Jumaat, 11 Oktober 2019

DR SHIRLEY TAY SIEW HONG: SENTIASA LAKUKAN YANG TERBAIK

Tags

DR SHIRLEY TAY SIEW HONG: SENTIASA LAKUKAN YANG TERBAIK

SENTIASA lakukan yang terbaik, dalam apa saja perkara yang dilakukan. Itulah antara pesan ayah yang jadi amalan Pengetua Cemerlang Jusa C SMK Sanzac Kota Kinabalu, Dr Shirley Tay Siew Hong. Nasihat inilah pula yang diperturunkannya kepada guru-guru dan pelajar agar mereka mampu menjadi cemerlang. Lakukan yang terbaik dalam semua aspek kehidupan, nescaya anda akan berjaya.

Dr Shirley Tay Siew Hong adalah anak bongsu dari 12 adik beradik. Lahir dan membesar di Johor, beliau berjaya menamatkan Ijazah Sarjana Muda (B.A Hons) dari Universiti Malaya pada 1983. Selepas itu beliau melanjutkan pelajaran untuk Diploma Pendidikan (Geografi dan TESL) pada 1984. Kemudian beliau ditugaskan di Sabah pada tahun 1984 iaitu di SMK Majakir Papar. Kemudian beliau dipindahkan di Sekolah Tinggi Kota Kinabalu sebagai Ketua Guru Disiplin dan Penolong Kanan. Kemudian beliau bertugas di SMK Konven St Cecilia (2001-2003), SMK Bandaraya Kota Kinabalu (2008-2013) SMK Sanzac (dari 7 Januari 2015 hingga kini)

Beliau pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang daripada Jabatan Pendidikan Negeri/ Kementerian Pendidikan Malaysia sebanyak tiga kali iaitu pada 1993, 2000 dan 2008. Beliau juga menerima Anugerah Pemimpin ICT 2011 Peringkat Negeri Sabah dan PPD Kota Kinabalu. Selain itu, beliau pernah menerima Rotary Vocational Service Award 2014 pada 2014. Dr Shirley pernah  menjadi Hakim Pertandingan Penyelidikan & Rekacipta (PEREKA) UMS pada 2010,2011,2012 dan 2013, Hakim Anugerah Pensyarah Inovatif 2012 peringkat IPG Sabah di IPK Kent, di IPG Tawau Tahun 2014, di IPG Keningau pada 2015 dan di IPG Kent Tuaran pada 2014. Beliau juga sering dilantik sebagai fasilitator, penceramah di peringkat kebangsaan dan negeri. Dr Shirley juga pernah mengikuti Kursus dan seminar di peringkat antarabangsa seperti Jiangsu-Southeast Asia High School Networking Programme di Wuxi, Jiangsu, China pada tahun 2016, peserta Kursus Special Olympics Basketball: Train the Trainer Course anjuran Special Olympics Asia Pasifik di Singapura, Fasilitator International GreenTech Eco Products Exhibition & Conference (IGEM) 2016, Pakar Penilai Kurikulum di SEAMEO-RESCAM Bengkel Penyuntingan Kurikulum Sains/Matematik Integrasi Teknologi Maklumat. Beliau juga pernah memenangi tempat ketiga SEAMEO-Japan ESD Award pada 2013 dan banyak lagi pencapaian beliau.

Pencapaian beliau yang begitu cemerlang dalam bidang pendidikan amatlah menarik untuk ditelusuri dan  dikongsikan bersama pembaca.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN BIN SHAIDDIN berpeluang bertemu dengan Dr Shirley Tay Siew Hong di tengah-tengah kesibukannya sebagai Pengetua Cemerlang SMK Sanzac. Ikuti petikan temuramah bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi ditemuramah walaupun saya yakin Dr sangat sibuk. Sudah berapa tahun Dr bertugas di Sabah? Di sekolah mana  Dr  mula bertugas?
DR SHIRLEY: Saya berkhidmat di Sabah sejak tahun 1984 di SMK Majakir Papar. Kini sudah 35 tahun saya bertugas di negeri Sabah di Bawah Bayu.

UB: Boleh ceritakan sedikit pengalaman ketika mula bertugas di Sabah?
DR SHIRLEY: Bertugas di SMK Majakir memberi sedikit kejutan budaya kepada saya. Papar, ketika itu masih belum maju seperti sekarang. Saya terpaksa belajar menyesuaikan diri. Tinggal kali pertama di kampung, adalah satu pengalaman amat berharga. Dari situlah mula pemahaman saya mengenai kehidupan di Sabah secara lebih mendalam.
Saya dapat belajar banyak mengenai kehidupan ketika bertugas di SMK Majakir. Jika diimbas kembali, pengalaman ini amat berguna di kemudian hari ketika bertugas di beberapa sekolah di negeri ini.

UB: Selepas SMK Majakir, di mana Dr ditugaskan?
DR SHIRLEY: Saya dipindahkan ke Sekolah Tinggi Kota Kinabalu (Kota Kinabalu High School). Saya bertugas selama 16 tahun di sekolah ini. Saya ditugaskan sebagai Penolong Kanan dan Ketua Guru Disiplin. Budayanya sedikit berbeza kerana ramai pelajarnya dari kaum Cina. Ini semua memperkayakan pengalaman saya sebagai seorang pendidik.

