Jumaat, 11 Oktober 2019

YB ROBERT TAWIK, SUDAH LAMA DAMPINGI RAKYAT BINGKOR

Tags

YB ROBERT TAWIK,  SUDAH LAMA DAMPINGI RAKYAT BINGKOR

WALAUPUN terpaksa memandu lebih tiga jam dari Keningau menembus kesesakan yang luar biasa di ibu negeri,  YB Robert Tawik, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, masih bersedia untuk memenuhi permintaan Utusan Borneo untuk sesi wawancara  di ibu negeri. “ Sesak ni jalan tak bergerak,” katanya melalui aplikasi whatsApp. Saya beritahu saya sedia menunggu. Kota Kinabalu  dibanjiri warga dari merata tempat untuk perayaan Tadau Kaamatan dan membeli belah untuk persediaan aidilfitri. Saya memberitahu, konsep temuramah agak santai, senarai pertanyaan hanya berkisar mengenai pengalaman, kegiatan sehari-hari sebagai wakil rakyat dan misi dan visinya untuk memajukan N33 Bingkor. Orangnya sederhana, mudah didekati, prihatin terhadap nasib rakyat dan sentiasa berusaha memperjuangkan nasib dan masa depan rakyat yang diwakilinya. Selain itu, beliau berusaha memberikan yang terbaik untuk rakyat dan masyarakat Bingkor.

YB Tuan Robert Tawik @ Nordin dilahirkan di Kampung Buang Sayang , Bingkor pada 1 September 1962. Beliau adalah anak keempat dari enam adik beradik. Beliau mendapat pendidikan rendah di SK Bingkor, SK Binaung dan SK Luagan,   Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran  menengah di SMK Bingkor dan SMK Gunsanad.

Selepas tamat persekolahan beliau pernah menjadi Ketua Pembantu Tadbir di Jabatan Pelajaran Sabah sebelum menceburi bidang politik. Beliau pernah menjadi Penolong Setiausaha Pemuda AKAR, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian dan kemudian bergiat dalam parti STAR sebagai Ketua Bahagian STAR Bingkor dan Naib Presiden STAR . Beliau juga adalah Pengerusi KDCA Keningau Sook dan Ahli Majlis Tertinggi KDCA 2015-2018, dan Penasihat Kelab Belia Beliawanis Daerah Keningau.

Dalam pilihan raya lepas, Robert Tawik @ Nordin  yang bertanding atas tiket STAR memenangi kerusi DUN Bingkor selepas memperolehi 4,552 undi mengalahkan calon Bn, Jono @ Peter Allion@ Aliun  dari BN (4,387 undi), Peter Dhom Saili dati DAP (4,233), Aisat @ Ellik Igau @ Iggau dari Parti Anak Negeri (290), Justin Guka calon Bebas (182) dan Uling @ Thomas Anggan  dari PKS (69 undi).

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara ADUN N33 Bingkor, YB Robert Tawik di salah sebuah premis di Jalan Gaya Kota Kinabalu. Ikuti petikan wawancara bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Bolehkah ceritakan sedikit latar belakang YB ?

YB ROBERT TAWIK: Saya dilahirkan pada 1 September 1962 di Kampung Buang Sayang, Bingkor.Saya mempunyai 6 orang adik beradik, iaitu perempuan 3 orang dan lelaki 3 orang. Saya merupakan anak ke-4.  Saya membesar suasana dalam masyarakat kampung, dari keluarga petani. Arwah Bapa saya ,, Haji Mohd Hasnan Tawik Mansai dahulunya ialah seorang Guru, manakala Arwah Ibu saya , Anne Kuita seorang suri rumah sepenuh masa dan juga petani.


UB:  Dimana bersekolah ? Apa pengalaman pahit manis ketika bersekolah ?
YB ROBERT: Semasa sekolah rendah saya pernah bersekolah di SK.Bingkor, SK.Binaong dan SK Luagan. Manakala sekolah menengah pula saya bersekolah di SMK Bingkor dan SMK Gunsanad.  Pada ketika itu, saya hanya berjalan kaki daripada Kampung Buang Sayang ke sekolah sejauh 4 kilometer.

UB: Siapa antara rakan sekolah  YB yang sukses dalam bidangnya?
YB: Ramai rakan sekolah yang berjaya dalam  bidang kerjaya masing-masing. Dalam bidang politik, antara rakan sekolah saya ialah YB Rasinin Koutis, ADUN Liawan.

UB: Bagaimana  YB tertarik untuk berkecimpung dalam politik ?
YB ROBERT: Saya berkecimpung dalam politik melalui dorongan  keluarga, saudara-mara, rakan-rakan  dan rakyat.

UB: Sejak bila tu YB?
YB ROBERT:  Sejak AKAR ditubuhkan. Masa itu sayaa dilantik sebagai Setiausaha Bahagian N33 Bingkor. Lupa pula tahunnya.

UB:  Apakah YB sudah menjangka akan menang dalam PRU lepas ?
YB ROBERT: Ya saya sudah menjangka kerana saya  turun padang  dan mendampingi rakyat atau masyarakat di kawasan DUN Bingkor sekian lama. Dengan mesej yang saya terima daripada rakyat kawasan Bingkor, saya mengambil keputusan untuk berkecimpung dalam politik sepenuhnya dan mengambil keputusan untuk bersara awal sebagai penjawat awam. Permohonan saya bersara awal telah diterima dan disahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia.

