Selasa, 29 Julai 2014

DR JOHNSON TEE, TIMBALAN SPEAKER DUN SABAH PAKAR UNDANG-UNDANG LAUT

Tags



DR JOHNSON TEE, TIMBALAN SPEAKER DUN SABAH PAKAR UNDANG-UNDANG LAUT

ORANGNYA sederhana dan peramah. Di sebalik tugasnya yang mencabar sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN), beliau sebenarnya seorang yang suka membantu dan suka berkongsi ilmu pengetahuan yang dimiliknya. Belaiu mengajar sebagai pensyarah jemputan di beberapa pusat pengajian tinggi selain aktif menulis. Pakar undang-undang laut ini memiliki segudang pengalaman yang menarik.

Datuk Dr Johnson Tee dilahirkan di Tamparuli pada 3 Ogos 1958. Beliau mendapat pendidikan awal di Chung Hwa School Tamparuli sebelum melanjutkan pelajaran menengah di SMK Tamparuli.Selepas itu, beliau memasuki tingkatan enam di SM All Saints Kota Kinabalu.

Beliau kemudian terbang ke England untuk bersekolah di Centre for Business Studies Greenwich. Kemudian beliau melanjutkan pengajian di Ealing College of Higher Education, sekarang West London University) sehingga mendapat Chartered Logistics, setaraf dengan ijazah sarjana muda. Sekembalinya ke Sabah, beliau bekerja di Perkapalan Yayasan Sabah sebagai Pengurus Sumber Manusia. Tidak lama kemudian beliau melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dalam bidang undang-undang laut di University of Wales Cardiff.

Selepas menamatkan pengajian di peringkat sarjana, beliau bekerja sebagai Chartering Manager atau Pengurus Bahagian Sewa Kapal di Perkapalan Yayasan Sabah. Sebagai seorang yang cintakan ilmu pengetahuan, beliau melanjutkan pelajaran di peringkat PhD secara external di University of St George England, juga dalam bidang undang laut.

Beliau berhenti dari Yayasan Sabah melalui skim VSS pada tahun 2003. Atas kepakarannya, Dr Johnson dilantik sebagai salah seorang juru perunding di POIC Lahad Datu.

Dalam bidang politik, beliau adalah salah seorang Exco Pemuda PBS pada tahun 1985.Beliau sempat bergiat bersama pemuda Akar dan selepas itu, beliau menyertai PBRS dan kini dilantik sebagai Setiausaha Agung PBRS sejak 2005.

Sejak bulan Mei 2013, beliau dilantik sebagai Timbalan Speaker 2013. Walau bagaimanapun, di tengah kesibukannya beliau terus menulis dan menjadi kolumnis di akhbar The Borneo Post.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Lucy Emanuel dan dikurniakan dua orang anak.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau pada satu petang yang cerah di salah sebuah restoran terkemuka di Jalan Gaya, Kota Kinabalu. Ikuti petikan temubual bersama beliau mengenai beberapa cebisan pengalaman beliau.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang datuk?

DATUK DR JOHNSON TEE: Saya dilahirkan pada 3 Ogos 1958 di Tamparuli. Tapi saya membesar di Ranau, di siring Sungai Kimolihing di Ranau. Siring dalam dialek Melayu Sabah ertinya tepi.Sekarang sungai itu sudah kering. Saya anak keempat dari tujuh adik beradik.Ibu saya orang Ranau. Bapa saya pula bukan orang Cina Totok. Dia dilahirkan di Kampung Mahindoi Penampang tetapi sewaktu dia masih kecil, dia dibawa pulang ke Cina ikut kapal, kemudian bila sudah besar balik lagi ke Sabah. Bapa saya jual `curut' atau tembakau. Keluarga kami boleh dikatakan miskin kerana terpaksa menyewa tanah orang.

UB: Dimana datuk bersekolah dahulu?

