Ahad, 10 Mac 2019

YB ARUNARNSIN MAHU RAKYAT TURUT MENIKMATI PEMBANGUNAN

Tags

YB ARUNARNSIN MAHU RAKYAT TURUT MENIKMATI PEMBANGUNAN


KITA mahu rakyat turut merasai kemajuan dan pembangunan yang kita laksanakan. Tidak guna kerajaan kita kaya tetapi rakyatnya miskin. Kita mahu meningkatkan prasarana dan rakyat turut sama menikmatinya.  Tidak guna jalan raya kita cantik tetapi masyarakat kita basikal pun tidak mampu beli. Kita mahu ekonomi rakyat dapat dibangunkan. Tidak guna kita ada bangunan tinggi atau hotel yang mewah tetapi rakyat kita tidak berkemampuan dan hanya mampu memandangnya.Kita mahu pembangunan yang holistik di mana  rakyat dapat merasakan apa yang kita bangunkan untuk mereka, kata Pembantu Menteri Belia dan Sukan, YB Arunarnsin Taib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri N41 Gum-Gum.
Sejak memenangi PRU-14 lepas, beliau terus komited untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat dan membela nasib rakyat yang diwakilinya. Beliau memberitahu, pelan cadangan Pembangunan Semula Gum-Gum sudahpun dikemukakan kepada kerajaan dan apabila pelan itu  dilaksanakan  sepenuhnya kelak, ia akan memberi banyak manfaat kepada rakyat.

YB ARUNARNSIN TAIB dilahirkan pada 19 Januari 1966 di Kampung Dagat, Lahad Datu . Beliau mendapat pendidikan  awal di SRK Dagat. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran menengah di SM St Mary Sandakan pada tahun 1980 hingga 1982 sebelum melanjutkan pelajaran di SMK Sandakan pada 1983 hingga 1984. Selepas itu, beliau menceburi pelbagai bidang pekerjaan,antara pekerja kilang papan,konduktor bas, pernah menjadi pemandu, kerani akaun, peniaga jualan langsung dan banyak pekerjaan lain yang membolehkannya merasai pahit maung dalam kehidupan.
 Sebagai seorang yang bermula dari bawah, beliau pernah menjadi Setiausaha Kerja UMNO. Dalam PRU-14 yang lalu, Arunarnsin Taib yang bertanding atas tiket Warisan memenangi kerusi N41 Gum-Gum dengan majoriti 598 undi. Beliau memperolehi 4,710 undi mengalahkan Datuk Juslie Ajirol (BN-UMNO) yang memperolehi 4,112 undi, Dahil Masdik (Harapan Rakyat) mendapat 252 undi, Joilin Bugung (PKS) mendapat 81 undi manakala Jamaludin Lamba  (PPRS) mendapat 63 undi.Selepas memenangi kerusi itu, Arunarnsin dilantik sebagai Pembantu Menteri Belia dan Sukan dalam pembentukan Kabinet Negeri Sabah. Beliau mendirikan rumahtangga dengan Laminah Lokman dan dikurniakan tiga cahayamata.

Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual YB ARUNARNSIN TAIB di pejabatnya di Tingkat 7, Blok Wisma MUIS pada Khamis lepas sebelum beliau bertolak balik ke Sandakan. Ikuti petikan temubual bersama beliau yang menceritakan serba sedikit pengalamannya sejak kecil hingga menjadi wakil rakyat seperi berikut ini.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang YB?
YB ARUNARNSIN TAIB: Saya dilahirkan di Kampung Dagat Lahad Datu pada 19 Januari 1966. Saya anak ke 10 daripada 14 adik beradik, tujuh lelaki tujuh perempuan. Ayah saya  Taib bin Singgi adalah Ketua Kampung, Kampung Tidung Segama sewaktu zaman USNO, Berjaya dan PBS manakala ibu  Sarakia Salim, seorang suri rumah.

UB: Di mana YB menerima pendidikan awal?
YB: Saya bersekolah di SRK Dagat di Estet Tumanggung, Saya terpaksa tumpang di tempat orang lain untuk bersekolah. Apabila abang saya bekerja di kem balak, saya ikut tinggal di tempatnya di kem balak.
Sekolah kami adalah sebuah sekolah yang didirikan di kem balak untuk anak-anak pekerja pekerja kem balak. Apabila kem balak itu berpindah ke tempat lain, sekolah juga ikut berpndah. Itulah uniknya. Saya bersekolah di SRK Dagat dari darjah satu hingga darjah enam.

