BANYAK MAKANAN YANG ADA DI SABAH, TIADA DI SEMENANJUNG, KATA HAJI SUWADI,PENGARAH PENERANGAN SABAH YANG BARU
Sepanjang kira-kira 10 tahun bertugas di Semenanjung Malaysia, apa agaknya yang paling dirindukan oleh Haji Suwadi Haji Guliling, yang ada di Sabah tetapi jarang ada di Semenanjung? Beliau mengatakan rindu pisang goreng Sabah. “Saya kecarian pisang goreng di sana, “ kata Haji Suwadi yang juga Pengarah Penerangan Sabah yang baru.Selain itu, beliau juga rindukan sup daging dan sebagainya. Jika sudah datang perasaan rindu itu seperti itu, biasanya beliau beli bahan-bahan untuk masak di rumah.
HAJI SUWADI BIN HJ GULILING dilahirkan di Tawau pada 6 April 1964. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Bombalai dari darjah satu hingga darjah enam. Beliau kemudian meneruskan pelajaran di SMK Abaca dari tingkatan satu hingga tiga sebelum SMK Kuhara Tawau. Selepas itu, beliau melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sehingga memperolehi Sarjana Muda Sastera (Kepujian) B.A Hons dalam bidang Komunikasi pada tahun 1988.
Selepas tamat pengajian beliau menjadi guru sementara di Yayasan Bakti Akademik di Tawau sebelum mendapat tawaran bertugas sebagai Pegawai Penerangan Bahagian Pantai Barat Sabah pada 1990. Beliau kemudian bertukar ke Bahagian Sandakan juga sebagai Pegawai Penerangan dari tahun 1990 hingga 1995. Haji Suwadi kemudian dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat dari tahun 1995 hingga 1998. Kemudian beliau berpindah ke Bahagian Media dan Komunikasi Korporat sebagai Penolong Pengarah (1998-1999). Pada tahun 1999, beliau ditugaskan ke Bahagian Kudat sebagai Penolong Pengarah hingga tahun 2000. Selanjutnya beliau dilantik sebagai Penolong Pengarah Bahagian Pantai Barat Utara (PBU) Sabah di Kota Belud hingga tahun 2001.Selepas itu, beliau dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Sabah pada tahun 2001 hingga 2003. Pada tahun 2003, Haji Suwadi dilantik sebagai Pengarah Penerangan Wilayah Persekutuan Labuan hingga 2005. Beliau kembali semula ke Kota Kinabalu untuk menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat hingga tahun 2007. Kemudian beliau dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Awam, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Putrajaya dari tahun 2007 hingga 2009. Pada tahun 2009 hingga 15 Mei 2013, beliau dilantik pula sebagai Timbalan Pengarah (Media) Bahagian Media dan Korporat , di ibu pejabat Penerangan di Putrajaya. Selepas itu, Haji Suwadi dilantik sebagai Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Penyelarasan Media, KKMM Putrajaya hingga 31 Ogos 2014. Pada 1 September 2014 hingga 28 Jun 2015, beliau dilantik sebagai Pengarah Penerangan Melaka. Kemudian pada 29 Jun 2015 hingga 5 Februari 2017, beliau dilantik sebagai Ketua Seksyen Hal Ehwal Korporat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Putrajaya. Kini Haji Suwadi dilantik sebagai Pengarah Penerangan Sabah yang baru dan melapor diri pada 1 Mac 2017.
Beliau mendirikan rumahtangga dengan Hajah Zaharah Haji Saibun dan dikurniakan tiga cahayamata. Sepanjang 26 tahun perkhidmatannya sebagai pegawai kerajaan, beliau pernah dikurniakan Pingat Kedaulatan Negara (2013), Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2012),Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2011) dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (1996).
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN dengan ditemani jurufoto Jabatan Penerangan Sabah, Azman Jumat berpeluang menemubual Haji Suwadi Haji Guliling di pejabatnya, di Wisma Dang Bandang Kota Kinabalu. Ikuti petikan temubual bersama Haji Suwadi mengenai beberapa cebisan pengalaman yang beliau pernah lalui sejak kecil, pengalamannya bertugas di ibu negara hingga pengalaman ketika berkunjung ke Afrika Selatan yang secara kebetulan sama tarikhnya dengan kematian mantan Presiden Nelson Mandela:
UTUSAN BORNEO (UB): Terlebih dahulu kami ucapkan tahniah kepada tuan kerana kembali bertugas di negeri Sabah. Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan untuk pembaca Utusan Borneo?
