PASAR APUNG, DESTINASI POPULAR DI LEMBANG
SELEPAS menikmati pelancongan ala koboi di De Ranch Lembang, kami ke Pasar Apung atau lebih dikenali Floating Market. Pasar Apung ini adalah salah satu destinasi popular di Lembang.
Apa yang menarik di sini? Dalam hati tertanya-tanya. Tetapi sebaik memasuki kawasan pasar apung itu, saya bertemu jawapannya. Jika anda membayangkan pasar terapung seperti yang terdapat di Lok Baintan Banjarmasin atau ChaoPhraya Bangkok, sebenarnya tidak sepenuhnya salah. Meskipun di Pasar Apung Lembang ini, perahu-perahu tempat berjualan itu tertambat di tepian.
Masing-masing bebas menjalankan transaksi di atas perahu, membeli apa yang mereka mahu, kerana hampir semua makanan dan kuih muih pelbagai jenis dijual di pasar apung ini.
Sesuai untuk berkunjung bersama keluarga,, menghabiskan percutian atau liburan di hujung minggu.
Tiket masuk sekitar Rp15,000 seorang pada hari hari biasa tetapi yuran masuknya meningkat Rp20,000 seorang di hujung minggu..
Setiap hari dianggarkan lebih 3,000 orang berkunjung ke pasar apung. Penjual kuih yang sempat ditemuramah memberitahu, pendapatan mereka boleh mencecah Rp 1 hingga Rp3 juta atau bahkan lebih.
Pasar Apung itu dibuka sejak kira-kira enam tahun lalu. Pasar ini tidak pernah sepi pengunjung. Ia menjadi satu daya tarikan utama jika berkunjung ke Kota Lembang yang memiliki keindahan alam dan udara yang segar dan dingin.
“Tempat ini sangat menarik,banyak perkara yang boleh dipelajari,” kata Kapitan Wong Tet Yun, Pegawai Perhubungan Dewan Perniagaan Tionghua Tenom yang datang bersama rombongan dari Tenom Sabah untuk melawat destinasi-destinasi pelancongan yang menarik di Bandung. Rombongan 37 usahawan dan peniaga dari Tenom Sabah itu berkunjung ke Bandung untuk meninjau pelbagai destinasi pelancongan dalam program lawatan sambil belajar selepas menghadiri Inacraft 2019 di Jakarta. Mereka diiringi oleh Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu.
Salah satunya ialah Floating Market. Pada mulanya floating market itu hanya sebuah kawasan pelancongan yang biasa tetapi semenjak Pemerintah Kota Bandung memperbaiki Pasar Apung dengan memperluas dan menambah prasarana, kini Pasar Apung mempunyai kemudahan yang lengkap. Ada Mushola atau surau yang besar, ada tempat wisata kuliner, ada tempat bergambar yang menarik, ada tempat bermaain untuk anak-anak dan sebgainya.
Saya merasa teruja dengan penjual-penjual makanan yang menjual pelbagai jenis makanan mereka di atas perahu. Jika anda membeli makanan, anda harus membeli token terlebih dahulu. Token itulah yang digunakan untuk membeli makanan. Satu cara yang sangat efektif.
Salah satu konseptor Floating Market ini ialah Perry Tristianto, seorang pengusaha yang berjaya di Bandung. Beliaulah yang mencipta pasar dan berjaua mengubah kawasan Geger Kalong hingga Lembang di Bandung dengan pelbagai idea. Ia mendirikan Kampung Bakso, Rumah Sosis, Tahu Susu Lembang, Floating Market dan Farm House. Hal ini dilakukan kerana `spending’ pelancong luar lebih besar daripada pengunjung tempatan.
Selepas menikmati pelbagai juadah, kami meninggalkan Pasar Apung Lembang untuk ke Cihampelas, menginap di salah sebuah hotel di sana sebelum menjelajahi kota bandung keesokan harinya.