Ahad, 6 Julai 2014

MENGINGAT INGAT KEBAIKAN ORANG

Tags

MENGINGAT INGAT KEBAIKAN ORANG

SEBAIK baik loceng dibunyikan, Jamal bergegas balik ke rumahnya.Dia tidak berlengah lagi. Setiap kali pulang dari sekolah, dia mengisi kendi dengan air minum dan meletakkannya di depan rumah. Rumahnya terletak di tengah-tengah laluan pelajar balik ke rumah masing-masing. Setiap pelajar yang `melimpas' atau melewati rumahnya, singgah sebentar untuk meneguk air bagi melepaskan dahaga.

Setiap hari sekolah, Jamal sentiasa memastikan kendi yang diletakkan di depan beranda rumahnya itu berisi air minuman. Ada semacam kebahagiaan di hatinya jika dapat memberikan air minum kepada rakan-rakannya yang penat berjalan kaki dari sekolah. Saya tidak pasti sama ada, ia satu muslihat Jamal supaya disayangi dan tidak dibuli oleh rakan-rakannya kerana tubuhnya kecil tetapi bagi saya Jamal menebarkan kebaikan-kebaikan dengan caranya sendiri.

Jalan yang berkesan bagi mendapatkan kebaikan adalah memberi kebaikan terlebih dahulu, demikian kata pujangga. Apabila kamu tidak dapat memberi kebaikan kepada orang lain dengan kekayaanmu, berikanlah mereka kebaikan dengan wajahmu yang berseri-seri disertai akhlak yang baik, demikian Sabda Nabi Junjungan besar kita.

Lain lagi yang dilakukan Pak Aziz, seorang pemilik kilang kayu dan papan di daerah kami. Setiap kali ada kematian atau orang meninggal, beliau sentiasa menyediakan kayu dan papan untuk diberikan kepada keluarga yang ditimpa musibah. Begitulah setiap kali. Jika ada orang yang meninggal, keluarga mereka biasanya mencari pak Aziz yang dengan rela hati memberikan kayu dan papan yang diperlukan untuk upacara pengkebumian.

Seorang lagi kenalan di Kinarut, lupa namanya, lain pula yang dilakukannya. Setiap kali ada majlis perkahwinan di kampung berdekatan, beliau dengan gembira menghantar selori atau dua lori batu dan pasir untuk keluarga pengantin. Batu kelikir dan pasir itu boleh digunakan untuk menimbus lumpur atau jalan becak atau jalan yang tak elok. Dengan itu, tidak akan ada kereta yang terbenam dalam lumpur jika hari hujan, maklumlah jalan berlumpur jika hujan di kampung mereka.

Berbuat baik janganlah hanya sekali, berbuat jahat cukuplah sekali sahaja.Saya teringat kata-kata Mahatma Ghandi. Sesiapa yang tidak berbuat baik, merugikan dirinya sendiri, kata Lao Tse.

Saya teringat seorang lagi insan yang baik.Namanya Ali, pemborong ikan di Tawau. Setiap kali pulang ke rumah, beliau sering mengagih-agihkan ikan kepada jiran-jiran sekampung. Begitu juga, jika ada majlis kenduri kendara, beliau sering menghadiahkan ikan untuk lauk pauk. Ini bukan sekali malah berkali-kali malah sudah menjadi sinonim pada dirinya.

Teringat pula saya seorang sepupu yang kami panggil dengan nama timangan Asam. Ketika melihat orang tinggal di bawah jambatan, kebetulan orang pala'u yang terdampar selepas perahu mereka rosak dipecahkan badai, beliau memberikan mereka pukat. Membantu mereka membeli minyak dan sebagainya. Saya rasa beliau memberikan bantuan itu tanpa mengharapkan imbalan. Tetapi sekarang, jika orang yang dibantunya itu mendapat banyak hasil tangkapan ikan, beliau sering mendapat ikan yang besar dan segar.

Apabila anda berbuat kebaikan kepada orang lain , kata Benjamin Franklin, bererti anda berbuat lebih baik kepada diri sendiri. Mungkin kerana itu, seorang rakan lain sering membawa duit syiling.Kadang-kadang poketnya penuh dengan duit syiling.Beliau rajin mengagih-agihkan duit syiling yang tidak seberapa itu kepada kanak-kanak terbiar yang menjadi peminta sedekah.

Terdapat juga kisah mengenai seorang datuk, tapi barangkali tidak perlulah saya sebut namanya. Setiap tahun beliau rajin meghantar orang-orang kampungnya untuk menunaikan ibadah umrah. Selain itu pula beliau sering menderma kepada golongan fakir miskin di daerahnya.

Ada pula seorang datin yang sanggup bergadai bahkan menjual beberapa asetnya semata-mata untuk memastikan anak-anak yatim yang dipeliharanya mendapat pendidikan yang baik dan kehidupan yang baik.

Sungguh saya tidak lupa seorang wanita yang saya terjumpa di Tawau dalam perjalanan pulan naik pesawat ke Kota Kinabalu. Beliau menghadapi masalah kerana kelebihan bagasi dan meminta saya untuk membantunya. Saya rasa terharu apabila mendapati bagasi yang dibawanya itu berisi kain sejadah untuk diagih-agihkannya ke masjid.

Sebenarnya masih banyak lagi perbuatan-perbuatan mulia yang baik untuk dikenang-kenang. Tetapi dalam ruangan yang agak terbatas ini, mungkin saya tidak dapat menuliskan semuanya. Saya cuma teringat kata Nabi, "Apabila mahu berbuat baik, lakukanlah sekarang".