Aspah Abdullah
Sani dilahirkan pada 1 Disember 1960 di Kampung Tangkarason Sugut Paitan. pendidikan
awal di SK Terusan Sugut manakala pendidikan menengah di SMK Sandakan. Beliau
menceburkan diri dalam politik dalam usia yang masih relatif muda iaitu ketika
berusia 17 tahun. Beliau pernah menjadi Timbalan Ketua Bahagian USNO Sugut,
Setiausaha Bahagian UMNO Beluran dan kini Timbalan Ketua UMNO Bahagian Beluran.
Selain jawatan dalam politik, beliau juga dilantik sebagai Timbalan Pengerusi
Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sejak 2004. Aspah berkelulusan Ijazah Sarjana
Muda Pengurusan dari OUM.(Open University Malaysia. Bagi mengenang jasa
baktinya, beliau dikurniakan pingat Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) pada
tahun 2003 dan Ksatria Mangku Negara (KMN) pada tahun 2008
Beliau mendirikan
rumahtangga dengan Sharifah Suraya binte Habb Sharafuddin dikurniakan lima
cahayamata 2 lelaki dan tiga perempuan.
Wartawan UTUSAN
BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN sempat menemubual beliau pada satu pagi di
salah sebuah restoran makanan segera di Jalan Pantai. Ikuti petikan temubual
bersama beliau.
UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan?
ASPAH ABDULLAH
SANI: Saya dilahirkan di Kampung
Tangkarason, Sugut Paitan. Sebuah kampung tradisi masyarakat Sungai.Orang yang
membuka kampung itu ialah arwah bapa saya, Abdullah Sani bin Basaruddin.
Sewaktu masih kecil, kami pindah ke Sugut, ikut arwah ibu,Hajah Jahara binti
Imam Puyoh ke kampungnya Pantai Buring
Sugut Kinabatangan. Arwah bapa saya cukup dikenali kerana beliau merupakan
seorang imam di kawasan Kinabatangan dan Labuk Sugut.
UB: Sekolah dimana?
AAS: Saya membesar di Kampung Pantai Buring dan
bersekolah di Terusan Sugut. Di Kampung
Pantai Buring tiada sekolah.Kanak-kanak dari kampung itu berkayuh ke Terusan
Sugut untuk bersekolah. Kami dibuatkan pondok dekat sekolah. Di sana kami masak sendiri, cuci pakaian sendiri dan hidup
sendiri.
UB: Tentu kehidupan sukar pada masa itu.
Belajar bagaimana? Apa jalan perhubungan ke sekolah?
ASS: Ketika itu kami belajar pakai lampu
pelita.Tiada kemudahan elektrik. Satu-satunya jalan perhubungan ke Pantai Buring
adalah menggunakan perahu. Lama perjalanan lima hingga enam jam. Sebelum
bersekolah di SRK Terusan Sugut, saya pernah ikut belajar di Kelas Dewasa. Sama
dengan kelas Kemas yang ada sekarang. Jadi sebelum bersekolah di Terusan Sugut,
saya sudah boleh membaca, mengira dan menulis. Itu dalam tahun 70-an. Pada masa
itu, pengurusan sekolah atau mungkin juga memang salah satu peraturandi Jabatan
Pelajaran, Kita belajar ikut umur.Oleh kerana ada kelebihan, kebolehan dari
segi membaca, menulis dan mengira, saya terus masuk darjah tiga. Dalam tempoh
tiga tahun, saya habis sekolah rendah.
UB: Selepas itu, di mana tuan bersekolah
menengah?
AAS: Selepas tamat sekolah rendah, maka pada tahun
1973, saya melanjutkan pelajaran ke SMK Sandakan sehingga tamat tingkatan lima.
UB: Siapa rakan tuan ketika itu?
AAS: Antara rakan sekolah saya ketika itu ialah
Datuk Surady Kayong, Allahyarham Mardin Haji Malayu, Ahmad Haji Mohd.Said,
Hamzah Haji Ismamin, Ardi Abdullah Sani.
UB: Bagaimana keadaan masyarakat pada masa
itu?
AAS: Persekitaran hidup zaman saya memang agak
berbeza dengan sekarang.Dulu Masyarakat kami jauh tertinggal, tetapi sekarang
situasinya agak berbeza. Kalau dahulu, serba serbi agak daif. Jalan perhubungan
kebanyakannya terpaksa bergantung kepada sungai. Tak ada kemudahan
infrastruktur.
UB: Siapa agaknya anak Sugut yang mula-mula
menjejakkan kaki ke universiti, kalau tuan masih ingat.
