Jumaat, 31 Oktober 2014

HIDUP INI BIARLAH SEDERHANA, KATA DATUK SAMSU BAHARUN

Tags

 

HIDUP INI BIARLAH SEDERHANA, KATA DATUK SAMSU BAHARUN

 
"BAGI saya kesetiaan kepada Ketua adalah `paramount', atau paling utama Tetapi ia tidak menghalang saya untuk menyuarakan aspirasi rakyat. Namun jika ingin kekal lama dalam politik, jangan terlalu `vokal'. Jika terlalu vokal, ramai orang tidak bersenang hati" kata Mantan Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Samsu Baharun Haji Abdul Rahman.

Sebelum menceburkan diri dalam politik, beliau pernah menjadi Pegawai Tadbir di beberapa buah jabatan kerajaan pada 1982. Pada tahun 1994, beliau dilantik sebagai Pegawai Daerah Lahad Datu. Jawatan terakhirnya sebelum meletakkan jawatan untuk bertanding dalam pilihan raya umum 1999 ialah Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).

Selepas menang Kerusi Dewan Undangan Negeri Lahad Datu, beliau dilantik mengetuai beberapa anak syarikat Kerajaan Negeri. Bintangnya terus bersinar apabila dilantik sebagai Pembantu Menteri Kementerian Pembangunan Perindustrian pada 2003. Pada tahun 2004, beliau bertanding di kerusi Parlimen Silam dan selepas itu beliau dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi hingga 2008.

Datuk Samsu Baharun Haji Abdul Rahman dilahirkan di Kampung Tanggal, Pulau Bum-Bum Semporna pada 18 Julai 1958.. Beliau menerima pendidikan awal di SRK Bugaya pada tahun 1964 hingga 1970 sebelum meneruskan pelajaran di SMK Semporna pada tahun 1971 hingga 1973. Selepas itu, beliau melanjutkan pendidikan menengah di SMK Sanzac dari tahun 1974 hingga 1975. Pada tahun 1976 hingga 1977, Samsu Baharun memperolehi biasiswa Yayasan Sabah untuk memasuki tingkatan enam di Sekolah Aminuddin Baki, Kampung Pandan Kuala Lumpur. Selepas itu, beliau meneruskan pengajian di Universiti Malaya pada tahun 1978-1981 dalam bidang Sains Sosial dengan pengkhususan dalam bidang sejarah.

Sebaik menamatkan pengajian, beliau dilantik sebagai Pegawai Tadbir di Jabatan Perhutanan Sandakan. Pada tahun 1982 hingga 1991, beliau berpindah ke Kementerian Perindustrian sebagai Pegawai Tadbir. Kemudian pada 1992 hingga 1994, beliau bertugas di Perpustakaan Negeri Sabah. Karier Samsu Baharun meningkat apabila beliau dilantik sebagai Pegawai Daerah Lahad Datu pada Julai 1994 hingga Disember 1996. Pada Januari 1997 , beliau dilantik sebagai Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS). Bagaimanapun, pada Mac 1999, beliau terpaksa meletakkan jawatan kerana ditawarkan sebagai calon dalam pilihanraya umum yang diadakan pada masa tu. Apabila menang, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Sabah Energy Corporation (SEC), sebuah anak syarikat kerajaan negeri pada 1999 hingga 2001. Pada tahun 2002 hingga 2003, beliau dilantik sebahai Pengerusi Asian Supply. Pada 1 April 2003, beliau dilantik sebagai Pembantu Menteri Kementerian Pembangunan Perindustrian hingga 2004. Kemudian beliau bertanding di kerusi Parlimen Silam pada 2004 dan kemudian dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Namun pada 2008, beliau tidak dicalonkan semula untuk bertanding dalam pilihanraya.

Beliau merupakan salah seorang pelopor Umno Sabah yang menyertai pada tahun 1991. Beliau kemudian memegang jawatan ketua cawangan Tulibas Besar Tungku pada tahun 2000. Pada tahun 2002, terpilih sebagai Timbalan Ketua Bahagian dan kemudiannya memangku jawatan Ketua Bahagian apabila ketuanya ,Datuk Amat Yusof Jamlee digantung. Pada 2004, selepas sempadan semula, beliau dilantik sebagai Ketua Penaja bahagian Silam. Dalam pemilihan parti, bertanding jawatan timbalan ketua bahagian tetapi sekali lagi memangku jawatan ketua selepas ketuanya, Datuk Haji Yusof Apdal digantung. Ini bermakna bekas MP Silam itu memangku jawatan ketua Umno bahagian Silam sebanyak dua kali .

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemuramah beliau di salah sebuah restoran terkemuka di Jalan Gaya untuk berkongsi pengalaman beliau ketika zaman persekolahan hinggalah dilantik menjawat Jawatan Setiausaha Parlimen.Ikuti petikan temuramah dengan tokoh yang tidak asing lagi di negeri Sabah ini.

