Isnin, 31 Oktober 2016

PAK ANDHIKA, PERNAH KUNJUNGI 53 NEGARA SEPANJANG 33 TAHUN JADI DIPLOMAT

Tags




PAK ANDHIKA, PERNAH KUNJUNGI 53 NEGARA SEPANJANG 33 TAHUN JADI DIPLOMAT

“SEKARANG saya tidak lagi dikejar kejar oleh waktu seperti dulu,” kata Andhika Bambang Soepeno, yang bersara selepas 33 tahun lima bulan berkhidmat sebagai diplomat di Kementerian Luar Indonesia. Mantan Minister Counselor di Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu ini yang bersara wajib penghujung Ogos lepas kini mempunyai lebih banyak waktu untuk mendengar bunyi cengkerik dan suara kodok, yang sudah lama menghilang di telinganya. Beliau menghabiskan waktu selama 19 tahun tujuh bulan bertugas di luar negaranya dan 13 tahun lapan bulan di Jakarta. Walaupun sudah bersara, kerana kepakarannya,Pak Andhika masih mendapat tugas daripada Direktorat Perlindungan Warga Negara Indonesia untuk membantu menangani permasalahan  warga Indonesia yang dicolek di perairan Malaysia. Di celah-celah kesibukannya ini, beliau kini melanjutkan pendidikan di peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaysia Sabah.

Andhika Bambang Supeno lahir di Semarang,  Jawa Tengah pada 13 Ogos 1956 . Beliau mendapat pendidikan rendah di Pringapus  dann pendidikan menengah di Ungaran. Kemudian Andhika melanjutkan pengajian di Universiti Diponegoro dalam Ilmu Pemerintahan dengan biasiswa Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia pada tahun 1981. Selepas itu, beliau mendapat biasiswa daripada Kementerian Luar Negeri untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Indonesia (UI) pada tahun 1993. Sepanjang kerjaya dalam bidang diplomatik selama lebih 33 tahun , Andhika sering ditempatkan daerah-daerah konflik. Beliau pernah ditempatkan di Myanmar, Nepal, Norway, Republik Iceland, Angola, Namibia, Congo, negara-negara Arab, Kemboja, Timor Timur, Republik Filipina, Palau dan Kepulauan Marshall.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang mewawancara  Pak Andhika di salah sebuah restoran terkemuka di ibu negeri baru-baru ini ketika berkunjung ke Sabah baru-baru ini. Ikuti petikan wawancara bersama beliau mengenai pengalamannya sepanjang berkhidmat sebagai diplomat.




UTUSAN BORNEO: Berapa lama Pak Andhika bertugas di Kementerian Luar Indonesia?
ANDHIKA BAMBANG SOEPENO (ABS): Saya berkhidmat selama 33 tahun 5 bulan berkhidmat di Kementerian Luar Indonesia. Saya pernah bertugas di 53 buah negara di dunia selama kira-kira 19 tahun tujuh bulan  termasuk dua tahun lima bulan sebagai minister counselor di Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu.  Saya bertugas selama 13 tahun lapan bulan di HQ Kementerian Luar di  Jakarta. Saya juga pernah diposting sebanyak enam kali di luar negara selain  empat kali mendapat tugas khusus,antaranya berkhidmat di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

UB: Selepas pencen, apa saja kegiatan pak Andhi?
ABS:Setelah  pencen, saya jalan-jalan ke Myanmar, jumpa kawan-kawan lama di sana. Saya pernah bertugas selama tiga tahun lapanbulan di sana. Itulah posting pertama saya di luar negeri  tahun 1986 hingga 1989. Saya pernah  mengalami suasana kudeta berdarah di sana
Kemudian saya terus ke Laos. Saya ingin tahu mengenai Laos, satu-satunya negara Asean yang belum pernah saya kunjungi ialah Laos. Saya juga mampir ke Bangkok. Kemudian terbang ke Manila, berkunjung ke OPAPP, Office of Presidential Assistant On Peace Process, IMT atau International Monitoring Team (IMT).

