Menyaksikan peristiwa di Mesir melalui puisi Arifin Arif
Dr Muhammad Morsi disembunyikan entah dimana. Sejak dijatuhkan oleh tentera dengan sokongan kelompok sekuler, liberal dan kiri, perkhabaran mengenai beliau tidak diketahui. Penyokong-penyokongnya yang berhimpun sejak beliau digulingkan beberapa minggu lalu kemudian cuba dibungkam dengan muncung senjata dan kereta kebal walaupun beliau dipilih secara sah melalui proses pilihanraya.
Ribuan korban mati bergelimpangan. Ribuan lagi luka dan tercedera. Di sana, kita melihat bagaimana keserakahan dan syahwat kekuasaan menggilas demokrasi. Walau apapun alasannya, tembakan terhadap orang awam itu, sepatutnya tidak berlaku. Perbuatan sewenang-wenang itu adalah kejahatan dan kebiadaban terhadap manusia. Demi kekuasaan, mereka sanggup berbuat apa saja dan menginjak-injak peradaban.
Ketika melihat peristiwa itu di kaca tv dan internet, saya menyaksikan betapa nyawa manusia menjadi tidak berharga di hadapan penguasa yang lalim. Mesir berdarah. Rakyat dikejar dan lari lintang pukang tetapi mereka tetap melawan.
Saya tidak dapat membayangkan perasaan rakan-rakan yang pernah berada di Mesir untuk mengikuti pengajian di beberapa universiti termasuk di universiti Al-Azhar, universiti tertua di dunia.
Sudah tentu hati mereka hancur menyaksikan bagaimana Mesir kacau bilau kerana prahara politik yang tidak berkesudahan.
Saya tidak sempat bertanya kepada mereka.Apa respon mereka terhadap peristiwa yang berlaku di Mesir menyaksikan kekejaman demi kekejaman pemimpin yang melakukan kudeta terhadap rakyatnya sendiri.
Mujurlah,di facebook, saya membaca reaksi daripada salah seorang mantan pelajar Universiti Al-Azhar, Arifin Arif.
Beliau menuliskan kesan dan melukiskan perasaannya dalam bentuk puisi yang dikirimkan melalui tweeter. Arifin atau nama lengkapnya Datuk Haji Mohd Arifin Arif, Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut yang juga Pembantu Menteri Tugas-Tugas Khas, merupakan seorang pemikir dan penyair yang dikenali bukan saja di Malaysia tetapi di Nusantara.
"Wahai hati hati sekeras Ramses,kalian melihat syuhada bagai batu-batu,nanti keangkuhanmu disapu haq jadi debu.Angin gurun dari Tursina,meranapmu di astana.
Puitis tetapi mencengkam. Saya mengikuti ulasan-ulasan beliau, yang meskipun disampaikan dalam bentuk puisi, tetapi mampu menyentuh hati kita.
Beliau menulis mengenai "Mayat Firaun ditemukan terapung di Laut Merah yang terbelah itu.Tuhan sisakan jasad itu sampai kini.Saksikanlah wahai para musyrik dan pendukung-pendukungmu".
Jelas sekali media barat dan negara barat menyokong gerakan anti-Morsi. Mereka cuba memesongkan pemberitaan dengan menyatakan penyokong Morsi yang memulakan kekecohan itu walaupun jelas merekalah yang menggerakkan kereta kebal dan merekalah pula yang menggulingkan Morsi.
"Lembah ini saksi ketabahan dan kemenangan para anbiya,di sini jua telah tertimbus para penderhaka.Wahai laut merah kebenaran, tenggelamkan mereka," kata Arifin dalam puisinya.
Beliau menceritakan bagaimana cahaya kebenaran sampai di bumi Mesir. Arifin melukiskan dengan ungkapan,
"Berhenti banjir Nil membaca warkah Umar, berhenti darah mengalir kala cahaya ukhuwah bersinar," katanya.
Dalam rangkap-rangkap puisinya yang pendek itu, beliau menjelaskan bagaimana situasi itu boleh berlaku.
Ini kerana "amarah boleh limpah kala manusia masing memonopoli takrif tentang benar,darah boleh saja tumpah kala manusia berkeras mengaku dia saja yang benar,".
Sikap memonopoli kebenaran dan mengaku diri saja yang benar, boleh menimbulkan persengketaan.
Kata Arifin, "Dimuncung senjata gerombolan itu sekular, direlung hati mereka zionis ular. Wahai tongkat keajaiban Azhar, telan semua ular-ular itu. Allah Akbar".
Mesir yang kini dilanda kekacauan itu adalah sebuah tempat yang bersejarah. Menurut beliau "Mesir itu lembah sejarah dan ilmu,disana kuasa dakwah dan kalbu.Betapa sekian lama musuh dendam menyerbu,ingin mnjadikannya debu.Ya Allah,lindungi
Hingga ke kualanya, kitab dan tinta mengalir, singgah ke muaranya, kudakap iqra dan Cinta yg hadir. Sayangi Nil," kata Arifin lagi.
Beliau mengingatkan supaya "jangan kau jadi umpama Syria,bermain darah antara saudara,tak kuingin Nil mengalir dengan pekat merah.
Sebagai seorang yang pernah belajar di Mesir, suara Arifin mewakili perasaan ribuan pelajar-pelajar kita yang pernah belajar di bumi qinanah itu.
Arifin mengenang mengenai Rabaah. "Raabaah dulu tempat muzakarah mengumpul nota kuliah.Hari ini Rabaah bakal merah. Airmata dan darah di pinggir mujahadah. Lindungilah Ya Allah," katanya.
Statusnya di dinding facebook itu, sempat ditanggapi oleh seorang rakan kuliah, UstazMalai Ali Malai Ahmad.
"Dulu Raba'ah tempat kita selalu beli ikan. Sekarang berubah menjadi tempat mayat bergelimpangan. Innalillahi wainna ilaihi rojiu'un..."
Sambil menghibur diri, dan menyaksikan peristiwa di Mesir ini, airmata saya berlinangan.
Sabtu, 17 Ogos 2013
Menyaksikan peristiwa di Mesir melalui puisi Arifin Arif
✔
abd naddin
Diterbitkan 9:15 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)