AAS: Ada seorang senior kami, Ibrahim dari Terusan
Sugut. Saya ingat beliau antara yang pertama menjejakkan kaki ke menara gading.
Beliau ambil jurusan perubatan di Universiti Sains Malaysia (USM). Tapi saya
sudah lama tidak mendengar khabar mengenai beliau.
UB: Bagaimana tuan melihat perbezaan dulu dan
sekarang jika ditinjau dari aspek perjuangan?
AAS: Saya fikir perjuangan dulu berbeza dengan
perjuangan sekarang. Dahulu mentaliti masyarakat benar benar berjuang membela
untung nasib anak bangsa. Bekerja tanpa fikir habuan.Bekerja tanpa fikir
ganjaran.Bekerja tanpa fikir jawatan. Matlamat adalah semata mata untuk membela
dan membangunkan anak bangsa, baik dalam aspek ekonomi, sosial, pendidikan,
politik dan sebagainya. Generasi saya merasakan masyarakat terlalu daif dan
memerlukan pembelaan.
UB: Mungkinkah kerana Sugut terlalu luas?
AAS: Sugut adalah satu kawasan yang sangat luas
kalau dibandingkan dari segi logistik dan geografi kira-kira seluas negeri
Kedah. Kemudahan infrastruktur jalan
raya ke kampung-kampung masih tidak mencukupi. Dari Sugut ke Beluran atau ke
bandar Sandakan terpaksa guna perahu dan kapal pakai enjin laut dalam
Kalau mahu ke
Sandakan terpaksa bertolak jam 3.00 subuh, sampai di Sandakan kira-kira jam 2.00
petang atau jam 3.00 petang berlayar menelusuri laut Sulu.
UB: Bagaimana keadaan cara hidup pada masa
itu?
AAS: Penghidupan masa itu di Sugut amat
sukar.Kebanyakan orang hidup sebagai petani. Boleh dikatakan kebanyakan orang
menjadikan jagung ubi sebagai makanan
roji. Ketika itu orang bercucuk tanam,cukup cukup makan sahaja. Kalaupun mereka
bertani secara besar-besaran,tidak terdapat kemudahan untuk memasarkan hasil
tanaman mereka.Masa itu tiada tamu, tiada pasar mingguan.Kehidupan masyarakat
memang daif. Satu bulan sekalipun belum tentu mereka dapat turun ke bandar.
Ada juga yang
membeli barang keperluan, tetapi boleh dikatakan tiga keempat bulan, baru
sekali dapat pigi (pergi).
UB: Jenis hiburan masa itu?
AAS: Kalau mengenai hiburan masa it, boleh
dikatakan hiburan tiada. Radio tiada, tiada pancaragam apalagi tv, jauh sekali.
Hanya sukan bola sepak, sepak takraw, zaman kami itulah yang ada.
UB: Jadi tuan dan rakan-rakan sekampung
terpaksa berdayung ke Terusan Sugut. Berapa jam?
AAS: Kami berdayung lima hingga enam jam berdayung
untuk sampai ke Sekolah. Buaya ada juga tapi tiada pula kejadian yang mengancam
nyawa.Itulah pengalaman dulu. Betapa sukarnya untuk anak-anak kampung
mendapatkan pendidikan. Masa itu tak ada peluang bersekolah kerana tekanan dan
keadaan hidup
Masyarakat hidup
dalam keadaan yang daif. Itu banyak
menyedarkan kita. Bahawa salah satu cara
untuk merubah kehidupan keluarga yang miskin
ke arah yang lebih baik ialah melalui pendidikan. Kini kerajaan mewujudkan peluang pembelajaran
sepanjang hayat. Kesempatan ini yang harus diambil peluang oleh masyarakat
untuk belajar. Belajar tiada had masa.
Saya sendiri telah
mengikuti pembelajaran jarak jauh pada tahun 2006 melalui Open university
Malaysia (OUM) dan Alhamdulillah berjaya lulus Sarjana Muda Pengurusan pada
tahun 2010.
Jika dibandingkan
dahulu dan sekarang memang jauh berbeza. Sekarang ramai sudah yang
berpendidikan, dengan kemudahan pembelajaran yang disediakan oleh Kerajaan Barisan
Nasional yang sangat prihatin dan
membantu anak-anak untuk mendapatkan pendidikan, tidak terkecuali di kawasan
Sugut. Di Sugut, salah satu matlamat kita ialah kalau dapat satu keluarga
sekurang-kurangnya dapat mengeluarkan seorang graduan.
