Jumaat, 19 Jun 2015

HIDUP INI SATU PERJUANGAN, KATA NADIN HAJI SALLEH

Tags



HIDUP INI SATU PERJUANGAN, KATA NADIN HAJI SALLEH

 

TIADA siapa yang menyangka, seorang anak kampung yang setiap pagi menyusuri tebing sungai, melalui kebun getah kemudian meredah hutan belukar berjalan kaki untuk ke sekolah yang terletak kira-kira tiga batu jauh dari rumahnya, akhirnya menjadi seorang personaliti yang banyak dikenali kerana jasanya terhadap perkembangan kesusasteraan khususnya dalam menggilap bakat-bakat penulis di negeri ini. Walaupun terpaksa berhenti sekolah setakat darjah enam,beliau mengambil peperiksaan SRP dan SPM dan STP sebagai calon persendirian dan akhirnya berjaya menggenggam ijazah Sarjana Muda dalam bidang linguistik dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM). Walaupun kerjayanya bermula sebagai pelayan pejabat tetapi berkat kegigihannya beliau mendaki tangga demi tangga sehingga menjawat jawatan Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP ) Cawangan Sabah.

NADIN HAJI SALLEH dilahirkan di Kampung Tuhu, Lupak Beaufort pada tahun 1955. Anak keempat dari tujuh adik beradik ini mendapat pendidikan awal di NVS Lupak, yang terletak kira-kira tiga batu dari rumahnya. Ayahnya, Haji Salleh bin Opu seorang imam manakala ibunya, Siti Anggung binti Salim seorang seorang petani. Selepas menamatkan sekolah rendah, beliau terpaksa berhenti sekolah dan bekerja di ladang sawit. Beliau juga sempat menjadi penoreh getah, menanam padi huma sebelum berhijrah ke ibu negeri, menempuh pelbagai pengalaman sebagai buruh kasar, pembersih kapal, pelayan pejabat, penyurih (tracer) kerani, penolong pegawai penyelidik, pegawai perancang bahasa hinggalah menjadi Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP ) Cawangan Sabah . Meski kini beliau sudah bersara tetapi masih lagi sibuk menerima undangan memberi ceramah mengenai pelbagai bidang yang dikuasainya seperti penerbitan, linguistik, motivasi, pengacaraan majlis dan sebagainya. Beliau mendirikan rumahtangga dengan Faridah Abdullah dan dikurniakan lima cahayamata.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual NADIN HAJI SALLEH pada satu petang yang santai di salah sebuah restoran terkenal di Jalan Gaya. Ikuti petikan temubual bersama beliau mengenai sedikit kisah pengalaman hidupnya.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit mengenai latar belakang tuan?

NADIN HAJI SALLEH (NHS): Saya dilahirkan di Kampung Tuhu Lupak Beaufort pada tahun 1955. Kampung itu terletak kira-kira 15 km dari pekan Beaufort. Saya anak keempat dari tujuh adik beradik.

UB: Di mana tuan bersekolah rendah?

NHS: Saya bersekolah di NVS Lupak iaitu sejauh tiga batu dari rumah. Sejak awal pagi lagi kami berjalan menyusuri tebing sungai sebelum melalui kebun getah seterusnya meredah hutan belukar muda berjalan kaki ke sekolah.

UB: Seorang diri?

NHS: Kami berjalan secara berkumpulan. Jadi kami saling tunggu. Kami tidak dibenarkan jalan seorang kerana isu pada waktu itu ada pengait (pemburu kepala) jika kita merentas hutan seorang diri.

UB: Sampai darjah berapa sekolah di NVS Lupak?

NHS: Saya bersekolah di NVS Lupak dari darjah satu hingga darjah enam. Waktu kami bersekolah itu, kami sudah tua-tua. Usia 10 tahun baru bersekolah. Jadi kami ke sekolah sewaktu sudah hampir remaja.

UB: Siapa antara anak kampung Lupak yang mula-mula dapat kerja pada masa itu?

