Sabtu, 26 Oktober 2013

CIKGU CHACHO, SENTIASA AMAL DASAR PINTU TERBUKA

Tags



CIKGU CHACHO, SENTIASA AMAL DASAR PINTU TERBUKA

KETIKA menjadi guru besar, beliau tidak pernah menutup pintu. Pintu pejabatnya sentiasa terbuka. Sesiapapun boleh masuk dan berbincang demi untuk meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah yang ditadbirnya. Beliau juga seorang yang ramah dan mampu bergaul dengan kakitangan bawahan sehingga pernah disangka sebagai tukang kebun kerana turut memegang cangkul selepas waktu sekolah. Beliau pernah mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan pernah dianugerahi Anugerah Tokoh Guru.

CIKGU CHACHO MOHAMA dilahirkan pada 26 Jun 1952 di Kampung Sungai Limau, Sebatik, Tawau. Anak pasangan Mohama bin Melewa dan Taisah binti Habib Hasan ini adalah seorang guru yang berdedikasi. Beliau mendapat pendidikan awal di NVS Sungai Melayu dari darjah satu hingga dua sebelum berpindah ke Ranggu dan bersekolah di SK Kinabutan hingga tamat sekolah rendah. Beliau sempat bersekolah di SMK Kuhara sebelum berhenti kerana sebab yang tidak dapat dielakkan. Beliau pernah menjadi buruh kasar,bekerja menebas lalang dan pernah juga bekerja membuat pam air di kampungnya. Cikgu Chacho juga pernah melamar jadi polis tetapi nasib tidak menyebelahinya.

Beliau pernah jadi guru sandaran sebelum diterima memasuki Maktab Perguruan Kent tahun 1974-1975. Selepas tamat maktab, beliau bertugas sebagai SRK Bergusong dari tahun 1976-1979, sebelum berpindah ke Kem Kubota dari tahun 1980-1983. Kemudian Cikgu Chacho bertukar ke SRK Sungai Tongkang pada 1983-1984 sebagai guru besar. Pada tahun 1984 juga, beliau ditukarkan ke Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Tawau. Pada tahun 1989, beliau dilantik sebagai Nazir Sekolah Zon Tawau hingga tahun 1990. Selepas itu, beliau dilantik sebagai Penyelia Unit Naik Pangkat di ibu pejabat. Kemudian beliau dilantik sebagai guru besar SK Kem Lok Kawi dari tahun 1999 hingga 2000. Dari SK Kem Lok Kawi beliau dilantik pula sebagai Penyelia Pendidikan Daerah Ranau hingga tahun 2003. Pada tahun 2004, Cikgu Chacho dilantik sebagai guru besar SK Tanjung Sru 1 sehinggalah bersara pada 2008.

Beliau pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak dua kali, 1997 dan 2007, Anugerah Tokoh Guru 2012. Beliau juga dianugerahi Bintang Setia Kinabalu (BSK) pada tahun 2005. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Puan Lini Yunus dan dikurniakan lima orang anak, salah seorang daripadanya sedang mendapat dalam bidang kedoktoran di salah sebuah universiti di Mesir. Cikgu Chacho juga pernah Setiausaha Agung Persatuan Kebajikan Bugis Sabah (PKBS) dari tahun 1979-2006, Setiausaha Agung Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) dan Ahli Lembaga Koperaski Guru-Guru Bumiputera Sabah, Naib Pengerusi Badan Bahasa Tawau dan lain-lain lagi.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN ditemani Ahli Jawatankuasa Ikatan Penulis Sabah (IPS) Ali Karim, sempat menemui beliau di salah sebuah restoran di Tanjung Aru untuk berkongsi sedkit pengalaman beliau sepanjang menjadi guru.Ikuti petikan temubual dengan beliau yang mengungkapkan sedikit pengalaman hidupnya.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang cikgu. Dimana cikgu dilahirkan?

CIKGU CHACHO MOHAMA: Saya dilahirkan di Kampung Sungai Limau, Sebatik, Tawau pada 26 Jun 1952. Kampung Sungai Limau terletak kira-kira 8 kilometer dari Tawau. Boleh dihubungi menggunakan bot.

UB: Sekolah dimana?

CIKGU: Saya bersekolah di NVS Sungai Melayu, yang terletak dekat sempadan Malaysia-Indonesia. NVS atau Native Voluntary School. Masa itu, kampung kelahiran saya, Sungai Limau belum membangun. Jadi saya bersekolah di Sungai Melayu, dan tinggal bersama makcik yang kami panggil Mak Tua. Saya bersekolah di sana dari darjah satu hingga darjah dua.

UB: Sekolah hingga darjah dua saja?

