UBAT HATI ADA LIMA PERKARA, TERINGAT NASIHAT SUNAN BONANG
Ubat hati itu ada lima perkara, kata Sunan Bonang atau Syeikh Maulana Makhdum Ibrahim, putra Sunan Ampel (Syed Ali Rahmatullah) dengan Dewi Candrawati ( Nyai Ageng Manila). Dalam bahasa Jawanya, Tamba ati iku lima perkarane. Ubat Hati itu ada lima perkara, ini yang dikatakan Sunan Bonang dalam Lelagon Tamba Ati yang sudah berusia ratusan tahun ini tetapi masih terdengar merdu di telinga kita. Bagi yang pernah mendengarnya, Lelagon Tamba Ati itu sarat dengan pesan moral. Mempunyai banyak nilai-nilai kearifan orang Jawa yang disampaikan dengan lembut dan bijaksana.
Sebagaimana yang kita tahu, Sunan Bonang adalah salah seorang dari sembilan wali atau wali songo yang terkenal dalam penyebaran dan pengembangan Islam di Pulau Jawa. Namun walaupun sudah ratusan tahun berlalu, pesan yang disampaikannya dalam lagu Tamba Ati ini sangat baik untuk diamalkan kerana ia benar-benar mampu mengubat hati kita yang rusuh, yang risau, yang galau, yang bingung atau yang seumpamanya.
“Tamba Ati iku lima perkarane
Kaping pisan maca Qur’an samaknane,
Kaping pindho solat wengi lakonana
Kaping telu wong kang soleh kumpulana
Kaping papat kudu weteng ingkang luwe
Kaping lima dzikir wengi ingkang suwe
Salah sawijine sapa isa anglakoni
Mugi-mugi Gusti Allah ngijabahi.
(Ubat hati itu ada lima perkara
Pertama, membaca Al-Quran dan memahami maknanya
Kedua, melakukan shalat malam,
Ketiga, berkumpul dengan orang saleh,
Keempat, harus melakukan puasa
Kelima, dzikir malam yang lama
Salah seorang yang boleh melaksanakan itu semua
Maka Allah akan berkenan mengabulkannya).
Ketika pertama kali mendengar lagu Tamba Ati atau kadang disebut Tombo Ati ini daripada Allahyarham Ustaz Yazeed Abbas, seorang ustaz yang banyak membantu memberikan kepada saya mengenai Tamba Ati ini, saya terasa pesan yang ditinggalkannya ini sangat bermanfaat. Lagu Tamba Ati ini juga pernah dipersembahkan Kumpulan Kyai Kanjeng Emha Ainun Najib.
Menurut Mohammad A. Syuropati yang mengumpulkan buku Kumpulan Mutiara Kearifan Jawa, melalui lagu Tamba Ati kita dapat menyerap nilai-nilai kearifan yang dapat memberikan ubat bagi hati kita.
Jika kita mahu mengubat hati kita, maka ada lima perkara yang dapat kita lakukan untuk menyembuhkannya. Pertama, kita hendaklah membaca Al-Quran dan memahami maknanya. Pemahaman akan maknanya begitu penting supaya kita dapat melaksanakan dan mengamalkan ajaran-ajaran yang tersurat atau tersirat dalam Al-Quran. Jadi pemahaman terhadap makna ayat-ayat Al-Quran amatlah diutamakan, bukan setakat membaca tanpa memahami maknanya.
Ubat hati yang kedua ialah melakukan shalat malam. Shalat malam setelah bangun tidur itu terasa lebih khusyuk. Kita dapat melakukan ibadah dengan tenang dan kita dapat menyampaikan doa dan permohonan kita dengan lebih baik kepada Allah SWT.
Ubat ketiga yang dikatakan Sonan Bonang ialah kaping telu kang soleh kumpulana atau berkumpul dengan orang saleh. Apabila kita mahu menjadi manusia yang saleh dan berhati jernih maka kita harusllah juga berkumpul dengan orang Saleh, suaya kita juga dapat menjadi orang Saleh,
Jika kita mahu terbebas dari penyakit hati dengan pelbagai variasinya itu maka Sunan Bonang berkata, ubat hati yang keempat atau kaping papat Kudu wateng ingkang luwe yang maksudnya harus melakukan puasa. Kita dinasihatkan melakukan puasa sama ada yang wajib yang sunat.Melalui puasa kita dapat mengendalikan hawa nafsu, nafsu amarah, nafsu lawamah,,dan sebagainya, Hanya dengan itu, kita dapat mencapai kebahagian sejati.
Kaping Lima Dzikir wengi ingkang suwe. Ubat hati yang kelima iallah dzikir malam yang lama.Zikir yang diucapkan lama dan dihayati dengan hati akan dapat membuka hati kita yang tertutup dari cahaya ilahi.
Itulah lima perkara yang perlu dilakukan sebagai pengubat hati kita. Pesan Sonan Bonang yang mengandungi banyak kearifan ini hendaknya dapat kita renungkan dan laksanakan. Semoga penyakit yang melanda hati kita, dapat disembuhkan dan diubati dengan mengamalkan lima perkara yang dipesankan ini.
Sabtu, 16 Januari 2016
UBAT HATI ADA LIMA PERKARA, TERINGAT PESAN SUNAN BONANG
✔
abd naddin
Diterbitkan 11:31 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)