Ahad, 31 Disember 2017

CIKGU MUHAMAT TERTARIK LAGU KADAZAN TWIST

Tags



 CIKGU MUHAMAT TERTARIK LAGU KADAZAN TWIST



Berbeza dengan rakan-rakannya yang lain, beliau mula tertarik dengan keunikan Sabah selepas mendengar lagu Kadazan Twist di corong radio ketika bersekolah di Machang Kelantan. Lagu yang dinyanyikan penyanyi MY Ismail (kini Datuk) mendorong Cikgu Muhamat Abdul Rahman untuk datang ke Sabah. Banyak hal yang digemarinya di Sabah, masyarakatnya yang harmoni dan mempunyai hubungan rapat antara satu sama lain walaupun berbilang kaum. Namun tidak lupa juga beliau adalah penggemar ambuyat dan jeruk bambangan, makanan popular di kalangan masyarakat Sabah.
Muhamat Abdul Rahman dilahirkandi Machang Kelantan  pada 15 Mei 1953. Anak kedua daripada lapan adik beradik. Beliau mendapat pendidikan awal di  Sekolah Kebangsaan Machang dari tahun 1960 hingga 1966. Selepas itu beliau menuntut di SMK Machang dari tingkatan satu hingga tiga (1967-1969) sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Hamzah Machang dari tahun 1970 hingga 1971. Selepas kandas, beliau mengulang satu tahun lagi di sekolah yang sama. Kemudian beliau merantau ke Pahang dan bekerja sebagai buruh kelapa sawit di Felda Padang Piol. Setahun kemudian beliau pulang semula ke Machang untuk  melanjutkan pelajaran di Institut Kebangsaan Machang (IKM) sebuah sekolah swasta di daerah itu. Beliau adalah pelajar pertama di sekolah itu. Selepas itu, beliau merantau ke Sabah dan menjadi guru sementara di di SM All Saints dari tahun 1974 hingga 1975.Beliau kemudian memasuki Maktab Perguruan Gaya dari tahun 1976 hingga 1977. Sebaik tamat Maktab, beliau bertugas sebagai Guru Penolong  di SMK Mempagar Beaufort dari tahun 1978-1983,  Guru Penolong di SMK Ladang Kerilla, Tanah Merah Kelantan dari tahun 1984-1989, Guru Penolong di SMK Inanam dari tahun 1990 hingga 1997. Pada tahun 1997 hingga 1999 beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Putra Malaysia (UPM). Sekembalinya ke Sabah, beliau mengajar di Sekolah Tinggi Kota Kinabalu (KKHS) pada tahun 2000 hingga 2003. Selepas itu, beliau berkhidmat sebagai Guru Penolong  di SMK Bandaraya Kota Kinabalu dari tahun 2003 sehingga bersara pada tahun 2011.
Beliau mendirikan rumah tangga dengan Ratenah @ Fauziah Haji Barun dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Ahmad Fakran, Ahmad fahmie dan Nurzatul Iffah dan kini memiliki empat cucu.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual Cikgu Muhamat Abdul Rahman di sebuah restoran popular di pekan Inanam. Ikuti petikan temubual bersama beliau mengenai pengalamannya sepanjang berada di Sabah.

UTUSAN BORNEO: Boleh cikgu ceritakan sedikit latar belakang cikgu?
CIKGU MUHAMAT ABDUL RAHMAN:  Saya sebenarnya lahir di Machang Kelantan pada 15 Mei 1953. saya anak kedua dari lapan adik beradik. Nama panggilan  di kalangan keluarga ialah Ahmad Sarbini.Bapa angkat orang Pekan Baru Riau yang bagi. Adik beradik dan orang kampung lebih kenal saya sebagai Ahmad Sarbini.
UB: Di mana cikgu bersekolah dulu?
MAR: Saya bersekolah rendah l di  Sekolah Kebangsaan Machang dari tahun 1960 hingga 1966. Selepas itu, saya  menuntut di SMK Machang dari tingkatan satu hingga tiga  iaitu dari tahun1967-1969. Kemudian saya melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Hamzah Machang dari tahun 1970 hingga 1971. Kerana gagal dan mengulang tapi gagal juga, saya cari dana sendiri dan belajar di sekolah swasta.
UB: Apa yang menyebabkan cikgu gagal? Kalau boleh tahu?
MAR: Kegagalan saya berpunca kerana keluarga memulakan kilang membuat laksa secara tradisional. Kerja mengisar, menumbuk dan menguli, saya yang buat.Duit dapat banyak tetapi pelajaran merosot kerana banyak masa tertumpu pada kerja buat laksa. Pulang dari sekolah terus kerja..Mula jam 2.00 petang dan siap kira-kira jam 4.00 pagi.Hancurlah dunia pembelajaran.
UB: Di mana cikgu cari dana?
MAR:  Saya merantau ke Pahang dan bekerja sebagai buruh kelapa sawit di Felda Padang Piol. Setahun kemudian saya kembali  semula ke Machang dan   melanjutkan pelajaran di Institut Kebangsaan Machang (IKM)  Saya adalah salah seorang  pelajar pertama di sekolah itu.
UB: Kemudian, apa langkah cikgu selepas itu?
MAR: Kemudian saya merantau ke Sabah.Masa itu saya naik kapal laut dari Singapura. Tambang kapal kalau tak silap RM250 dan memakan masa empat hari.Saya naik kapal dagang.Kelasinya orang Melayu dari Liverpool,England.. Saya satu kapal dengan seorang paderi dari Amerika, namanya Paul Klinsmann. Selepas sampai di Kota Kinabalu, kami menginap di Islamic Hotel dan kemudian saya hubungi beberapa kawan. Dari situlah saya cerita bagaimana mulanya saya datang ke Sabah.
UB: Oh ya, apa yang membuat cikgu tertarik ke Sabah masa itu?
MAR: Saya tertarik dengan nama Sabah selepas mendengar lagu Kadazan Twist di corong radio ketika bersekolah di Machang  dulu. Lagu yang dinyanyikan penyanyi MY Ismail.Itulah antara yang mendorong saya ke Sabah.Di Sabah, banyak perkara yang menarik.Masyarakatnya yang harmoni dan mempunyai hubungan rapat antara satu sama lain walaupun berbilang kaum. Saya juga penggemar ambuyat dan jeruk bambangan, .
Ketika bersekolah dalam tingkatan lima, Ada pegawai masa itu, Mokthar Senik dan Anthony Kandia datang ke sekolah dan  menceritakan mengenai keunikan dan peluang-peluang kerja untuk membantu memajukan Sabah masa itu.