UB: Apa komen tuan mengenai kemudahan
infrastruktur pendidikan dahulu dan sekarang?
AAS: Keadaan sekarang sudah jauh berubah. Sekarang
ini boleh dikatakan hampir keseluruhan kampung yang layak diwujudkan sekolah,
kerajaan mendirikan sekolah. Terdapat tiga buah sekolah menengah iaitu SMK
Pamol, SMK Terusan Sugut dan SMK Simpangan
Kalau dulu
kebanyakan pelajar tidak dapat melanjutkan pelajaran kerana kemudahan pembelajaran
kurang tetapi sekarang tidak lagi. Dulu kalau mahu melanjutkan pelajaran ke
tingkatan enam itu terpaksa belajar di SMK Menggatal di Kota Kinabalu. Sekolah
lain belum ada tingkatan enam pada masa itu.
Ramai pelajar tak
dapat melanjutkan pelajaran kerana keadaan masyarakat yang daif. Saya pula anak
yatim.Bapa saya meninggal pada 30 Ogos 1963, iaitu sewaktu umur saya tiga
tahun. Saya anak bungsu dari Kami Sembilan adik beradik dua ibu. Selepas
pemergian ayah, saya dipelihara oleh ibu dan abang abang saya.
UB: Bagaimana pula tuan mula terlibat dalam
politik?
AAS: Selepas menamatkan pelajaran dalam tingkatan
lima, saya sudah terlibat dalam politik untuk menghidupkan USNO yang kalah
dalam tahun 1976. Masa itu USNO dikalahkan Parti Berjaya. Datuk Harris jadi
Ketua Menteri masa itu. Walaupun terdapat perubahan dalam senario politik
tetapi tiada pemimpin USNO yang berhijrah selepas USNO kalah. Kemudian pakcik
saya, Haji Mohd.Said Imam Puyoh telah diberi amanah oleh pimpinan USNO ketika itu untuk menjadi Ketua Bahagian untuk
meneruskan perjuangan USNO di Sugut.Kalau tak silap waktu itu, USNO dipimpin
oleh Allahyarham Tun Said Keruak.
Pada masa itu saya
telah terlibat. Saya mempunyai sedikit kebolehan tulis menulis dan soal
pengurusan. Saya dilantik sebagai Setiausaha Kerja USNO pada ketika saya
berusia 17 tahun. Datuk Surady ketika itu Setiausaha Bahagian, saya yang
menjadi Setiausaha Kerja.
Bermula dari
situlah saya terlibat dalam politik. Saya bergiat dalam USNO sehingga USNO dibubarkan dan diserapkan dalam
UMNO.
Apabila UMNO
mengembangkan sayapnya ke Sabah pada tahun 1991, bulan Februari, saya terus
bergiat dalam UMNO.
sebenarnya sebelum
itu saya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Institut Agama Islam
Negeri (IAIN) kini Universiti Islam Negeri (UIN) Ciputat Jakarta Indonesia pada
tahun 1982.
Kerana itu saya
meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Bahagian USNO. Tetapi dalam masa yang
sama arwah Mardin Haji Malayu, yang ketika itu baru balik dari IAIN Sunan
Gunung Jati Bandung, kurang memberi galakan
kerana masalah pembiayaan kos sara hidup dan sebagainya apalagi jika
tidak ada biasiswa.
Apabila saya tak
jadi pergi, saya kembali berjuang dalam parti tetapi hanya sebagai pengerusi
tetap.
Ketika kemasukan
UMNO ke Sabah, saya dilantik sebagai salah seorang AJK Penaja UMNO Sandakan.. Saya masuk ahli di
Pantai Buring. Sandakan pada masa itu merangkumi Labuk, Sugut dan Sungai Sibuga
Kemudian pada tahun 1992, saya dilantik sebagai AJK
UMNO Jambongan yang diketuai Datuk Juslie Ajirol.
Apabila diadakan
persempadanan baru pada tahun 1994, Parlimen Beluran diwujudkan. Datuk Surady
Kayong dilantik Ketua Penaja dan saya
dilantik Setiausaha Bahagian pada masa itu.
UB: Kemudian?
AAS:Saya
menjadi Setiausaha Bahagian selama tujuh
tahun. Kemudian pada tahun 2001, ada pemilihan. Saya menawarkan diri bertanding
Timbalan Ketua Bahagian sehinggalah sekarang, saya menyandang jawatan Timbalan
Ketua Bahagian.
UB: Boleh ceritakan sedikit gambaran mengenai
kampung-kampung di kawasan Sugut?
