Sabtu, 26 Oktober 2013

MOHD DAUD PERNAH TIDUR BERTILAMKAN RUMPUT UNTUK MEMPERTAHANKAN KEMERDEKAAN NEGARA

Tags

MOHD DAUD PERNAH TIDUR BERTILAMKAN RUMPUT UNTUK MEMPERTAHANKAN KEMERDEKAAN NEGARA

KALAU dikenang kembali, di dalam hutan, tidak kira siang atau malam, tidur bertilamkan rumput,berbumbungkan langit, berselimutkan embun, bersama pakaian basahatau kering di badan dengan memeluk senjata api masing-masing serta mendengar deringan suara nyamuk, meninggalkan isteri dan anak-anak, ayah dan ibu, kadang kala makan umbut-umbutan di hutan, minum air di atas daun apa saja yang ada kerana kehabisan bekalan . Betapa susah payahnya mencapai kemerdekaan, kata seorang pesara poliis Sub Inspektor (B) Mohd.Daud Kalakhan.

MOHD DAUD HJ KALAKHAN dilahirkan di Berek Balai Polis Kudat tetapi dibesarkan di Pengalat Besar, Papar Sabah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Pengalat Besar Papar Sabah hingga tamat darjah enamdan kemudian mengikuti pengajian menengah di St.Joseph Secondary School Papar Sabah dari tahun 1959-1961.

Beliau kemudian memasuki Pasukan Polis (North Borneo PoliceForce) dan mula menjalani latihan pada 1 Januari hingga 31 September 1962. Selepas tamat latihan, Mohd Daud dihantar bertugas di berbagai tempat seperti memerangi mundu di Lahad Datu, terlibat mempertahankan kedaulatan negara peristiwa Konfrontasi di Tawau,Penolong Pegawai Penyiasat di Sandakan, Penyelia Detektif di Kota Kinabalu sehingga bersara sebagai Ketua Polis Balai Daerah Papar berpangkat Sub-Inspektor. Beliau pernah mendapat penghargaan Juara Penuh Displin PDRM pada tahun 1980, pingat Bintang Kinabalu (BK) pada 1980, Pingat Bintang Setia Kinabalu (BSK) pada 1996, dan Pingat Bentara Pahlawan Pasukan Polis oleh DYMM Yang DiPertuan Agong.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau mengenai pengalamannnya sebagai seorang anggota polis. Ikuti petikan temubual bersama beliau di salah sebuah restoran terkenal di Jalan Gaya mengenai pengalamannya dalam perkhidmatan polis.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan bagaimana tuan berminat untuk menceburi bidang kepolisan?

MOHD DAUD KALAKHAN: Sebenarnya saya mengikut jejak ayah saya yang juga seorang anggota polis. Selepas berhenti sekolah, saya memasuki Pasukan Polis (North Borneo Police Force). Pada 1 Disember 1961, saya telah menghadiri satu temuduga oleh pegawai dari ibu pejabat Polis Kepayan bertempat di Balai Polis Papar, Sabah. Saya berjaya dalam pemeriksaan fizikal dan kesihatan dan diminta hadirdi Kepayan untuk menjalani latihan rekrut pada 1 Januari 1962 selama 9 bulan bergaji RM90.00.

UB: Dimana tuan ditempatkan selepas itu?

MDK: Selepas tamat latihan pada 31 September 1962, hanya 27 daripada 30 rekrut yang lulus latihan. Platun kami dipanggil Mobile Force.Kami telah dihantar ke Lahad Datu untuk memerangi mundu atau lanun.

UB: Siapa rakan-rakan tuan dalam platun Mobile Force itu? Masih ingat?

MDK: Rakan-rakan saya yang menjadi anggota platun Mobile force itu ialah Domenic Main, Benidic Gimsin, Matusin Haji Awang Tengah, Ismail Haji Lampoh, Gintin Moyok, Shafli Awang Nordin,Hasney Ibrahim, Illiyas Haji Mahali, Mohd.Talib bin Jali, Sidin Garingkot, George Jinawat,Ahmad Muda, Pg Abdul Ghani Pg Nasaruddin, Polo bin Yakub, Adimin Abdul Hamid, Gregory, William Jakil, David Jailani, Miki Davansu, George JUnar, Idang Dungok, Jaafar Ahmad, Paul Jiki, Miun Tinggung, Antin dan Matasan Haji Nordin. Allahyarham Matasan ini terbunuh dalam tugas.

UB: Jadi platun Mobile force dihantar ke Lahad Datu untuk memerangi mundu?

MDK: Waktu itu memang sudah ada mundu.Dalam satu peristiwa tembak menembak di Kampung Sabahat Lahad Datu, dua orang anggota mati ditembak lanun atau mundu dan pasukan kami diarah membuat rondaan laut dan darat di Sandakan, Lahad Datu, Kunak/mostyn, Semporna, Tawau dan sempadan perairan Filipina dan Indonesia.

