MOHD ZAKI HARRY SUSANTO, PERNAH MENIKMATI AROMA KOPI DAN HARUMNYA MADU DI TIMOR LESTE
BUKAN semua orang memiliki pengalaman seperti yang dialami oleh Mohd Zaki Harry Susanto. Ketika berkhidmat sebagai anggota pasukan polis UNPOL di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Republik Demokratik Timor-Leste, beliau dipertanggungjawabkan untuk mengawal Perdana Menteri Republik Demokratik Timor Leste, Kay Rala Xanana Gusmao. Selama 19 bulan bertugas di negara yang baru merdeka itu, beliau sempat mengiringi `Primeiro Ministro' menjelajah hampir ke seluruh pelosok hingga ke daerah terpencil di kawasan pergunungan. Mohd Zaki sebagai Team Supervisor PZ-12 (Prime Minister of Timor-Leste Close Security Protection Unit (SCPU) United Nation Integrated Mission in Timor Leste (UNMIT) di Timor Leste bermula 7 April 2009 hingga 3 November 2010.
Mohd Zaki Harry Susanto dilahirkan di Tawau pada 29 Oktober 1974. Beliau mendapat pendidikan awal di SRJK Yuk Chin dan SRK Muhibbah Raya Tawau. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran menengah di Sekolah Menengah Berasrama Penuh (SBPS) Bukit Padang dari Tingkatan 1 hingga 3 sebelum berpindah ke SM St Patrick Tawau dari Tingkatan 4 hingga 5. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dalam tingkatan 6, di SMK Tawau. Mohd Zaki meneruskan pengajian di ITM Shah Alam dan kini baru saja menyelesaikan pengajian di peringkat MBA dari Unversiti Utara Malaysia (UUM).
Beliau memulakan kerjaya sebagai pemberita Borneo Travel News dan kemudian menjadi guru sandaran di SM Merotai Besar dan selepas itu mengajar di SM St Patrick. Beliau juga pernah menjadi juruhebah di Radio Malaysia Tawau (kini dikenali Tawau FM) sebelum memasuki perkhidmatan polis pada 1 Mei 1998. Mohd Zaki menjalani Latihan Asas Inspektor selama sembilan bulan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL). dan selepas tamat latihan beliau ditugaskan sebagas Pegawai Kanan Cawangan Khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selama tiga tahun dan kemudian berpindah ke Bahagian Perhubungan Awam (PRO) Bukit Aman selama dua tahun. Kemudian beliau bertukar ke Sabah sebagai Pegawai Latihan di Pusat Latihan Polis. Mohd Zaki kemudian diamanahkan sebagai Pegawai Latihan Sukses di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebelum menyertai misi PBB di Timor Leste. Selepas selesai menjayakan misi negara beliau kembali ke Sabah. Namun setahun kemudian, Mohd Zaki mengambil keputusan drastik dengan meletakkan jawatan pada 25 Mac 2012, untuk menceburkan diri dalam bidang siasah dan perniagaan. Kini beliau menjawat jawatan sebagai Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Tanjung Batu Tawau pada 20 Ogos 2013.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual MOHD ZAKI HARRY SUSANTO mengenai pengalamannya sepanjang bertugas di Timor-Leste. Ikuti petikan temubual dengan beliau yang diadakan pada satu pagi yang cerah di Lawas, Sarawak di celah-celah jadual program Kembara Bahasa 2014 yang baru saja berakhir.
UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan bagaimana timbulnya minat untuk berkhidmat sebagai anggota pasukan polis di bawah panji PBB?
MOHD ZAKI HARRY SUSANTO:
Ketika bertugas sebagai pegawai latihan di SUKSES di UMS, saya memohon untuk menyertai Misi PBB.
Saya bernasib baik kerana disenarai pendek untuk menghadiri ujian.
UB: Berapa yang terpilih?
MOHD ZAKI: Seramai 400 orang terpilih untuk menjalani latihan di Ulu Kinta Perak dalam peringkat awal. Di Ulu Kinta, kami perlu melalui beberapa tahap penilaian yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
UB: Penilaian itu seperti apa?