UB: Tentu sekarang lebih relaks. Selepas bersara, pak Andhi terus pulang ke Jakarta?
ABS: Sekarang lebih relaks mengatur diri, tidak sama sewaktu bekerja di kantor (pejabat). Namun saya belum sempat pulang kampung. Tanggal 1 September, saya pulang dari KK ke Jakarta. Tanggal 2 September, saya langsung lapor ke Direktorat Perlindungan Warga Negara Indonesia. Saya diminta oleh  Direktorat Perlindungan Warga Negara Indonesia untuk membantu menangani masalah WNI Indonesia yang dicolek di perairan Malaysia. Mereka adalah Warga Indonesia yang kerja secara rasmi di Sabah sebagai krew atau anak buah kapal penangkap ikan. Selepas itu, saya terus terbang ke Kuala Lumpur. Isnin pagi dari Kuala Lumpur terus ke Sandakan hingga tanggal 15 September. Lepas itu pulang lagi ke Jakarta. Tanggal 22 September, datang lagi ke Sandakan hingga tanggal 27 September. Selepas itu, saya  berkunjung  Myanmar, Laos, Bangkok, Filipina.Kemudian saya sempat beri kuliah di Universiti di Solo. Sekarang  saya melanjutkan pelajaran PhD di Universiti Malaysia Sabah.

UB: Wah tambah sibuk ya. Apa hobi bapak di masa lapang?
ABS: Saya suka berenang. Kenapa? Saya ikut saranan doktor bagi memulihkan otot bahu saya terjejas akibat kejadian kecelakaan kereta kira-kira 12 tahun lalu di Afrika iaitu di Perbatasan Namibia-Angola. Tiga kali terguling selepas tayar meletup terlanggar batu kerikil yang keras. Terguling tiga kali. Tapi waktu itu tidak apa-apa. Setelah beberapa lama kemudian baru terasa apa masalah di bahu.
Sekarang ada lebih masa untuk mendengar bunyi cengkerik atau suara kodok yang sudah lama menghilang di telinga. Dulu saya seing ditugaskan di daerah konflik.

UB: Tentu banyak pengalaman bertugas di luar negara. Apa antaranya?
ABS: Saya pernah menyaksikan matahari bersinar di tengah malam. Saya pernah melihat satu tempat yang tidak ada pohonan. Pohonan hanya tumbuh di tanah perkuburan. Saya juga pernah bertugas di sebuah negara pulau iaitu di Palau dimana  hampir kesemua penduduk di nya  sentiasa memerhati pergerakan gelombang dan arah angin setiap hari.

UB: Pak Andhika dulu pernah ditugaskan di Myanmar. Boleh ceritakan semula pengalaman bertugas di sana?
ABS: Saya ditempatkan di Rangoon, (Kini Yangon) sebagai Atase dan Setiausaha Ketiga di Kedutaan Indonesia di Rangoon yang meliputi Myanmar dan Nepal pada tahun 1986 hingga 1989. Sewaktu itu, Myanmar sedang berada dalam konflik. Aung San Suu Kyii yang menang pilihanraya dinafikan kemenangannya . Rakyat memberontak.Untuk memadam pemberontakan, tentera dikerahkan untuk berkawal menjaga keamanan. sampai sekarang. Sewaktu berada di sana , saya sempat menziarahi jenazah ibu Aung San Suu Kyi yang meninggal dunia pada bulan Disember 1988.

UB: Selepas itu dimana bapak ditugaskan?
ABS: : Saya mendapat tugas khas di bawah panji PBB sebagai pegawai pengurus pilihanraya atau International Polling Station Officer (IPSO) di UN Transitional Authority di Kemboja pada bulan April hingga Jun pada 1993 di Kompong Champ dan Phnom Penh.

UB: Apa pengalaman di sana?
ABS: Dulu pernah saya ceritakan pengalaman  ketika menaiki helikopter. Ketika itu masih ada pemberontakan Khmer Rouge lawan tentera kerajaan. Semua orang memakai baju kalis peluru. Tetapi saya tidak.Sebaliknya saya menyimpannya di bawah tempat duduk. Sebabnya kalau orang menembak dari bawah, pasti yang kena ialah tempat duduk kami. Akhirnya semua orang membuka baju kalis pelurunya dan menjadikannya alas duduk supaya tidak tertembak dari bawah.

UB: Dimana Pak Andhika ditugaskan selepas itu?
ABS:  Tugas diplomatik saya yang kedua ialah di Norway dan Republik Iceland dari tahun 1993 hingg 1997. Saya dilantik sebagai Setiausaha Kedua dan Setiausaha Pertama di Kedutaan Besar Indonesia di Oslo (Norway).