NHS: Abang saya, Haji Nordin Haji Salleh, beliau adalah cikgu yang terawal di kampung kami. Kebanyakan penduduk kampung Lupak pada masa itu kerja sebagai petani. Kemudahan pula masih kurang. Adik saya, Datuk Juany Haji Salleh (Pengurus Felda Sabah) masih kecil masa itu.

UB: Selepas tamat darjah enam, tua sekolah di mana?

NHS: Saya bekerja di ladang sawit. Sebab di Beaufort pada masa itu, hanya ada dua sekolah, iaitu SM St John dan St Paul. Oleh kerana sekolah itu jauhnya kira-kira 15 km dari tempat kami, tidak ada jalan raya maka saya tidak dapat bersekolah lagi. Jika mahu ke Beaufort, terpaksa berjalan kaki kira-kira 7 km ke jalan raya ke tempat yang ada kereta. Di sana kita menunggu kereta Land Rover. Itu bukan jarang sekali ada kenderaan ke Beaufort.

UB: O begitu. Apa yang tuan lakukan ketika menganggur itu?

NHS: Saya bekerja di ladang getah. Saya juga kerja sebagai penoreh getah. Selain itu, saya juga menolong kerja menanam padi huma. Tanahnya becak, kadang sampai lutut. Kemudian selepas itu,saya keluar cari kerja.

UB: Cari kerja dimana?

NHS: Saya kerja di Kota Kinabalu,.Masa itu sudah ada sepupu saya ada yang sudah kerja d KK.

UB: Apa kerja yang mula-mula diceburi di KK?

NHS: Sampai di KK, saya mencari kerja, Kemudian saya dapat kerja sebagai tukang buka pintu hotel. Tidak lama kemudian saya kerja, pelbagai kerja, antaranya buruh kasar, menjadi boat man. Ada satu kapal mewah di Likas, kami kerja sebagai pembersih kapal. Kemudian saya bekerja di Syarikat Natikar, yang dimiliki Datuk Salleh Sulong (kini Allahyarham) bekas Menteri Kewangan Sabah. Saya bekerja sebagai office boy (budak pejabat).

Tiba-tiba ada iklan ke kekosongan di akhbar sebagai pelayan pejabat di Rumah Persekutuan, di Jabatan Penilaian dan Perkhidmaran Harta. Saya pergi temuduga sebagai pelayan pejabat. Kerjanya hampir sama dengan budak pejabat juga. Membantu apa saja kerja, susun fail, menyapu lantai, buang sampah.

UB: Berapa lama?

NHS: Dua tahun. Saya bekerja sebagai pelayan pejabat selama dua tahun sebelum dinaikkan pangkat sebagai penyurih atau tracer. Kerja penyurih ini adalah berkaitan dengan geran tanah, melukis pelan dari saiz yang kecil kepada yang besar. Bila dapat geran yang kecil itu, kita lukis balik lokasi itu. Saya terpaksa ulang alik ke Jabatan Tanah. Kerja itu terlalu teknikal. Dua kali saya ambil peperiksaan penyurih saya tidak pernah lulus.

UB: Kemudian tuan kerja di mana?

NHS: Pada tahun 80, ada iklan tersiar di surat khabar. Iklan kekosongan jawatan kerani di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah. Waktu itu saya masih bekerja di Jabatan Penilaian. Pada masa yang sama saya juga terlibat dalam bidang penulisan berita.

UB: Siapa rakan tuan yang menjadi pemberita pada masa itu?

NHS: Antaranya Jasuin Mohammad, Mohd Syum Abdul Majid, Jaafar Othman, Johan Aziz. Kami semua berguru dengan Emin Madi pada masa itu. Beliau mengadakan kelas setiap hujung minggu bagi sesiapa yang berminat dalam penulisan kewartawanan. Ramai yang mengikuti kursus itu termasuk satu perempuan dari Tambunan, saya tidak ingat namanya.

UB: Seronok bekerja sebagai pemberita?