HAJI SUWADI HJ GULILING (HS): Saya dilahirkan di Tawau pada tahun 1964, 6 April. Kemudian saya mendapat pendidikan awal di Bombalai, masa itu disebut SRJK Bombalai dari darjah satu hingga darjah enam. Selepas itu, saya belajar di SMk Abaca dalam tingkatan satu hingga tingkatan tiga. Lepas itu, tingkatan empat hingga lima, saya bersekolah di SMK Kuhara Tawau.Ayah saya bekerja sebagai penoreh getah selain khidmatnya sebagai Ketua Kampung.
UB: Tuan boleh menoreh getah?
HS: Ya. Saya selalu membantu orang tua saya menoreh getah. Kalau menoreh getah, saya sudah terbiasa dengan bau gerah sekerap. Selepas menoreh pada awal pagi, kira-kira jam 5.00 pagi. Kemudian sebelum tengahari, getah perlu dipungut. Selepas itu ditimbang dan kemudian di bawa ke kilang.Selain itu, beliau juga ada kebun koko. Kalau memetik koko, saya tahu membezakan mana buah yang bagus mana yang tidak.
UB: Apa aktiviti selepas itu?
HS: Kalau petang, kami main bola sepak. Sejak dahulu saya memang menggemari permainan bola sepak. Saya sering menjadi wakil pasukan Ladang Imam Tawau.Malah saya pernah mewakili Tawau di MSSS. Waktu itu, saya bermain sebagai pemain pertahanan. Malah saya juga sering menjadi wakil universiti dalam sukan antara universiti. Pencapaian paling tinggi saya dalam bolasepak ialah menjuarai sukan bolasepak antara universiti pada tahun 1987.
UB: Dulu belajar di universiti mana tuan?
HS: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sepanjang tempoh pengajian saya di UKM,dari tahun 1984 hingga 1988, saya mendapat keistimewaan tinggal di kampus, di Kamsis Ibrahim Yakub kerana sering menjadi wakil universiti dalam sukan bolasepak. Tiga tahun di universiti, selama tiga tahun itulah saya tinggal di bilik yang sama.
UB: Siapa antara rakan satu universiti dari Sabah?
HS: Antaranya Dr Jamili Nais, Pengarah Lembaga Taman Taman Sabah,Datuk Dr Mohd Kassim Haji Ibrahim, Timbalan Pengarah Pendidikan dan ramai lagi.
UB: Tahun berapa tamat pengajian di UKM?
HS: Saya jadi graduan pada tahun 1988. Sebaik tamat universiti, saya pernah jadi cikgu, mengajar tingkatan 6 dalam mata pelajaran ekonomi dan pengajian am di Yayasan Bakti Akademik di Tawau. Alhamdulillah, kebanyakan yang saya pernah ajar itu mendapat keputusan yang baik dan mereka berjaya masuk universiti. Selepas jadi guru sementara di sekolah swasta itu, saya mendapat tawaran bekerja di Jabatan Penerangan Sabah.
UB: Bila mula berkhidmat?
HS: Saya mula berkhidmat di Jabatan Penerangan bermula 26 Mei 1990. Kini saya sudah 26 tahun dalam perkhidmatan. Antara orang yang paling banyak pindah tempat bertugas.
UB: Antaranya?
