Pemuda USNO Pusat (1980-1991), dan pernah menjadi Setiausaha USNO Bahagian Sukau.


UB: Selain itu, datuk juga khabarnya aktif dalam gerakan belia. Boleh ceritakan?
BUNG: Saya juga aktif dalam gerakan belia, sama ada di peringkat negeri dan peringkat nasional, malah saya juga terlibat dalam program Belia Asia. Penglibatan dalam belia inilah yang banyak membantu saya dalam dunia politik, menjadikan saya berani bercakap, tidak kekok berhadapan dengan orang lain, berketrampilan, memimpin organisasi dan sebagainya.

UB: Bila datuk mula bertanding dalam pilihanraya?
BUNG: Saya mula bertanding pada 1994, di kawasan Kuamut. Masa itu, saya hanya kalah kira-kira 700 undi daripada Datuk Joseph Siting Saang.

UB: Bagaimana suasana berkempen masa itu?
BUNG: Keadaan masa itu memang sengsara. Jalan raya susah dilalui. Waktu berkempen memang agak sukar, apalagi kerana kami tidak kekurangan dana kempen. Itupun saya hanya kalah kira-kira 700 undi sahaja.

UB: Apa pengajaran yang datuk perolehi dari pengalaman pertama bertanding  itu?
BUNG: Pengalaman itu memberi banyak pengajaran kepada saya mengenai apa itu politik, bahawa dalam politik pun ada permainan politik dan sebagainya.


UB: Selepas BN memegang tampuk pemerintahan, apa jawatan yang datuk pegang?
BUNG: Selepas BN memerintah, saya menjadi Setiausaha Politik di Kementerian Kewangan pada 1994.  Ketika itu saya adalah Ketua Penerangan Pemuda UMNO Sabah (1991-1995)Kemudian pada 1996, saya terpilih menjadi Ketua Bahagian UMNO Kinabatangan dan jawatan itu saya pegang hingga sekarang.

UB: Sejak bila datuk jadi Ahli Parlimen Kinabatangan?
BUNG: Saya terpilih sebagai Ahli Parlimen sejak tahun 1999.

UB: Mungkin datuk boleh ceritakan sedikit  pengalaman dalam politik?
BUNG: Pengalaman dalam politik memang banyak. Kalau dahulu, apabila masuk kampung, jalan tidak boleh dilalui, jalan terputus, terpaksa guna cara lain untuk sampai bertemu rakyat.Pernah juga berhadapan dengan masalah banjir di Ulu Kinabatangan, banyak kampung yang terjejas, bantuan tidak dapat disampaikan dan memang tidak ada lagi jalan perhubungan yang lain.  Keadaan Kinabatangan pada masa itu memang jauh ketinggalan. Kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan sebagainya masih kurang. Tidak banyak pembangunan pada masa itu.

Apabila BN memerintah, Kawasan parlimen Kinabatangan yang besar sedikit daripada negeri Pahang mulai disirami kemajuan. Sekarang sudah ada hospital besar, kemudahan jalan raya yang menghubungkan kampung-kampung di luar bandar sudah ada. Mungkin hanya ada sekitar 20 peratus saja yang belum menikmati kemudahan. Jika dibandingkan dengan tahun 90-an, terlalu jauh peningkatan. Cuma tergendala sedikit apabila BN Kalah.



UB: Datuk tetap bertahan dalam UMNO?
BUNG: Walaupun UMNO kalah, saya dan rakan rakan masih bertahan. Kesetiaan perlu ada dalam perjuangan.UMNO adalah sebuah parti untuk memperjuangkan bangsa, agama dan negara. Sekarang makin banyak kepincangan berlaku. Kerajaan yang diperintah oleh PH tidak perjuangkan aspirasi rakyat.Manifesto mereka tidak dilaksanakan, tinggal janji yang tidak ditunaikan. Sementara kos sara hidup makin meningkat, ini yang jadi tekanan dan bebanan kepada rakyat. Kita akan terus utamakan perjuangan kepada rakyat.

UB: Kalau boleh tahu, apa hobi datuk kalau ada masa lapang?
BUNG: Saya suka beriadah, kadang main golf dan sebagainya. Selain itu, saya juga suka memasak asam pedas, masak kicap dan sebagainya. Dalam satu minggu, satu kali saya mesti memasak.

UB: Oh ya. Sejujurnya,apakah datuk pernah terfikir menjadi wakil rakyat sebelum ini?
BUNG: Sebenarnya, saya tidak pernah terfikir menjadi wakil rakyat. Meskipun saya pernah sembilan kali menjadi wakil calon kepada tujuh orang YB. Tapi saya tidak fikir bahawa satu masa nanti saya jadi wakil rakyat.
Sebab itu, saya nasihatkan pemimpin muda, jangan fikir jadi calon.Kalau memang anda ada rezeki, ia pasti datang. Rezeki kita Allah yang menentukannya. Cuma saya juga ingatkan mereka, kalau sudah jadi YB, buatlah kerja jaga rakyat.


UB: Ada pesan atau nasihat tertentu daripada orang tua yang masih datuk ingat sampai sekarang?

BUNG: Ada pesan emak saya. Beliau berpesan, jangan sekali kali kita menganiaya orang, jangan naik atas air mata orang lain. Biarlah kita susah tapi jangan aniaya orang.

UB: Apa cabaran antara menjadi Ahli Parlimen Kerajaan dan menjadi Ahli Parlimen Pembangkang?
BUNG: Memang banyak cabaran. Kami di pihak pembangkang, memang kami tiada peruntukan, tidak macam dulu. Tapi kita guna pelbagai mekanisme untuk memenuhi aspirasi rakyat. Walaupun sekarang, kita tidak dapat bagi projek tetapi rakyat faham.

UB: Mungkin ada sedikit kesukaran ketika menjadi MP pembangkang berbanding ketika berada dalam kerajaan? Komen Datuk?
BUNG: Saya memang sudah biasa jadi pembangkang. Dari dahulu pun sudah jadi pembangkang. Ketika itu belum un saya jadi jadi YB. Menjadi pembangkang bukan suatu yang baru. Sembilan tahun dalam era  Berjaya dan sembilan tahun dalam era kerajaan PBS.Kalau dikira, 18 tahun jadi pembangkang, tak ada masalah.

UB:Selalu turun menemui rakyat di kawasan?
BUNG: Asalkan asal peluang, saya sering turun jumpa rakyat.Kalau ada program parti, saya pastikan dapat hadir. Politik sekarang bukan lagi macam dulu. Zaman dulu, ada  wakil rakyat turun lima tahun sekali. Sekarang, wakil rakyat perlu turun lebih kerap berjumpa rakyat.

UB: Terima kasih datuk kerana sudi memberi ruang kepada kami untuk sesi temuramah ini.
BUNG: Terima kasih kembali.

Artikel Terkait