DR JOHNSON: Saya masuk sekolah rendah di Chung Hwa School Tamparuli dari darjah satu hingga darjah enam. Sebenarnya bapa saya mahu hantar saya ke sekolah Melayu yang terletak di seberang sungai. Tapi masalahnya selalu banjir. Jadi terpaksalah bapa menghantar saya ke sekolah cina.Kemudian saya memasuki sekolah menengah di SMK Tamparuli dari tingkatan satu hingga tingkatan 5. Selepas itu, saya melanjutkan pelajaran dalam tingkatan enam di SM All Saints Likas.

UB: Rupanya ibu datuk orang Ranau?

DR JOHNSON: Ibu saya orang Ranau.Beliau mempunyai ramai saudara mara di sana. YB Datuk Masidi Manjun (Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar), pangkat pakcik saya kerana dia sepupu kepada ibu saya. Ibu saya ada 14 adik beradik, hanya tiga saja yang non muslim. Datuk Sanin Pandin, juga masih pangkat pakcik, bapa saudara saya.

UB: Jadi selepas sekolah di SM All Saints, dimana datuk melanjutkan pelajaran?

DR JOHNSON: Saya masuk YS-ITM, tapi tidak sampai seminggu saya balik semula belajar dalam tingkatan enam di SM All Saints. Selepas tingkatan enam, saya ke England di Centre for Business Studies Greenwich. Kemudian saya melanjutkan pelajaran di Ealing College of Higher Education, sekarang West London University) sehingga mendapat Chartered Logistics, setaraf dengan ijazah sarjana muda. Antara rakan satu universiti ialah Setiausaha Kerja UMNO Sabah, Datuk Haji Kadzim Yahya.

UB: Berapa lama di sana?

DR JOHNSON: Tiga tahun setengah. Selepas itu, saya bekerja di Yayasan Sabah sebagai Pengurus Perkapalan Bahagian Sumber Manusia. Selepas itu, pada tahun 1988, saya kembali semula ke England untuk ambil ijazah di peringkat sarjana dalam bidang undang-undang laut di University of Wales di Cardiff.

UB: Waktu itu, ramai juga pelajar dari Sabah yang belajar di universiti yang sama?

DR JOHNSON: Ramai juga. Antaranya Datuk Dr Yee Moh Chai, Datuk Mayong Omar, Datuk James Sabinus.

UB: Mungkin ada pengalaman manis sewaktu belajar di England?

DR JOHNSON: Antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah ketika mula-mula sampai di England. Saya bekerja di Restoran makanan segera di Mac Donald secara part time iaitu dari tahun 1979 hingga 1982. .Saya masih ingat ketika majlis perkahwinan Putera Charles dengan Puteri Diana pada 29 Julai 1981. Lokasi majlis perkahwinan mereka terletak betul-betul berhadapan dengan Mc Donald tempat saya bekerja. Saya yang menjadi pengurus pada malam itu. Makanan yang kami jual laris habis. Bayangkan dari jam 4.00 petang hingga 11.00 malam, kami berjaya mengumpul hasil jualan sebanyak 23,000 pound, atau $149,500, satu rekod dunia pada masa tu dan masih belum dapat dipecahkan. Waktu itu,satu pound bersamaan dengan $6.50 duit kita. Tetapi walaupun mencatat keuntungan sebegitu banyak, saya hanya mendapat bonus sebanyak 30 pound atau bersamaan $195.00, jumlah yang besar juga.

UB: Seronok juga ya datuk. Apa lagi jenis pekerjaan yang datuk pernah kerjakan ketika di sana?

DR JOHNSON: Satu masa ketika berjalan-jalan berdekatan rumah Datuk Yong Teck Lee di Kilburn, saya nampak iklan kekosongan jawatan di Dewan Bandaran. Kerjanya pungut sampah. Tiap-tiap pagi dari jam 4,00 hingga 6.00 pagi. Saya fikir kalau dapat kerja itu, saya tidak payah lagi kerja di MacDonald kerana gajinya juga lumayan.Kalau dapat kerja sana, satu minggu saya boleh dapat 70 pound bersamaan $455 .00 berbanding dengan kerja di Mac Donald iaitu hanya antara 28 hingga 35 pound saja seminggu iaitu bersamaan $182 hingga $227.5 satu minggu.