MOHD ZAKI: Antara penilaian itu ialah penilaian kebolehan berbahasa Inggeris, ujian fizikal, larian, panjat bukit, ujian menembak. Siapa yang lulus ujian menembak dihantar untuk bertugas di misi PBB di Timor-Leste. Mereka yang gagal ujian, dihantar ke untuk berkhidmat dengan misi PBB di Sudan. Sebabnya kerana disana misi PBB tidak bersenjata.Sementara di Timor Leste, anggota pengaman dibekalkan senjata.
Pada tahap kedua, satu pasukan penguji dari PBB datang dan kami sekali lagi diuji kemampuan berbahasa Inggeris. Kami juga diminta menjalani ujian memandu untuk menguji kebolehan memandu di saat kritis.
UB: Tuan terpilih untuk menyertai misi pengaman PBB itu?
MOHD ZAKI: Beberapa bulan kemudian setelah kembali ke Sabah, saya menerima panggilan bahawa saya lulus penilaian untuk misi pengaman itu. Pada masa itu, isteri saya hamil enam bulan. Namun kerana galakan isteri dan restu ibu, saya pergi untuk bertugas menjayakan misi PBB untuk mengharumkan nama negara. Sebelum pergi, saya sudah pasang niat untuk menjadi pasukan pengawal Perdana Menteri. Sebelum ini ketika bertugas di Cawangan Khas, saya mengikuti kursus Sijil Personal Security dengan tenaga pengajar dari Cawangan Khas dan Unit Tindakan Khas (UTK). Malah saya pernah menjadi pegawai pengiring menteri-menteri dari negara luar ketika mereka melawat negara ini. Saya pernah menjadi pegawai pengiring menteri dari Croatia, Bangladesh, Indonesia dan tetamu-tetamu negara. Bahkan ketika bertugas sebagai pegawai latihan di SUKSES UMS, saya selalu menjadi pengganti untuk menjadi pengiring Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mangsor Ismail ketika membuat lawatan ke seluruh Sabah.
Jadi sebelum berlepas ke Dili, Ibu Negara Timor-Leste, saya sudah menyimpan impian kalau dapat ke Timor-Leste, saya mahu bertugas menjaga Presiden. "Aku mahu jaga presiden,", saya simpan impian sebegitu. Bila kami sampai di Timor Leste, ramai personal PBB yang tamat misi dan mahu balik. Setiap anggota misi pengaman PBB hanya bertugas selama 12 bulan dan selepas itu mereka mesti pulang.
Ketika ditanya siapa yang berminat untuk membantu tugas sebagai close security sementara belum ada pengganti, saya angkat tangan . Tidak lama kemudian, oleh kerana saya ada menjalani kursus sewaktu berkhidmat di Cawangan Khas, saya dicadangkan untuk berkhidmat secara tetap dalam unit. Orang yang saya jaga ialah Presiden of Parliament Republic Democratic of Timor-Leste. Tidak lama kemudian saya ditugaskan untuk menjadi pegawai pengirng kepada Perdana Menteri Republic Democratic of Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao.
Saya ditugaskan bersama SI Mohd Haijat Abdul Jalil, seorang anggota yang pernah menjadi anggota D9 dan berpengalaman dalam menangani jenayah berat.
UB: Apa nama jawatan ketika bertugas di UNPOL itu?
MOHD ZAKI: Saya dilantik sebagai Team Supervisor. Orang yang saya gantikan itu adalah dari Thailand. Apabila dia tamat misi, saya menggantikan dia. Di bawah seliaan saya, ada anggota pengaman dari Mesir, Portugal, Thailand, Filipina dan Malaysia.
Saya menjadi Team Supervisor PZ-12 (Prime Minister of Timor-Leste Close Security Protection Unit (SCPU) United Nation Integrated Mission in Timor Leste (UNMIT) di Timor Leste bermula 7 April 2009 hingga 3 November 2010.
UB: Bagaimana sikap rakyat Timor-Leste terhadap negara kita?
MOHD ZAKI: Pegawai dan anggota polis Policia Nacional de Timor-Leste suka dengan orang Malaysia. Pertamanya kerana mereka mampu berkomunikasi dengan kita. Mereka masih menguasai bahasa Indonesia. Mereka juga amat mengagumi Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad. Orangnya amat baik, jasanya besar terhadap Timor-Leste, kata mereka. Tun Dr Mahathir juga menghantar 48 buah lori Hicom pada sekitar 1999, yang masih boleh digunakan dengan baik ada 2009, sewaktu tempoh misi kami itu. "Pak Mahathir beri barang yang bagus, bukan yang mudah rosak", begitu kata mereka.