UB: Cikgu dapat kerja di mana masa tu?
MAR: Saya dapat kerja  guru sementara di di SM All Saints dari tahun 1974 hingga 1975. Pengetua masa itu Mr Mathai, beliau mengajar matematik dan mungkin juga sains.Saya tak ingat. Masa tu saya hanya bawa slip keputusan SPM untuk kerja.Bila dia lihat subjek Bahasa Melayu saya gred 2, terys dia bilang besok awal boleh mengajar.
UB: Beliau yang arah cikgu ajar subjek Bahasa Melayu?
MAR: Ya, sebab guru BM yang juga kawan saya ,Cikgu Fauzi Ismail, masuk Maktab Gaya. Dia pernah arah guru India Muslim iaitu Mr Hameed Mydeen.Dia lulusan geografi tetapi disebabkan namanya hameed, dia disuruh mengajar BM.
UB: Siapa antara murid cikgu sewaktu di All Saints?
MAR: Antara murid saya termasuklah Datuk Saidon Haji Kadis, Datuk Wong Thien Fook, Benedict Topin ,George Bohondah, Ir Au Bah dan ramai lagi. Kebanyakan pelajar masa itu ramai anak menteri. Anak Tan Sri Harris Salleh,Tun uad Stephens, Datuk Yassin dan lain-lain.
UB: Selepas mengajar di All Saints, cikgu mengajar dimana?
MAR: Selepas dua tahun mengajar di All Saint, saya memasuki Maktab Perguruan Gaya.
UB: Tahun berapa tu cikgu?
MAR: Saya memasuki Maktab Perguruan Gaya (MPG) dari tahun 1976 hingga 1977. Antara rakan seangkatan dengan saya masa itu ialah Sualim Gapog, Tajudin sadi, Datuk Jame Alip, Letfee Ahmad, Yusof Abdullah, Sarjuni Muhamad,Nazri Adam, Lupian Saluji, prof Cristina Ligado dan Prof Ismail Haji Ibrahim.Antara kawan terlama saya di Sabah ialah Cikgu Erwan Gunda.
UB: Macam mana berkawan dengan ramai orang Sabah?
MAR: Saya memang jenis orang yang suka berkawan. Di Maktab pula kebanyakan kawan saya memang sabahan.Kalau ada yang Semenanjung pun, mereka memang suka berkawan dengan anak-anak watan.