HS: Saya mula bertugas sebagai Pegawai Penerangan Bahagian Pantai Barat Sabah pada 1990. Kemudian bertukar ke Bahagian Sandakan juga sebagai Pegawai Penerangan dari tahun 1990 hingga 1995. Saya kemudian dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat dari tahun 1995 hingga 1998. Kemudian saya ditukarkan ke Bahagian Media dan Komunikasi Korporat sebagai Penolong Pengarah (1998-1999). Pada tahun 1999, saya ditugaskan ke Bahagian Kudat sebagai Penolong Pengarah hingga tahun 2000. Selanjutnya saya dilantik sebagai Penolong Pengarah Bahagian Pantai Barat Utara (PBU) Sabah di Kota Belud hingga tahun 2001.Selepas itu, saya berpindah semula ke ibu pejabat sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Sabah pada tahun 2001 hingga 2003. Pada tahun 2003, saya dilantik sebagai Pengarah Penerangan Wilayah Persekutuan Labuan hingga 2005. Selepas Labuan, saya kembali semula ke Kota Kinabalu untuk menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat hingga tahun 2007. Kemudian saya ditugaskan sebagai Pegawai Perhubungan Awam, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Putrajaya dari tahun 2007 hingga 2009. Pada tahun 2009 hingga 15 Mei 2013, saya dilantik pula sebagai Timbalan Pengarah (Media) Bahagian Media dan Korporat , di ibu pejabat Penerangan di Putrajaya. Selepas itu, saya dilantik sebagai Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Penyelarasan Media, KKMM Putrajaya hingga 31 Ogos 2014. Pada 1 September 2014 hingga 28 Jun 2015, saya ditugaskan ke Negeri Melaka sebagai Pengarah Penerangan Melaka. Kemudian pada 29 Jun 2015 hingga 5 Februari 2017, saya dilantik sebagai Ketua Seksyen Hal Ehwal Korporat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Putrajaya. Sekarang saya dipindahkan semuka ke Sabah sebagai Pengarah Penerangan Sabah. Saya baru melapor diri pada 1 Mac 2017 yang lepas.
UB: Berapa lama tuan bertugas di Semenanjung?
HS: Kira-kira sepuluh tahun. Saya tidak menyangka juga dapat bertugas di Sabah semula.
UB: Selepas kembali ke Sabah, apa perubahan yang tuan rasakan?
HS: Sebenarnya walaupun bertugas di Semenanjung, saya sering balik ke Sabah. Kalau tidak balik kampung di Tawau, saya sering balik ke Kota Kinabalu, isteri saya berasal dari Kota Kinabalu. Tidak begitu banyak perubahan yang dapat dirasakan kecuali soal waktu. Masa solat. Saya pernah tersalah,ajak kawan minum kopi ingatkan masih ada waktu. Rupanya sudah hampir masuk waktu Isyak dan saya hampir tertinggal solat maghrib. Di KL, saya biasa bangun pukul 6.00 pagi, tidur kira-kira jam 1.00 pagi. Berbanding di ibu negara, di sini jalanraya tidak berapa sesak. Saya tinggal di Petagas dan jarak antara rumah dan pejabat tidak berapa jauh.
Di KL jalan raya lebih lebar, di sini lebih kecil. Di sana kalau tiada duit RM50 sekurang-kurangnya dalam sehari, kita sukar bergerak kerana kos minyak dan bayar tol, tetapi di sini walaupun jalannya kecil tetapi tiada tol. Di sana selain kos beli minyak, perlu sediakan duit untuk bayar tol. Bayaran parkir juga tinggi di Kuala Lumpur. Empat jam parkir, boleh dikenakan caj hingga RM25.
Satu lagi yang agak terasa ialah kelajuan internet. Di Putrajaya biasanya laju, tetapi di Sabah kelajuan internet agak perlahan dibandingkan dengan KL. Di KL, biasanya melakukan transaksi, membeli tiket, membayar bil secara talian sahaja tetapi di sini agak perlahan.
UB: Apa yang tuan paling rindukan di Sabah, yang tiada di semenanjung?
HS: Pisang goreng. Di sini ada pisang goreng, di sana jarang.Tidak seperti di Sabah.Kalau adapun di Dengkil. Kita ‘kecarian’ pisang goreng ala sabah di sana.Di Sabah, masih banyak yang murah, ayam murah, sayur murah. Mee goreng pun dihidang penuh, nasi banyak.Saya juga rindukan Sup, dengan pelbagai jenis sup, Sup daging dan sebagainya. Kalau rindukan makanan Sabah, saya terpaksa beli bahan -bahan nya dan kemudian masak sendiri.
UB: Tentu banyak pengalaman sewaktu bertugas di ibu negara? Apa di antaranya.
HS: Ketika bertugas di ibu negara, terutamanya ketika bertugas di bahagian korporat saya berpeluang menghadiri mesyuarat di peringkat ‘high level’, pernah duduk mesyuarat bersama Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin negara. Selain itu, ketika bertugas di Jabatan Penerangan, Putrajaya, saya banyak terlibat menguruskan wartawan luar negara yang membuat liputan di negara ini. Saya juga banyak terlibat dalam pengurusan pusat media ketika Pilihanraya umum (PRU) dan pilihanraya kecil (PRK). Di sini, saya jadi rapat dengan rakan-rakan media. Penubuhan pusat media, saya memang arif dari A- Z. Saya berpeluang juga menghadiri majlis-majlis besar dan sebagainya.
