Rabu, 17 Oktober 2018

SEKITAR KUNJUNGAN KE BUMI PAGUNTAKA

Tags

SEKITAR KUNJUNGAN KE BUMI PAGUNTAKA

BUMI Paguntaka, pada awal September, menyambut kehadiran kami dengan ramah. Paguntaka adalah perkataan dari bahasa Tidung yang bererti Kampung Kita. Bumi Paguntaka adalah nama lain bagi Kota Tarakan, yang terletak di sebuah pulau kecil di Kalimantan Utara. Meski begitu, Kota Tarakan adalah kota terbesar di Kalimantan Utara, biasanya disingkat Kaltara, sekaligus antara kota terkaya di Indonesia.Selain Tarakan, daerah lain di Kaltara ialah Kabupaten Bulungan, Kabupaten Malinau, Kabupaten Nunukan dan Kabupaten Tana Tidong.
Luasnya kira-kira 250.80 km persegi dengan penduduk sekitar 239,787 orang. Dalam bahasa Tidung, Tarakan berasal dari perkataan tarak  yang bererti bertemu dan ngakan yang bererti makan. Menurut cerita rakyat, Tarakan adalah tempat nelayan beristirehat, makan, bertemu dan melakukan perniagaan tukar barang dengan nelayan lain. Kebetulan Tarakan  terletak di pertemuan arus muara sungai Kayan, Sesayap dan Malinau. .
Kota itu juga terkenal sebagai Kota Bais (Bersih, Aman, Indah, Sejahtera) dan pernah menjadi juara sebagai kota terbersih di Indonesia, tiga kali berturut-turut.
Tetapi yang lebih menarik, tentulah kebaikan dan layanan istimewa yang diberikan kepada kami ketika membuat Kunjungan Ilmiah ke Kota Tarakan pada 1 hingga 3 September lepas.
Sebaik tiba di Bandara Internasional Juwata di Kota Tarakan, rombongan kami  disambut di Bilik VIP oleh Wali Kota Tarakan, Bapak Ir Sofian Raga Msi. Selepas menikmati jamuan ringan, kami bergerak untuk check in di  Tarakan Plaza Hotel, Jalan Yos Sudarso.
Program Kunjungan Ilmiah itu dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Sabah sebagai salah satu program di bawah Jawatankuasa Kerja Sosial Ekonomi Malaysia-Indonesia (SOSEK MALINDO).
Rombongan 18 orang itu diketuai Presiden MPT, Alijus Haji Sipil dan disertai Sahibus samahah Ustaz Datuk Haji Bungsu Aziz Jaafar, Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Hajah Maimunah Haji Suhaibul, Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Sabah, Haji Samin Haji Ongki, dan Ketua Pegawai Eksekutif MASwings, Aminuddin Zakaria.
Selepas menunaikan solat Zohor, rombongan dijamu di kantor Wali Kota Tarakan dan seterusnya menghadiri taklimat sejarah dan pembangunan Kota Tarakan oleh Bapak Walikota Tarakan, Ir Sofian Raga.
Dalam sesi taklimatnya, beliau menerangkan mengenai kemajuan dan pembangunan Kota Tarakan.
Kota Tarakan berdiri secara rasmi pada 15 Disember 1997. Ketika itu ia menjadi sebahagian dari Provinsi Kalimantan Timur.  Sejak tahun 2002, Kota Tarakan menjadi sebahagian dari Provinsi Kalimantan Utara seiring dengan pemekaran provinsi itu dari Kalimantan Timur.
Sebagai antara kota  terkaya di Indonesia, Tarakan terkenal dengan hasil minyak dan gas asli sejak dahulu lagi. Ia juga memiliki potensi yang besar dalam sektor perikanan dan kelautan. Malah hasil udang dan rumpai lautnya dieksport menembus pasaran luar negeri. Selain itu, Tarakan juga kini semakin terkenal sebagai destinasi pelancongan yang menarik, kaya dengan fauna asli seperti Kera Bekantan.
Dari Kantor Wali Kota, kami bergerak menuju ke Islamic Center di Kampung Empat Tarakan Timur iaitu kira-kira 5 km dari pusat kota. Pusat Islam atau Islamic Center itu dibina pada tahun 2012 dan menjadi salah satu ikon Kota Tarakan. Terdapat Masjid Baitul Izzah yang menjadi kebanggaan penduduk Kota itu. Selaun itu terdapat gelanggang badminton, tenis, olahraga, futsal dan sebagainta.
Rombongan Kunjungan Ilmiah itu kemudian mengadakan Forum Silaturrahim dan Diskusi di Dewan Masjid Baitul Izzah, Pusat Islam Tarakan.
Dalam majlis forum yang turut dihadiri Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI) Kota Tarakan, Drs H Muhammad Anas, banyak isu yang dibincangkan termasuk soal sijil halal beberapa produk makanan yang diragukan aspek halalnya.
Selain itu, kami  juga dibawa berkunjung ke beberapa organisasi yang berpejabat di Pusat Islam Kota Tarakan itu, antara MUI Kaltara,Sekretariat LPPTKA-BKPRMI dan Depot Iqro Kota Tarakan dan sebagainya.
 Dari sana, rombongan dibawa ke Yayasan Pondok Pesantren Hidayatullah untuk menikmati jamuan makan seterusnya menunaikan solat maghrib di sana. Mufti  Negeri Sabah, Sahibus Samahah Datuk Ustaz Bungsu Aziz Jaafar juga diberi peluang untuk menyampaikan tazkirah kepada jemaah.
Pada hari kedua, rombongan berkunjung ke Pondok Pesantren Raudhatul Quran di Gunung Lingkas. Ustaz Ayub Handrihadi menyampaikan taklimat mengenai pembangunan ponpes Raudhatul Quran itu.
Dari sana, kami  berangkat menuju Badan Zakat Nasional (BAZNAS) yang terletak di Selumit, Tarakan Tengah. Rombongan diberi taklimat oleh Wakil Ketua Baznas, H Eddy Djasmani SE.M.Ap.

