Rabu, 19 Ogos 2015

MOHAMMAD DSP HAJI AHMAD AYID, PERNAH BELAJAR MATEMATIK KOMPUTER DI LONDON

Tags



MOHAMMAD DSP HAJI AHMAD AYID, PERNAH BELAJAR MATEMATIK KOMPUTER DI LONDON

"Kalau kamu berjalan, jangan tengok terlampau jauh ke depan, sebaliknya tengok apa yang ada di depan kamu, takut kamu terpijak tahi sapi. Kamu tengok dimana tempat kamu berpijak. Selalu tengok apa yang di depan kamu sebelum tengok ke tempat jauh"begitulah pesanan Allahyarham Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun yang selalu diingati oleh Mohammad Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid, seorang aktivis belia dan dakwah di Sabah dan pernah menjadi Timbalan Ketua Belia Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) satu ketika dahulu.

MOHAMMAD DATUK SERI PANGLIMA HAJI AHMAD AYID dilahirkan di Tawau pada tahun 1950. Beliau mendapat pendidikan rendah di St Patrick School Tawau (1957-1963) dan melanjutkan pendidikan menengah di sekolah yang sama dari tahun 1964 hingga 1970. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di peringkat A Level di Birmingham College. Kemudian beliau diterima memasuki South Bank Polytechnic London dan lulus dalam bidang Mathematic Computer pada tahun 1978. Beliau memiliki pengalaman luas dalam bidang organisasi. Beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Sabah Student Union (SSU) ketika belajar di London, Aktivis Badan Belia Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan pernah menjadi Timbalan Ketua Belia USIA Pusat.

Beliau juga memiliki pengalaman dalam bidang keusahawanan dan perniagaan tetapi beliau lebih dikenali sebagai aktivis vokal, suka berterus terang tetapi mudah simpati terhadap kepentingan rakyat kecil. Dalam sejarah perjuangannya, beliau pernah memegang peranan penting dalam menentukan survival perjuangan masyarakat Islam melalui organisasi yang dianggotainya. Ayahnya, Allahyarham Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid adalah bekas Naib Yang Di Pertua USIA manakalah ibunya, Datin Hajah Nikmah adalah bekas Ketua Wanita USIA Tawau.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang mewawancara beliau di pejabatnya di Wisma Tun Fuad Stephens di Karamunsing baru-baru ini untuk berkongsi pengalaman bersama beliau. Ikuti petikan wawancara bersama beliau mengenai sedikit pengalamannya.

UB: Boleh ceritakan dimana tuan belajar sewaktu sekolah rendah?

MOHAMMAD: Saya belajar sekolah rendah di St Patrick School Tawau pada tahun 1957 hingga 1963. Kemudian saya belajar sekolah menengah juga di sekolah yang sama iaitu dari tahun 1964 hingga 1970. Pada tahun 1970, saya dihantar ke England, di Birmingham College untuk buat A Level.

UB: Dimana tuan melanjutkan pelajaran selepas A Level?

MOHAMMAD: Saya melanjutkan pelajaran dalam bidang Mathematical Computer di South Bank Polytechnic London. Bidang Mathematical Computer pada masa itu tergolong masih baru. Saiz komputer pun masih besar, tidak seperti sekarang.

UB: Berapa orang pelajar Sabah yang belajar bidang matematik computer masa itu?

MOHAMMAD: Seingat saya, hanya saya seorang saja dari Sabah. Tidak pasti pula kalau ada lagi yang lain. Dari Malaysia, saya seorang dan ada pelajar India dari Johor.

UB: Mungkin ada pengalaman menarik sepanjang belajar di London dulu? Boleh ceritakan sedikit?

MOHAMMAD: Pengalaman banyak kalau mahu diceritakan.Kalau musim cuti atau tidak kuliah, saya kerja apa saja untuk dapat duit. Saya pernah kerja cuci tandas,dengan upah yang lumayan juga. Pernah jadi pengurus KFC, jadi penolong pengurus sebuah syarikat dan sebagainya.

UB: Aktif dalam Persatuan Mahasiswa?

MOHAMMAD: Sewaktu di London, saya aktif dalam Sabah Student Union.Saya pernah jadi ahli jawatankuasa ketika Sabah Student Union dipimpin oleh Ahmad Datuk Kassim, Datuk Zaki Haji Gusmiah, Datuk Anifah Aman. Saya juga menyertai Malaysian Student Union yang dianggotai pelajar-pelajar dari 14 negeri di Malaysia yang belajar di London.

UB: Siapa antara pelajar dari Sabah yang menuntut di England pada masa itu?

MOHAMMAD: Antara rakan-rakan dari Sabah yang menuntut di London pada masa itu ialah Yahya Yakub, Yong Teck Lee (sekarang Datuk), Jalil Ghani, Amde Sidik, Nasir Tun Sakaran (sekarang Datuk), Suzanna Liew (Datuk), Datuk Norchaya Arshad (Datuk) dan Josie Bosie.