UB: Selepas keluar maktab, dimana cikgu mengajar?
MAR: Sebaik tamat Maktab, saya bertugas sebagai Guru Penolong  di SMK Mempagar Beaufort dari tahun 1978-1983. Kemudian saya pulang ke Semenanung dan bertugas sebagai  Guru Penolong di SMK Ladang Kerilla, Tanah Merah Kelantan dari tahun 1984-1989. Pada tahun 1989, saya kembali lagi bertugas di Sabah. Kali ini sebagai  Guru Penolong di SMK Inanam dari tahun 1990 hingga 1997.
UB: Selepas itu, dimana cikgu mengajar?
MAR: Pada tahun 1997 , saya  melanjutkan pelajaran di Universiti Putra Malaysia (UPM). Saya masuk dalam fakulti geografi.Sebenarnya saya lebih minat sejarah. Antara rakan saya pada masa itu ialah Ghani @ Suhailee Ahmad di Bahagian Teknologi Pendidikan, Sukran Dalimi, pensyarah di IPG Tawau. Saya dapat menyelesaikan pengajian dalam tempoh yang lebih cepat lagi. Selepas kembali ke Sabah, saya mengajar di Sekolah Tinggi Kota Kinabalu (KKHS) pada tahun 2000 hingga 2003. Selepas itu,saya berkhidmat sebagai Guru Penolong  di SMK Bandaraya Kota Kinabalu dari tahun 2003 sehingga bersara pada tahun 2011.
UB: Mungkin ada pengalaman menarik sewaktu mengajar di SMK Bandaraya?
MAR: Masa itu SMK Bandaraya dikenali sebagai SMK Menggatal. Pengetua masa itu, Cikgu Abd Hakim Kassim mencadangkan nama sekolah kepada SMK Tun Mustapha.Sudah pun diluluskan. Baju sekolah sudah dibuat, lencana bertulis SMK  Tun Mustapha sudah dibuat. Tetapi semuanya tidak dapat digunakan kerana ada sekolah lain yang juga mahukan nama itu. Akhirnya SMK Menggatal bertukar kepada SMK Bandaraya saja. Itulah sebabnya namanya sekarang SMK Bandaraya. Ketika itu saya guru penolong di sana.
UB: Apa jawatan terakhir cikgu sebelum bersara?
MAR: Hanya guru Gred Tingkatan Khas Tingkatan 6. Saya pernah ditawarkan untuk jadi guru besar dan nazir tetapi saya tolak tanda sokongan kepada orang Sabahan.Bagi saya jadi guru biasa sampai pencen pun Alhamdulillah. Yang penting gred perkhidmatan saya naik.
UB:  Apa yang menarik di Sabah seh9ingga cikgu rasa selesa di Sabah?
MAR: Kita boleh katakan di Sabah, hubungan etnik adalah yang terbaik di Malaysia. Fenomena kahwin campur di kalangan masyarakatnya tidak asing lagi. Rakyat Sabah diajar berjuang bersama dalam politik bukan secara perkauman. Saya pernah pulang mengajar ke Semenanjung pada 1984 hingga 1989 tetapi rasa agak tertekan dengan perselisihan politik yang berbeza. Ada isu kafir mengkafir dan sebagainya. Di Sabah saya hidup secara asimilasi dengan Sabahan.Jauh dari kebencian antara etnik. Lagipun saya memang tidak boleh menerima sikap perkauman kerana sahabat paling baik sejak zaman adalah orang Cina. Dia ialah Dr Lim Swee Tin.
UB: Cikgu pernah ceritakan bahawa antara insan yang banyak menolong Cikgu di Sabah, budi baiknya tidak dapat cikgu ialah Datuk Tengku DZ Adlin.
MAR: Sebabnya keluarga tengku tinggal di depan All Saints.Saya sebenarnya malu mencari sesama orang Kelantan, apabila yang bangsawan gitu. Isterinya, Datin Seri Mariam yang cari saya.Dibawakannya saya makanan.Sampai satu minggu kemudian dia mempelawa saya makan di rumahnya.Makan apa yang ada. Keluarga Tengku peramah dan akhirnya jadi seperti keluarga.Masa saya kahwin,mereka sekeluarga datang membantu.Sampai sekarang saya masih rapat dengan wan Zulkifli Bunyamin.
UB: Bolleh cerita sedikit keadaan Sabah sekitar tahun 1974-1975 masa cikgu mula datang ke Sabah?
MAR:  Masa itu Sabah di era kejatuhan USNO. Parti Berjaya ditubuhkan dan antara yang memainkan peranan dalam penubuhan itu ialah Prof Dr James Ongkili dan Datuk Harris Salleh. Masa itu agak tegang, konon-konon akan berlaku rusuhan.Orang Malaya dikatakan akan jadi sasaran malah saya diberikan peringatan oleh kenalan polis supaya berhati-hati. Masa itu juga gelombang kemasukan pelarian bangsamoro.

UB: Cikgu selalu bicara soal sejarah dan menjadi peserta aktif dalam grup grup sejarah di Media Sosial dan sebagainya. Apa pentingnya sejarah dipelajari oleh generasi baru?
MAR: Bagi saya sejarah amat penting untuk jati diri sesuatu kaum.Kita kena faham sejarah leluhur kita.Masalah sekarang kalau di Semenanjung terutama di Kelantan, anak -anak muda kedua pihak tidak tahu asal usul mereka. Ada yang sanggup menghina Melayu Patani sebagai orang Siam. Sedangkan orang Patani menganggap Siam itu Kafir.Ada yang terhina. Anak-anak muda kena faham tidak semua Melayu terutama di Semenanjung adalah pendatang dari Nusantara.Mereka adalah warisan Kedah Tua dan langkasuka atau Patani Lama.Mereka adalah peribumi asal Malaya.
Di peringkat Sabah juga generasi muda kena faham sejarah hubungan kita dengan dunia Melayu Nusantara.