UB: Kemudian?
YB ROBERT: Saya telah bersama-sama dengan YB.Datuk Dr Jeffrey G. Kitingan dengan rakyat di kawasan DUN Bingkor  dan secara kebetulan kawasan DUN Bingkor yang  pada ketika itu diwakili oleh YB.Datuk Dr Jeffrey G Kitingan beralih ke kawasan lain iaitu Tambunan. Maka itu ada kekosongan untuk kawasan  Bingkor. Dan saya telah diberi kepercayaan  oleh Presiden Star Sabah, YB Datuk Dr Jeffrey G.Kitingan untuk menjadi calon kawasan Bingkor.  Oleh sebab itu, saya mempunyai keyakinan utnuk mengekalkan kawasan Bingkor untuk Parti Star Sabah.


UB; Selepas menang, apa antara keutamaan YB ?
YB ROBERT: Antara yang menjadi priorti saya ialah mendekati rakyat untuk memahami permasalahan mereka, membangunkan taraf hidup rakyat.

Saya juga berhasrat untuk memartabatkan pendidikan kanak-kanak dan membantu meningkatkan pendidikan kanak-kanak dan anak anak tempatan Bingkor. Jika ada yang bertanya apa keutamaaan saya sebagai ADUN Bingkor, jawapan saya ialah ingin membangunkan kawasan Bingkor untuk  memenuhi aspirasi dan  keperluan rakyat

UB: Apa hala tuju YB sebagai ADUN?
YB ROBERT Saya berfokus kepada Rakyat dalam membasmi kemiskinan, mMemajukan sector pertanian,meningkatkan Ekonomi rakyat, meningkatkan pendidikan kanak-kanak dan mMeningkatkan kesejahteraan rakyat.


UB:  Apa cabaran yang YB hadapi sebagai ADUN ?
YB ROBERT:  Antara cabaran yang dihadapi ialah apabila berhadapan dengan permintaan rakyat yang menyentuh hati saya seperti isu kemiskinan. Kawasan yang saya wakili iaitu N33 Bingkor  masih ketinggalan jauh  dari segi pembangunan dan ekonomi.

UB: Selepas menang bagaimana jadual harian YB ? Apakah banyak berubah ?
YB ROBERT:  Ya, ada beberapa perubahan dari segi jadual harian saya namun itu semua tidak menjadi masalah  kerana saya sudah  mempersiapkan diri saya untuk menghadapi semua ini daripada awal sebelum saya menjadi ADUN Bingkor.  Saya banyak  belajar untuk meluangkan masa saya bersama-sama rakyat sejak saya mula menceburi bidang Politik, kerana bagi saya salah satu aspek untuk menjadi Pemimpin adalah utamakan rakyat.


UB: Kalau boleh tahu, jam berapa YB bangun pagi dan jam berapa balik rumah ?
YB ROBERT: Rutin harian saya akan bangun pada jam 4.00 pagi. Kemudiaan saya akan keluar memenuhi tanggungjawab sebagai wakil rakyat, menemui rakyat, menghadiri program-program dan sebagainya. Biasanya saya balik ke rumah pada jam 10.30 malam  selepas menghadiri mana-mana program bersama dengan rakyat.


UB:  Apa hobi YB di masa lapang ?
YB ROBERT:  Saya suka bertani. Dengan bertani kita dapat berbakti kepada tanah, mengeluarkan peluh agar sentiasa sihat sambil menikmati udara yang segar. Jika ada masa terluang, saya akan melawat kebun-kebun saya di Kampung Mengitom dan Kampung Bandukan Lama.


UB:  Siapa yang paling banyak mendorong YB dalam Politik ?
YB ROBERT:   Paling banyak mendorong untuk menceburi dunia politik, semestinya keluarga saya yang tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat kepada saya untuk terus berjuang, tidak berputusa asa walau apa pun halangan yang datang sepanjang perjalanan saya dalam bidang Politik ini.Seterusnya saudara mara dan rakan-rakan seperjuangan saya sentiasa memberikan tunjuk ajar kepada saya dan tidak dilupakan juga semua rakyat yang sentiasa menyokong saya.


UB:  Apa Tagline atau Moto YB dalam Perjuangan ?
YB ROBERT: Berbakti `Demi Rakyat’ itu adalah tagline saya.

UB: Apa pesan ibubapa yang masih diingati?
YB ROBERT: Antara pesan ibu bapa yang saya akaan ingat sampai bila-bila ialah dalam soal menjaga anak-anak. Jagalah anak-anak dengan memberikan pendidikan untuk masa depan dan beri layanan yang baik kepada saudara-saudara yang memerlukan bantuan. Berilah bantuan apa saja yang termampu. Itu antara pesan orang tua yang saya masih ingat.

UB: Terima kasih YB kerana sudi memenuhi permintaan kami untuk sesi wawancara santai untuk ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo.
YB ROBERT: Terima kasih kembali.Moga bermanfaat.



Artikel Terkait