UB: Apa pula pengalaman menarik sepanjang berada di sana?
ABS: Di Norway, saya sempat menyaksikan fenomena alam, ada matahari jam 12 malam. Jika kita berada di 69 darjah lintang utara, di Tromso, kita boleh menyaksikan `midnight sun'. Matahari terbit tengah malam di Tromso yang terletak di 69" Utara setiap 22 Jun. Ini satu pengalaman yang menarik. Sepanjang berkhidmat di Norway, satu-satunya yang menjadi panduan kita jika mengerjakan ibadah solat atau puasa ialah jam. Kalau musim summer (musim panas), masa puasanya panjang. Imsak kira-kira jam 2.00 pagi manakala waktu berbuka jam 9.30 malam. Sebaliknya Winter (musim dingin) waktu puasanya boleh jadi lebih pendek. Waktu imsak kira-kira jam 8.30 pagi dan berbuka jam 3.00 petang.

UB: Selalu ke Republik Iceland juga? Tentu dingin?
ABS: Sepanjang selama empat tahun satu bulan di Oslo, saya juga ditugaskan di Republik Iceland. Di sana sejuk sekali. 21 darjah celcius. Kalau kita pegang telinga pun tidak terasa kerana terlalu dingin. Di sana tak ada rumput, hanya batu karang. Kalau pohon, hanya ada di kuburan.

UB: Pak Andhi pernah bertugas di Timor Leste. Boleh ceritakan sedikit?
ABS: Saya  pernah dilantik sebagai Pegawai Daerah di Pasukan Petugas di Aileu Regenc, Timor Timur. Saya pernah mengalami pengalaman menakutkan ketika bertugas di Aileu, sebuah daerah perkebunan kopi. Ketika dievakuasi kerana terjadi pertembungan antara kelompok bersenjata, saya memilih jalan darat sementara rakan lain dijemput dengan helikopter. Tapi saya dapat melewati sekatan demi sekatan jalanraya yang diadakan dalam perjalanan yang melelahkan dan mengerikan.

UB: Bapak pernah ditugaskan di Afrika? Tahun berapa?
ABS:  Saya dilantik sebagai Konsul di Kedutaan Indonesia di Windhoek (Namibia) meliputi negara Namibia,Republik Angola dan Demokratic Republik Congo pada tahun 2000 hingga 2004. Di sana juga ada pengalaman yang sangat unik. Saya sempat menjadi anggota pengaman di Demoratic Republic of Congo (DRC). Dalam bulan Ogos 2001, saya mengadakan pertemuan dengan Menteri DRC untuk meninjau kemungkinan Indonesia menghantar kontinjen pengaman di Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Congo.

Ada beberapa pengalaman menarik sepanjang berada di negara Afrika. Pernah satu ketika kami naik pesawat Boeing 737 dari Luanda ibu kota Angola, ke Kinshaha. Walaupun di luarnya bertulis 737 tetapi pesawat itu sebenarnya dari jenis 707. Orang bersesak masuk. Letak barang sembarangan. Sewaktu mahu bertolak masih juga ada orang yang mahu menumpang. Akhirnya pesawat terbang , bukan seperti diangkasa. Kita terbang terasa seperti di atas pepohonan saja. Sebaik mendarat, semua orang bertepuk tangan kerana selamat dalam penerbangan itu.
Saya sempat ke perkampungan mereka di Gurun Kalahari ke arah Bostwana untuk memberi ubat-ubatan dan bahan makanan. Melalui jurubahasa kami bertanyakan stesen minyak.Stesen minyak terletak dalam jarak 100 km. Kami dapat berkomunikasi dengan mereka melalui jurubahasa. Hanya dua perkara yang mereka takut. Pertama mereka takut ular. Ular Mamba boleh berjalan dengan kelajuan 20 km sejam dan bila mematuk, mangsa boleh mati dalam masa 20 minit, Begitulah. ia jenis ular berbisa.Kedua mereka sangat takut bomoh atau dukun santet. Tempat tidur mereka setinggi satu meter dari atas tanah kerana mereka takut dukun menghantar toyol untuk membunuh mereka. Menurut kepercayaan mereka, toyol hanya setengah setengah meter.Oleh sebab itu, mereka membuat tempat tidur di atas satu meter supaya tidak diganggu toyol.