 

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang datuk?

DATUK SAMSU BAHARUN (SB): Saya dilahirkan di Semporna pada 18 Julai 1958, tempatmya di Kampung Tanggal Pulau Bum-Bum. Kami 11 beradik satu bapa. Kalau satu bapa satu ibu, kami empat adik beradik.

Saya menerima menerima pendidikan awal di SRK Bugaya pada tahun 1964 hingga 1970. Setiap hari kami berjalan kaki sejauh dua batu ke sekolah. Ada kalanya kami naik lori yang kami panggil lori tagangga, yang selalu digunakan oleh JKR untuk mengangkut pekerjanya.. Sebenarnya kenderaan ini berupa traktor, yang menarik gerabak berisi penumpang iaitu pekerja JKR yang bekerja sebagai pemotong rumput.Masa itu jalan raya masih tanah merah. Belum ada jalan aspal seperti sekarang. ,Kalau hari hujan, kami terpaksa buka kasut, lalu berjalan kaki ayam. Sesampainya di sekolah, barulah kami memakai kasut.Ini kami lakukan supaya kasut tidak kotor.

UB: Selepas darjah enam, di mana datuk melanjutkan sekolah peringkat menengah?

SB: Saya bersekolah di SMK Semporna pada tahun 1971 hingga 1973. Sekolah tu kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Panglima Abdullah. Kemudian saya melanjutkan pendidikan tingkatan empat dan lima di SMK Sanzac dari tahun 1974 hingga 1975.Itulah pertama kali naik kapal terbang. Kami menyewa di sebuah rumah di Sembulan Baru, tidak jauh dari Restoran Sempelang. Rumah sewa itu sekarang sudah tidak ada lagi kerana sudah terbakar. Jika tidak silap rumah sewa itu pernah dibeli Datuk Haji Said Senang.

UB: Tamat tingkatan lima, datuk sekolah di mana pula?

SB: Selepas lulus SPM, saya mendapat biasiswa Yayasan Sabah untuk melanjutkan pelajaran di Sekolah Aminuddin Baki pada tahun 1976 hingga 1977. Sekolah itu terletak di Kampung Pandan. Kemudian pada tahun 1978 hingga 1981, saya meneruskan pengajian di Universiti Malaya, yang terletak di Lembah Pantai dalam bidang sains sosial, pengkhususan dalam bidang sejarah.

UB: Apa kerjaya datuk selepas tamat pengajian di UM?

SB: Sebaik menamatkan pengajian, saya dilantik sebagai Pegawai Tadbir di Jabatan Perhutanan Sandakan menggantikan Datin Khadizah (kini Puan Sri), isteri kepada Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia.Selepas saya ke Kementerian Perindustrian, jawatan itu dipegang oleh Danna Untol.

Saya bertugas di Kementerian Perindustrian boleh dikatakan lama iaitu 1982 hingga 1991. Ketika itu menterinya ialah Mendiang Tan Sri Dr James Ongkili. Ketika zaman PBS, kementerian tu pernah juga diterajui oleh mendiang Datuk Mark Koding.

UB: Selepas itu, Datuk tukar dimana pula?

SB: Saya bertukar ke Perpustakaan Negeri Sabah (PNS). Waktu itu, Datuk Adeline Leong jadi Pengarah Perpustakaan.

UB: Kemudian dimana Datuk ditugaskan?

SB: Apabila Kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah, pada bulan Julai 1994, saya dilantik sebagai Pegawai Daerah Lahad Datu menggantikan Suhaili Riman. Selepas dua tahun di Lahad Datu, pada Januari 1997 hingga Februari 1999, saya dilantik sebagai Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) menggantikan Zainal Abidin Hassan. Pada Mac 1999, saya ditawarkan untuk bertanding di kawasan DUN Lahad Datu. Ketua Menteri Sabah ketika itu, Datuk Osu Haji Sukam meminta saya bertanding pada masa itu.Saya terpaksa meletak jawatan 24 jam. Nasib baik saya menang kalau tidak terpaksa lugai-lugai atau menganggur tanpa pekerjaan.

UB: Apa jawatan yang disandang selepas menang?

SB: Saya dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Sabah Energy Corporation(SEC) pada tahun 1999 hingga 2002. Masa itu, pengerusinya ialah Datuk Philip Yong. Kemudian pada 2002 hingga 2003, saya dilantik sebagai Pengerusi Asian Supply. Kemudian pada 1 April 2003, saya dilantik sebagai Pembantu Menteri Perindustrian. Menterinya ketika itu ialah Datuk Wences Angang.

UB: Selepas 2004, apa yang berlaku kepada datuk?

