HIDUP INI SATU ANUGERAH, KATA DRS KRISHNA DJELANI
HIDUP INI adalah satu anugerah sekaligus juga cubaan. Kita harus memanfaatkannya dengan baik, kata Drs Krishna Djelani. “Kerana hidup ini sementara, kita harus menjaga hubungan baik antara kita sesama manusia dan hubungan kita dengan Allah,hablum minallah wa hablum minannas ,” katanya.
Drs. Krishna Djelani, M.A dilahirkan di New Delhi India pada 19 September 1961. Beliau adalah anak kedua dari empat bersaudara.Ayahnya Laksamana Muda (Laksda) Koen Djelani pernah menjadi Atase Pertahanan di Kedutaan Besar Republik Indonesia di New Delhi. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Dasar di Jakarta Selatan sebelum melanjutkan pelajaran menengah di Sekolah Negeri 5, Bandung. Kemudian apabila ayahnya dilantik sebagai Duta Besar Luar Biasa dan Berkuasa Penuh untuk Yugoslavia, Krishna bersekolah di Sekolah Indonesia di Beograde, Yugoslavia. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran dalam ilmu sosial dan politik di Fakulti FISIP Universiti Padjajaran Bandung.
Kini beliau dilantik sebagai Ketua Perwakilan Indonesia di Konsulat RI Tawau sejak Oktober 2016.Sebelum bertugas sebagai Ketua Perwakilan Indonesia di Tawau, beliau pernah bekerja di Direktorat Perlindungan WNI dan Badan Hukum Indonesia. 2012 hingga Oktober 2016. Sebelum itu, beliau pernah bertugas di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Bangkok dari tahun 2008 hingga 2012, Kedutaan Besar Indonesia di Kaherah dari tahun 2000 hingga 2004 dan Kedutaan Besar Republik Indonesia di Prague Republik Czech,pada 1994 hingga 1998.
Beliau mendirikan rumahtangga dengan Cindy Mayrianti dan dikurniakan dua cahayamata, Livia Djelani dan Vania Djelani.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemui beliau di kediamannya di Wisma Konsul, Jalan Jasa No 2554, Tawau, untuk berkongsi pengalaman beliau yang penuh warna sejak zaman persekolahan sehingga menjadi diplomat.Ikuti petikan temuramah bersama beliau:
UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang Pak Krishna?
DRS KRISHNA DJELANI: Saya dilahirkan di New Delhi, India pada 19 September 1961 ketika ayah saya, Laksda Koen Djelani menjadi Atase Pertahanan (Angkatan Laut) di Kedutaan Besar Republik Indonesia di New Delhi. Ayah saya memberikan nama Krishna sempena nama seorang diplomat terkenal, nasionalis India dan pernah menjadi Menteri Pertahanan India, VK Krishna Menon. Itulah sebabnya saya mendapat nama Krishna.
UB: Di mana Pak Krishna mendapat pendidikan awal?
KRISHNA: Saya mendapat pendidikan di Sekolah Dasar (SD) Jakarta Selatan sebelum melanjutkan pendidikan di Sekolah Menengah Negeri 5 Bandung. Kemudian saya meneruskan persekolahan di Sekolah Indonesia di Beograde Yugoslavia ketika ayah saya, Laksda Koen Djelani dilantik sebagai Duta Luar Biasa dan Berkuasa Penuh di Yugoslavia iaitu pada 1977 hingga 1980.
UB: Mungkin banyak pengalaman sewaktu bersekolah di sana?
KRISHNA: Biasa saja. Saya bersekolah di Sekolah Indonesia bersama anak-anak ekspatriate Indonesia yang lain. Cuma bila musim dingin, kota itu bertukar warna putih kerana tertutup salji. Di kota saya bergaul dengan warga asing, jika ada aktiviti melibatkan pelajar antarabangsa.Di sana saya belajar bahasa Slavik, bahasa yang digunakan di Yugoslavia.
Banyak kenang-kenangan masa kecil di sana. Kami berada di Yugoslavia jauh sebelum terjadi perang di Balkan. Waktu itu Presiden Tito masih berkuasa.Saya masih ingat Kota Sarajevo,kota yang mempunyai majoriti penduduk Muslim.
UB: Selepas itu, dimana Pak Krishna melanjutkan kuliah?
KRISHNA: Saya melanjutkan kuliah dalam jurusan di Fakulti Ilmu Sosial dan Politik Universiti Padjajaran Bandung. Masa itu, Bandung mempunyai penduduk yang belum terlalu ramai. Ibu Kota Propinsi Jawa Barat, udaranya sangat sejuk, terletak kira-kira 700 meter di atas paras laut. Masa itu, Kota Bandung belum terlalu ramai seperti sekarang. Masa itu sangat sejuk hingga kita terpaksa memakai jaket bagi menghalang kedinginan. Selepas diterima untuk berkhidmat di Kementerian Luar, saya berpeluang melanjutkan kuliah dalam Bidang Pengajian Pembangunan di Universiti Monash, di Melbourne Australia dari tahun 1992 hingga 1994.