UB: Boleh ceritakan pengalaman Pak Andhika ketika bertugas di Filipina
ABS:  Pada tahun 2008 hingga 2012, saya ditugaskan sebagai Minister Counsellor di Kedutaan Besar Indonesia di Manila, yang meliputi Republik Palau dan Republik Marshall Islands. Di sana saya terlibat dalam proses perjanjian damai antara Kerajaan Filipina (GPH) dan MNLF, Proses Perdamaian GPH-MILF. Sebagai salah seorang anggota perwakilan Indonesia, saya sempat menghadiri mesyuarat antara GPH dan MNLF di Tripoli, Jeddah, Surabaya, Solo dan Bandung (Indonesia), Manila, Tagaytay City dan Davao City antara tahun 2010 hingga 2012.
Pada tahun 2010,Saya juga menjadi salah seorang perwakilan Indonesia untuk menemui Pemimpin Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Kem Darapanan, Sultan Kudarat untuk membincangkan kemungkinan keanggotaan Indonesia dalam Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT). Indonesia komited memastikan kedamaian bukan saja di rantau ini bahkan di seluruh dunia sesuai dengan pembukaan Undang-Undang Dasar 45. Saya juga melawat Ibu pejabat IMT dan IMT Mobile Team Sites di General Santos City, Cotabato City, Zamboanga City, Iligan City .Saya juga menjadi anggota IMT di Team Site 5, Davao City, Mindanao.

UB: Apa pengalaman lain ketika bertugas di Filipina?
ABS:Filipina pula adalah sebuah negara yang menjadi laluan angin taufan. Dalam setahun terdapat 20 taufan, empat daripada mencapai kelajuan antara 100 hingga 200 km sejam. Di sana, saya terbiasa dengan berita mengenai angin taufan dan sentiasa berjaga-jaga kerana risiko bahaya taufan. Untuk bertugas di sesebuah negara, paling penting ialah kita tahu adat istiadat, budaya,demografi, iklim dan sebagainya.
UB: Oh ya, saya teringat kisah pak Andhika ketika bertugas di Kepulauan Marshall. Boleh ceritakan?
ABS:Ketika bertugas di Kepulauan Marshall, banyak pengalaman menarik juga. Saya naik pesawat selama 19 jam untuk sampai ke negara kepulauan yang mempunyai penduduk sekitar 60,000 orang saja. Kami terpaksa berhenti enam kali di beberapa lapangan terbang seperti di Guam, Micronesia dan Pengkalan Tentera Kuajelin untuk sampai ke sana. Di Kuajelin kami tidak boleh turun, pesawat hanya dibenarkan isi minyak. Di Kepulauan Marshall, tanahnya sangat rendah. Orang sudah biasa dengan berita tsunami setiap hari. Setiap hari juga mereka memerhati gerak gelombang dan arah angin. Ramalan cuaca sudah menjadi makanan seharian mereka. Cerita mengenai gelombang, ombak laut, arah angin mengisi kehidupan seharian penduduk yang terpaksa bergantung kepada sumber laut.

UB: Oh ya pak. Sepanjang bertugas selama dua tahun lima bulan, tentu ada pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Boleh ceritakan pak?
ABS: Sepanjang saya ditugaskan sebagai diplomat di luar negeri, inilah tempat yang paling istimewa. Menurut isteri saya, This is the best. Tempat ini banyak pohonan, tidak terlalu mengalami kesesakan lalu lintas. Di tempat kami tinggal itu, setiap bangun pagi, kami boleh melihat pemandangan laut, pulau dan banyak kapal-kapal kecil. Juga nampak pergunungan.Kota Kinabalu tempat yang amat akrab dengan saya. Saya mendengar azan subuh sama seperti di kampung saya. Saya juga dapat mendengar satu bunyi atau suara yang tidak pernah lagi saya dengar sejak 30 atau 40 tahun yang lalu, iaitu suara katak. Suara yang mengingatkan saya kampung halaman saya. Saya mendengar kicauan burung yang mengingatkan saya zaman kanak-kanak.Masyarakat di sini juga ramah dan baik.