Selasa, 12 November 2013

CIKGU ASIAH, SANGGUP BERJALAN KAKI MASUK HUTAN KELUAR HUTAN UNTUK BERSEKOLAH

Tags

CIKGU ASIAH, SANGGUP BERJALAN KAKI MASUK HUTAN KELUAR HUTAN UNTUK BERSEKOLAH

KEGIGIHAN wanita luar biasa ini untuk mengejar ilmu layak diteladani. Beliau sanggup berjalan kaki, masuk hutan keluar hutan, menuruni bukit, menyeberangi sungai semata-mata untuk bersekolah.

"Saya menyimpan satu perasaan.Saya mahu belajar," kata Cikgu Asiah binti KK Imat, satu-satunya perempuan dari kampungnya yang sanggup meredah hutan untuk mengecap pendidikan di SRK Telipok. Tiga kali terpilih sebagai guru cemerlang sepanjang kerjayanya, mantan Guru Besar SK Lapasan Telipok ini menceritakan sedikit pengalamannya sebagai pendidik sehingga bersara.

Cikgu Asiah binti KK Imat dilahirkan di Kampung Kebayau, Telipok pada tahun 1949. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Pekan Telipok mulai tahun 1963 sehingga lulus peperiksaan darjah enam. Pada tahun 1969, beliau memasuki Maktab Perguruan Kent Tuaran sehingga tahun 1971. Sepanjang berada di Maktab, beliau dilantik sebagai Ketua Penuntut wanita. Selepas menamatkan kursus perguruan, beliau ditempatkan di SRK Bundu Tuhan Ranau. Beliau kemudian berpindah ke SRK Pekan Ranau. Selepas berada selama 13 tahun di sana, beliau berpindah ke Sekolah Pendidikan Khas SK Puhun Tunuh sebelum dilantik sebagai Penolong Kanan SK Tansau, Putatan. Selepas itu, beliau berkhidmat di SK Lapasan sebagai guru besar sehingga bersara.

Beliau seorang yang rajin mengikuti pelbagai kursus. Selain itu, beliau pernah juga mengikuti kursus di Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) di Kuala Lumpur. Ini menjadikan beliau seorang guru yang serba boleh sehingga pernah dianugerahkan guru cemerlang sebanyak tiga kali.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau di kediamannya di Taman PuteraJaya Telipok baru-baru ini.Ikuti petikan temubual bersama beliau.

UB: Di mana Cikgu dilahirkan? Boleh ceritakan sedikit latar belakang Cikgu?

CIKGU: Saya lahir di Kampung Kebayau. Dalam surat beranak, saya lahir tahun 1949 tapi mungkin saya lahir sebelum itu kerana daftar lewat. Saya anak kedua daripada sembilan adik beradik. Abang saya meninggal selepas Jepun.

UB: Barangkali kehidupan sewaktu pendudukan Jepun agak sengsara.Bagaimana agaknya keadaan masa itu di kampung?

CIKGU: Penduduk kampung masa itu, masuk hutan keluar hutan. Lampu pun tiada. Orang kampung takut Jepun.

UB Cikgu sekolah dimana semasa sekolah rendah?

CIKGU: Saya bersekolah di SRK Pekan Telipok, tahun 1963. Saya satu-satunya perempuan dari kampung Kebayau yang sekolah pada masa itu. Berjalan kaki berbatu-batu,meredah hutan, menuruni bukit, menyusuri kebun getah, berjalan di siring (siring-dialek Melayu Sabah bermaksud tepi) sungai, menyeberangi sungai kecil sebelum sampai ke sekolah. Empat tahun saya berjalan kaki ke sekolah. Mulanya saya memberanikan diri untuk ke sekolah. Ibubapa tidak menggalakkan. Tetapi saya cari jalan untuk pergi sekolah. Saya lari ke rumah adik bapa dan tinggal di sana. Tiada uniform. Harga baju uniform RM1.60 sen. Saya dapat galakan dari kawan saya, Cikgu Tiara Usaran. Waktu itu saya tidak tahu , saya tidak pandai apa-apa. Tiara yang ajar. Tapi saya fikir, kalau dia orang boleh menghabiskan sekolah, kenapa saya tidak.

UB: Apa yang mendorong cikgu untuk ke sekolah?

CIKGU: Saya menyimpan satu perasaan, saya mahu belajar. Saya ingin membaca bahan-bahan bacaan. Ada majalah tapi saya tidak boleh membaca. Majalah itu dibawa oleh rakan rakan yang lebih tua. Kakak Rupiah bawa majalah. Waktu itu harga majalah 50 sen. Majalah hiburan berisi gambar gambar bintang filem. Waktu itu saya suka filem hindi. Saya suka letakkan tahi lalat di dahi supaya kelihatan seperti pelakon hindi. Kadang lucu juga kalau dingat kenangan masa lalu itu. Lucu tapi benar.