AAS: Kawasan
perkampungan wujud berdasarkan sungai yang menjadi jalan perhubungan utama.
Jadi kebanyakan kampung berada di tepi sungai. Kampung Lingkabau di tepi sungai
Lingkabau, Kampung Kaindangan di tepi Sungai Kaindangan, Kampung Tangkarason, di tepi Sungai Tangkarason, Kampung Simpangan
kerana ada Sungai Simpangan. Jadi perkampungan di Sugut kebanyakannya wujud di
tebing Sungai. Sungailah satu jalan perhubungan masyarakat iaitu dengan
menggunakan perahu.
UB: Masih ada kampung yang tidak boleh
dihubungi melalui jalan darat?
AAS: Masih terdapat kampung seperti Ulu Lingkabau
yang hanya dapat dihubungi menggunakan jalan balak. Ia bersempadanan dengan
Kampung Gana di Kota Marudu.
UB: Apa majoriti penduduk di kawasan Sugut?
AAS: Di Sugut, majoriti penduduknya orang Sungai.
Dalam 60 hingga 70 peratus.
UB: Boleh beri gambaran sedikit mengenai orang
Sungai?
AAS: Orang sungai ni boleh kita katakan `slow and
steady’. Satu masyarakat yang tidak terdorong dengan cara yang memberontak. Dia
melakukan sesuatu dengan sungguh-sungguh.Jika dijanjikan sesuatu, dia
mengharap. Apabila janji ini tidak tertunai, ini yang jadi masalah kerana
masyarakat ini susah dipujuk balik.
Dalam era
ini,Sugut adalah kubu kuat BN yang didominasi UMNO dan PBS
UB: Oh ya! Sejak bila tuan berkhidmat sebagai
Timbalan Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS)
AAS: Saya sangat berterima kasih kepada Yang Amat
Berhormat Ketua Menteri kerana melantik saya sebagai Timbalan Pengerusi Majlis
Ugama Islam Sabah (MUIS) sejak 14 November 2004 sehingga sekarang. Sebab itulah
saya berhijrah ke Kota Kinabalu.Bagaimanapun, saya selalu balik ke kawasan,
sama ada atas kapasiti sebagai Timbalan Pengerusi MUIS, atau ada program
bersama wakil rakyat kami. Hampir tiap minggu. Jadi satu kemestian bagi saya.
Malah sebelum PRU yang lepas saya selalu balik Sugut dan Beluran.
UB: Apa hobi tuan kalau ada masa terluang?
AAS: Saya memang suka membaca. Suka baca
suratkhabar juga untuk mengetahui pelbagai isu semasa. Selain itu saya juga suka
membaca buku agama dan politik.
UB: Siapa pemimpi yang menjadi idola tuan?
AAS: Idola saya dalam politik ialah Allahyarham
Tun Mustapha. Banyak baca riwayatnya.Itulah yang mendorong saya untuk setia
dalam prinsip perjuangan.
UB: Sebagai seorang yang dibesarkan oleh
seorang ibu, apa kira-kira nasihat ibu yang masih tuan ingat?
AAS: Ibu saya menasihatkan saya agar sentiasa
berbuat baik kepada orang.Kalau bantu orang , jangan harap balasan.Bantulah
kerana Allah Taala. Itulah pesanan arwah ibu, inilah yang jadi azimat saya
sampai sekarang.
UB: Apa nashat tuan kepada generasi muda?
AAS: Nasihat saya kepada generasi muda ialah agar
mereka mempelajari atau mengikuti cara
orang dahulu yang berjuang bukan untuk mengharapkan ganjaran.
Apa yang saya
khuatir persekitaran, persaingan yang terlalu banyak konflik.Ada elemen yang
seolah-olah tidak berasaskan kepada perjuangan asal. Sebaliknya perjuangan
untuk merebut satu keperluan untuk diri sendiri.Ini yang sangat saya
bimbangkan.Saya sangat khuatir norma norma atau nilai nilai perjuangan akan
terhapus. Bila ini terjadi saya takut masa depan anak cucu kita akan tergadai
dan dikuasai orang lain. Bagi saya dalam perjuangan ialahlah apa yang dapat
kita sumbangkan kepada organisasi atau parti kita dan bukan apa yang parti dapat sumbangkan kepada
kita Saya harap ini generasi kita hari ini akan terus memperjuangkan martabat
dan membela nasib bangsa.
UTUSAN BORNEO
tersiar dengan tajuk Aspah pernah berdayung semata-mata untuk ke sekolah
tersiar dengan tajuk Aspah pernah berdayung semata-mata untuk ke sekolah
13 JULAI 2013