SUWANDI PERMANA, PASTIKAN ANAK-ANAK PERGI SEKOLAH
HAMPIR semua pelosok ladang sawit di negeri ini pernah dilawatinya. Kadang-kadang beliau terpaksa berjalan sendirian, kadang terpaksa menempuh perjalanan jauh dengan hanya bermotosikal atau menyeberangi sungai atau perbukitan semata-mata untuk menemui pekerja-pekerja Indonesia. Tujuannya cuma satu iaitu memastikan anak-anak Indonesia dimana saja berada mendapat akses dalam bidang pendidikan. Beliau mahukan semua anak-anak warga Indonesia di Sabah tidak tercicir dan pergi ke sekolah untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Tugas yang diamanahkan kepadanya sebagai kordinator Community Learning Center (CLC) atau Pusat Pembelajaran Komuniti dilaksanakannya dengan penuh rasa tanggungjawab demi masa depan generasi anak-anak warga Indnesia.
Suwandi Permana, S.Pd.,M.Pd., lahir di Kuningan pada 14 April 1966. Beliau lulus Sarjana Pendidikan di UHAMKA, Jakarta pada tahun 2002. Beliau pernah menjadi guru sekolah menengah dari tahun 1989 hingga 2013. Pak Suwandi juga pernah menjadi pensyarah di beberapa universiti dari tahun 2000 hingga 2008, Direktur Kursus "Bonaventura International" (Pendidikan Non Formal) dari tahun 2000-2005.
Selain itu, beliau juga pernah menjadi Ketua Bidang pengembangan sumberdaya manusia pada Dewan Pendidikan Kota Cirebon, dari tahun 2004- 2008,Ketua Musyawarah Guru Mata Pelajaran(MGMP) B. Inggris se wilayah Kota Cirebon dari Tahun 2002-2007 ,Wakil Kepala Sekolah Indonesia Kuala Lumpur, dari 1999- 2013 dan Kordinator CLC Wilayah KJRI Kota Kinabalu sejak September lepas hingga sekarang. Di tengah-tengah kesibukannya itu, beliau juga melanjutkan pengajian di peringkat PhD di Fakulti Psikologi dan Pendidikan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Sepanjang kerjayanya sebagai pendidik, Suwandi pernah menerima Satya Lencana dari Presiden Republik Indonesia tahun 2010. Beliau juga pernah menjadi Guru Favourit tingkat wilayah III Cirebon, versi pilihan pembaca surat kabar "Radar Cirebon" tahun 2006, Masyarakat Berprestasi Tingkat Kota Cirebon, tahun 2000 dan Masyarakat Berprestasi Tingkat Provinsi Jawa Barat, tahun 2000
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN menemui beliau untuk mendapatkan sedikit informasi mengenai Community Learning Centre (CLC) atau Pusat Pembelajaran Komuniti dan pengalaman beliau sejak dilantik sebagai kordinator CLC. Ikuti petikan wawancara bersama beliau pada satu petang di ruang kerjanya di KJRI.
UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi diwawancara untuk ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo. Sejak bila Pak Suwandi dilantik sebagai kordinator CLC?
SUWANDI: Saya diberi tugas oleh Kementerian Pendidikan Indonesia sejak September 2013 sebagai kordinator CLC untuk Wilayah KJRI di Kota Kinabalu. Tugasnya adalah untuk meningkatkan layanan pendidikan untuk anak-anak warga Indonesia di Sabah.
UB: Setakat ini berapa jumlah anak-anak warga Indonesia di Sabah?
SUWANDI: Mengikuti data KJRI, terdapat kira-kira 53,000 anak-anak Indonesia di Sabah. Kita hanya dapat memberikan khidmat kepada sekitar 40 peratus saja. Dengan yang demikian, perlu ada pengelolaan CLC yang baik sehingga layanan pendidikan dapat ditingkatkan iaitu dengan cara memperluas akses layanan pendidikan dengan membuka lebih banyak CLC.
UB: Boleh bapak beritahu kami berapa jumlah CLC di Sabah, berapa tenaga pengajar dan berapa pelajarnya?
SUWANDI: Terdapat sebanyak 207 CLC tingkat Sekolah Dasar (Di Malaysia disebut Sekolah Rendah) dan Sekolah Menengah Pertama (SMP) di Sabah. Seramai 5607 siswa belajar di tingkat SD manakala 3,000 siswa belajar di tingkat SMP. Tenaga pengajar atau pendidik pula seramai 280 pendidik dari Indonesia manakala guru tempatan di Sabah seramai 160 orang warga negara Indonesia dan 35 guru warga asing. Tenaga pendidik ini ditempatkan di Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK), CLC dan PB Humana.
UB: Berapa jumlah purata anak-anak Indonesia yang belajar di CLC?
SUWANDI: Jumlahnya banyak. Satu CLC boleh menampung dari puluhan pelajar hingga ratusan pelajar setiap CLC. Di Keningau CLC Asbon dan Budiluhur memiliki pelajar antara 300 hingga 500 pelajar.
UB: Mungkin bapak boleh ceritakan sedikit mengenai SIKK?
SUWANDI: Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK) adalah sekolah Indonesia di luar negeri yang ke-15. SIKK berkomitmen memberikan layanan terbaik bagi pendidikan anak-anak Indonesia di Sabah, Malaysia.SIKK mula beroperasi pada awal Januari 2014.Kompleks bangunan itu terletak di kawasan seluas 1.6 hektar, terdiri dari 18 kelas, empat makmal, dua lapangan badminton, futsal serta kantin dan masjid. Ada pula bangunan pejabat dan lima rumah guru.
UB: Bagaimana pola pengembangan CLC?
