Khamis, 4 April 2019

Kerana Kampilan di Muara Sabak

Tags

Kerana Kampilan di Muara Sabak
-Catatan Hari Ketiga Kunjungan Budaya ke Jambi

MEMANG benar masih banyak lagi pokok nipah dan nibung yang boleh di lihat di kiri kanan jalan sepanjang perjalanan kami ke Muara Sabak,Kabupaten Tanjung Jabung Timur, yang terletak di Propinsi Jambi, Pulau Sumatera. Mungkin itulah sebabnya  nipah dan nibung dipilih sebagai semboyan dalam Lambang Daerah Kabupaten Tanjung Jabung Timur ialah Sepucuk Nipah Serumpun Nibung.

Jika sepucuk nipah melambangkan pemerintah, lembaga adat atau legislatif yang sentiasa melayan dan melindungi masyarakat,serumpun  nibung pula  melambangkan bahawa di Tanjung Jabung Timur itu terdiri dari berbagai etnik atau suku yang tetap bersatu dalam membangun daerah itu.

Dalam serumpun nibung, yang terdapat di Tanjung Jabung Timur itu, ada sebuah etnik yang dikenali sebagai suku Melayu Timur. Salah satu senjata kebanggaan suku Melayu Timur ialah senjata kampilan, yang diabadikan dalam lambang daerah Tanjung Jabung Timur.  Senjata Kampilan melambangkan sifat-sifat patriotik, keperwiraan dan kepahlawanan masyarakat dalam menegakkan kebenaran.

Senjata kampilan itulah yang seolah-olah memanggil manggil kami untuk segera ke Muara Sabak. Sebenarnya selain Kuala Tungkal, destinasi utama kunjungan kami ke Jambi adalah Muara Sabak.

Ada apa dengan kampilan? Kampilan ada senjata pusaka suku Melayu Timur yang diwarisi sejak turun temurun. Kampilan inilah yang menjadi petunjuk atau tanda adanya hubungan darah, sejarah dan budaya antara Melayu Timur  dengan suku Iranun di Sabah dan Mindanao kerana sepanjang yang diketahui tidak ada suku lain yang menggunakan kampilan melainkan suku Iranun. Kampilan yang terdapat di Riau dan Jambi adalah salah satu senjata yang digunakan oleh angkatan perang Tempasuk yang datang membantu Sultan Mahmud III untuk  mngusir Belanda dari Tanjung Pinang pada Mei 1787. Seperti yang tercatat dalam Tuhfat Al Nafis karya Raja Ali Haji dan seperti yang dinyatakan Prof James Warren, sebahagian dari angkatan perang Iranun itu tidak pulang ke Borneo sebaliknya menjadi rakyat Sultan Mahmud dan kemudian mereka ikut pindah ke Lingga seterusnya ke Reteh dan kemudian tersebak ke  Enok, Ayer Itam, Sabak dan Kuala Tungkal yang kini terletak di Jambi.  Selepas beberapa generasi, hasil kahwin campur dengan masyarakat setempat maka lahirlah  suku yang kemudian dikenali sebagai suku Melayu Timur.

Menurut informasi yang kami perolehi, suku Melayu Timur banyak terdapat di Tanjung Jabung Timur antaranya di Kampung Laut, Kampung Mendahara, Kampung Teluk Majelis, Nipah Panjang dan sebagainya.

Selepas beberapa waktu,akhirnya kami mengambil keputusan untuk mengadakan kunjungan silaturrahim dengan suku Melayu Timur di Muara Sabak dan Jambi. Dalam menjalankan misi penelusuran sejarah ini kami mendapat bantuan yang tidak terhingga daripada Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Haji Mulia dan Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu. Melalui surat keterangan daripada KJRI KK itulah kami berkirim surat kepada Bupati dan Lembaga Adat Melayu di Tanjung Jabung Timur.

Kini selepas kunjungan ke Kuala Tungkal yang terletak di Tanjung Jabung Barat, pada hari ketiga kami ke Jambi, kami berangkat ke Muara Sabak kira-kira jam 8.00 pagi.