Secara kebetulan, ketika Tun Dr Mahathir membuat lawatan rasmi ke Timor-Leste atas jemputan Presiden Jose Ramos-Horta, pihak kedutaan Malaysia di Dili pada ketika itu, meminta saya untuk menjadi pegawai pengiring kepada Tun Dr Mahathir sepanjang lawatannya ke Timor-Leste.Kebetulan pula Kay Rala pada masa itu ada program di Bali.
Oleh kerana saya bertugas di UNPOL, saya meminta supaya pihak kedutaan menulis surat untuk meminta pelepasan. Acting Team Leader kami waktu itu, Orang Jordan agak keberatan. Tetapi apabila beliau tahu bahawa Tun Dr Mahathir yang datang, beliau membenarkan saya sebagai pegawai pengiring dengan satu syarat, iaitu dia mahu bergambar dengan Tun Dr Mahathir.
Jika tidak silap, tiga pesawat jet penerbangan dari Kuala Lumpur yang dianggotai oleh kalangan pelabur dan peniaga. Antaranya Tun Dr Siti Hasmah, Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Razali Ismail, Datuk K, suami Siti Nurhaliza ikut serta dalam rombongan lawatan itu. Kebetulan juga, ADC Tun Dr Mahathir pada masa itu, adalah kawan saya sewaktu bersekolah di Lahad Datu.
UB: Bagaimana sambutan mereka terhadap Tun Dr Mahathir?
MOHD ZAKI: Ketika lawatan itu, Tun Dr Mahathir menerima pingat tertinggi "Order of Timor Leste" pada November 2009. Beliau diberikan layanan yang begitu istimewa. Jalan yang dilalui semuanya ditutup untuk umum, sesuatu yang mereka jarang lakukan meskipun untuk perdana menteri di negara itu. Selepas itu, Tun Dr Mahathir juga dijemput untuk menyampaikan ucapan nasihat kepada anggota kabinet Timor-Leste. Kay Rala Xanana Gusmao juga memendekkan lawatannya ke Bali
UB: Lawatan bersejarah seorang pemimpin negara yang dihormati di seluruh dunia.
MOHD ZAKI: Ia juga peristiwa yang amat bersejarah buat saya kerana berpeluang menjadi pengiring dan memayungi beliau sebaik turun di Lapangan Terbang Dili. Selepas mereka pulan dari Dili, pada petang itu, saya menerima berita baik apabila dinaikkan pangakt kepada ASP. Daripada 11 orang yang menjalani temuduga di Timor-Leste, 6 orang dinyatakan berjaya.
UB: Apa yang tuan ingat mengenai Kay Rala?
MOHD ZAKI: Kay Rala Xanana Gusmao adalah seorang pemimpin yang suka merendah diri dan menyayangi rakyatnya. Beliau juga seorang yang pemaaf. Beliau pernah mengatakan bahawa sebaik-baik manusia ialah mereka yang bisa memaafkan orang lain yang pernah melukai mereka. Saya pernah lihat, ada orang yang ahli keluarganya diperkosa, dia maafkan mereka.
Saya juga ingat kata-kata beliau, satu hari nanti, ada satu keadaan, pemimpin jadi penentang, penentang jadi pahlawan.
Dia tidak peduli sama ada siang atau malam, jika mahu berjalan menemui rakyatnya, beliau akan berjalan. Kami harus selalu siap siaga, Beliau seorang yang sangat bersahaja, kadang pakai seluar pendek, berselipar berjalan untuk menemui rakyatnya. Kami juga pernah menegurnya. Dia jawab, biar orang tahu kita bekerja.
UB: Tentu beliau seorang yang cergas, apatah lagi, bekas pejuang
MOHD ZAKI: Ya beliau seorang yang pantas bergerak. Tapi beliau ada menghidap sakit pinggang. Secara kebetulan, dia pernah hampir terjatuh ketika berada di pintu pejabatnya. Saya jarang masuk sampai ke biliknya. Namun tidak lama kemudian, beliau mempengerusikan mesyuarat kabinet.
UB: Apa minuman yang beliau suka?