SB: Apabila PRU diadakan pada Mei 2004, saya bertanding kerusi Parlimen Silam. Selepas menang, saya dilantik pula sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di bawah Datuk Khaled Nordin (sekarang Menteri Besar Johor). Bagaimanapun, pada piliharanya umum 2008, saya tidak dicalonkan.

Namun begitu, saya tetap setia kepada UMNO dan kini masih menjawat jawatan ketua cawangan UMNO di Kampung Tulibas Besar Tungku.

Dalam UMNO, saya pernah terpilih sebagai Timbalan Ketua Bahagian dan kemudiannya memangku jawatan Ketua Bahagian apabila ketuanya ,Datuk Amat Yusof Jamlee digantung. Pada 2004, selepas persempadanan semula, saya dilantik sebagai Ketua Penaja bahagian Silam. Dalam pemilihan parti, bertanding jawatan timbalan ketua bahagian tetapi sekali lagi terpaksa memangku jawatan ketua selepas ketuanya, Datuk Haji Yusof Apdal digantung. Ini bermakna saya memangku jawatan ketua Umno bahagian Silam sebanyak dua kali .

UB: Sebagai seorang pemimpin yang banyak pengalaman, apa nasihat Datuk kepada pemimpin baru?

SB: Secara kesimpulan, sebagai pemimpin, kita tidak boleh terlalu vokal, apatahlagi jika ia menyangkut hubungan Sabah dengan Kuala Lumpur. Sebagai contoh, ketika menjadi ADUN Lahad Datu,saya pernah menyuarakan dalam sidang DUN Sabah, saudara boleh semak dalam Hansard. Pada masa itu, saya memohon supaya Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS) dimansuhkan manakala peruntukkan dari Kerajaan Persekutuan disalurkan kepada agensi-agensi kerajaan negeri. Peruntukan boleh disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar KPLB Sabah. JPPS sudah tidak perlu lagi. Sebaiknya ia dimansuhkan kerana kerajaan BN sudah menang pilihan raya.

Perkara kedua yang saya bangkitkan ialah penubuhan Felda pada 1979. Pada masa itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Mohd Salleh (kini Tan Sri) memberikan tanah seluas 300,000 ekar tanah untuk diteroka iaitu 50,000 ekar di Umas-Umas dan 250,000 ekar di Lahad Datu. Tujuannya ialah untuk membuka peluang kepada anak-anak Sabah jadi peneroka. Kalau kita bahagikan tanah itu sebanyak 15 ekar seorang, sebanyak 20,000 peneroka akan dapat manfaat. Sepatutnya 20,000 anak Sabah jadi peneroka, tapi apa yang berlaku, hanya terdapat 800 peneroka di Umas-Umas dan 1,600 peneroka di Felda Sahabat.Jumahnya kira-kira 2,200 peneroka. Pengambilan peneroka dihentikan pada tahun 1990. Pada masa itu Sabah ditadbir PBS, jadi dia tidak ambil peneroka sebaliknya tubuhkan Felda Plantations.Berhad. Saya cadangkan supaya Felda membuat pengambilan semula peneroka di kalangan rakyat Sabah. Selepas saja menyuarakan perkara itu, saya dipanggil Datuk Osu, dia minta saya slow sikit, katanya setiap tahun Felda berikan bantuan RM1juta untuk PPRT. Apa ertinya RM1 juta berbanding dengan pendapatan yang diperolehi Felda? Felda kaya dan maju tetapi apa jadi dengan rakyat Sabah? Hanya 2,200 anak Sabah jadi peneroka, sepatutnya 20,000 diambil jadi peneroka.

Ketika jadi Ketua Bahagian, sewaktu mesyuarat perhubungan, mesyuarat diberitahu oleh pengerusi perhubungan UMNO bahawa Felda memberikan sumbangan 50 juta dari Felda. Saya meminta supaya separuh daripada peruntukan itu doberikan kepada Lahad Datu dan 25 juta diagihkan ke daerah-daerah lain. Ketua UMNO Kalabakan, Datuk Ghapur Salleh juga meminta supaya kawasannya diberikan peruntukan itu kerana Felda juga terdapat di kawasannya.

Kemudian saya jumpa Tmbalan Perdana Menteri, ketika itu Datuk Sri Najib untuk minta peruntukkan tu, dan beliau setuju untuk gunakan peruntukan itu membina Projek Perumahan Masyarakat setempat. Lepas itu diluluskan 2005 atau 2006 diluluskan hingga 2008. Tapi 2008 saya tidak dicalonkan lagi sebagai ahli parlimen.

Kita tidak boleh terlalu vokal .Kalau terlalu vokal, kita mestia sedia terima akibatnya. Akibat terlalu vokal, saya tidak dicalonkan semula sebagai calon parlimen walaupun pada masa itu saya Setiausaha Parlimen.