Kami sengaja bertolak lebih awal kerana pagi itu kami perlu singgah ke rumah Hajah Maimunah, yang mahu bertemu. Beliau agak teruja  selepas mendengar khabar bahawa kami berada di Jambi untuk kunjungan silaturahim dengan suku Melayu Timur.

Emak saya orang Melayu Timur, kata Ferryanto kepada Pak Abdi Nur, pemandu kami. Ferryanto adalah calon legislatif di daerah pemilihan muara jambi ketika itu kehairanan mengapa Pak Abdi tak muncul-muncul, lalu menelefon. Selepas mengetahui kunjungan kami, beliau mengundang ke rumah untuk bertemu ibunya, Emak Busu.



Kebetulan Emak Busu,84 berasal dari Muara Sabak. Ketika kami bercerita mengenai kunjungan kami ke Jambi, beliau merasa sebak dan menangis. Kami juga rasa terharu namun terpaksa meminta diri untuk meneruskan perjalanan.

Ibu Ice Kurniaty bertanya melalui whatsapp, apakah kami sudah berangkat dari Jambi. Saya beritahu kami sudah berada di Lubuk Penyengat.
“Muara Jambi ya? Lewat Jambatan Batanghari 2 kan?”. Saya mengiyakan sambil terus menghantar wahtsapp jika ternampak nama-nama kampung.

“Dano Lamo. Kami sudah sampai ke Dano Lamo”
“Okey, kata Ibu Ice. Sekitar satu jam lagi”. Ibu Ice ialah bendahara Lembaga Adat Melayu Jambi Kabupaten Tanjung Jabung Timur. Beliau diperkenalkan kepada saya melalui Dian Mustikasari Said, kenalan Melayu Timur dari Teluk Majlis. Ibu Ice  banyak membantu kami. Surat-surat ke Tanjung Jabung Timur dialamatkan melalui emelnya sebelum diteruskan ke pihak-pihak berkaitan seperti LAM, Pemda dan sebagainya.

Sepanjang perjalanan itu, kami melaporkan mengenai lokasi kerana diberitahu bahawa ada kereta yang akan mengiringi supaya tidak sesat.

“Saya nunggu di simpang Lampu Merah. Mobil Ford warna Hitam, “ kata  pak Amirudin Kaharudin, pegawai dari Dinas Pariwisata.

Selepas itu kami terus dibawa ke Rumah Dinas Bupati. Sebaik tiba di sana kami disambut oleh Sekretaris Umum LAM, Ahmad Suwandi SH,MH dan Staf Ahli Bidang Kemasyarakatan dan Sumber Daya Manusia, Drs Enizwar yang mewakili Bupati, H Romi Hariyanto SE yang ketika sedang ada tugas dinas.



Kemudian kami diperkenalkan dengan Pak H Kaharuddin, Ketua Lembaga Adat Melayu (LAM) Tanjung Jabung Timur sebelum dijamu dengan jamuan makan tengahari. Turut hadir bersama ialah Herlizanti Arman, Wakil sekretaris dan Ny Maria Suwandi sebagai  Seksi Pemberdayaan Perempuan.

Perjalanan ini, satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan sepanjat hayat. Kami diberikan sambutan yang begitu luar biasa. Begitu tiba di Muara Sabak, kami terasa seperti berada di kampung sendiri.Keramahan dan kebaikan mereka menjadi kenangan manis buat kami.


Selesai makan tengahari, kami ke Masjid Agung Nur Addarojat dan kemudian bergambar di rumah Balai Adat, yang sedang dibaik pulih.

Kunjungan terpaksa dipercepat kerana kami sedang ditunggu di Kuala Jambi dan Kampung Teluk Majelis.

“Kalau nampak lambang Kampilan itu, kita berhenti sebentar kerana kami ingin berfoto di sana” saya memberitahu pak Amiruddin yang memandu kami ke destinasi seterusnya.