UB: Bagaimana mulanya peristiwa itu terjadi?

MDK: Pada 6 Disember 1962, jam lebih kurang 7.oo pagi, kami dberi taklimat oleh tuan OCPD Lahad Datu untuk keluar membuat rondaan laut ekoran maklumat mengenai adanya mundu atau lanunyang akan melakukan rompakan di beberapa buah lokasi kepulauan dan perkampungan dan lain-lain perkara lagi. Kami dibahagi kepada beberapa seksyen, masing-masing menaiki perahu atau sampan berenjin sangkut.

Salah satu seksyen yang terdri dari Kopral Sompongol, PC Polo bin Yaakub, PC Matasan Haji Nordin dan PC pemandu bot, telah diarah untuk keluar membuat rondaan di Kampung Sabahat (Sunga Merah). Kami bertolak dari Lahad Datu ira-kira jam 8.00 pagi, kami masing-masing menjalankan perintahdi kawasan yang telah ditentukan.

Pada hari yang sama, jam lebih kurang 3.00 petang, kami mendapat berita bahawa seksyen yang diketuai oleh Kopral Sompongol, PCPolo Yaakob dan PCMatasan telah diserang oleh lanun. Dua orang terbunuh dalam siri tembak menembak sementara PC Polo terselamat apabila beliau terjun ke sungai dengan senjatanya. Setelah lanun meninggalkan tempat tersebut, beliau dibantu oleh orang kampung keibu pejabat polis Lahad Datu.Kedua mayat Kopral Sompongol dan PC matasan masih di atas perahu di bawa ke Lahad Datu. Setelah diperiksa tubuh badan mereka, didapati mereka bukan saja ditembak tetapi juga disayat dengan senjata tajam. Begitulah kekejaman perompak laut ketika itu.

 

UB: Konfrontasi Indonesia dan Malaysia yang berlaku pada 1963 merupakan satu peristiwa besar.Mungkin tuan boleh ceritakan sedikit?

MDK: Pada awal tahun 1963, platun kami dihantar ke Tawau untuk menghadapi konfrontasi Indonesia ke atas Malaysia. Masa itu, Tawau telah diisytihar darurat ekoran pencerobohan oleh Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU). Saya terlibat dalam pertempuran pertama iaitu di Mentadak. Dua anggota TNKU mati ditembak. Namun kami bernasib baik kerana tidak ada kecederaan di pihak kami. Selain Mentadak , saya juga terlibat di Kalabakan dan Sungai Nyamuk dimana terjadi pertempuran berbalas tindakan.

UB: Mencemaskan. Bagaimana peristiwa otu boleh berlaku?

MDK: Semasa membuat tinjauan di Pulau Sebatik/Nunukan, pasukan kami telah diserang hendap oleh Tentera Indonesia. Bot laju kami telah terkena tembakan oleh TNKU dan mereka mengejar kami tapi tiada kemalangan jiwa.

UB: Siapa anggota yang terlibat pada masa itu?

MDK: Antara anggota yang berada dalam bot itu ialah Ketua Polis Daerah Tawau pada masa itu, Tuan Terence Estrop, Sarjan Sulaiman Khan, Konstable Mohd Daud Haji Kalakhan dan konstable Elias Haji Mahali.

UB: Banyak pengalaman yang tuan alami. Selepas itu apa tugas tuan?

MDK: Kalau nak dikira terlalu banyak peristiwa berlaku khususnya pada tahun 1962,1963,1964 dan 1965 di Tawau. Tahun 1965, operasi di sempadan diteruskan dan adakalanya saya diarah turut dalam rondaan menaiki kapal perang milik tentera laut British (Navy) sebagai juru bahasa kerana saya boleh Berbahasa Inggeris.

Ketika Tentera British dan Australia kejar membuat operasi dan rondaan di persempadanan hadapan, saya ditugaskan untuk turut sama mereka sebagai jurubahasa semasa berkomunikasi dengan orang kampung yang tinggal dan berkebun di sempadan seperti Pulau Sebatik, Mantadak, Sungai Nyamuk, Serudong dan Kalabakan. Kadangkala berlaku pertempuran kecil yang tidak melibatkan sebarang kecederaan dan pengorbanan jiwa.

UB: Saya tertarik dengan peristiwa Mentadak yang tuan sebutkan itu. Boleh cerita sedikit?

MDK: Semasa berlaku konfrontasi di antara Malaysia-Indonesia, beberapa insiden peperangan, pencerobohan bersenjata berlaku di beberapa lokasi perkampungan terhadap rakyat dan pasukan keselamatan dan juga tempat-tempat strategik di daerah Tawau. Salah satu kejadian berlaku di Kampung Mantadak bersebelahan Sebatik.

