WAKTU TIDAK CUKUP DI GALERI DEWA PUTU TORIS
Kalau ada satu tempat yang membuat masa kunjungan kita ke Bali tidak mencukupi, ia adalah Dewa Putu Toris. Ketika rombongan Fam Trip Media Sabah dan Sarawak dibawa berkunjung ke tempat, saya masih belum tahu apa isinya di dalam, kecuali sebuah galeri lukisan.
Tetapi sebaik masuk ke dewan pameran, dan menyaksikan ribuan karya seni yang dipamerkan, kami tidak sedar betapa cepatnya masa berlalu.
Dewa Putu Toris terletak di Banjar Tengah, Batuan, Sukawati, Gianyar. Galeri itu menghimpunkan lukisan, puluhan ribu jumlahnya, hasil karya seramai 90 pelukis Indonesia, kebanyakannya berasal dari Bali sendiri.
Galeri itu dibuka oleh Dewa Made Puja pada tahun 1992. Tujuannya adalah untuk memberikan ruang kepada pengkarya untuk menterjemahkan idea mereka ke dalam kanvas. Pelbagai jenis aliran lukisan dari moden, kamasan, naive, tradisional dan dekoratif, dipamerkan di galeri ituyu.
“Falsafah kami adalah membawa lukisan bali ke setiap rumah di seluruh dunia,” kata pemiliknya.
Walaupun tempoh yang diberikan agak singkat, saya cuba mengamati setiap lukisan, mesti tidak semuanya saya dapat hayati dan selami dengan baik.
Melalui lukisan-lukisan yang dipamerkan, saya dapat menyaksikan keindahan alam pulau Bali yang sudah menyihir pelancong asing sejak puluhan tahun. Saya melihat keindahan sawah padi yang menghijau, malah padi yang menguning dan petani-petani yang sedang sibuk menyemai padi. Saya dapat melihat kehidupan masyarakat Bali, yang unik dan masih mempertahankan budaya mereka.
Di tangan pelukis-pelukis yang melukis hampir semua aspek kehidupan di Bali membuat saya terpegun kagum melihat betapa telitinya mereka melukis setiap detail kehidupan ke dalam kanvas. Kehidupan masyarakat Bali sejak dahulu hinggalah sekarang menarik perhatian. Kehebatan pelukis yang menggunakan imiginasi mereka menggambarkan sedekat mungkin Bali dan masyarakatnya sangat luar biasa. Mungkin kita jarang bertemu sebuah masyarakat yang sangat mencintai seni selain Bali.
Lukisan-lukisan itu yang dijual dari harga yang murah hingga yang termahal ratusan ribu dolar USD sentiasa menggamit pengunjung dari luar negara, tidak kurang juga pelancong domestik.
Mungkin ada yang tidak sempat berkunjung ke tempat-tempat tertentu mereka boleh menyaksikan di Galeri Dewa Putu Toris, salah satu galeri yang terkenal di Gianyar. Sebenarnya terlalu banyak galeri lukisan di sekitar Desa Batuan itu, tapi jika tidak sempat ke galeri lain, galeri Dewa Putu Toris mampu memberikan pengalaman yang istimewa buat pengunjungnya.
Studio galeri Dewa Putu Toris ini boleh dikatakan unik kerana ia menggabungkannya dengan konsep Rumah Tradisi Masyarakat Bali. Karya lukisan yang dijual juga adalah asli karya pelukis-pelukis Indonesia yang kebanyakannya berasal dari Bali.
Carilah apa jenis lukisan, dan apa aliran pelukisnya, semuanya ada di Dewa Putu Toris. Saya tidak sempat mengadakan banyak sesi temubual kecuali mengajukan pertanyaan-pertanyaan pende kerana perhatian saya lebih kepada lukisan-lukisan yang tergantung untuk pameran. Saya tercengang melihat betapa pelukis-pelukis itu, yang tidak sempat saya kenali, dapat menjiwai setiap karya yang mereka hasilkan. Malah ada lukisan yang boleh dikatakan moden dan berani, tetapi kita masih dapat menghayatinya dengan rasa seni.
Sayang sekali kerana waktu yang diperuntukkan untuk kami berada di sana,terasa singkat sehingga kami nyaris ditinggalkan oleh rakan-rakan yang sudah lama menunggu dalam bas untuk meneruskan perjalanan ke destinasi yang selanjutnya, iaitu menikmati hdang Bebek Bengil di Jalan Hanoman Ubud. Menikmati masakan bebek atau itik yang sangat terkenal di Bali. Saya agak hairan juga mengapa makanan yang sedap itu disebut bebek bengil atau terjemahannya `dirty duck’. Percaya atau tidak percaya, restoran yang ditata rapi berhampiran sawah padi dengan suasana kampung, itu sangat menarik dan menggoda mulut untuk mengunyah apa saja untuk mengisi perut yang tiba-tiba lapar.