UB: Tentu banyak yang menarik waktu di sekolah?

CIKGU: Saya terus masuk darjah dua. Waktu itu saya sudah besar. Saya kuat belajar. Tulisan sama dengan yang ditulis di papan hitam. Saya mesti habis hafal. Dua minggu dalam darjah dua, ada peperiksaan. Masa itu saya sudah pandai mengira kerana keluarga saya ada kedai runcit.Saya membantu mereka berjualan. Apabila keputusan peperiksaan diumumkan, saya dapat 100 peratus markah dalam matematik. Saya biasa mengira, itu sebabnya saya dapat menjawab dengan betul. Mengenai kepandaian mengira ini, saya belajar dari ibu. Kawan ibu, bini Tin Chang, mengira pakai sempoa. saya juga pandai menggunakan timbangan atau dacing.

UB: Kemudian cikgu naik darjah tiga?

CIKGU: Saya naik darjah tiga. Tinggal bersama Nomi Linggod.Saya duduk rumah dia.Mesti belajar. Pertengahan tahun ada ujian. Dia dapat markah bagus, saya juga dapat markah yang baik. Saya tidak belajar darjah empat, terus naik darjah lima. Jadi saya hanya menduduki darjah 3, 5 dan 6.

UB: Selepas itu, cikgu melanjutkan sekolah di mana?

CIKGU: Saya terpaksa berhenti.Orang tua tidak mampu. Terpaksa cari kerja. Apabila mama meninggal,Saya tinggal tempat sepupu, Cikgu Sabri Jahim.Dia guru besar. Beliaulah yang memberi galakan kepada saya. Kemudian saya belajar untuk mengikuti peperiksaan SRP atau Sijil Rendah Pelajaran. Saya belajar sungguh-sungguh. Saya lulus, dapat pangkat A dan kemudian ikut peperiksaan masuk Maktab. Saya diterima memasuki Maktab Kent Tuaran tahun 1969.

UB: Lama belajar di maktab?

CIKGU: Saya belajar di Maktab Kent selama tiga tahun, dari tahun 1969, 1970. Semasa di maktab, saya dilantik sebagai Ketua Pelajar. Saya dilantik Ketua Penuntut Perempuan di Maktab Kent.Masa itu terdapat 109 pelajar wanita semuanya.Tahun 1971 saya keluar maktab. Saya menjadi cikgu pertama dari Kebayau, pelajar wanita dari kampung yang mula-mula menjawat jawatan guru dan kemudian dilantik menjadi guru besar.

UB: Dimana cikgu ditempatkan selepas lulus dari Maktab?

CIKGU: Saya ditempatkan di SRK Bundu Tuhan, Ranau pada tahun 1972. Di sana, semangat belajar tidak pernah terhenti. Saya ambil SPM, Sijil Pelajaran Malaysia tapi tidak berjaya.Saya ambil lagi, sehinggalah saya lulus SPM. Saya ingat, anak saya lahir, barulah saya lulus SPM. Kemudian saya di tukar di SRK Pekan Ranau dan diambil sebagai pembantu Penyelia Hisab Sains. Sayalah yang cari bahan bantu untuk mengajar matapelajaran itu. Bukan macam guru sekarang.

UB: Berapa lama cikgu mengajar di Pekan Ranau?

CIKGU: Saya mengajar di Ranau selama 13 tahun. Di sanalah anak-anak saya lahir, lima lelaki satu perempuan. Suami saya, Cikgu Sutrisno juga mengajar di sekolah yang sama.

Sebenarnya, saya tidak fikir lagi pindah. Di sana sudah hidup selesa. Tanaman juga sudah berbuah. Dapat juga menternak ayam sedikit-sedikit. Tapi kemudian suami saya ditawarkan untuk mengajar di Sekolah Pendidikan Khas Puun Tunoh.

UB: Boleh ceritakan keadaan jalan raya ke Ranau pada masa itu?

CIKGU: Pada masa itu, keadaan jalan raya amat teruk sekali. Tidak seperti sekarang. Dulu kalau hujan masuk lumpur. Masa itu ikut TUT.Tuaran United Transport, jam 8.00 pagi berangkat, sampai jam 7.00 malam.Bas berhenti henti. Saya masih ingat nama pemandunya. Drivernya Sau ki, Mong Ko, Aing ko, muka nampak biji mata saja. Mandi habuk.Kalau orang sekarang tentu banyak komplen. Tada gambar cari bahan dalam hutan.Mana ada komputer. Gaji pun RM150 sebulan

UB: Cikgu masih ingat, siapa diantara pelajar SRK Pekan Ranau sewaktu cikgu mengajar di sana?

CIKGU: Antara pelajar yang saya ingat ialah Dr Ramzah Dambul, beliau anak yang pendiam tapi pandai, Ibrahim Latif dan lain-lain lagi.

