HONG KONG, YANG SIBUK TETAPI SERBA MAHAL
Catatan perjalanan ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN yang melawat Hong Kong
HIDUP ini penuh dengan keajaiban. Tanpa diduga, saya diberi peluang untuk turut serta dalam kontinjen Sekolah Menengah Kebangsaan Maktab Sabah ke Hong Kong untuk menyertai Kejohanan Ragbi Peringkat Antarabangsa Piala Belia 7 Sebelah Standard Chartered (Standard Chartered International Youth Sevens) di King Park, Kowloon.
Tidak pernah saya bayangkan sebelum ini untuk mendapat kesempatan berkunjung ke Hong Kong, apatah lagi untuk membuat liputan kejohanan ragbi. Walaupun saya suka menonton ragbi, dan masih ingat aksi Jonah Lomu, tetapi terbang ke Chek Lap Kok untuk membuat ulasan ragbi tidak pernah terlintas dalam fikiran.
Tetapi tawaran ke Hong Kong itu adalah sesuatu yang tidak wajar dilepaskan. Sebelum ini, saya hanya mengenali Hong Kong melalui filem-filem Jackie Chan, Chow Yuen Fatt, Jet Li, Alex Man, Do Do Cheng dan sebagainya.
Namun pada 25 Mac itu, saya ikut berbaris untuk pemeriksaan imigresen di Lapangan Terbang Hong Kong. Kami berangkat dari Terminal Satu, Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada jam 11.35 pagi dan tiba di Hong Kong kira-kira dua jam setengah kemudian.
Cuaca agak dingin. Suhu 18'C. Suasana di lapangan terbang itu kelihatan agak sibuk. Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong adalah antara lapangan terbang paling sibuk di Asia, dan antara sepuluh lapangan terbang tersibuk di dunia. Tahun lalu saja, menurut Wikipedia, seramai 63.3 juta penumpang menggunakan lapangan terbang itu. Lebih 100 syarikat penerbangan beroperasi di Chek Lap Kok menghubungkan 180 bandaraya di seluruh dunia.
Selepas semua bagasi dimuatkan dalam bas yang sedia menunggu, kami terus di bawa ke Yau Ma Tei, di selatan Kowloon. Kejohanan Ragbi Antarabangsa Standard Chartered itu akan diadakan di King Park, dan jaraknya kira-kira 40 minit berjalan kaki dari tempat penginapan kami.
Di Yau Ma Tei, kami menginap berdekatan jalan Waterloo, tidak jauh dari Nathan Road. Sewa apartmen tiga bilik yang kami tumpangi itu agak lumayan juga. "Kadar sewanya $2,000 poung sterling atau kira-kira RM12,000 selama lima hari," kata Chai, rakan kami yang biasa ke Hong Kong. Jika menginap di Hotel, sewanya lebih mahal kira-kira RM2,000 satu malam.
Kami menginap di tingkat 16. Selepas meletakkan barang dan berehat seketika, Awang Sharif mengajak kami ke kedai orang Pakistan berdekatan Kei Lai Hotel. Ia adalah satu-satunya kedai yang menjual makanan halal di kawasan itu.
Kedai makan itu agak kecil tetapi ramai pengunjung. Mungkin kerana satu-satunya kedai makanan halal di sana. Daripada 7.2 juta penduduk Hong Kong, hanya 3.1 peratus daripada terdiri daripada orang Islam. Kira-kira 93.6 peratus penduduknya Cina berbahasa kantonis.
Harga sepotong pizza ayam ialah HK35 atau RM17.50 manakala Beriyani Ayam berharga HK52 atau R26 ringgit, beriyani daging HK55 atau RM27.5, kebab ayam HK48 (kira-kira 24) manakala minuman kopi HK10 atau RM5.
Pakcik Bakrim Haji Said, rakan seperjalanan kami, yang membeli rokok agak terkejut kerana harga rokok sekotak kira-kira HK60 atau RM30 sekotak. Abdul Sham Haji Bagu juga agak terkejut ketika membeli air mineral HK12 atau RM6.00 sebotol. Seikat pisang berharga HK20 atau RM10 manakala durian HK14 sekilo. Akhbar South China Morning Post dijual dengan harga HK9, pada hari itu melaporkan di halaman depannya mengenai lawatan Presiden Indonesia, Joko Widodo ke China dan diharapkan dapat mengeratkan lagi hubungan kedua negara.
Kadar upah gaji juga agak tinggi. Pembantu rumah dibayar gaji sebanyak HK4,000 hingga HK8,000 (RM2,000 hingga RM4,000) sebulan. Gaji penyelia kedai pula ialah HK10,200 (RM5,100), pembantu kedai HK9200 (RM4600), pekerja sambilan HK4600 (RM2300) manakala kerja lebih masa HK37 hingga HK47 (RM18.5 hingga 23.5). Menurut Shim, yang banyak membantu sepanjang di Hong Kong, gaji pekerja purata kakitangan awam HK10,000 hingga HK12,000 (RM5,000 hingga RM6,000) sebulan.