Satu pencerobohan oleh Tentera Indonesia yang dipanggil TNKU di Mantadak.Mereka melepaskan tembakan terhadap penduduk kampung dan petani termasuk ketua kampung serta merampas harta benda yang ada dan membawa tahanan ke kem tentera di sempadan.Penduduk menjadi gempar dan ketakutan lalu melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa di Tawau.

Apabila mendapat maklumat risikan bahawa pasukan TNKU akan melancarkan serangan di tempat-tempat strategik di Sebatik melalui darat maka berpandukan maklumat-maklumat tersebut kami dikerahkan untuk membuat operasi.

Platun Mobile Force kami diperintahkan untuk misi tersebut diketuai oleh DSP Tuan Bedlengton dan Inspektor Jaikol Imbayan bertolak dari Tawau dengan menaiki assault boat dan mendarat di satu kawasan dan seterusnya berjalan kaki meredah bakau dan hutan untuk sampai.Perjalanan ini mengambil masa lebih kurang tiga jam perjalanan.

Apabila sampai di kawasan tersebut, tiada lagi orang kampung di situ, dan kami dibahagi-bahagi dalam beberapa kumpulan/seksyen, satu kumpulan lima orang.Pada ketika itu, kumpulan kami Sjn Ejim/Sasi, Ketua PC Iliyas Haji Mahali, PC Mohd Daud Kalakhan dan anggota pengakap sempadan, ditempatkan menghala kawasan strategik dengan membuat serangan dan membuat rondaan atau patrol.

Selama tiga hari dua malam kami membuat ambush dan rondaan di kawasan tersebut. Pada hari ketiga, jam 1.45 petang dalam keadaan hujan turun renyai semasa dalam meronda untuk mengesan musuh kami telah termasuk dalam serang hendap musuh. Maka berlaku tembak menembak di antara seksyen kami lima orang dengan kumpulan TNKU. Lebih kurang tiga hingga empat minit. Dalam pertempuran itu itu kami telah menembak mati dua anggota tentera TNKU dan merampas beberapa laras senjata api mereka. Manakala rakan-rakan mereka dapat melarikan diri ke hutan ke kawasan Indonesia bagi menyelamatkan diri.

Kami bermalam di situ dan pada keesokan harinya, satu platun pasukn askar Melayu datang untuk mengambil alih tempat kami dan kami kembali ke Tawau.

UB: Lama di Mobile Force?

MDK: Pada bulan November 1965,Saya telah dikeluarkan dari Platun Mobile Force dan ditugaskan di Jabatan Siasatan Jenayah di Daerah Tawau. Beberapa peristiwa berjaya dilakukan seperti membuat penangkapan ejen-ejen tentera Indonesia dan rampasan senjata dan hand granade dapat kami kesan dan lakukan. Sebenarnya banyak perkara yang berjaya kami kesan tapi ianya terlalu sulit untuk dinyatakan.

UB: Dari Tawau, di mana tuan berpindah tugas?

MDK: Saya bertukar tugas dalam Cawangan Jenayah di Balai Polis Bandar Sandakan pada 1978, sebagai Detektif (CID), dan membuat tugas Penolong Pegawai Penyiasat (JSJ). Kemudian saya ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu Sabah sebagai Penyelia Detektif pada tahun 1990. Pada tahun 1997, saya ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Papar sebagai Ketua Polis Daerah Papar berpangkat Sub-Inspektor.

UB: Mungkin ada penganugerahan yang tuan terima?

MDK: Saya menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 1980, disytiharkan sebagai Juara Penuh Disiplin dan sebelum itu, pada tahun1973, menerima Surat Penghargaan Khidmat Cemerlang daripada Pesuruhjaya Polis .

UB: Surat penganugerahan yang lain? Mungkin ada lagi yang perlu disebut untuk jadi teladan?

MDK: Sebenarnya banyak surat penghargaan dari Pesuruhjaya Polis, yang diberikan sepanjang kerjaya sebagai anggota polis. Saya mendapat surat penghargaan daripada Pesuruhjaya Polis pada tahun 1963 kerana terlibat pertempuran berbalas tembak di Sungai Nyamuk Tawau pada 6 Julai 1963. Pada tahun 1979, saya diberikan surat penghargaan hasil tangkapan seorang suspek yang cuba memberi rasuah kepada polis kes Mahkamah No 685/79 pada 21 April 1979. Saya juga mendapat sijil penghargaan kerana melaksanakan tugas cemerlang sebagai sarjan/gelap terbaik Balai Polis Sandakan/Bandar pada 25 September 1980.

Pada tahun 1984, saya mendapat khidmat cemerlang kerana berjaya menyelesaikan kes-kes jenayah berat Sandakan dan dilantik sebagai ketua detektif, pada tahun 1986, saya diberi surat penghargaan kerana menangkap suspek kerana memiliki sepucuk pistol 038 dengan 5 butir peluru dan cuba melakukan rompakan Skan/Rpt/1348/84 manakala pada tahun 1987, saya berjaya menyelesaikan beberapa Kes Jenayah Besar termasuk kes di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1 Januari 1987.

