Ahad, 16 Mac 2014

Dari Telipok ke Diamond Square - Catatan 15 Mac

Tags

Pesawat MH370 itu belum ditemui.
Hari ini masuk hari kelapan. Masih belum diketahui nasib 227 penumpang dan 12 anak kapal termasuk 38 rakyat Malaysia yang berada dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju Beijing ketika tiba-tiba ia hilang dari radar jam 1.30 pagi.
Tidak banyak perkembangan terbaru. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang medianya membayangkan kemungkinan baru mengenai pesawat itu yang membuka harapan baru kemungkinan mereka hidup.
Beliau tidak memberi peluang wartawan bertanya dalam sidang media itu.

Saya tidak sempat membaca banyak mengenainya kerana perlu menyiapkan beberapa artikel dan bahan sastera dan budaya Utusan Borneo. Sampai di pejabat kira-kira jam 1.00 petang dari Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah kerana menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan IPS kali ke-24 di Sudut Penulis.
Ikatan Penulis Sabah (IPS) ditubuhkan pada 24 Mac 1990. Dalam usianya yang meningkat 24 tahun, ia telah melalui sejarah  pahit maung perjuangan memartabatkan sastera di negeri ini. Cuma dalam mesyuarat kali ini, yang agak membanggakan sikap ahli yang kritis membahaskan laporan aktiviti persatuan. Ini memberikan harapan bahawa IPS akan meningkat maju dan memperbaiki diri ke arah profesionalisme. Memang perlu diakui terdapat kesilapan dalam laporan aktiviti dan juga laporan kewangan, tetapi teguran yang diberikan perlu diambil kira untuk masa depan IPS sebagai sebuah persatuan yang berwibawa.
Sebaik selesai mesyuarat itu,saya terus bergegas ke pejabat. Isteri saya yang baru juga selesai menghadiri mesyuarat PIBG SMK Tebobon, dimana beliau terpilih sebagai salah seorang ahli jawatankuasa menghantar saya ke pejabat dan kemudian menunggu beberapa ketika kerana menghantar saya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Petang itu saya menaiki penerbangan MH2617 ke Kuala Lumpur. Tidak ramai yang saya kenali. Saya hanya sempat bersalaman dengan Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Saudara Jamawi Jaafar, yang katanya akan terus ke PRK Kajang. Selain itu saya nampak gadis yang dulunya kami panggil Joyah. Saya pernah mengajar joyah dalam Kelas bimbingan di Likas kira-kira tahun 1987. Selepas itu, saya tak pernah bertemu lagi dengannya kecuali ketika beliau menyertai pertandingan ratu cantik. Saya tak sempat menyapanya walaupun saya ingat namanya termasuk nama penuhnya kerana khuatir dia tidak mengenali saya lagi.

Dari KLIA, saya naik bas ke KL Central. Naik Airport Coach dengan tambang kira-kira RM10.00. Perjalan mengambil masa kira-kira 45 minit. Selepas itu, dari KL Central, saya naik teksi ke Diamond Square, Jalan Semarak Api 3, berdekatan Jalan Gombak. Dalam perjalanan itu, saya sempat bercerita dengan pemandu teksi mengenai KL dan Selangor juga mengenai kapal terbang yang hilang itu. Namanya Ramli, berasal dari Tanjung Malim Perak. Orangnya baik dan berhemah.

Setibanya di Diamond Square, saya telefon Che Amir yang datang berjalan kaki. Beliau membawa saya menginap di apartmentnya.

Malam ini saya cuba menulis kerana banyak peristiwa yang perlu ditulis.