Khamis, 20 Mac 2014

Sebiji telur di depan rumah

Tags

*
Ada sebiji telur di depan rumah!
Kehadiran sebiji telur di depan rumah sewa kami itu agak mencemaskan isteri saya. Beliau segera teringat beberapa hari yang lalu ada muntah kucing di depan pintu, tapi muntah kucing itu hilang begitu saja tanpa ada yang membersihkannya.
Di mana? Telur tu dimana?
Di atas baldi, di depan rumah tepatnya di bahagian kaki lima rumah itu.
Isteri saya khuatir ada orang yang hatinya kurang baik meletakkan telur itu di sana untuk tujuan tertentu.
Saya di Kuala Lumpur ketika itu. Sedang berjalan di pasar Chow Kit untuk mencari sekadar oleh oleh untuk dibawa pulang.
Jangan khuatir, saya menenangkan isteri saya.Minta dia berfikir positif saja. Saya beritahu bahawa telur itu tidak membawa apa-apa musibah, bahkan membawa keberuntungan.
"Esok, pasti telur itu bertambah".
Kenapa pula?
Sebab ayam, tak tahu ayam siapa,memilih tempat itu untuk bertelur kerana tak ada reban. Kalau tak percaya tunggu esok saja.
Dan benar saja, keesokan harinya, isteri saya memberitahu bahawa telur itu sudah bertambah.
Kalau sekarang ada dua, esok pasti ada tiga. Ambil sajalah telur itu untuk digoreng. Sayang sekali kerana tak nampak ayam yang bertelur itu kerana kalau nampak ayamnya tentulah dapat ditanya ayam itu milik siapa.

***
Kira-kira jam 1.20 petang,Che Amir datang mengambil saya di hotel. Kemudian mengajak makan tetapi saya terpaksa menolak kerana sebelum itu sudah makan ikan patin di kedai nasi kandar itu.
Beliau menghantar saya ke KL Central. Dari KL Central, saya menaiki  KLIA Express dengan tambang RM35.00. Naik KLIA Express lebih cepat kerana dijamin tak ada kesesakan. 28 minit kemudian, saya sudah berada di KLIA, naik lift ke tingkat lima dan check in di kaunter Mas. MH 2662 , jam 6.05 minit dari Kuala Lumpur. Tiga hari lepas saya naik MH2617 jam 5.45 dari Kota Kinabalu.
Dalam kedua-dua penerbangan itu, saya duduk di tepi tingkap. Apabila pesawat berada di ketinggian 28,000 kaki dari aras laut, saya dapat melihat awan-awan yang bergantungan di langit, dan pasti tak ada kemungkinan hidup jika pesawat jatuh ke bawah.
Sempat juga berkenalan dengan Tuan Rusmin, dari Pusat Penyelidikan Lembaga Koko Malaysia (LKM) yang berpejabat di KKIP.  Satu ketika Malaysia adalah pengeluar koko yang terkemuka di dunia tetapi kini tidak masuk lagi dalam senarai.Kalau dulu banyak penanam koko beralih kepada tanaman sawit, salah satunya kerana serangan penyakit dan harga koko yang murah iaitu kira-kira RM2,000 satu metrik tan, tetapi kini harganya mencecah RM8,000 se tan dan dijangka meningkat RM12,000 se tan.
Tidak lama kemudian, muncul pula YB Datuk Juslie Ajirol. Kami satu penerbangan. Menurutnya, beliau pulang kerana ketinggalan pasport. Sepatutnya beliau ke Singapura pada Khamis untuk sesuatu tugas, katanya.

****
MH370 yang raib itu tidak dapat dikesan ataupun ditemui, walaupun sudah masuk hari ke 13. Ketika pesawat itu hilang, kami sedang berada di Kota Pontianak. Waktu itu, Indonesia dikejutkan dengan kematian seorang aktor komedi Jojon, pelawak yang tidak pernah memperolok rakan-rakannya dan lebih suka mentertawakan dirinya sendiri.

Siapa yang berani mentertawakan dirinya sendiri, introspeksi, ia akan lebih mudah memperbaiki diri.Pasti sekali.