Ahad, 13 Oktober 2013

Catatan dari Ho Chi Minh City

Tags

 

CATATAN DARI HO CHI MINH CITY

 

Vietnam tidak seperti yang pernah saya bayangkan.

Barangkali kerana saya terlalu terpengaruh dengan Chuck Norris, sehingga saya membayangkan diri sebagai seorang hero, menyusuri Sungai Mekong untuk mnyelamatkan 300,000 orang yang masih hilang dalam Perang Vietnam yang berlangsung selama 30 tahun dari tahun 1945 hingga 1975. Tiga juta orang mati, dua juta orang diantaranya orang awam manakala dua juta orang lagi luka-luka dalam perang yang berakhir dengan kekalahan Amerika pada 1975.

Perkenalan saya dengan Vietnam bermula pada pertengahan 70-an, apabila sebuah bot pelarian terdampar di Pantai Tamau, di daerah saya di Kota Belud Saya teringat bagaimana para pelarian itu, dengan tubuh kurus dan wajah yang kehilangan harapan selepas hanyut diombangambingkan gelombang selama beberapa hari sebelum terdampar tanpa daya, dan kami anak-anak kehairanan melihat mereka.

Sejak itu, saya semakin tertarik untuk mengenali mengenai Vietnam. Penyair Latif Mohidin menulis sebuah puisi yang menarik mengenai pengalamannya menyusuri Mekong ketika belum ramai orang yang pernah sampai ke sungai terpanjang di Indochina itu.

"Sungai Mekong kupilih namamu

Kerana aku begitu sepi

Kan kubenamkan dadaku ke dasarmu

Kaki kananku ke bulan

Kaki kiriku ke matari

Kan kuhanyutkan hatiku ke kalimu

Namaku ke muara

Suaraku ke gunung".


Sungai Mekong, kupilih namamu.Kerana puisi itulah, salah satu agenda utama dalam kunjungan pertama kali ke Vietnam ini ialah menyusuri sungai itu dan cuba menelusuri peristiwa perang panjang itu.

Namun bukan itu satu-satunya yang menarik di Vietnam. Banyak lagi.Jika ditelusuri dari aspek sejarah, Vietnam merupakan salah satu wilayah Kerajaan Campa, yang terkenal pada zaman sebelum Majapahit lagi. Agama Islam ternyata tiba ke Vietnam lebih awal setelah penemuan batu bersurat bertulis jawi di Vietnam Tengah.

Tapi sebaik menjejak kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat, saya melihat Vietnam yang moden, dan ramah sementara gadis-gadisnya masih tetap setia memakai aolai, pakaian tradisi kebanggaan mereka.

Ho Chi Minh City atau HCMC, dulunya dikenali sebagai Saigon. Nama kota ini diambil daripada tokoh pejuang pembebasan Vieitnam iaitu Ho Chi Minh. Ho Chi Minh adalah sebuah kota yang ekonominya berkembang dengan pantas.

Penduduknya seramai 10 juta orang. Tak sampai 0.1 peratus atau kurang 10,000 orang beragama Islam. Tetapi kalau kita berjalan-jalan di Pasar Ben Thanh, atau sekitarnya, kita dengan mudah bertemu dengan orang-orang Melayu Cham.

Sejak dua tiga tahun kebelakangan ini, Melayu Cham menceburi dunia perniagaan dengan lebih giat lagi. Di kampung-kampung mereka, yang terletak beratus kilometer dari Saigon, kebanyakan mereka menyara hidup dengan bertani. Ramai yang masih hidup dalam kemiskinan, kata Dr Ja Samad Han, salah seorang intelektual Melayu Cham dari University Ho Chi Minh.

Dr Ja Samad memberitahu terdapat kira-kira 200,000 orang Campa di Vietnam, 150,000 daripadanya beragama Islam. Di Ho Chi Minh terdapat 14 masjid, yang terletak di kawasan-kawasan yang didiami masyarakat Islam.

Selepas berkunjung ke Terowong Cu Chi, 70 kilometer dari Ho Chi Minh, kita dapat memahami bagaimana taktik dan strategi mereka melawan keangkuhan Amerika. Kami sempat menyaksikan jerangkap samar, lubang-lubang persembunyian, dan kami sempat merasakan pengalaman merangkak dalam terowong, dan dengan nafas terengah-engah keluar mencari udara.

Tidak ramai orang Melayu Cham yang berjaya dalam pendidikan, menurut Dr Ja Samad. Katanya, hanya kira-kira 100 orang yang baru menamatkan pengajian di universiti dalam dan luar negara termasuk di Malaysia dan Indonesia.

Selain dirinya, tidak ramai yang berjaya lulus PhD. Tidak jauh dari Cu Chi, kami sempat bertemu dengan Saudara Basiron Abdullah, bakal pemegang ijazah doktor falsafah yang baru menamatkan pengajian dalam bahasa Arab di Universiti Islam Antarabangsa.

Kami juga sempat bertemu dengan Hajah Basiroh Haji Aly, qariah tilawah Al-Quran tahun 1997, yang kini jadi usahawan peniaga kain yang terkenal di Saigon. Ustazah Hajah Basiroh, pada mulanya adalah seorang guru mengaji, bakat yang diwarisinya dari ayahnya, Haji Aly, seorang imam dan pernah menjadi wakil Vietnam dalam Musabaqah Al-Quran yang diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 1966.

Beberapa siri pertemuan dengan orang orang Melayu Cham di Ho Chi Minh membuat kami lebih mengerti betapa luasnya dunia Melayu dan rasa persaudaraan yang erat.

Kalau anda sebut hujan, kami menyebutnya jan. Kalau anda sebut ikan, kami memanggilnya kan. Banyak perkataan yang sama misalnya malam, jalan dan sebagainya.

Kerana kita serumpun dan bersaudara, katanya. Kadang-kadang ketika berjalan-jalan di pasar malam atau di pasar Ben Thanh yang terkenal itu, tak ubahnya seperti kita sedang berada di Chow Kit. Ramai peniaga boleh bercakap Melayu dua tiga patah manakala matawang ringgit diterima pakai dalam urus niaga.

Ho Chi Minh City tidak seperti yang saya bayangkan. Imaginasi saya tentang Vietnam juga kurang tepat. Tetapi saya fikir kebaikan dan keramahan, tawar menawar dan penipuan, persaingan untuk sebuah kehidupan, antara orang Vietnam dan orang kita, tidaklah jauh berbeza.