Saya terpaksa bekerja kerana saya tidak mendapat biasiswa.Saya orang miskin.Keluarga kami miskin, tidak ada rumah dan terpaksa tumpang tanah orang.Jadi sayapun hadir temuduga tetapi akhirnya saya dimarahi oleh mat saleh. You get lost, you are too short, katanya. Saya tidak diterima kerana terlalu pendek. Ukuran ketinggian yang diperlukan ialah 5"7 tetapi saya hanya 5"2 saja.

UB: Siapa lagi orang Sabah yang belajar di UK semasa datuk belajar di sana?

DR JOHNSON: Antaranya Datuk Yong Teck Lee, Datuk Raymond Tan, Datuk Tham Nyip Sen, Datuk VK Liew,Amde Sidik, Datuk Iskandar Malik. Seorang lagi rakan saya yang bekerja di sana ialah seorang personaliti yang terkenal...di London, saya panggil dia Harun... iaitu Datuk Razak Baginda. Kami sama-sama bekerja selama tiga bulan dalam musim panas. Seorang lagi rakan ialah Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin mantan Naib Cancelor Uiversiti Malaysia Sabah (UMS).

UB: Selepas menamatkan pengajian di peringkat sarjana, di mana datuk bekerja?

DR JOHNSON: Saya balik lagi pekerja di Perkapalan Yayasan Sabah dari tahun 1990 hingga 2003 sebagai Chartering Manager atau Pengurus Bahagian Sewa Kapal. . Kemudian saya buat PhD scara external dari University of St George England,. melanjutkan pengajian doktor falsafah dalam undang-undang laut. . Tahun 2003, saya berhenti melalui skim VSS dari Yayasan Sabah.

UB: Kenapa pilih undang-undang laut?

DR JOHNSON: Kerana ia berkaitan dengan bidang kerja saya di Yayasan Sabah Shipping.

UB: Apa kerjaya datuk selepas berhenti dari Perkapalan Yayasan Sabah?

DR JOHNSON: Saya dilantik sebagai salah seorang juru perunding di POIC Lahad Datu.

UB: Beralih dalam soal politik pula. Sejak bila datu menceburkan diri dalam politik?

DR JOHNSON: Saya menceburkan diri dalam politik pada tahun 1985 sebagai Exco Pemuda PBS. Waktu itu Datuk Wilfred Mojilip Bumburing jadi ketua pemuda . Datuk Seri Salleh pernah jadi Timbalan Ketua Pemuda bersama Datuk Tham Nyip Sen. Apabila PBS keluar dari BN satu ketika dahulu, saya bersama AKAR. Dari dulu lagi, saya percaya kepada BN kerana konsepnya yang berbilang kaum, memberi peluang sama rata. Saya anggap hidup mati saya bersama BN.

UB: Apa jawatan sekarang dalam politik?

DR JOHNSON: Saya dilantik sebagai Setiausaha Agung Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) sejak 2005.

UB: Bila datuk dilantik sebagai Timbalan Speaker?

DR JOHNSON: Saya menjadi timbalan speaker sejak Mei 2013.

UB: Apa hobi datuk jika ada masa lapang?

DR JOHNSON: Saya seorang yang gila muzik. Aneh sekali kerana saya minat lagu Melayu Klasik, lagu Cina Klasik, dan English Klasik. Saya suka lagu-lagu Seniman Agung P Ramlee, Rafeah Buang, Sharifah Aini, Sanisah Huri dan saya paling suka Ahmad Jais. Kalau penyanyi sekarang saya minat Sheila Majid.

UB: Apa aktiviti datuk selain muzik?

DR JOHNSON: Saya mengajar secara part time di unversiti. Sudah masuk tujuh tahun. Saya menyampaikan kuliah bagi membangkitkan kesedaran semua orang mengenai logistik. Saya mengajar di UMS secara percuma sebagai pensyarah jemputan dalam mata pelajaran membangun modal insan dan pembinaan jatidiri.