SUWANDI: Pola pengembangan CLC adalah dari masyarakat, oleh masyarakat dan untuk masyarakat. Diharapkan dengan pola pengembangan masyarakat, orang tua siswa memiliki kepedulian terhadap kontuniti atau kelangsungan CLC ini sehingga mereka dapat memiliki sense of belonging terhadap CLC. Kesedaran lebih meningkat mengenai peranan CLC memberikan perkhidmatan atau layanan pendidikan untuk anak-anak Indonesia di Sabah.
Oleh sebab itu, salah satu tugas yang perlu dipergiatkan lagi adalah memberikan pendedahan kepada syarikat-syarikat ladang sawit mengenai peranan dan tugas CLC. Kita sampaikan kepada syarikat-syarikat hasil kesepakatan G to G. Cabaran yang kita hadapi pada masa ini adalah tidak semua syarikat memiliki kefahaman mengenai CLC dan menerima kesepakatan antara Indonesia dan Malaysia mengenai pendidikan kepada anak-anak sekolah Indonesia.
Kesepakatan ini dicapai ketika zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri Malaysia. Perdana Menteri yang baru , Datuk Seri Najib Tun Razak juga memberikan sokongan. Dengan demikian kesepakatan itu ditindak lanjuti dan pertemuan antara Kementerian Pendidikan Indonesia, Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI ), Konsulat Jenderal Republik Indonesia, Jabatan Imigresen dan Kementerian Pendidikan Malaysia diadakan untuk membolehkan pendidik-pendidik dari Indonesia dikirimkan ke Malaysia.
Sejak itu CLC mulai berkembang dan seramai 60 orang anak-anak Indonesia dikirim ke ladang-ladang sawit untuk mengajar di CLC pada tahun 2006.
UB: Bagaimana respon daripada syarikat-syarikat sawit terhadap CLC ini?
SUWANDI: Syarikat-syarikat swasta khususnya syarikat perladangan sawit mulai memahami bahawa kewujudan CLC ini sangat membantu anak-anak Indonesia untuk mendapatkan pendidikan dan ketrampilan. Orang tua merasa selesa dan rasa nyaman kerana anak-anak mereka punya cita-cita hidup dan tujuan.
Selain itu, orang tua siswa juga dapat bekerja dengan lebih fokus dan boleh meningkatkan produktiviti pekerja sehingga banyak syarikat yang memberikan sokongan agar lebih banyak CLC didirikan di ladang sawit milik mereka. Perkembangan semakin menggalakkan dari hari ke hari dan lebih banyak anak-anak mendapat akses pendidikan.
UB: Sesuai dengan kesepakatan dunia Education for All (EFA) apakah semua anak-anak Indonesia mendapat peluang pendidikan?
SUWANDI: Education for All (EFA) ialah hasil kesepakatan negara-negara di seluruh dunia untuk mewajibkan setiap anak-anak mendapat pendidikan . Oleh sebab itu ,masalah pendidikan sekarang jadi tanggungjawab semua orang, menjadi tanggungjawab warga dunia. Setiap anak-anak berhak untuk mendapatkan akses terhadap pendidikan. Masih banyak lagi anak-anak pekerja Indonesia di ladang sawit yang belum mempunyai akses terhadap pendidikan.
UB: Selain CLC yang dikelola untuk anak-anak Indonesia, ada juga sekolah Humana. Apa beza CLC dan Humana?
SUWANDI: Pola pendidikan di CLC menggunakan kurikulum Indonesia. Mereka belajar dari sekolah dasar (SD) ,belajar setiap hari dengan guru-guru Indonesia dibantu oleh guru-guru tempatan seramai 126 orang. Mereka belajar menggunakan kurikulum Indonesia untuk mendapatkan sijil SD.
Sementara Humana adalah sebuah NGO internasional yang mengajarkan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira kepada anak-anak warga asing seperti dari Filipina, bangladesh. Terdapat 13, 000 sekolah Humana di Sabah. Oleh sebab terdapat anak-anak Indonesia yang belajar di Humana, itulah sebabnya kita mengirimkan guru-guru untuk anak-anak Indonesia di Humana. Kita tidak ada apa kaitan dengan Humana tetapi kita ada kaitan dengan anak-anak Indonesia.
UB: Menurut pandangan bapak, apa kebaikan CLC ini terhadap hubungan Indonesia dan Malaysia sebagai negara tetangga?
SUWANDI: Anak-anak pekerja Indonesia yang belajar di CLC ini memberikan banyak manfaat kepada masa depan hubungan Indonesia dan Malaysia untuk dapat menjalin hubungan yang lebih mesra, saling mengerti, salin hormat menghormati. Sebagai negara bertetangga, Indonesia dan Malaysia saling memerlukan dan anak-anak pekerja Indonesia dapat membantu meningkatkan saling pengertian antara sebagai sebuah negara bertetangga.
UB: Setakat ini bagaimana kejayaan pelaksanaan CLC?
SUWANDI: CLC boleh dikatakan berjaya memberikan perkhidmatan pendidikan terhadap anak-anak warga Indonesia di negeri Sabah. Malah ada juga negara-negara luar yang bertanya mengenai CLC kerana melihat kejayaannya memberikan akses pendidikan terhadap anak-anak warga Indonesia.
UB: Apa harapan pak Suwandi terhadap anak-anak warga Indonesia yang belajar di CLC?
SUWANDI: Kita berdoa agar harapan anak anak jadi kenyataan. Mereka dapat mencapai apa yang mereka cita-citakan. Kita berharap mereka menikmati pendidikan yang mampu memberikan bekal budi, ilmu pengetahuan dan ketrampilan yang memadai.
Isnin, 22 Disember 2014
SUWANDI PERMANA, PASTIKAN ANAK-ANAK PERGI SEKOLAH
✔
abd naddin
Diterbitkan 1:40 PG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)