CIKGU: Di NVS Sungai Melayu, dari darjah satu hingga dua. Kemudian saya berpindah ke Ranggu, kira-kira 9 km dari bandar Tawau. Di sana, saya tinggal dengan kakak saya. Dari darjah dua itu, saya terus melompat darjah ke darjah lima. Waktu itu saya besar. Kira-kira 12 tahun.Itu sebab saya terus dinaikkan ke darjah lima. Sewaktu darjah satu, saya berusia 10 tahun. Jadi saya besar sudah ketika itu.

UB: Bagaimana cikgu ke sekolah pada masa itu?

CIKGU: Sewaktu di Sungai Melayu, saya hanya berjalan kaki ke sekolah, yang terletak kira-kira 3 km dari rumah. Di Ranggu pula, sekolah di Batu 6, di SK Kinabutan.Ikut bas.Kadang-kadang kami menumpang lori angkut tanah.

UB: Selepas itu, di mana Cikgu bersekolah menengah?

CIKGU: Saya sekolah di SMK Kuhara pada tahun 1960 hingga 1964.Saya tidak dapat meneruskan sekolah kerana keadaan keluarga yang miskin dan kurang mampu. Ibu bapa saya susah. Saya terpaksa menolong mereka dan mencari kerja.

UB: Dapat kerja di mana?

CIKGU: Saya bekerja di SLDB Rancangan Bergusong.Makan gaji. Sebagai buruh kasar.Tebas lalang. Rancangan Bergusong waktu itu, dibuka untuk tanaman getah. Saya kerja di sana , kalau tak silap saya tahun 1970-1971. Kemudian saya bekerja kontrak ikut buat pam air. Sebuah syarikat dari Taiwan yang ditugaskan untuk membuat sembilan buah pam air untuk kegunaan orang kampung di Rancangan Bergusong.

UB: Selepas itu?

CIKGU: Saya menghadiri temuduga polis. Tahun 1973 di Balai Polis Tawau. Saya sudah ada tiket untuk berangkat. Waktu itu belum ada MAS, apa lagi Airasia. Waktu itu syarikat penerbangan MSA. Tapi oleh sebab-sebab tertentu, kepergian saya dibatalkan.Saya rasa sedih betul. Cita-cita mahu jadi polis. Tidak lama kemudian, bagi mengubat kesedihan dan keperluan untuk menampung hidup, saya memohon jadi guru.Guru sandaran. Tahun 1973, di SRK Serudong Tawau.

Pada masa yang sama, saya cuba memperbaiki kelulusan saya.Saya ambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada tahun 1973.Kemudian apabila keluar keputusan pada 1974, saya lulis SRP dengan gred A. Dengan kelulusan itu, saya memohon masuk Maktab Kent. Saya menuntut di Maktab Kent pada tahun 1974-1975. Antara rakan semaktab ialah Haji Yakub Uton, Said Zainuddin dan ramai lagi,saya tak berapa ingat.

UB: Setelah tamat maktab, cikgu ditempatkan dimana?

CIKGU: Sebenarnya saya ditempatkan di SK Apas tetapi saya merayu dan memohon untuk ditempatkan di sekolah yang dekat dan tidak berjauhan dengan keluarga. Alhamdulillah, saya ditempatkan di SRK Bergusong.

UB: Apa sebabnya dinamakan Bergusong?

CIKGU: Bergusong maksudnya tanah yang timbul. Kira-kira setengah kilometer dari pantai, kalau air surut, akan muncul tanah ditengah laut, setinggi kira-kira tiga kaki. Tempat ini berbahaya bagi perahu atau motorbot terutama bagi mereka yang ulang alik ke Tawau.Pernah ada kejadian perahu karam dan terdampar di tempat itu.

UB: Banyak nama unik di Sebatik di Tawau. Banyak nama sungai. Nama-nama tempat yang cikgu ingat?

CIKGU: Antaranya Kampung Sungai Melayu, Sungui Pukul, Sungai Pisak, Sungai Limau, Sungai Bergusong, Sungai Tongkang, Sungai Haji Kuning, Sungai Tamang, Mentadak dan Wallace Bay.

UB: Lama mengajar di SK Bergusong?

CIKGU: Saya mengajar di sekolah itu dari tahun 1976 hingga 1979, iaitu sebaik keluar maktab. Kira-kira empat tahun di sana. Selepas itu, pada tahun 1980, saya dipindahkan di SRK Kem Kubota.

UB: Kemudian, cikgu bertugas di mana pula?