UB: Selepas darjah enam, di mana YB menyambung pelajaran menengah?
YB: Selepas berjaya mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan darjah enam,saya dihantar oleh Yayasan Sabah untuk belajar di sebuah sekolah menengah di Kedah. Tapi saya tidak lama berada di sana. Saya tidak tahan berada jauh dari keluarga. Akhirnya saya balik ke Sabah dan bersekolah dalam tingkatan satu khas yang dikhaskan untuk pelajar pelajar terbaik di SMK Kuhara Tawau. Sekolah di Tawau pun tidak lama, Akhirnya saya balik ke Sandakan dan bersekolah di SM St Mary Sandakan dari tahun 1980-1982, dari tingkatan satu hingga tiga.

UB: Naik apa ke sekolah?
YB:  Saya berjalan kaki dari Kampung BDC ke sekolah St Mary Sandakan, yang letaknya kira-kira 1 kilometer dari rumah. Berjalan kaki hari-hari satu kilometer pergi sekolah dan satu kilometer dari sekolah balik ke rumah.

UB: Lepas itu dimana  YB menyambung persekolahan?
YB: Saya belajar tingkatan empat hingga tingkatan lima di SMK Sandakan dari tahun 1983 hingga 1984. Selepas tamat SPM, saya mencari kerja. Orang tua tak mampu sekolahkan kita kerana anak yang ramai. Walau bagaimanapun sambil bekerja saya belajar LCCI  di Kinabalu Commercial College.

UB: Apa kerja YB selepas tamat persekolahan?
YB: Banyak kerja yang saya pernah buat. Saya pernah kerja kilang papan, konduktor bas. Tiga tahun lebih kurang, arwah bapa meninggal iaitu tahun 1990. Saya balik Sandakan. Kemudian saya bekerja denganSapura Holding, untuk pasang telefon awam.  Saya berhenti tahun 1990 terkena VSS. Kemudian saya sewa bas, memandu bas sendiri. Saya pernah buat gerai goreng pisang. Saya jual cucur labu, kuih cempedak. Orang rumah buat nasi kuning saya yang pergi jual.


Tahun 1992, saya bekerja di SIP jadi pemandu.Selepas enam hingga tujuh bulan kemudian, saya kembali bekerja sebagai kerani akaun. Saya bekerja agak lama di sini iaitu selama tujuh tahun.

UB: Lepas itu, apa kerja YB?
YB: Kemudian saya kerja buat jualan langsung. Selain itu, saya pernah juga kerja tarik buah kelapa sawit. Saya pernah tangkap udang galah pakai bubu.Saya merambat, saya ke laut jadi nelayan.Hampir semua jenis kerja saya pernah lalui.

UB: Boleh ceritakan keadaan kampung masa itu?
YB: Keadaan kampung ketika itu masih berada dalam keadaan yang daif. Ramai kanak-kanak tidak dapat bersekolah kerana sekolah berada di tempat yang jauh. Saya mungkin satu satunya dari kampung pada masa itu yang pergi ke sekolah. Memang saya kuat tekad.Arwah nenek dulu tidak suruh pergi sekolah.maklumlah anak kesayangan. Tapi saya mahu juga ke sekolah. Sebenarnya jarak sekolah dengan kampung kami agak jauh iaitu empat hingga lima jam ikut jalan sungai. Sekolah masa itu bukan sekolah yang berada di bangunan yang tetap. Bila habis kontrak, sekolah pun ikut pindah. Satu kawasan habis potong , pindah tempat lain.

UB: Apa cita-cita YB masa kecil dulu?
YB: Saya bercita-cita kalau saya besar saya mahu naik kapal terbang.  Pada tahun 1980, cita-cita saya untuk naik kapal terbang tercapai. Saya naik kapal terbang kecil ke Sandakan.Kapal terbang itu hanya boleh memuatkan sembilan penumpang. Waktu naik kapal terbang itu, saya rasa bangga, apa lagi masa itu pakai uniform sekolah iaitu satu-satunya pakaian terbaik yang saya miliki.