UB: Bagaimana cara orang tua mendidik Pak Krishna?
KRISHNA: Orang tua saya mendidik saya sangat berdisiplin. Misalnya soal waktu,beliau sangat disiplin. Apatahlagi ayah saya seorang tentera laut, yang selalu mengutamakan disiplin.
UB: Mungkin ada pesan atau nasihtanya yang Pak Krishna masih ingat?
KRISHNA: Ayah saya selalu berpesan agar walau dimanapun saya berada, saya harus selalu ingat Allah SWT yang menciptakan kita manusia, Jangan sampai lupa.Beliau mengingatkan kami agar belajar bersungguh-sungguh.
UB: Sewaktu kecil dahulu, apa cita-cita Pak Krishna?
KRISHNA: Pada awalnya saya mahu jadi tentera. Saya dibesarkan dalam lingkungan tentera laut. Saya berusaha untuk menjadi tentera tapi ketika di universiti saya, saya diterima masuk di Fakulti Ilmu Sosial dan Ilmu Politik, tidak seperti yang saya inginkan pada awalnya. Di Fisip Padjajaran, Bandung saya mengambil jurusan Hubungan Antarabangsa. Di Fakluti ini, saya tidak menghadapi sebarang masalah kerana saya ada pengalaman kerana berpeluang melihat sendiri kehidupan seorang diplomat. Hingga akhirnya, saya sendiri menjadi diplomat.
UB: Sebelum dilantik sebagai Ketua Perwakilan Republik Indonesia di Tawau, dimana Pak Krishna bertugas?
KRISHNA: Sebelum ini, saya bertugas di Direktorat Perlindungan Warga Negara Indonesia (WNI) dan Bantuan Hukum Indonesia (BHI) dari tahun 2012 hingga Oktober 2016. Ketika bertugas di sini, saya berkesempatan berkunjung ke banyak tempat termasuk beberapa daerah di Malaysia. Saya juga pernah berkunjung ke Tawau untuk bertemu WNI.
UB: Dimana pak Krishna mula ditugaskan di Luar Negeri?
KRISHNA: Sebelum itu, saya pernah berkhidmat sebagai konsul di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Prague,Republik Czech pada 1994 hingga 1998. Kemudian saya bertugas selama dua tahun di Kementerian Luar (Kemlu) di Jakarta sebelum ditugaskan ke luar negeri, kali ini Kedutaan Besar Indonesia di Kaherah dari tahun 2000 hingga 2004. Saya kembali ke Jakarta pada 2004 hingga 2008, sebelum ditugaskan lagi sebagai konsul di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Bangkok dari tahun 2008 hingga 2012.Selepas bertugas di
Direktorat Perlindungan WNI dan BHI di Kementerian Luar, kini saya bertugas sebagai Kepala Perwakilan Republik Indonesia di Tawau. Begitulah keadaannya, selepas tiga atau empat tahun bertugas di luar negeri, bertugas lagi di Jakarta untuk dua atau tiga tahun sebelum kemudian bertugas lagi di luar negeri. Begitulah seterusnya.
UB: Tentu banyak pengalaman sewaktu bertugas di luar negeri. Boleh ceritakan sedikit? Bagaimana pengalaman sewaktu bertugas di Kaherah?
KRISHNA: Saya bertugas di Kaherah pada 2000 hingga 2004. Duta Besar RI di Mesir ketika itu ialah Prof Dr Quraish Shihab, mantan Menteri Agama dan ahli tafsir terkenal di Asia Tenggara. Saya sangat beruntung kerana pernah bertugas di bawah Prof Dr Quraish Shihab. Saya sempat bertugas selama satu tahun di bawah pimpinan beliau. Kami sangat akrab.
UB: Apa kesan bapak terhadap Prof Quraish?
KRISHNA: Beliau seorang yang sangat bijaksana dalam mengambil keputusan dan melaksanakan tugasnya. Beliau juga seorang yang sangat mementingkan keluarga. Beliau selalu menyuruh kami pulang selepas waktu kerja untuk bersama keluarga. Pak Quraish selalu menasihati kami agar mengutamakan keluarga.
UB: Berapa jumlah pelajar Indonesia di sana ketika itu?
KRISHNA: Saat itu terdapat kira-kira 4,500 mahasiswa Indonesia di Al Azhar.
UB: Oh ya ketika Pak Krishna bertugas di Bangkok,2008 hingga 2012, jika tak silap berlaku demontrasi melibatkan baju Kuning dan Baju Merah?
KRISHNA: Ketika berlaku demontrasi antara Kumpulan Baju Kuning dan Baju Merah itu, kami sempat berkantor di hotel, Ketika rusuhan itu, Sidang Kemuncak Asean yang dijadualkan di Phuket terpaksa ditangguhkan. Banyak juga pengalaman ketika bertugas di Thailand, itulah sebahagiannya.
