Isnin, 25 Januari 2016

CATATAN SELEPAS MEMBACA MINIT MESYUARAT USNO TAHUN 1961

Tags

CATATAN SELEPAS MEMBACA MINIT MESYUARAT TAHUN 1961



“Kalau setakat kedudukan saya, bermacam-macam pingat mereka berikan kepada saya, supaya saya tidak meneruskan perjuangan menuntut kemerdekaan negeri Sabah,” kata Allahyarham Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun ketika ditanya oleh Tuan Haji Abdul Ghani.

Itulah jawapan Tun ketika Haji Abdul Ghani Ibrahim bertanya apa tujuan kita? Apa tujuan mereka bermesyuarat itu. 

Walaupun diberikan pelbagai pingat , ia sama sekali tidak menghalang hasratnya untuk mengurungkan niat untuk merdeka.
Tetapi kata Haji Abdul Ghani lagi, bagaimana kita mahu merdeka? Apa yang kita boleh buat? Membuat jarum pun kita tidak pandai, katanya.

Soal pandai, kata Tun Mustapha, jangan jadi persoalan. Pokoknya kita bersatu. “Sementara itu, kita minta kerjasama dengan guru sekolah dan saudara-saudara kita yang bekerja di pejabat untuk menyediakan kertas kerja sebelum kita memilih jawatankuasa penaja perjuangan”.

Kata-kata Tun Mustapha dicatatkan dengan baik oleh Cikgu Sabli Mohiddin, yang menjadi Setiausaha Agung USNO yang pertama.

Ketika itu, beliau mengajar di Sekolah Rendah Pekan Kudat. Beliau bersetuju untuk menyumbangkan tenaga dengan sukarela. Beliau menegaskan, ulasan Tun Mustapha itu semua orang faham dan bersetuju. Namun beliau mengingatkan mengenai pepatah orang-orang tua, jangan panas-panas tahi ayam. Cikgu Sabli menulisnya begitu, bukan hangat-hangat tahi ayam melainkan jangan panas-panas tahi ayam. Berjuang terus berjuang.

Mesyuarat pertama Usno itu diadakan pada 24 Jun 1961 bermula jam 2.00 malam. Sekembalinya dari England, Tun Datu Haji Mustapha mengumpulkan seramai 60 orang penduduk kampung Air termasuk orang-orang di bandar Kudat untuk mengadakan doa selamat di kediaman Haji Abdullah Salleh dekat pokok Asam di Kampung Air pada 2 Jun 1961 jam 9.00 malam

Dalam perjumpaan itu, beliau menjelaskan kepada penduduk kampung mengenai apa yang dilakukannya selama berada di England. Tanpa diketahui oleh penduduk Sabah, menurut catatan dalam mesyuarat itu, beliau mengadakan perbincangan dengan Badan setiakawan di England mengenai kedudukan dan kemahuan orang-orang Sabah.

Selepas itu, kata Tun, beliau berjumpa dengan almarhum Tunku di kediamannya di Tanah Melayu dan minta nasihat kerana Tanah Melayu sudah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Dalam minit mesyuarat pertama Usno itu juga, Tun Datu Mustapha menerangkan peristiwa Paduka Mat Salleh memberikan tentangan hebat kepada British Chartered Company di negeri Sabah namun gagal, sehinggalah kedatangan Jepun ke Sabah pada 17 Februari 1942. Katanya, disebabkan kemarahan anak-anak tempatan kepada pemerintah Jepun, mereka menubuhkan pasukan Gerila dipimpin oleh Tun Datu Mustapha, dibantu pasukan Bersekutu . Akibat pengeboman atom di Hiroshima dan Nagasaki pada 6 Ogos 1945, Jepun menyerah kalah. Tentera Australia bertapak di Labuan hingga 1948. Pemerintahan British tolong hinggalah sekarang tanpa disedari oleh penduduk Negeri Sabah, darah kita dihisapnya, kata beliau.Saya agak terpegun membaca kata-kata atau ayat yang digunakan Allahyarham Tun dalam membangkitkan semangat rakyat untuk merdeka.Bukan sahaja tenaga kita sumbangkan bahkan wang ringgit, kita korbankan. Demikian yang tercatat dalam minit itu. Dalam derma kilat yang diadakan kemudian, Tun Mustapha menderma $100.00, Datu Aliudin $20.00, Datu Jamalul Mohamad $30.00, Haji Mohd Thani Ibrahim $10.00, Haji Ajie Haji Mustapa $10.00, Haji Sidek Danta $10.00, Haji Jalil Ayang $10.00, Haji Salleh Ibrahim $10.00, Haji Salleh Eberwin $10.00, Encik Sinjin Talam $10.00, KK Haji Bongga Taudin $10.00 dan KK Haji Awang Karim Haji Ahong $10.00.

Inilah antara senarai penderma seperti yang tercatat dalam minit mesyuarat kali pertama penaja USNO.Saya kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh orang-orang tua kita dahulu. Bukan saja tenaga, bahkan wang ringgit sanggup mereka korbankan demi mencapai cita-cita kemerdekaan.

Walaupun mungkin ada keraguan, bahawa `membuat jarum pun kita tidak pandai’ tetapi akhirnya semuanya bersatu untuk memperjuangkan kemerdekaan.Mari kita hayati dan renungkan semangat perjuangan yang dimiliki oleh orang-orang tua kita dahulu. Kemerdekaan yang mereka perjuangkan itu hendaknya janganlah sia-sia.





UTUSAN BORNEO 24 Januari 2016