Selepas itu, kami  menikmati makan tengahari di RM Turi Ikan Bakar yang dihoskan oleh MPT.. Sebelum pulang ke hotel, kami  sempat berkunjung ke Baloy Mayo Adat Tidung Tarakan. Kepala Adat Besar Tidung Kalimantan, Adji Pengiran H Mochtar Basry Idris berbesar hati menyambut kedatangan kami.
Pada sebelah malamnya, kami diundang ke Masjid Baiturrahim Gunung Lingkas Kota Tarakan untuk menghadiri Majlis Pengajian Akbar oleh Mufti Negeri Sabah, SS Ustaz Datuk Haji Bungsu Aziz Haji Jaafar.
Kehadiran jemaah masjid  agak ramai untuk mendengar ceramah yang disampaikan oleh Mufti. Mereka menunggu hingga habis solat Isyak, sebelum semuanya bersurai.
Pada sebelah malamnya, kami  Mufti Negeri Sabah dijemput untuk mengadakan pengajian akbar di Masjid Baiturrahim Gunung Lingkas Kota Tarakan, yang menjadi acara penutup kunjungan ilmiah  di Kota Tarakan. Sebelum pulang ke hotel, rombongan sempat singgah makan malam di warung Teras, sebuah restoran yang pernah dikunjungi Presiden Jokowi sewaktu berada di Tarakan.
Banyak yang dapat dipelajari dari kunjungan singkat ke Kota Tarakan. Rombongan dapat menjalin kerjasama  dan bertukar-tukar pandangan untuk meningkatkan syiar dakwah dengan pelbagai pihak seperti Majlis Ulama Indonesia (MUI) Kota Tarakan, Pondok Pesantren Hidayatullah,Pondok Pesantren Raudhatul Quran, dan Badan Zakat Nasional (BAZNAS), Kota Tarakan.
Sesungguhnya kunjungan ilmiah itu amat besar ertinya kepada kedua-dua pihak untuk terus menjalinkan silaturrahim dan kerjasama di bawah JK SOSEK Malindo.