CIKGU: Saya bertukar ke SRK Sungai Tongkang pada 1983-1984 sebagai guru besar. Pada tahun 1984 juga, saya ditukarkan ke Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Tawau. Pada tahun 1989, saya dilantik sebagai Nazir Sekolah Zon Tawau hingga tahun 1990, apabila saya dilantik sebagai Penyelia Unit Naik Pangkat di ibu pejabat.

UB: Banyak pengalaman cikgu. Apa cabaran yang dihadapi?

CIKGU: Cabaran agak banyak juga. Tapi sewaktu bertugas di sana, saya mengenal ramai orang. Saya kenal ramai guru besar, pengetua dan sebagainya termasuk Pengarah Pendidikan sekarang, Datuk Jame Alip. Banyak pengalaman sewaktu bertugas di ibu pejabat. Melalui cabaran-cabaran yang dihadapi ini kita tambah matang lagi dalam menjalankan tugas.

UB: Apa tugas cikgu selepas itu?

CIKGU: Selepas itu, saya dilantik sebagai guru besar SK Kem Lok Kawi dari tahun 1999 hingga 2000. Dari SK Kem Lok Kawi, saya dilantik pula sebagai Penyelia Pendidikan Daerah Ranau hingga tahun 2003. Pada tahun 2004, saya dilantik sebagai guru besar SK Tanjung Aru 1 sehinggalah saya bersara pada 2008.

UB: Tentu menarik kalau cikgu menulis pengalaman cikgu sebagai seorang guru. Ada rancangan mahu tulis buku?

CIKGU: Saya sebenarnya sudah pun menulis mengenai pengalaman sebagai guru. Sudah masuk bab tiga sebelum komputer saya kena virus. Semua data hilang.Dalam buku itu, saya menulis mengenai peranan guru besar di sekolah.Besar tanggungjawab yang terpaksa dipikul.Tanggungjawab terhadap sekolah, ibu bapa, pemimpin masyarakat dan sebagainya. Itu saya buat buku, Tetapi malangnya tak kesampaian.Saya cuba draf balik. Satu hari nanti saya akan menyiapkannya juga.

UB: Tak silap saya, cikgu juga menulis juga kan? Menulis karya kreatif maksud saya?

CIKGU: Sewaktu berada di Maktab saya giat menulis dengan nama pena Suzasmara. Saya menulis cerpen dan sajak.Kemudian saya menulis guna nama saya sendiri, Chacho Mohama. Cerpen terbaru yang saya hasilkan tersiar tahun ini bertajuk Diabetes di Harian Ekspress. Saya seorang yang suka membaca. Setiap hari Sabtu dan hari minggu, saya tak lepas membaca Utusan Borneo.

UB: Banyak terlibat alam bidang seni dan sastera?

CIKGU: Sewaktu bertugas di Tawau, saya pernah menhadi Naib Pengerusi Badan Bahasa Sabah (BAHASA) Tawau, Pengerusi Peminat Seni Tawau dan pernah mengadakan pementasan bagi mengasah bakat baru di Tawau. Antara rakan saya waktu itu ialah Hassan Saprin yang mengetuai RUSTA dan Linge Abdulllah. Di Kota Kinabalu, saya aktif menyertai program sastera, antara dengan Marzuki Ali dan sebagainya.

UB: Apa pemerhatian cikgu terhadap sikap pelajar terhadap pelajaran pada masa lalu?

CIKGU: Sewaktu mengajar di Sungai Tongkang, saya perhatikan tahap pelajaran tidak sampai ke tahap yang membanggakan. Anak-anak kampung belajar paling tinggi, tingkatan tiga, lalu pulang kampung. Ini mungkin juga disebabkan oleh keadaan ibu, keluarga yang miskin. Saya berikan motivasi pada mereka dengan mengambil contoh y ang dekat iaitu Bergusong. Di sana ada murid yang berjaya, padahal sama-sama dari kampung. Antaranya anak Pak Epit, Haji Rumaling Epit, sekarang Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal AgamaIslam Sabah (JHEAINS), Cikgu Arshad Awang Tengah, sebagai guru. Saya berikan motivasi kepada murid-murid. Saya datangi rumah mereka. Kebanyakan mereka bekerja sebagai peneroka. Jika ada hari keramaian atau majlis-majlis tertentu di kampung, saya cuba bercakap dengan mereka mengenai pentingnya pendidikan. Saya ikut meriahkan majlis mereka, dengan menyanyi.

UB: Ada anak didik cikgu yang berjaya?

CIKGU: Antaranya Cikgu Abdullah Habib Kadir. Belia salah seorang pelajar dari Sungai Tongkang. Ramai yang jadi kakitangan kerajaan, usahawan yang berjaya dan sebagainya.

UB: Oh ya, dulu cikgu menyanyi juga?