UB: Apa jenis sukan yang diminati di sekolah dulu?

MOHAMAD: Di sekolah saya minat main bolasepak, hoki saya pernah main untuk politeknik, termasuk dalam kesebelasan utama, kriket, rugbi, renang,.lumba lari. Ketika belajar di London, kami agak aktif dalam persatuan sehingga memberikan nama yang baik untuk pelajar Sabah. Saya pernah jadi wakil dalam seni silat. Karate, Jo Bangka, sejenis sukan yang menggabungkan Judo, karate , Silat. Malah satu ketika dahulu, bersama arwah Saimin Amin kami mengasaskan Persatuan Seni Silat Olahraga. Saya jadi bendahari masa itu.

UB: Tahun berapa habis belajar di UK?

MOHAMMAD: Tahun 1978, saya jadi graduan. Masa itu komputer masih baru diperkenalkan. Ketika belajar dahulu, saya pernah ke Arab Saudi untuk buat terjemahan Al-Quran dalam komputer. Saya juga pernah di jemput di Holland, bahkan saya pernah juga dijemput Westminster Abbey dan sebagainya. Kemudian pada tahun 1978, saya balik Sabah sebaik tamat belajar di UK.

UB: Sebagai seorang yang terlatih dalam bidang matematik komputer, apa kerja yang pernah tuan ceburi?

MOHAMMAD: Saya sebenarnya mendapat tawaran untuk bekerja di Kementerian Kewangan kerana ada kekosongan pada masa itu. Tapi arwah bapa saya dipujuk untuk masuk parti Berjaya tapi beliau tidak mahu kerana arwah bapa saya itu, orang kuat USNO dan rapat dengan arwah Tun Datu Mustapha. Oleh sebab itu, kerana adanya politik masa itu, saya tidak jadi kerja di jabatan kerajaan.

Kemudian arwah bapa saya menawarkan saya untuk menguruskan estetnya di Batu 10. Saya urus estetnya. Sampaikan pada waktu itu, saya buat penyelidikan untuk menghasilkan baja untuk kebun sawit yang boleh menghasilkan buah sawit yang besar.Saya juga disuruh jaga kedai. Saya pun jaga kedai untuk bapa saya.

UB: Apa aktiviti lain yang tuan lakukan untuk mengisi masa lapang?

MOHAMMAD: Masa itu saya aktif dalam kepimpinan Badan Belia USIA di Tawau. Ketua Belia USIA Tawau masa itu ialah Ismail Haji Awadan. Antara belia-yang aktif pada masa itu ialah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, Ustaz Haji Baharuddin Alwi, ada seorang jadi pegawai polis dan ramai lagi.

Masa itu juga kami aktif mengadakan kursus dan khemah belia Usia, antara pembimbingnya Ustaz Salleh Masuni, Ustaz Syuaib Asren, Ustaz JM Ikhwan Asngadi.

UB: Selepas itu, tuan bekerja di mana?

MOHAMMAD: Tahun 1980, saya berpindah ke Kota Marudu. Saya berniaga di Kota Marudu, jual ubat -ubatan setiap minggu di bawah pokok. Saya pernah berniaga di tamu di Pitas, di Tandek, di Kudat dan sebagainya. Pendapatannya agak lumayan. Saya boleh menjual hingga RM6,000 setiap kali ke tamu hanya dengan menjual herba dan pasak bumi.

UB: Boleh tahan juga tu tuan, banyak pendapatan waktu itu.

MOHAMMAD: Selain itu, masa itu saya juga dapat kontrak untuk membina sekolah di Marak Parak, bahkan saya adalah kontraktor pertama bekalan makanan kantin di SMK Kota Marudu. Hasil keuntungan daripada projek ini saya gunakan untuk beli kedai, beli tanah, beli rumah dan sebagainya. Selebihnya saya gunakan untuk perjuangan.

UB: Aktif juga dalam parti?

MOHAMMAD: Saya terus aktif dalam perjuangan USNO ketika berada di Kota Marudu.Saya rapat dengan pemimpin-pemimpin Pemuda USNO seperti Datuk Osu Sukam, Datuk Railey Jeffrey, Datuk Nilwan Kabang, kami satu angkatan. Bahkan, pada satu ketika saya menjadi salah seorang yang ditugaskan untuk memilih calon dan memastikan kemenangan calon-calon USNO dan BN di 8 kawasan DUN dari Kota Belud hingga Kudat, antara Banggi, Pitas, Bengkoka, Tempasuk, Usukan dan sebagainya. Saya ingat lagi, pernah berkempen guna lori untuk memenangkan Datuk Yussof Manan.

UB: Bagaimana tuan terlibat dalam perjuangan USNO dulu?

MOHAMMAD: Mulanya sebagai seorang anak kepada pejuang USNO, saya selalu bantu angkat kerusi, susun kerusi jika ada program ceramah politik yang diadakan. Sewaktu di London, kami anak-anak pejuang USNO menubuhkan Kelab Usno, sesuatu yang mungkin tidak disenangi oleh kerajaan pada masa itu.