Selain itu, satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah ketika menjadi salah satu anggota pasukan peninjau bagi Lawatan Negara Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke Johannesburg dan Cape Town. Pada malam ketika tiba di sana, pemimpin dan negarawan Afrika Selatan Mandela meninggal dunia hingga menyebabkan lawatan itu terpaksa ditangguhkan. Kami yang terlanjur berada di sana, terus menggunakan kesempatan itu untuk menziarahi kampung Mandela untuk melihat rakyat memberikan penghormatan terakhir kepada pemimpin mereka. Kami melihat betapa kecintaan rakyat Afrika Selatan terhadap pemimpin negara mereka. Ada yang mengatakan Mandela ‘is too young to die’ padahal waktu itu beliau sudah berusia 90 tahun. Purata umur rakyat Afrika, kata orang di sana, kira-kira 120 tahun.
Dalam perjalanan pulang dari Afrika Selatan, kami transit di Dubai. Saya sempat melihat menara Al Buruj, salah satu menara tertinggi di dunia.
Selain itu, saya juga pernah ke Korea untuk mengikuti Excecutive Development Programme COTI selama 19 hari,ketika itu K-Pop sedang popular, Program Pertukaran Pegawai Perhubungan Awam Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, dan Seminar COCI Asean di Semarang.
UB: Oh ya, apa cita-cita tuan sewaktu kecil dahulu?
HS: Cita-cita saya sebenarnya mahu jadi pemain bolasepak. Saya minat melihat Hassan Sani, James Wong, Mokhtar Dahari beraksi. Idola saya Super Mokh atau Mokhtar Dahari. Kalau di peringkat dunia, saya memang gemar menonton Piala Dunia. Pemain terkenal ketika itu antaranya Deigo Maradona, Paulo Rossi, Zico, Socrates, Falcao. Kalau bolasepak, saya suka pasukan Chelsea ketika jurulatihnya Jose Maurinho. Pasukan favourit saya tentunya Real Madrid.
UB: Pernahkah tuan terfikir untuk bekerja di Jabatan Penerangan ketika kecil dahulu?
HS: Dulu ketika kecil saya hanya bercita-cita jadi pemain bola saja. Tetapi saya ingat sewaktu kecil dahulu, kami sentiasa menunggu ketibaan Jabatan Penerangan ke kampung-kampung. Mereka adakan tayangan wayang gambar atau wayang pacak. Mereka sering datang ke rumah, kerana ayah saya bertugas sebagai ketua kampung. Kalau mereka datang, kanak-kanak mandi awal agar mereka dapat ikut menonton wayang gambar, satu-satunya hiburan masa itu. Di tengah-tengah tayangan itu, ia dihentikan sebentar untuk memberi ruang kepada pegawai penerangan untuk memberikan maklumat mengenai Amanah Saham Nasional, Penyakit berjangkit seperti kolera dan sebagainya. Tayangan wayang gambar itu memang nostalgia. Di situlah saya mulai minat. Lepas itu pula, sewaktu di Universiti, saya mengambil bidang komunikasi. Saya membuat latihan industri di Jabatan Penerangan Tawau, dan melihat betapa orang ramai menghargai kerja-kerja Jabatan Penerangan sehingga mereka begitu dikenali oleh orang ramai.
UB: Apa agaknya cabaran yang dihadapi kini berbanding dahulu?
HS: Pola dunia kini berubah. Kita berhadapan dengan media sosial. Jadi antara cabaran kita sekarang ialah memberikan penjelasan mengenai dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat yang berada di media sosial. Sebagaimana yang kita tahu, sebanyak 60 peratus pengundi adalah di kalangan 40 tahun ke bawah. Dan kebanyakan mereka celik IT. Salah satu cabaran kita mendepani masyarakat yang terdedah kepada media sosial.Kita bawa Jabatan Penerangan untuk mencapai kegemilangan yang berterusan. Kini kita terpaksa memikirkan pendekatan baru.
UB: Berapa kakitangan Jabatan Penerangan seluruh Sabah?
HS:Terdapat seramai 322 pegawai dan kakitangan di seluruh Sabah, yang bertugas di tujuh bahagian di ibu pejabat dan 25 daerah yang dibahagi kepada enam bahagian.
UB: Oh ya. Apa motto tuan?
HS: Just do it.