UB: Khabarnya Pak Krisha pernah mendaki gunung selama 12 jam di Nepal? Boleh ceritakan sedikit?
KRISHNA: Ketika itu saya terlibat dalam misi kemanusiaan di Nepal. Kejadian berlaku tahun 2015. Saat itu berlaku gempa bumi yang menggoncang Nepal dengan kekuatan 7.8 skala richter. Sebagai wakil Direktur Perlindungan Warga Negara Indonesia dan Badan Hukum Indonesia dari Kementerian Luar Negeri, saya ikut menjejaki tiga pendaki warga Indonesia yang hilang ketika mendaki Gunung Everest pada April.
Pendaki itu, Alma Parahita, Kadek Andana dan Jeroen Hehuwat berasal dari Bandung, kali terakhir dikesan di Everest Guest House di Lantang.
Wilayah Lantang itu adalah wilayah yang paling banyak terkena runtuhan salji dan batu. kami terpaksa berjalan kaki selama 12 jam hingga tempat pendakian terakhir di Dutchi.Mula mula pakai kenderaan tetapi kemudian terpaksa berjalan kaki kerana jalan runtuh. Kejadian itu mengorbankan kira-kira 6,100 oranng manakala lebih 13,000 orang mengalami kecederaan.
UB: Oh ya pak Krishna. Bagaimana perasaan Pak Krishna ketika ditempatkan di Tawau?
KRISHNA: Saya rasa gembira kerana ditempatkan di Tawau. Di sini saya tidak merasa asing kerana semuanya baik-baik. Merasa seperti berada di tempat sendiri. Di Praha (Prague), cuaca sama makanannya agak sulit,, di Bangkok, susah cari makanan halal tetapi di sini, cuacanya sama, makananan pun hampir sama.
UB: Berapa warga Indonesia di Tawau yang menjadi tanggungjawab bapak?
KRISHNA: Terdapat kira-kira 150,000 warga Indonesia di Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna yang berada dibawah wilayah tanggungjawab Konsulat Republik Indonesia di Tawau. Sebahagian besarnya di ladang kelapa sawit.
UB: Mungkin Pak Krishna boleh jelaskan mengenai fungsi dan tanggungjawab KRI Tawau?
KRISHNA: Ada beberapa perkara yang menjadi perhatian kita iaitu masalah keimigrasian yang melibatkan warga Indonesia, tenaga kerja umpamanya pembayaran gaji, bekerja tidak sesuai perjanjian dan sebagainya. Selain itu, kita juga membantu warga Indonesia yang terlibat masalah undang-undang. Kami juga memberi bantuan kepada warga Indonesia yang sakit, meninggal dunia dan masalah lain seperti kena copet misalnya.
UB: Maaf pak.Mungkin ada yang ingin tahu, sejak bila Konsulat Republik Indonesia didirikan di Tawau?
KRISHNA: Sebenarnya, Konsulat Republik Indonesia di Tawau baru dirasmikan pada 2010. Sebelum ini, ia belum lagi bertaraf perwakilan. Mulanya, pada tahun 1968 ia dikenali sebagai Kantor Perwakilan Imigrasi di Tawau. Kemudian pada tahun 2004, fungsinya meningkat sebagai Kantor Pelaksana Fungsi Tugas KJRI KK , yang menguruskan imigrasi dan khidmat konsuler.
UB: Apa harapan bapak sebagai Ketua Perwakilan Indonesia di Tawau?
KRISHNA: Kita berharap untuk meningkatkan hubungan ekonomi dan perdagangan, sosial dan budaya antara kedua-dua wilayah Tawau dan wilayah di Indonesia khususnya Kalimantan Utara (Kaltara) dan Kalimantan Timur.
Saya berharap hubungan ekonomi dan perdagangan dapat ditingkatkan lagi. Kita harap lebih banyak barangan Indonesia dapat dipasarkan di Sabah dan sebaliknya lebih banyak barangan dari Sabah khususnya dari wilayah Tawau dapat dipasarkan di Kalimantan Utara.
Kita juga mengusahakan agar kerjasama antara peniaga dan golongan bisnis dapat ditingkatkan lagi. Selain itu, kita harap semua yang sudah disepakati dalam Sosek Malindo dapat diimplementasikan.
UB: Oh ya? Apa hobi bapak jika ada masa lapang?
KRISHNA: Hobi saya ialah naik sepeda (basikal) sekadar untuk beriadah.
UB: Akhir sekali, mungkin ada sesuatu pesan dari pak Krishna untuk pembaca Utusan Borneo?
KRISHNA: Hidup ini adalah satu anugerah sekaligus juga cubaan. Kita harus memanfaatkannya dengan baik,Kerana hidup ini sementara, kita harus menjaga hubungan baik antara kita sesama manusia dan hubungan kita dengan Allah,hablum minallah wa hablum minannas .