Ahad, 23 November 2014

mengenai seorang penjual langsat

Tags



 

MENGENAI SEORANG PENJUAL LANGSAT

Seorang warga maya menulis di dinding facebook mengenai pihak berkuasa tempatan yang merampas jualan seorang OKU yang menjual langsat di kali lima kedai di salah sebuah daerah di negeri ini. Buah langsat OKU dibuang di tong sampah, tulisnya.

OKU itu, yang cacat kaki, cacat tangan, berjalan menggunakan punggung, tangannya langsung tidak berjari, kakinya langsung tiada itu, berjualan di kaki lima kedai sampai larut malam. Kadang-kadang tertidur di kaki lima untuk mencari sesuap nasi.

Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran cerita itu. Tetapi jika benar, sudah tentu kita ingin tahu mengenai justifikasi tindakan yang dirasakan tidak berperikemanusiaan itu.

Mungkin juga, OKU itu melakukan kesalahan kerana berniaga di kaki lima kedai tanpa lesen.Mungkin juga pihak berkuasa tempatan terpaksa bertindak demikian kerana sudah jemu memberikan amaran supaya semua orang tanpa kecuali mematuhi peraturan undang-undang yang dikuatkuasakan.

Tidak ada siapa boleh dikecualikan daripada penguatkuasaan peraturan dan undang-undang. Namun saya fikir, kita harus lebih bertimbang rasa terutamanya kepada golongan orang kurang upaya. Pihak berkuasa harus lebih prihatin untuk menyedaikan kemudahan dan tempat bagi mereka untuk berniaga.

Golongan OKU harus mendapat layanan yang lebih istimewa. Walaupun mereka berniaga di tempat yang salah dan tidak dibenarkan, saya fikir mereka tidak boleh dikenakan tindakan yang kasar seperti membuang barang dagangan mereka ke dalam tong sampah.

Sudah pasti ada tindakan yang lebih beradab dikenakan kepada golongan OKU itu. Di negara kita, kerajaan sentiasa memberikan layanan dan keistimewaan kepada OKU. Tetapi tindakan segelintir penguatkuasa yang lebih sudu daripada kuah itu nampaknya boleh mencalar imej PBT.

Ramai juga yang memberikan respon terhadap posting itu. Ada yang menyifatkannya sebagai keterlaluan. Ada yang mempersoalkan mengapa penjual-penjual rokok haram di kaki lima kedai tidak dibanteras. Banyak lagi perkara yang sepatutnya diberikan perhatian oleh PBT dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya.

Anggota penguatkuasa sudah tentu memiliki sebab mengapa barangan jualan OKU itu dirampas dan dibuang ke tong sampah. Tetapi apapun alasannya, tindakan sedemikian itu jelas akan memberikan imej buruk kepada kerajaan yang memerintah. Ia menunjukkan seolah-olah kerajaan tidak prihatin terhadap nasib warganya. Sedangkan kerajaan kita dari dahulu sampai sekarang tetap memberikan keutamaan dan layanan istemewa kepada golongan kurang upaya.

Saya agak terkilan selepas membaca posting warga maya di dinding buku wajahnya. Saya yakin niatnya benar memaparkan peristiwa yang dilihat berlaku di depan matanya. Kejadian itu sesungguhnya, jika benar disengajakan, tetap akan memberikan imej dan implikasi negatif.

Marilah kita sama-sama berdoa supaya kita sentiasa diberikan rasa prihatin, rasa kasih dan hormat terhadap sesama terutamanya golongan OKU. Saya teringat seorang OKU di bandaraya yang walaupun dimarahi atau dihalau tetap mendoakan agar orang yang menghalau dan mengusirnya itu sentiasa panjang umur dan dimurahkan rezekinya.

Saya yakin membantu orang yang kurang upaya dan kurang berkemampuan itu, walaupun dengan sebuah sikap dan ucapan yang baik,adalah satu tindakan yang mulia.