Khamis, 2 Ogos 2018

SINGGAH DI TUTUYAN, SEMPAT RAMAH MESRA DENGAN BUPATI

Tags

SINGGAH DI TUTUYAN, SEMPAT RAMAH MESRA DENGAN BUPATI



SELEPAS menempuh perjalanan jauh dari Manado, akhirnya kami tiba di Tutuyan, sebuah kota di Bolaang Mongondow Timur, Sulawesi Utara. Sebelum itu, kami sempat singgah seketika di Kawangkoan, yang dikenali sebagai Kota Kacang. Sepanjang menyusuri jalan berbukit-bukit itu,  kami disuguhkan dengan pemandangan alam yang penuh pesona, teluk yang cantik,dan tentunya pohonan kelapa, yang menyebabkan wilayah itu dikenali sebagai Bumi Nyiur Melambai.


Ketibaan kami sudah lama dinantikan di Tutuyan. Kami terus di bawa ke rumah dinas bupati dan disana, orang-orang yang ramah dan baik hati itu sudah lama menunggu.

Meski singkat waktunya, pertemuan dengan Bupati Bolaang Mongondow Timur (Boltim),  Sehan Landjar SH amatlah mengesankan. Orangnya sederhana dan bersahaja. Selepas diperkenalkan dengan anggota rombongan Fam Trip dari Sabah yang diketuai Konsul Ekonomi Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) , Hendro Retno Wulan, Pak Sehan bercerita mengenai Boltim dan potensi pelancongan yang terdapat di kabupaten itu. Turut serta dalam rombongan itu ialah Ketua Asita (Persatuan Pelaku Wisata Indonesia ) Sulawesi Utara, Merry Karouwan dan Pak Andra dari Pelni Bitung, Kepala Dinas Pariwisata Boltim, Pak Rizky Lamaluta.



Beliau menyatakan pemerintah daerah  menggalakkan pariwisata, istilah untuk pelancongan di sana. Beliau menyatakan penghargaan dan terima kasih atas
kedatangan rombongan Fam Trip Agensi Pelancongan dan Operator Pelancongan dari Sabah Malaysia yang sudi berkunjung untuk melihat destinasi pelancongan di Boltim.

Namun begitu, masih banyak kemudahan infrastruktur yang perlu disediakan untuk kemudahan pelancong tanpa mengubah keindahan alam semulajadi di daerah itu.




Pak Sehan Landjar, memimpin Boltim untuk penggal kedua sejak 2010. Beliau adalah seorang tokoh masyarakat yang disenangi dan dihormati di Boltim. Beliau dikenali sebagai seorang pemimpin yang merakyat,  dan sering pula memotivasi rakyatnya untuk membuat lebih baik dalam kehidupan mereka.

Sebelum menjadi bupati, Pak Sehan yang lahir dari keluarga petani, pernah menjadi operator alat berat selama 10 tahun di Gorontalo. Di sana pula dia mengembangkan diri dalam perniagaan dan mulai aktif dalam politik. Di Gorontalo, beliau sempat terpilih sebagai Anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Kabupaten Gorontolo.

Disanalah pula beliau bertemu isterinya,Nursiwin Dunggio. Selepas Boltim dibentuk, beliau pulang kampung dan  bertanding dalam pilihan raya dan terpilih sebagai Bupati pada tahun 2010.




Hal pertama yang dilakukan oleh beliau sebaik terpilih sebagai bupati ialah membuat data mengenai tahap pendidikan dan data kemiskinan. Beliau mengaku agak sukar untuk mengubah minda masyarakat. Beliau berazam untuk meningkatkan taraf hidup rakyatnya, berusaha memajukan daerah itu dan menurunkan kadar kemiskinan. Hasil   kegigihan beliau, kini Boltim terkenal sebagai  sebuah daerah yang berkembang. Beliau juga menggalakkan rakyatnya untuk menceburi bidang pelancongan.

Lelaki kelahiran Desa Togid 17 Disember 1963  itu adalah bupati Boltim yang pertama dipilih oleh rakyat. Beliau memimpin wilayah pergunungan pesisir dengan jumlah 80 desa yang tersebar di tujuh kecamatan iaitu Kecamatan Kotabunan, Kecamatan Tutuyan, Kecamatan Nuangan, Kecamatan Modayag, Kecamatan Modayag barat dan Kecamatan Moat. Antara destinasi pelancongan yang terkenal di Boltim ialah Tanjung Silar, Danau Mooat dan banyak lagi potensi wisata yang boleh dikembangkan. Boltim juga terkenal dengan lokasi penyelaman yang menarik.

“Dulu saya menyelam hingga kedalaman 15 meter. Tapi sekarang tidak lagi, saya sudah tenggelam di sini,,”” katanya sambil melirik isterinya. “Saya tak  pernah menyelam lagi,” kata lelaki yang suka humor itu.

Beliau mengalu-alukan jika ada saranan atau idea untuk membangunkan pariwisata. Selain itu, beliau mengalu-alukan pelabur atau investor untuk melabur di Boltim.

“Kita akan bangunkan infrastruktur tanpa merubah alam semulajadi kerana pelancong lebih suka keaslian alam semulajadi.

Beliau berazam untuk meningkatkan lagi tahap pendidikan di Boltim. Beliau yakin salah satu cara pembangunan adalah melalui pendidikan.

Selain itu, beliau mensasarkan untuk menurunkan lagi angka kemiskinan hingga dua peratus tahun 2019, Katannya, Pemerintah berusaha untuk menurunkan angka kemiskinan dari tahun ke tahun.

Itulah antara inti ucapan perkenalan beliau sambil memperkenalkan Boltim di bawah era kepimpinannya. Selepas itu, beliau  menjemput rombongan untuk menikmati menu hidangan yang lazat dan makanan yang sedap. Pelbagai juadah disediakan untuk tetamu pada hari itu.

“Ini isteri saya yang masak,” kata pak Sehan.

Saya beruntung kerana dapat duduk semeja dengan beliau. Walaupun banyak juadah makanan yang dihidangkan agak sedap saya hanya sempat mencicipi ikan masak pedas kerana berasa tertarik dengan butir butir percakapan pak Sehan.




Beliau sempat  mengulas mengenai konsep rezeki. Sambil memberikan banyak  kata-kata motivasi, nasihat yang  bermanfaat, Pak Sehan yang juga seorang ahli agama itu, mempunyai pandangan yang menarik mengenai kehidupan Hidup ini hanya sekadar rasa, kata Pak Sehan yang murah senyum itu.

Selepas itu, Pak Sehan sempat menghibur tetamu-tetamunya dengan mempersembahkan dua lagu. Nyanyiannya hebat dan suara yang merdu. Isterinya, Ibu Nursiwin juga turut menyanyi menghiburkan hadirin. Ada di antara hadirin yang merakamkan saat saat beliau menyanyi untuk tetamu-tetamunya, sebagai hadiah yang jadi kenang-kenangan tetamu tetamunya pada tengahari itu.

Selepas bergambar, berswafoto, rombongan meneruskan perjalanan ke destinasi wisata di Tanjung Silar.