Tapi saya terus aktif. Saya masih ketua cawangan UMNO di Kampung Tulibas Besar, Tungku.

UB: Apa isu lain yang menurut pendapat datuk perlu diketengahkan?

SB: Satu lagi isu yang perlu diketengahkan ialah supaya lebih banyak lagi anak-anak di Sabah sesuai dengan borneonisasi yang terkandung dalam perkara 20. Pada masa ini, jumlah anak Sabah yang mengetuai jabatan dan agensi persekutuan masih tidak memuaskan.

Satu lagi isu ialah mengenai sistem kabotaj. Semua barang mesti melalui pelabuhan Kelang. Ini sudah tentulah membebankan.Misalnya kos membawa barang dari Hong Kong ke Pelabuhan Klang sebanyak RM2,000. Tetapi kos dari Hong Kong ke Pelabuhan Kota Kinabalu hanya RM600. Baiklah. Sistem kabotaj sepatutnya sudah dimansuhkan. Atau jika tidak mahu pakai pelabuhan KK, kita boleh guna pelabuhan Labuan.

UB: Apa prinsip hidup datuk?

SB: Bagi saya apapun yang kita lakukan, biarlah kesederhanaan. Saya tidak mahu terlampau kaya, yang membuat kita lupa daratan dan asyik menayangkan rumah besar kereta besar dan sebagainya. Tapi saya juga tidak mahu miskin

Bagi saya kesetiaan kepada ketua adalah `paramount' paling utama. Ini disebut dalam Kitab Suci Al-Quran. Taatlah kepada Allah, dan taatlah kepada Rasul dan pemimpin atau ulil amri. Pemimpin di kalangan kamu. Walaupun saya menyuarakan isu mengenai Sabah, tetapi saya tetap setia kepada UMNO.

UB: Pernahkah Datuk bercita-cita sebagai ahli politik atau wakil rakyat?

SB: Tidak pernah terfikir jadi wakil rakyat.Dulu saya hanya berminat jadi pegawai kerajaan. Jika tidak masuk politik, saya ada peluang jadi Presiden Majlis Perbandaran kerana waktu itu saya memegang jawatan Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan.

UB: Bagaimana Datuk terpilih sebagai wakil rakyat?

SB: Saya menerima tawaran Datuk Osu untuk bertanding. Saya letak jawatan 24Jam.nasib baik saya menang kalau tidak sudah tentu saya `lugai-lugai' atau tidak punya apa-apa.

Saya bernasib baik kerana pernah terpilih untuk bertanding sebagai ADUN dan Ahli Parlimen. Tidak ramai orang yang ada peluang sedemikian. Saya bersyukur kepada Allah dan pemimpin.

UB: Datuk setuju dengan pendapat yang mengatakan UMNO Sabah unik?

SB: Saya setuju dengan kenyataan Datuk Seri Salleh Tun Said yang mengatakan UMNO Sabah itu unik dan berbeza dengan UMNO di negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Keunikan tu pada pendapat saya bukan sahaja dari sudut keahlian dimana ahli UMNO terdiri dari pekbagai bangsa dan agama tetapi kerana status negeri Sabah tidak sama dengan negeri lain di Malaysia.

UB: Apa transformasi yang perlu dilakukan untuk membolehkan UMNO tetap relevan di hati rakyat?

SB: Saya mencadangkan agar jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri Sabah hendaklah diundi secara langsung oleh ahli atau perwakilan dari cawangan semasa mesyuarat pemilihan majlis Tertinggi Parti. Ini salah satu transformasi yang boleh dilakukan .

Saya beri cadangan ini kerana saya sayangkan Umno dan ingin pastikan parti terus mendapat sokongan di Sabah. Harus diingat, isu otonomi dan hak-hak negeri akan menjadi isu utama pada PRU akan datang. Umno harus menjuarai isu ini jika parti itu terus relevan dan mendapat sokongan generasi muda di Sabah.

1 comments so far

Semua pemimpin atau Pejuang akan berkata perkara sama, Hidup sederhana pembawaan sederhana dan lain lain, Namum kesederhanaan tidak akan membawa kita pergi jauh.
Selalunya mereka yang KETERLALUAN akan pergi jauh dalam Politik dan perjuangan.
Lihat saja Pemimpin Politik yang SEDERHANA semuanya mati kojol tanpa apa apa bahkan dihina.... Tetapi Pemimpin Politik yang KETERLALUAN rata rata jadi HEBAT dan dikenang serta dihargai. Jesteru itu kalau nak berpolitik mesti KETERLALUAN dan KETELAMPAUAN yang membabi buta baru ada kemajuan... sekadar pandangan Ikhlas dari saya.