NHS: Masa itu ada surat pelantikan sebagai pemberita sambilan di Sabah Times. Kami dapat Kad Akhbar dari Jabatan Penerangan yang ditandatangani Justin Miol (kini Datuk). Tentulah seronok kerja sebagai pemberita. Dengan kad akhbar yang dibekalkan kepada kami, kami dapat memasuki kawasan larangan atau dimana saja untuk menjalankan tugas kami. Berita mengenai gotong-royong di kampung dapat kami tulis. Memang seronok tengok nama kita di surat khabar. Masa itu gambar dibayar satu keping RM4.00. Setiap berita yang disiarkan juga dibayar mengikut sukatan. Satu inci berapa, saya tidak ingat lagi.

UB: Pasti sibuk kerana selain kerja di Jabatan Penilaian, tuan juga bekerja sebaga pemberita sambilan?

NHS: Sibuk juga. Tapi pada sebelah malamnya saya belajar di Kelas Pelajar Lanjutan di Maktab Sabah dari jam 6.00 petang hingga jam 9.00 malam setiap hari. Selepas lulus tingkatan tiga itulah saya naik pangkat sebagai penyurih. Kemudian sambung lagi SPM, melalui kelas malam itu juga. Saya lulus dan selepas lulus SPM itu saya layak memohon jawatan kerani di DBP Sabah.

UB: Menarik sekali perjalanan hidup tuan. Apa cerita ketika temuduga itu?

NHS: Saya ditemuduga oleh Zainal Abidin Zulkifly, Timbalan Pengarah DBP Sabah pada masa itu. Pengarah DBP Sabah waktu itu ialah Haji Mohd Arifin Siri. Saya beruntung kerana ketika ditanya soalan dalam temuduga itu, saya dapat menjawab dengan baik. Kebetulan pada masa itu, saya selalu membawa majalah Dewan Masyarakat, biar nampak gah. Jadi apabila beliau bertanya, apa majalah yang saya baca, saya jawab saya membaca majalah Dewan Masyarakat. Selain itu, saya juga menulis berita dan artikel budaya. Tetapi pada masa itu, saya tidak membawa keratan akhbar tetapi saya menunjukkan kad akhbar sebagai membuktikan bahasa saya juga menulis.Bila beliau nampak kad akhbar, beliau agak teruja juga. Dalam 20 orang yang menghadiri temuduga itu, hanya saya saja yang dapat menjawab soalan berkaitan bahasa dan sastera. Beliau juga bertanya, sekiranya saya diterima bekerja di DBP, unit mana yang saya pilih. Saya katakan bahawa saya mahu ditempatkan di Unit Penerbitan, Sastera dan Bahasa.

UB: Begitu ceritanya. Selepas itu, apa hasil temuduga?

NHS: Dua minggu kemudian, saya dipanggil Kak Russnah, untuk mengambil surat tawaran jadi kerani. Saya naik bas Luen Thung, bayar tambang 35 sen untuk ke pejabat DBP yang waktu itu terletak di Kampung Air.

Selepas menerima surat tawaran itum pengarah di tempat saya bekerja mengatakan bahawa saya perlu berhenti. Tetapi mujurlah saya kenal dengan pegawai tadbir, Idris Salim kerana kami selalu main takraw setiap petang. Beliau nasihatkan saya tidak perlu letak jawatan sebaliknya hanya perlu tulis surat pelepasan dengan izin, kerana DBP juga adalah agensi kerajaan.

UB: Tahun berapa melapor kerja di DBP?

NHS: Saya melapor diri pada 1 April 1982 sebagai kerani. Pada masa yang sama saya juga mengambil STPM sebagai calon persendirian. Saya dapat belajar dengan baik kerana ada sebuah perpustakaan DBP Sabah, yang selalu sepi kerana tidak ada orang. Di situlah saya belajar kerana banyak buku yang jadi bahan rujukan. Saya menghabiskan banyak masa di perpustakaan. Saya baca Dewan Budaya, Dewan sastera, saya makin minat terhadap sastera. Waktu itu saya suka membaca tulisan Johan Jaafar, Noor Azam,Subky Latif, saya baca drama karya Osman Haji Zainudin, saya baca karya Pak A. Samad Said, Bulan Tak Bermadu di Fatehfur Sikri, saya baca Atap Genting Atap Rumbia, selain puisi-puisi karya Usman Awang. Saya juga membaca Keluarga Gerilya, Ranjau Sepanjang Jalan, Badai Semalam yang entah berapa kali saya baca hingga hafal. Akhirnya saya lulus peperiksaan STPM sebagai calon persendirian.