UB: Kemudian selepas KK High School, di mana Dr berpindah?
DR SHIRLEY: Saya ditugaskan sebagai Pengetua di SMK Konven St Cecilia Sandakan DG48 dari tahun 2001 hingga 2003. Sebelum itu, saya sempat melanjutkan pengajian Sarjana (M.Ed): Management & Language Teaching di Universiti Bristol dan lulus pada tahun 1999. Selepas itu, barulah saya berpindah ke Sandakan.

Pada tahun 2002, saya berjaya mendapat Sijil Kepengetuaan atau National Professional Qualifications for Headship (NPQH) dari Institut Aminuddin Baki. Sebelum inipun, saya pernah menuntut di IAB iaitu di Peringkat Diploma Pendidikan (Geografi & TESL) pada 1984, iaitu selepas memperolehi Ijazah Sarjana Muda (B.A Hons) Geografi dari Universiti Malaya pada 1983.

UB: Apa kelayakan tertinggi yang Dr miliki?
DR SHIRLEY: Saya memperolehi Ijazah Dr Falsafah (Ph.D) Curriculum Evaluation dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2007.

UB: Selepas tamat pengajian dimana Dr ditempatkan?
DR SHIRLEY: Selepas tamat pengajian,  saya ditempatkan sementara di Sektor Pengurusan Akademik (SPA). Saya banyak belajar daripada Ketua Sektor kami pada masa itu iaitu Hajah Maimunah Haji Suhaibul (kini Datuk).

UB: Apa antara pengalaman Dr ketika bertugas di SPA?
DR SHIRLEY: Ketika bertugas di Sektor Pengurusan Akademik, saya berpeluang untuk melawat semua sekolah-sekolah di seluruh pelusuk Sabah termasuk sekolah-sekolah di luar bandar untuk membuat pemantauan. Saya pernah melawat sekolah di Tawau, di Semporna, Kota Marudu dan banyak lagi daerah lain. Semua pengalaman yang saya alami sebelum ini amat berharga. Saya dapat melihat permasalahan dan cabaran yang dihadapi sekolah dengan hati terbuka. Pengalaman berkunjung ke sekolah-sekolah di seluruh Sabah termasuk sekolah luar bandar membantu saya untuk memantapkan lagi perkhidmatan saya sebagai seorang guru yang berdedikasi.

UB: Kemudian, di mana Dr bertugas selepas itu?
DR SHIRLEY: Saya dilantik sebagai Pengetua Gred DG52 di SMK Bandaraya Kota Kinabalu. Kemudian dinaikkan ke Gred DG54 dan selepas itu JUSA C. Saya bertugas sebagai pengetua di SMK Bandaraya Kota Kinabalu dari tahun 2009 hingga 29 Mei 2013.

UB: Selepas itu?
DR SHIRLEY: Selepas itu saya dilantik sebagai Pengetua SMK Sanzac Kota Kinabalu JUSA C dari 7 Januari 2015 hingga kini.

UB: Oh ya berbalik kepada pengalaman sewaktu kecil. Masa kanak-kanak dulu, apa cita cita Dr? Pernah terfikir jadi pengetua?
DR SHIRLEY: Ketika kecil dahulu, saya ingin jadi seorang penyelidik. Saya sangat suka membaca majalah National Geographic. Saya minat alam sekitar. Tapi ayah saya mahu saya jadi cikgu. Itu antara sebab yang mendorong saya menjadi cikgu.

UB: Siapa nama ibu bapa?
DR SHIRLEY: Nama ayah saya Tay Liong dan nama ibu saya Lily Ng.
UB: Anak ke berapa dalam keluarga?
DR SHIRLEY: Saya anak bongsu dari 12 adik beradik.

UB: Apa pesan ayah yang sentasa diingati hingga kini?
DR SHIRLEY: Jika melakukan sesuatu, lakukan yang terbaik, Lakukan yang terbaik, itu pesan beliau yang masih saya ingat hingga sekarang. Jangan buat alang-alang, separuh hati atau ala kadar. Mesti buat yang terbaik. Itulah antara yang mendorong saya untuk berusaha memperbaiki pencapaian dalam bidang akademik. Saya bersyukur kerana saya berjaya memperolehi Ph.D. dan membuat beliau berasa sangat-sangat bangga. Saya sempat membisikkan kepada beliau ketika itu beliau sakit.

UB: Sangat menarik.
DR SHIRLEY; Itulah juga yang saya lakukan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar , iaitu supaya mereka melakukan yang terbaik.  Walau bagaimanapun, kita manusia memang tidak terlepas dari kesilapan. Oleh sebab itu, jika timbul salah faham atau kesilapan, kita boleh bincang dengan baik.

UB: Oh ya Dr. Apa jenis sukan yang diminati?
DR SHIRLEY: Saya meminati sukan bola keranjang. Saya pernah mewakili Johor dan mewakili Sabah juga dalam sukan bola keranjang. Saya aktif dalam sukan bola keranjang sehingga tahun ini dan pernah menjadi Penolong Setiausaha Persatuan Bola Keranjang.
UB: Sepanjang aktif dalam sukan bola keranjang, mungkin ada pengalaman yang sukar dilupakan?
DR SHIRLEY: Saya pernah menjadi Pengurus Pasukan Bola Keranjang Malaysia ke Asean Cup di Manila, Filipina pada 1987.

UB: Terima Kasih Dr kerana sudi berkongsi pengalaman dengan pembaca Utusan Borneo
DR SHIRLEY: Terima kasih kembali.