MOHD ZAKI: Minuman yang beliau suka adalah minuman tanpa gula, pakai madu saja. Hanya dua orang tukang buat kopi yang dia percaya. Salah seorangnya ibu Anto dan Ibu Fatimah. Ini dua orang yang beliau percaya untuk buat minumannnya. Mereka baik dengan kami, kadang kami turut dibuatkan minuman.
UB: Timor-Leste pengeluar kopi?
MOHD ZAKI: Antara hasil komoditi Timor-Leste adalah kopi. Aromanya sedap. Begitu juga Timor-Leste terkenal dengan hasil madu.
UB: Apa nama daerah yang pernah dilawati di Timor-Leste?
MOHD ZAKI: Saya bernasib baik kerana menjadi pengiring kepada Perdana Menteri Timor Leste, dimana kami berpeluang untuk melawat hampir semua daerah di negara itu. Terdapat 13 daerah dan banyak lagi daerah kecil. Selama 19 bulan bertugas di sana, saya berpeluang untuk berkunjung ke semua tempat itu. Kebetulan pada masa itu diadakan pilihanraya tempatan. Saya pernah ikut kempen selama lebih 70 hari , tidur dalam kereta, atau mana-mana tempat yang mengizinkan. Tiga hari pertama masih tahan tapi lama kemudian, badan rasa sakit. Selepas seminggu, tiada masalah. Orang-orang di sana amat baik. Mereka selalu pelawa kami makan. Kami selalu menolak dengan baik. Mereka tidak faham soal halal haram. Mereka hanya tahu orang Islam tidak makan babi.
UB: Ada bawa bekal?
MOHD ZAKI: Kami selalu bawa bekal raisin tentera. Kadang sekadar mee sedap.
UB: Dapat mandi?
MOHD ZAKI: Kadang-kadang tidak dapat mandi hingga tiga hari kalau tak jumpa air. Atas perbukitan mana ada air. Cuma hawanya sejuk. Kalau jumpa air, macam jumpa emas. Mujurlah sewaktu latihan, kami sempat menjalani latihan bagaimana mahu survival di tempat yang sukar.
Bagi saya, PDRM adalah yang antara yang terbaik daripada 40 negara yang bertugas dalam misi PBB. Apa yang kita belajar sepanjang latihan, amat berfaedah
UB: April lepas, UMS menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Hubungan Antarabangsa kepada Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao? Sempat jumpa beliau?
MOHD ZAKI: Sebenarnya sebelum lawatan itu, saya sudah diminta oleh UMS melalui Pegawainya, No'man Haji Ahmad untuk membantu. Ketika beliau datang untuk menerima ijazah kehormat itu, saya berada di Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu. Saya berdiri di hujung ketika beliau menyalami setiap orang. Apabila suadh dekat saya menyapanya, Diak Kalae Excelencio... Apabila beliau melihat saya, dia menyapa saya dengan hangat seperti seorang kawan. Kami berbicara sebentar. Saya gembira sekali. Menteri pengiring pada masa itu ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri.
UB: Oh ya, apa nasihatnya kepada tuan apabila tahu tuan sudah beralih bidang ke bidang politik pula?
MOHD ZAKI: Beliau pesan kepada saua, jadi orang politik harus rendah diri. Jangan ikut kata hati, jangan cepat marah. Harus taruh diri kita di bawah. Ingat ya. Harus selalu jadi pemaaf. Beliau menyampaikan nasihat dalam bahasa Indonesia Sepanjagng berada di Timor-Leste, kami berkomunikasi dalam bahasa Indonesia, tidak pernah dalam bahasa Inggeris.
UB: Bagaimana menyebut ucapan terima kasih di Timor Leste?
MOHD ZAKI: Terima kasih dalam bahasa Portugis yang digunakan di Timor-Leste ialah Obrigado barak. Bahasa Portugis menjadi bahasa rasmi kedua selepas bahasa Tetum, yang menjadi bahasa utama di sana.
UB: Obrigado Barak tuan
MOHD ZAKI: Nada...Kolega. Sama-sama kawan.
Home
Unlabelled
MOHD ZAKI HARRY SUSANTO, PERNAH MENIKMATI AROMA KOPI DAN HARUMNYA MADU DI TIMOR LESTE
Jumaat, 31 Oktober 2014
MOHD ZAKI HARRY SUSANTO, PERNAH MENIKMATI AROMA KOPI DAN HARUMNYA MADU DI TIMOR LESTE
✔
abd naddin
Diterbitkan 11:17 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)