Di OUM juga saya mengajar subjek pentadbiran logistik manakala di UniKL saya mengenai mengenai undang-undang logistik. Barangkali saya sudah mengajar kira-kira 10,000 orang semenjak beberapa tahun lalu. Saya juga minat seni mempertahankan diri seperti Shorinji Kempo.

Saya juga seorang yang suka membaca.Di rumah kami ada mini library. Saya mempunyai beribu-ribu buku.Dua anak saya juga suka membaca.

Selain itu, saya juga suka sastera.Saya paling suka sajak Usman Awang dalam Duri Dan Api, Ranjau Sepanjang Jalan Shahnon Ahmad, Pulanglah Perantau Aziz Jahpin.Saya minat membaca karya sastera. Saya baca Sandera Arena Wati, Keluarga Gerilya, Parmoedya Ananta Toer,

Selain itu , saya juga suka traveling, mengembara. Sebenarnya untuk memperolehi tambang murah agak mudah Buat tempahan enam bulan lebih awal. Banyak syarikat penerbangan yang menawarkan tambang murah. Saya paling suka Royal Brunei, kerana setiap perjalanan dimulakan dengan doa dan tidak menjual arak.

Mengenai aktiviti melancong ini, saya teringat peristiwa beberapa tahun dahulu ketika berkunjung di Afrika. Pagi itu kami mahu pergi minum di Republik Congo. Tiba-tiba pemilik kedai berkata kami tidak perlu takut dan jangan percaya propaganda . Lihat sini, situasinya sangat aman dan tidak seperti yang digembar-gemburkan media asing. Spontan kami melihat lubang bekas peluru dan bertanya apa sudah jadi? Beliau beritahu kejadian tembak menembak itu berlaku minggu lalu. Terus kami bayar minuman dan pergi.

Ada satu lagi peristiwa dengan Liaw lam Thye. Ketika check in di hotel, kami terdengar muzik yang menarik. Selepas itu kami keluar menikmati irama muzik itu. Kami masuk ke satu ruangan, dan mendapati mereka tengah khusyuk berdoa.Hari kedua kami pergi lagi. Orang sana seolah tidak peduli kehadiran kami. Saya hanya duduk menikmati muzik. Kami hairan kerana mereka asyik memandang kami. Kami duduk selamba saja. Tapi tidak lama kemudian, barulah kami menyedari, rupanya muzik yang dimainkan itu adalah untuk satu majlis pengkebumian. Rupanya muzik yang kami dengari itu muzik untuk yang selalu dimainkan untuk orang yang meninggal.

UB: Khabarnya datuk juga membantu anak-anak palestin?

DR JOHNSON: Saya menjadi bapa angkat kepada anak-anak palestin. Selaku bapa angkat saya berikan wang saku RM100 sebulan. Sekarang kanak-kanak itu sudah membesar dan sudah bekerja. Sebenarnya masalah Israel-Palestin , kalau kita telusuri sebenarnya bukan isu agama tetapi lebih disebabkan tanah.Pencerobohan, tanah yang diduduki, dirampas dan sebagainya. Ini yang banyak orang keliru.

UB: Siapa pemimpin dunia yang jadi idola datuk?

DR JOHNSON: Saya meminati Nelson Mandela dan Mahatma Gandhi. Nelson Mandela kerana walaupun terpenjara selama dua puluh tujuh tahun,beliau masih sanggup memaafkan musuh-musuhnya. Apabila dia keluar dari penjara, dia tidak balas dendam sebaliknya mencari musuh dan lawan politiknya untuk bermaafan.

Saya juga meminta Mahatma Gandhi dengan prinsip satyagraha. Berjuang tanpa kekerasan. Melawan penjajahan di India tanpa menggunakan kekerasan.
UB: Kalau di Malaysia? Siapa Idola Datuk?
DR JOHNSON:  Pemimpin yang saya idolakan di Malaysia ialah Tun Dr Mahathir Mohammad, Tan Sri Taib Mahmud, Tan Sri Harris dan Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman

UB: Apa agaknya prinsip yang mendorong datuk berbakti?

DR JOHNSON: Saya ingin berkhidmat untuk manusia sejagat.