Hong Kong adalah sebuah negara maju.Selepas dipajakkan selama 99 tahun kepada British, Hong Kong dikembalikan kepada Republik Rakyat China pada tahun 1997 dan kini ditadbir oleh Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong.
Sistem pengangkutan awam di Hong Kong memang agak mengagumkan. Bas awam dua tingkat hampir setiap lima minit,pemandu teksinya juga agak berdisiplin tetapi tidak suka menunggu lama. Setiap kesalahan jalan raya akan diberi kiraan mata dan jika jumlah mata mencecah had yang ditetapkan, pemandu tidak dibenarkan memandu untuk tempoh tertentu seperti setengah tahun atau satu tahun.
Sistem Keretapi Transit Awam (MTR) yang menggunakan laluan bawah tanah mula digunakan di Hong Kong sejak tahun 1979. Kini Sistem MTR meliputi jarak sejauh 218 km menghubungkan destinasi penting di Hong Kong dengan jumlah pengguna sebanyak 4.5 juta sehari.
Keesokan harinya, kami berjalan kaki dari Yau Ma Tei ke Padang King Park Kowloon untuk menyaksikan Kejohanan Ragbi Piala Belia. Perjalanan mengambil masa kira-kira 40 minit. Puan Sri Hajah Diana Deigo, selaku ketua kontinjen berada di padang untuk memberikan semangat kepada kontinjen Maktab Sabah yang bertanding dalam kejohanan itu. Begitu juga Penolong Ketua Kontinjen, Hajah Nuinda Alias, yang juga Pengetua Maktab Sabah turut memberikan sokongan kepada pasukan.
Dalam perlawanan pertama, pasukan bawah 16 tahun Maktab Sabah, yang pertama kali menyertai kejohanan itu, kalah kepada Vajirudh Colege Thailand 0-20. Dalam perlawanan kedua, pasukan itu kalah kepada Valley Fort England 0-15. Tetapi dalam perlawanan ketiga, Maktab Sabah berjaya mengalahkan Kowloon Hong Kong 21-5. Namun dalam perlawanan terakhir, mereka kalah tipis kepada Discovery Bay USA 17-21.
Di padang bersebelahan, Kejohanan Ragbi Wanita Antarabangsa juga sedang berlangsung. Walaupun berpeluang melihat aksi-aksi menarik tetapi saya terpaksa ke apartmen untuk menghantar berita ke tanahair.
Setiap pelancong atau pengunjung ke Hong Kong diberikan kouta setengah jam akses wifi percuma setiap hari. Tetapi di apartmen, akses internet lebih laju.
Sesampainya di Apartmen, saya terus membuka laptop dan menghantar bahan-bahan berita kepada Utusan Borneo. Bagaimanapun, tidak lama kemudian, Chai memberitahu supaya saya cepat berkemas kerana Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, yang juga penaung pasukan, mengajak ke Padang King Park semula. Pasukan Bawah 19 tahun Maktab Sabah berjaya memenangi semua perlawanannya kecuali kalah kepada juara kejohanan tiga kali, BC Rugby Team 0-21.
Kali ini kami naik teksi ke padang, dan kebetulan pemandu teksi yang kami naiki boleh berbahasa Melayu kerana dilahirkan di Indonesia.
Setibanya di Padang, Tan Sri Pandikar menyalami pemain-pemain yang menunjukkan keunggulan dengan mengharumkan nama Malaysia dalam arena ragbi belia antarabangsa. Maktab Sabah Sabah menewaskan Flying Kukris (China) 21-0, East Kowloon Hong Kong 26-0, Kowloon Lion HK 19-0 sebelum kalah kepada BC Rugby Team Canada 0-21 dan selepas itu menang ke atas Discovery Bay (China) 21-0.
Pasukan Bawah 19 tahun Maktab Sabah dinobatkan sebagai naib juara kejohanan. Walaupun kebanyakannya pemain pasukan itu berusia di bawah 18 tahun tetapi mereka berjaya menunjukkan permainan cemerlang menumpaskan pemain-pemain yang lebih senior dengan bentuk fizikal yang kekar. Kemenangan mereka mendapat pujian penyokong manakala pasukan bawah 16 tahun berjaya mendapat anugerah khas kerana bermain cemerlang dalam penampilan kali pertama.
Selepas majlis penyampaian hadiah, semua anggota kontinjen berjalan pulang dengan perasaan yang gembira ke tempat penginapan masing-masing. Tetapi sebelum itu, mereka sempat menikmati pizza dan kebab, sebagai tanda kesyukuran atas kemenangan itu. Selain itu, mereka berpeluang menonton Hong Kong Sevens, kejohanan ragbi bertaraf dunia yang menyambut ulang tahun yang ke-40.
Ahad, 26 April 2015
HONG KONG, YANG SIBUK TETAPI SERBA MAHAL
✔
abd naddin
Diterbitkan 11:56 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)