Pada 20 April 1987, kira-kira jam 2.40 pagi, semasa menjalankan tugas pencegahan jenayah, saya terserempak suspek melakukan jenayah pecah kedai.Semasa cba ditangkap, suspek mencabar dan emegang senjata tajaam serta menyerang ke arah saya. Pergelutan berlaku dan suspek dapat ditangkap.enjata dirampas.Barangan curi dirampas dan suspek dibawah ke Balai Polis Sandakan Skan/Rpt/241/87.

Banyak surat penghargaan lain yang diterima kerana menyelesaikan kes jenayah terancang di Kota Kinabalu pada 1992, Surat Penghargaan Penyelia detektifterbaik sempena Hari Polis ke 180 pada tahun 1993, Terlibat dalam Ops RemboII, Sandakan 1994, surat penghargaan Ketua Polis Balai Terbaik sempena Hari Polis 1997 dan menerima pingat tertinggi Polis, Bentara Pasukan Polis" oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung.

UB: Jika dikenangkan, betapa sukarnya mencapai kemerdekaan dulu ya?

MDK: Betapa susah payah perjuangan oleh anak-anak tempatan. Kalau dikenang kembali, di dalam hutan, tidak kira siang atau malam, tidur bertilamkan rumput,berbumbungkan langit, berselimutkan embun, bersama pakaian basahatau kering di badan dengan memeluk senjata api masing-masing serta mendengar deringan suara nyamuk, meninggalkan isteri dan anak-anak, ayah dan ibu, kadang kala makan umbut-umbutan di hutan, minum air di atas daun apa saja yang ada kerana kehabisan bekalan malah ada diantara yang diserang penyakit malaria.

Apabila pertempuran berlaku dengan musuh, peluru tidak bermata dan tidak mengenal sesiapa yang terkena, hidup atau mati, hanya ajal kudrat saja yang menentukan.

Tetapi saya rasa bangga bahawa anak-anak tempatan ini mempunyai semangat juang yang kuat dan jitu hingga ke harinini walaupun di antaranya sudah kembali ke rahmatullah dan lainnya sudah berusia hidup ala kadar dan menerima pencen ala kadar. Walaupun tiada apa-apa usaha kerajaan memerintakan mencari siapa pejuang itu untuk menyampaikan terima kasih dan sebagainya atau lebih dihargai akan pengorbanan mereka yang bergadai nyawa demi memerdekakan negeri dan negara bangsa dan agama.

Kadang-kadang ada kawan mengeluh. Orang sukan, atlit, perenang, pendaki gunung, penyanyi lebih mudah digelar wira negara. Mendapat segala keistimewaan membuatkan hidup mereka senang lenang walaupun mereka tidak pernah mengangkat senjata api atau bersusah payah.

Dulu sebelum kerajaan British meninggalkan Sabah North Borneo Police Force, kemudian diambil alih PDRM sepenuhnya pada 1965, kami yang terlibat dalam darurat dikurniakan pingat MBGS (Middle British General Service) MBGS (Middle Brunei General Service) yang berlambangkan Queen Elizabeth. Perjuangan bekas polis amatlah dihargai. Tapi sekarang sepatutnya lebih dari itu.

UB: Bagaimana pula penglibatan dalam persatuan?

MDK: Saya terlibat dalam memimpin Persatuan Pegawai Rendah Polis Di Raja Malaysia (PPRPD) mulai tahun 1983 apabila dipilih sebagai Pengerusi PPRPD Kontinjen Sabah selama 16 tahun sehingga tahun 1998 dan sejak tahun 2004 , saya memimpin Persatuan Bekas Polis Malaysia Cawangan Papar sehingga kini.

UB: Saya difahamkan tuan juga aktif dalam sukan karate? Boleh beritahu sedikit kisahnya?

MDK: Saya mula mempelajari seni mempertahankan diri Karate do 1967. Saya memegang tali pinggang hitam 3rsd DAN Black Belt. Pengajar atau guru saya ialah Mr Yoshiku Haba dan Jepun 6 DAN dan Mr James Lo 5 DAN.

UB: Pernah jadi juara?

MDK: Ya, saya juara peringkat negeri 1971, 1976, dan 1979. Pada tahun 1982, saya pernah ke Osaka Jepun mengambil bahagian dalam Pertandingan Peringkat Asia dan pada 1988, saya diberi lesen Pengajar atau Jurulatih Karate Do.

UB: Terima kasih tuan kerana sudi memberi peluang kepada kami untuk sesi interview ini.

MDK: Terima kasih banyak

 

1 comments so far