UB: Bagaimana YB terlibat dalam politik?
YB: Ceritanya begini. Pada tahun 2000, Dati Salzo  Asa minta tolong buat program komputer Saya jadi Setiasaha Kerja Pemuda Umno
Saya pernah bekerja di bawah Haji Salzo Asa, Mokran Ingkat, SuhaimiHaji Nasir dan Rizan bin Aziz Saya jadi setiusaha kerja kepada empat ketua pemuda. Kerja saya lebih banyak di War Room. Pada PRU13, kami pernah terima anugerah bilik gerakan yang terbaik. Pada tahun 2004, saya dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Parlimen kepada Datuk Juslie Ajirol.

UB: Selepas keluar UMNO mengapa pilih Warisan?

YB:  Saya tertarik  dengan matlamat perjuangan Warisan. Saya nampak parti ini adalah sebuah parti yang benar-benar memperjuangkan  hak rakyat negeri Sabah.  Lagi pula, Warisan mengamalkan sistem parti yang teratur, mempunyai cawangan dan bahagian. Ketika menyertai parti Warisan, itu yang pertama kali saya tanya Datuk Seri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) Apakah  Warisan mempunyai bahagian dan cawangan, dengan adanya cawangan dan bahagian, kita akan dapat memberikan khidmat terbaik kepada rakyat. Sebelum itu, saya pernah juga mendapat tawaran daripada parti-parti lain tapi saya melihat Warisan benar-benar berjuang untuk membela dan memperjuangkan nasib rakyat.

UB: Oh ya, boleh YB ceritakan sedikit mengenai perancangan YB terhadap Gum-Gum.
YB: Kita sudah merangka pelan cadangan pembangunan semula Gum-Gum. Kita berharap dapat menaiktaraf kemudahan dan mengadakan pelbagai projek pembangunan untuk kepentingan rakyat dan masa depan mereka.

UB: Apa antara isi pelan cadangan pembangunan semula Gum-Gum?
YB: Kita mahu menaiktaraf pasar Tamu Gum-Gum  sebagai sebuah pekan yang memiliki bangunan kedai serta pasar untuk peniaga kecil dan sederhana.,.Kita juga mahu menjadikan Gum Gum sebuah pekan yang menarik orang ramai dan pelancong asing.  Apabila kemudahan dan fasiliti dapat dinaiktaraf, ini sudah tentu mampu menjana peluang ekonomi yang lebih baik kepada masyarakat, membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada masyarakat khususnya di Gum-Gum.

Selain itu juga kita mahu golongan belia diberi lebih banyak ruang dan peluang untuk menjalankan perniagaan agar mereka mampu meningkatkan ekonomi masing-masing. Kita juga menggalakkan agar belia di setiap kampung dapat menubuhkan kelab belia masing-masing.  Sebagai contoh, jika ada 30 kampung,ada 30 kelab, Ini akan memudahkan kita untuk menyalurkan pelbagai kemudahan untuk pembangunan belia.

UB: Apa hasrat YB dalam merancang pembangunan di Gum-Gum?
YB: Kita mahu rakyat turut merasai kemajuan dan pembangunan yang kita laksanakan. Tidak guna kerajaan kita kaya tetapi rakyatnya miskin. Kita mahu meningkatkan prasarana dan rakyat turut sama menikmatinya.  Tidak guna jalan raya kita cantik tetapi masyarakat kita basikal pun tidak mampu beli. Kita mahu ekonomi rakyat dapat dibangunkan. Tidak guna kita ada bangunan tinggi atau hotel yang mewah tetapi rakyat kita tidak berkemampuan dan hanya mampu memandangnya.Kita mahu pembangunan yang holistik di mana  rakyat dapat merasakan apa yang kita bangunkan untuk mereka. Kita mahu pembangunan turut dirasakan oleh rakyat.

UB: Oh ya, bagaimana YB mengagihkan masa antara tugas sebagai ADUN Gum-Gum dan Pembantu Menteri?
YB: Setiap minggu saya balik ke Sandakan, menghadiri pelbagai program dan bertemu rakyat. Jika ada program di kawasan, saya pastikan dapat hadir untuk bersama mereka



UB: Mungkin ada nasihat orang yang masih YB ingat?
YB: Ayah saya nasihatkan saya agar berhenti kerja apabila masuk waktu solat.

UB: Apa harapan YB?
YB:Saya sentiasa berdoa kepada Allah, agar saya diberikan rezeki dan kekuatan untuk membantu rakyat, membela nasib mereka. Saya berdoam  kalau ada kelebihan rezeki, saya mampu membantu orang lain.