UB: Dari Ranau , cikgu pindah ke mana?

CIKGU: Kami pindah ke SK Puun Tunoh Penampang sebuah sekolah pendidikan khas. Suami saya dilantik sebagai pengelola sekolah khas itu. Pada masa itu, Pengarah Pendidikan ialah Datuk Kamal E Quadra. Itulah juga pertama kali suami isteri dapat surat pelantikan kenaikan ke DG5 dalam satu sampul.

UB: Selepas itu, cikgu bertugas di mana pula?

CIKGU: Saya ditukarkan ke SK Tansau sebagai penolong kanan. Sekolah itu mempunyai kira-kira 2,000 orang murid. Di sana fikiran saya terbuka. Selepas itu, saya diberi tugas sebagai guru besar SK Lapasan, sehinggalah bersara pada tahun 2004.

UB: Azam cikgu untuk meningkatkan ilmu pengetahuan amat mengagumkan. Apa rahsianya?

CIKGU: Itu sebenarnya perjuangan dari kita sendiri untuk keluar dari keadaan. Selepas lulus darjah enam, saya berusaha sendiri ambil SRP sebagai calon persendirian.Kemudian ambil SPM sehingga lulus. Kemudian ambil diploma. Saya juga rajin mengikuti kursus. Bermacam-macam kursus untuk melatih bakat kepimpinan dan menambah pengetahuan saya.

UB: Jawata terakhir cikgu sebelum bersara?

CIKGU: Jawatan terakhir saya sebelu bersara ialah Guru Besar DG4.Sepanjang kerjaya dalam bidang perguruan, saya menjadi guru cemerlang sebanyak tiga kali. Jadi penilai di sekolah-sekolah di semenanjung dengan tajaan jabatan. Pernah jadi juara SSM sayu kali. Saya bangga kerana hasil kegigihan saya sendiri. Saya bertekad untuk belajar dengan azam saya sendiri.Saya bersyukur. Saya tidak mahu mengalah.Kalau orang boleh, kenapa saya tidak boleh.

UB: Cikgu tentu sibuk waktu itu. Bagaimana respon keluarga?

CIKGU: Saya bersyukur kerana mendapat suami yang begitu memahami.Selalu bagi nasihat. Kami kerja sampai petang.Turun pagi, kadang pulang hanya untuk tukar baju dan kemudian menyiapkan semula tugas-tugas.

UB: Apa antara tugas cikgu selain mengajar?

CIKGU: Saya selalu menjadi guru kaunseling.Sering memberi motivasi kepada pelajar dan guru-guru untuk meningkatkan diri. Kami kumpulkan pelajar SK Babagon Toki, SK Terian, SK Buayan, SK Nungkobungon, sekolah-sekolah yang agak jauh, kita kumpulkan dan berikan mereka kaunseling.

Selain itu,Kita pernah buat projek pengajaran yang lain daripada yang lain, Kita buat integrasi sekolah normal dengan sekolah khas sehingga mendapat Anugerah Cemerlang 1998.

UB: Sebagai salah seorang guru yang pernah mengajar di SK Puun Tunoh ketika pertama kali ia dibuka, cikgu masih ingat nama-nama pelajar ketika itu?

CIKGU: Antara pelajar pertama SK Puun Tunoh, sekolah pendidikan khas ialah tujuh Siti Madarin, Norhayati Hamzah, Robert Duil, Hendry Lapik, Suraya Ong,Samsuri Kanada,Rosley Yusuf. Memang banyak pengalaman sewaktu bertugas di sekolah itu.Cabarannya lebih besar jika dibandingkan dengan sekolah biasa.

UB: Selepas bersara, apa kegiatan cikgu?

CIKGU: Selepas bersara,sekarang saya menjadi YB kampung atau Yang Bersara di kampung. Banyak aktiviti yang saya lakukan untuk mengisi masa terluang. saya bergiat di Pasar Tani, belajar jual nasi lemak. Dua tahun saya balik kampung tanam serai, menjual sayur, tanam halia, jagung dan sebagainya. Anak-anak sudah membesar dan mempunyai kehidupan sendiri. Lima lelaki dan seorang perempuan.Setiap hujung minggu, jika ada masa terluang, mereka balik ke rumah. Anak yang sulung, Mohd Ridhwan Sutrisno (guru PK) Mohd Ridznan (bertugas matrikulasi Labuan) Mohd Rizlan (IKBN)Mohd Rizan (penguatkauasa perdagangan), Nur Suhana guru, Mohd Rafi Jabatan Forensik.Alhamdulillah mereka berjaya.

Saya juga aktif dalan pertubuhan peladang kawasan dan mengetuai biro pendidikan. Asalkan kita berusaha, saya percaya Allah selalu memberi yang terbaik.