SUNAN MURIA,BERDAKWAH DARI GUNUNG
Kalau boleh saya ingin berkunjung ke semua tempat yang pernah dikunjungi oleh Wali Songo. Bagi saya peribadi, perjalanan ke pulau Jawa kurang lengkap jika tidak bertemu dengan Wali Songo, meskipun sekarang wali songo sudah tiada. Saya bertekad dan berdoa agar dapat memziarahi semua makam wali songo.
Sebelum ini saya sudah berziarah ke Makam Sunan Ampel di Surabaya, Jawa Timur. Saya juga sempat singgah di Makam Sunan Bonang di Desa Mbonang, Kecamatan Lasem di Rembang, Jawa Tengah. Dari Rembang, saya berkunjung pula ke Makam Sunan Kudus di Kota Kudus. Dari Kudus, saya mengajak pak Historia ke Gunung Muria untuk menziarahi Makam Sunan Muria. Pak Historia, rakan yang membawa saya berkeliling beberapa kota di Jawa Tengah.
Dari Kudus, kereta Avanza yang kami naiki itu meluncur laju ke lokasi makam yang terletak di kawasan Wisata Colo. Perjalanan sejauh kira-kira 19 km itu hampir tidak terasa jauhnya kerana jalannya lebar dan lancar. Di kiri kanan jalan, terlihat rumah-rumah penduduk, kebun dan sawah. Kelihatan petani Jawa yang rajin sepanjang perjalanan kami.
Setibanya di pintu gerbang, dan selepas membayar tiket masuk, perjalanan diteruskan lagi. Makam Sunan Muria ada nama sebenarnya Raden Umar Said terletak kira-kira dua kilometer dari pintu masuk. Sunan Muria adalah anak kepada Sunan Kalijaga dengan Dewi Saroh binti Maulana Ishak.
Sebaik kereta berhenti, tanpa fikir panjang lagi saya terus naik ojek.Ongkosnya hanya Rp10,000 seorang. Sebenarnya saya boleh memilih berjalan kaki dengan menaiki tangga atau undhagan dalam bahasa Jawa. Tapi tempatnya agak jauh dan agak tinggi. Dari pintu masuk hingga pelataran masjid jauhnya sekitar 750 meter dengan menaiki tangga.Pasti mengambil masa yang panjang sedangkan kami tidak mempunyai masa yang lama kerana petang itu harus pulang ke Semarang.
Sunan Muria atau Raden Umar Said memang lain dari yang lain dalam menjalankan usaha dakwahnya. Beliau menggunakan cara yang lembut, ibaratkan mengambil ikan tetapi tidak membuat airnya keruh. Beliau mengajarkan penduduk di sekitar Gunung Muria untuk bercucuk tanam, berdagang dan sebagainya. Saya fikir sunan Muria adalah seorang pencinta alam.
Tapi kenapa beliau membina masjidnya jauh di atas bukit? Di daerah yang sangat terpencil? Di puncak gunung Muria yang bernama Colo itu, Sunan Muria membina tempat tinggalnya. Sebagai seorang Wali Allah, beliau diberikan banyak kelebihan dalam menyampaikan ajaran Islam. Namun beliau seorang yang rendah hati, terus bergaul dengan masyarakat, sambil mengajarkan cara bercucuk tanam, sambil berdagang, sambil mengajarkan kesenian gamelan dan wayang dan menjadikan sebagai alat dakwah menyebarkan ajaran Islam. Ada orang yang memberitahu, salah satu hasil dakwah beliau melalui media seni adalah tembang Sinom dan Kinanti. Namun saya belum sempat mendengarnya.
Dalam sejarah, pernah dicatatkan bahawa Sunan Muria menjadi pendamai dalam konflik dalaman Kesultanan Demak (1518-1530). Keperibadian Sunan Muria yang cendikia memudahkan beliau memecahkan pelbagai masalah dan dapat diterima oleh semua pihak. Beliau berdakwah di Jepara, Tayu, Juwana hingga sekidar Kudus dan Pati.Sasaran dakwahnya adalah petanu, pedagang, nelayan dan rakyat jelata.Berkat jasa wali songo, agama Islam tersebar di seluruh nusantara khusunya pulau Jawa.
Makamnya di Gunung Muria itu tidak pernah sepi dari pengunjung. Tempatnya di salah sebuah puncak setinggi kira-kira 1600 meter. Sebaik tiba di kawasan makam itu, saya terus menunaikan solat sunat di Masjid Sunan Muria. Selesai solat, saya terus memakai sepatu untuk berkunjung ke sekitar Makam.Gunung Muria itu masih terletak di bawah pemerintah Daerah Kudus. Di Kota Kudus, sendiri ada Menara Kudus yang dibina oleh Sunan Kudus pada tahun 1549 M.
Selepas melepaskan alas kaki, saya memasuki jalan khusus untuk pengunjung ke Makan Sunan Muria.Meskipun tidak dibenarkan mengambil gambar, tapi saya mendapat izin asalkan tidak mengganggu pengunjung yang lain. Saya sempat menghadiahkan al Fatihah sambil berdoa kepada Allah supaya saya juga diberi kekuatan untuk menjadi peribadi mulia seperti beliau. Selesai berdoa,saya sempat minum air yang disediakan dalam gelas plastik. Air itu adalah dari Gentong Peninggalan Sunan Muria. Mengikut cerita, gentong adalah sumber air yang kononnya berkhasiat mengubati berbagai penyakit.
Saya terfikir betapa kuat dan gagahnya Sunan Muria kerana harus turun naik gunung untuk menyebarkan dakwah Islam. Tanpa kekuatan fizikal, rasanya sukar bagi beliau untuk mendaki gunung setiap hari kerana tempat jauh di puncak gunung.
Kini di sepanjang jalan menuju Makam itu, kita dapat melihat banyak gerai kios yang menjual pelbagai jenis cenderamata, tasbih, kalung,baju, kuih muih, makanan dan minuman. Kita juga dapat melihat keindahan alam sekitar dan dapat melihat keindahan kota Kudus dari lereng gunung Muria.
Selepas menuruni bukit dan merakamkan beberapa gambar kenangan, saya mengajak Pak Historia melanjutkan perjalanan ke Masjid Agung Demak.