UB: Sebagai seorang yang pernah bersama dengan Arwah Tun Mustapha, Bapa kemerdekaan Sabah, mungkin ada kata-kata atau pesanan Tun yang masih diingati?

MOHAMMAD: Salah satu pesannya ialah kalau kamu berjalan, jangan tengok terlampau jauh ke depan, sebaliknya tengok apa yang ada di depan kamu, takut kamu terpijak tahi sapi. Kamu tengok dimana tempat kamu berpijak. Selalu tengok apa yang di depan kamu sebelum tengok ke tempat jauh.

UB: Pernahkah tuan dipujuk untuk sertai parti lain?

MOHAMMAD: Pernah. Bahkan sewaktu awal penubuhan PBS dulu juga saya pernah ditawarkan menyertai PBS. Tapi saya bilang, saya masih ada leader.Kita mesti hormat leader kita. Tun Mustapha like my father to me. Saya bilang begitu kepada mereka.

UB: Lepas itu, saya difahamkan tuan balik ke Tawau? Bagaimana ceritanya?

MOHAMMAD: Pada tahun 1991, saya pindah balik ke Balung. Kami berkempen untuk memenangkan Datu Ismail Datuk Jook.

UB: Apa pendapat tuan mengenai UMNO di Sabah?

MOHAMMAD: Kemasukan UMNO ke Sabah bukanlah suatu perkara yang mudah. Ianya telah melalui pelbagai rintangan yang silih berganti dan dengan kekuatan serta kecekalan pemimpinnya terutama sekali Tun Dr Mahathir Mohammad dan Tun Datu Mustapha Datu Harun, UMNO bertapak di Sabah pada tahun 1991 melalui satu pilihanraya kecil yang diadakan di Usukan, Kota Belud. Seperti Johor Bahru yang menjadi tempat mulanya UMNO Ditubuhkan, kalau di Sabah, Kota Belud menjadi tempat lahirnya UMNO.

Kemudian pada tahun 1994, UMNO menjadi tulang belakang pemerintahan kerajaan di Sabah apabila Barisan Nasional (BN) mengambil alih pemerintahan dari Parti Bersatu Sabah (PBS)

Walaupun ahli-ahli UMNO Sabah khususnya orang-orang Islam boleh berbangga kerana UMNO menjadi tulang belakang pemerintahan kerajaan di Sabah tetapi banyak lagi usaha-usaha yang perlu dijalankan untuk memantapkan lagi gerakan dan perjuangan UMNO.

UB: Bagaimana usaha memperkuatkan UMNO di Sabah?

MOHAMMAD: Memperkuatkan UMNO bukan sekaar memenangi pilihanraya dan memerintah.Memperkuatkan UMNO bererti apa yang boleh disumbangkan oleh ahli-ahli UMNO kepada negara, bangsa dan agama.Kekuatan UMNO bukan sekadar kepada pegangan ideologi parti tetapi yang penting mesti diterjemahkan ke alam nyata. Contohnya apabila UMNO bercakap mengenai pentingnya pendidikan , UMNO mestilah menyediakan institusinya supaya perjuangan memartabatkan pendidikan dikalangan ahli akan tercapai.

UB: Kita lihat semacam ada pergolakan dalam UMNO sekarang? Bagaimana tuan melihatnya?

MOHAMMAD: Samada kita sedari atau tidak, gejala seperti musuh dalam selimut akan membahayakan kedudukan UMNO dimasa depan sekiranya pemimpin tidak sensitif. Pebagai cara boleh dbuat oleh pemimpin UMNO untuk memantapkan lagi intipati perjuangan UMNO. Penyokong-penyokong UMNO Sabah akan terus bertanya apakah yang telah dan akan dibuat oleh pemimpinnya di dalam membawa mereka ke alaf baru dengan penuh cabaran itu terutama sekali membangkitkan semangat wira untuk mengambil bahagian yang wajar dalam perkembangan pembangunan di Sabah.

UB: Saya difahamkan tuan juga terlibat dalam penubuhan Persatuan Peranakan Suluk Sabah (PPSS) . Apa tujuan penubuhannya?

MOHAMMAD: Persatuan Peranakan Suluk Sabah ditubuhkan untuk membetulkan persepsi terhadap masyarakat Suluk di Sabah.Persatuan Peranakan Suluk Sabah (PPSS) ditubuhkan dengan matlamat untuk menyatukan peranakan Suluk di Sabah, menjaga kebajikan , kebudayaan serta tata susila peranakan Suluk serta menyokong kerajaan yang sedia ada. Persatua juga bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan berdaftar yang mempunyai tujuan dan matlamat yang sama.

Warga negara Malaysia berusia 18 tahun ke atas, menetap di Sabah, peranakan Suluk iaitu salah seorang ibu bapanya berbangsa Suluk layak menyertai persatuan ini.

UB: Terima kasih kerana sudi ditemu ramah untuk ruangan ini

MOHAMMAD: Terima kasih kembali.