Rabu, 19 Ogos 2015

MENDENGAR PIDATO BUNG TOMO DI SURABAYA

Tags

 

 
MENDENGAR PIDATO BUNG TOMO DI SURABAYA

Di Surabaya, saya ingin sekali mendengar Bung Tomo berpidato. Melalui ucapan-ucapannya yang penuh semangat dan penuh bergelora itu, beliau menginspirasi ramai pejuang-pejuang kemerdekaan di nusantara untuk bangkit menentang kolonialisme.

Sutomo lahir di Surabaya pada 3 Oktober 1920 tapi beliau lebih dikenali dengan panggilan akrabnya Bung Tomo. Beliau terkenal kerana perjuangannya membangkitan semangat rakyat untuk bangkit menentang Belanda yang mahu kembali menjajah Indonesia selepas Perang Dunia Kedua.

Ketika Tentera Inggeris datang dan menyebarkan risalah untuk meminta rakyat Indonesia menyerah kepada tentera sekutu, Bung Tomo dalam ucapannya yang penuh semangat itu mengatakan:

"Selama banteng-banteng Indonesia masih mempunyai darah merah
yang dapat membikin secarik kain putih merah dan putih
maka selama itu tidak akan kita akan mau menyerah kepada siapapun juga,".

Akhirnya, terjadilah petempuran 10 November 1945, yang kini diperingati sebagai Hari Pahlawan.

Saya ingin sekali mendengar Bung Tomo berpidato.Tetapi tokoh yang menjadi Pahlawan Nasional Indonesia ini sudah lama meninggal dunia. Beliau meninggal di Padang Arafah ketika menunaikan haji pada tahun 1981 ketika berusia 61 tahun.

Saya ingin mengenal Sutomo, seorang jurnalis yang membangkitkan semangat rakyat melalui siaran-siaran radio yang dipancarkan dari Surabaya. Melalui siaran radio inilah, suaranya didengar oleh pejuang-pejuang kemerdekaan seperti Ahmad Boestaman. Bung Tomo, menggerakkan semangat rakyat Surabaya yang diserang oleh pasukan Inggeris selepas General Malaby tertembak di Hotel Oranje. Inggeris datang menyerang Surabaya untuk melucutkan senjata tentera Jepun dan membebaska tawanan Eropah.

Peristiwa 10 November itu tetap dikenang sebagai Hari Pahlawan dan menjadi satu peristiwa penting dalam sejarah kemerdekaan Indonesia.

Dalam kunjungan ke Surabaya itu, saya sempat berkunjung ke Muzium 10 November, yang terletak berdekatan dengan monumen Tugu Pahlawan. Di sana, saya memutar semula rakaman pidato Bung Tomo. Saya mendengar seruannya kepada rakyat Indonesia untuk bersatu menentang penjajah.

"Saudara-saudara rakyat Surabaya, siaplah! keadaan genting!
tetapi saya peringatkan sekali lagi
jangan mulai menembak
baru kalau kita ditembak
maka kita akan ganti menyerang mereka itu kita tunjukkan bahwa kita ini adalah benar-benar orang yang ingin merdeka

Dan untuk kita saudara-saudara
lebih baik kita hancur lebur daripada tidak merdeka
semboyan kita tetap: merdeka atau mati!".

Ketia berada di Surabaya, saya mengunjungi Hotel Oranje, tempat terjadinya insiden perebutan bendera. Saya menyusuri semula tempat-tempat bersejarah sambil membayangkan betapa rakyat Surabaya bersatu menentang Inggeris meskipun hanya menggunakan bambu runcing.

Selepas kemerdekaan, Bung Tomo pernah terjun dalam politik. Pernah menjadi menteri dalam kabinet Burhanudin Harahap tahun 1955-1956 dan pernah pula menjadi anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dari tahun 1956-1959.

Pada tahun 1950an itu, Bung Tomo membantu tukang beca dengan mendirikan kilang sabun hasil yuran daripada tukang beca tetapi tidak berhasil. Namun beliau tetap dikenang sebagai seorang pahlawan yang bangkit menentang kembalinya Belanda menjajah semula Indonesia. Sungguhpun, mereka kalah dalam pertempuran 10 November itu, tetapi peristiwa itu tetap tercatat sebagai satu peristiwa penting dalam sejarah perjuangan kemerdekaan di Indonesia.

Di Surabaya, saya ingin sekali mendengar pidato Bung Tomo, dan syukurlah saya masih berpeluang mendengarnya, meskipun di sebuah muzium.

Bersama anak-anak sekolah rendah yang sedang melawat muzium itu, saya melihat filem ditayangkan. Saya mendengar bagaimana Bung Tomo membangkitkan semangat rakyat untuk memperjuangkan kemerdekaan dari tangan penjajah.

Lebih baik kita hancur lebur daripada tidak merdeka, kata Bung Tomo.