CIKGU: Saya menyanyi kugiran. Malah saya pernah buat rakaman di Radio Televisyen Malaysia (RTM), sewaktu di Maktab tahun 75. Saya menyanyi lagu Dara Pujaan, Hujan di Tengah hari dan macam-macam lagi. Bila berada di kampung, saya ikut menyanyi pancaragam. Ketika itu, saya cuba rapat dengan masyarakat. Bercakap sesuatu yang dekat di hati mereka.Saya cuba menyampaikan mesej betapa pentingnya pendidikan. Kalau ada ibu bapa yang kesulitan membayar wang peperiksaan, saya membantu mereka, meminjamkan wang kepada mereka. Ada duit bayar, kalau tiada, tak apa-apa.Yang penting ada kesungguhan melihat anak-anak maju dalam pelajaran mereka.

UB: Tentu ada perkara yang mencabar sepanjang kerjaya perguruan cikgu?

CIKGU: Memang banyak cabaran. Antara yang mencabar ialah ketika bertugas di Kem Lok Kawi. Berhadapan dengan ibu bapa dan tentera. Sekolah itu dikelola pihak jabatan dan tentera. Tetapi sewaktu saya jadi guru besar di sana, ada lima pelajar mendapat 5A, satu kelulusan yang cemerlang.

Bagi saya dalam menjalankan tugas, kita perlu kesungguhan. Perlu juga perlu banyak tolak ansur.Kita mesti dengar idea dan pendapat guru-guru atau kakitangan. Cuba bincang apa yang baik. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, murid lebih dekat kepada guru.Jadi kita kena terima jika ada pendapat guru mengenai cara memperbaiki pencapaian sekolah.Kita kena terbuka. Itu sebab, sewaktu bertugas dulu, pintu saya tidak pernah tutup. Prinsip saya, siapa saja boleh datang memberikan idea, kita dengar dan pertimbangkan demi kebaikan bersama.

UB: Cikgu pernah disangka tukang kebun.Bagaimana ceritanya?

CIKGU: Ada satu ketika, sewaktu balik dari sekolah, saya bawa cangkul dan bersama-sama tukang kebun menanam bunga. Waktu itu ada ibu bapa yang datang menanyakan guru besar. Cikgu menunjuk ke arah kami. Tapi waktu itu saya membawa cangkul. Sementara pakaian tukang kebun lebih kemas. Jadi mereka menyangka tukang kebun itu guru besar. Saya pula bila ditanya terus menunjuk ke arah tukang kebun, yang pakaiannya kelihatan lebih kemas. Tapi akhirnya saya mengaku guru besar dan minta maaf kerana dalam keadaan letih seperti itu, saya cuba bergurau.

UB: Mungkin ada kenangan sewaktu di SK Tanjung Aru 1?

CIKGU: Sewaktu berkhidmat di sana, kami mencatat rekod 30 orang pelajar mendapat 5 A. Sampai sekarang rekod itu belum dapat dipecahkan. 28 orang mendapat lima manakala dua orang lagi, turut mendapat 5A walaupu mereka telah berpindah dan menduduki peperiksaan di sekolah baru. Kalau tak silap tahun 2006, dua tahun sebelum saya pencen.Rekod itu bertahan sampai sekarang.

UB: Sepanjang cikgu bertugas, pernahkah cikgu mengalami pengalaman lucu?

CIKGU: Saya ingat pengalaman pertama naik keretapi dari Kota Kinabalu ke Tenom. Saya hampir terjatuh apabila tiba-tiba Keretapi menghentikan perjalanan kerana ternampak puluhan khinzir berada di atas landasan. Apabila keretapi berhenti tiba-tiba di dekat Pangi, saya hampir terpelanting. Rupanya keretapi terpaksa menghentikan perjalanan kerana ada khinzir di landasan.

UB: Kalau peristiwa yang menyedihkan?

CIKGU: Paling menyedihkan apabila anak saya meninggal sewaktu saya mengikuti kursus diploma dalam Pengurusan Sumber Manusia di Institut Aminuddin Baki.

UB: Agaknya siapa orang yang paling berpengaruh dalam hidup cikgu?

CIKGU: Ayah saya. Beliau seorang yang jujur. Seorang tukang rumah. Walaupun satu orang, beliau boleh buat rumah. Dua juga yang pasang tiang, dia juga yang pasang lantai, dia juga yang pasang dinding, atap dan sebagainya. Dia boleh buat semuanya seorang diri. Saya suka kegigihannya. Beliau sempat membuat kerja sampingan untuk menambah pendapatan. Ketekunan, kegigihan, dorongan yang diberikannya membuat saya berjaya.