UB: Berapa lama kerja sebagai kerani?

NHS: Saya jadi kerani kira-kira empat tahun. Selepas lulus STPM, saya naik pangkat sebagai Penolong Pegawai Perancang Bahasa di Unit Penerbitan dengan Encik Matlin Dullah sebagai ketua saya. Di Unit Penerbitan ini, saya dapat banyak pengalaman. Saya pernah berkursus penerbitan di New Delhi India, Berkursus anjuran London Publishing House di Kuala Lumpir, Kursus anjuran UNESCO, kursus penerbitan Jepun yang disampaikan dalam bahasa Jepun di Kuala Lumpur dan diterjemahkan oleh seorang pensyarah di UM, Rahmat Sato.

UB: Apa pengalaman lain di DBP?

NHS: Sepanjang bertugas di DBP, saya terlibat menyunting buku buku karya penulis Sabah. Sebagai pengurus bahasa dan sastera, saya membantu membangun penulis penulis di Sabah. Sepanjang sembilan tahun, saya juga bertindak sebagai menerbitkan Teater Perdana. Teater Perdana ini adalah teater yang ditonton oleh Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri setiap tahun.

Selain itu, Kami juga ada mengadakan Minggu Penulis Remaja (MPR) . MPR pertama dibimbing Dr Othman Puteh dan Dr Sahlan Mohd saman, kedua-duanya sudah pergi meninggalkan kita. Projek MPR ini melahirkan ramai penulis yang hebat sekarang

Saya juga banya menangani karya-karya awal Azmah Nordin, iaitu novel kanak-kanak berjudul Janji, Kanvas Tanpa Imajan, karaya Datuk Shuhaibun Yussof (allahyarham). Igauan Maut Ramlie Awang Murshid, Cerpen Lintah karya Amil Jaya, karya-karya Sitti Rahmah G Ibrahim, Jasni Matlani, Mahmud Eddie, Juri Durabi dan sebagainya.

Selepas dilantik sebagai Penolong Pegawai Penyelidik selama empat tahun, saya dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pegawai Penyelidik Kanak, seterusnya sebagai Pegawai Penyelidik, Pegawai Perancang Bahasa, Timbalan Pengarah Pengembangan Bahasa dan Sastera sehinggalah bersara baru-baru ini.

Jika dihitung, mungkin saya telah membimbing ribuan, kalau tidakpun ratusan pelajar untuk meningkatkan apresiasi sastera mereka.

UB: Apa yang mendorong tuan untuk belajar?

NHS: Sewaktu bekerja sebagai budak pejabat, ketua saya, Chee Kok Thim menasihatkan saya agar belajar, jangan jadi sekadar budak pejabat sahaja. Seorang lagi bos saya, Rayner Bernabas Molikon juga banyak mendorong saya belajar.

UB: Apa pandangan tuan mengenai perkembangan bahasa dan sastera di Sabah sekarang?

NHS: Saya bangga perkembangan bahasa dan sastera di Sabah yang kini terus maju dan subur.

UB: Boleh saya tahu apa motto hidup tuan?

NHS: Hidup ini perjuangan.Kalau tidak berjuang, kita tidak akan berjaya.Bagi saya Hidup ini satu perjuangan.

 

 

 

 

 

2 comments

bagaimana prospek kerjaya bagi graduan bahasa asing seperti bahasa jepun? bagaimana pandagan tuan?

bagaimana prospek kerjaya bagi graduan bahasa asing seperti bahasa jepun? bagaimana pandagan tuan?