Khamis, 27 Jun 2013

Percakapan sejenak bersama Leopoldo Santos

Tags


PERCAKAPAN SEJENAK BERSAMA LEOPOLDO SANTOS

“Bagi saya, peristiwa yang paling menarik ialah ketika kami bermain dalam kejohanan Borneo Cup  di Kuching. Sabah ketinggalan lima gol dalam separuh masa pertama ketika menentang Brunei. Semua orang marah dan tutup radio. Ketika itu belum ada siaran tv seperti sekarang.. Waktu itu kami  main di Padang Jubilee Tahun 1965, kalau tak silap, “ kata Leopoldo Santos, bekas pemain bolasepak Sabah.

Tapi keesokan harinya, mereka terkejut baca suratkhabar. Sabah menang 6-5 ke atas Brunei. Sabah yang ketinggalan lima gol  bangkit menjaringkan enam gol pada separuh masa kedua. Saya fikir itulah detik yang paling istimewa dalam karier saya ketika mewakili Sabah,” katanya yang lebih mesra dipanggil Paul di kalangan rakan sekerjanya.

Antara hero pasukan Sabah ketika itu ialah Anafiah Kreah yang banyak menjaringkan gol. Adiknya Fadilah Kreah turut main bersama pasukan Sabah ketika itu. Kapten pasukan, Francis Rajah, abang kepada Peter Rajah, bekas penjaga gol pasukan kebangsaan.

Apabila saja menang, ramai orang yang menangis. Mereka tidak menyangka perkara itu boleh berlaku.

Bagi saya itu yang paling menarik. Ada satu lagi bahagian yang paling menarik ialah selepas kami menang, Mark Phang, pengurus pasukan pada masa itu bagi $3.00 satu orang. Dulu tiga ringgit itu nilainya cukup besar, kata Paul sambil makan Capati.

Ketika saya ikut duduk bersamanya di kedai Choice itu, di bawah pejabat kami.

Selepas bersara, dari Jabatan Penerangan pada tahun 2003, Paul bekerja sebagai Sub Editor di akhbar The Borneo Post.

Sungguhpun saya tahu beliau seorang yang suka bercakap mengenai bolasepak, tetapi saya tidak tahu bahawa beliau pernah bermain mewakili Sabah dalam Piala Borneo. Stanley Chew, mantan jurulatih Sabah, yang merupakan rakan sekolahnya di La Salle yang memberitahu saya.

Pasukan kami, Lasalite, merupakan pasukan yang terkenal pada ketika itu. Antara pasukan yang menjadi saingan La Salle ialah Sabah College dan All Saints.

Antara pemain Sabah College yang terkenal pada masa itu ialah Osu Sukam (Datuk Seri Panglima Osu Haji Sukam, mantan Ketua Menteri Sabah), Saudin Basni dan lain-lain lagi.

Siapa antara rakan sekolah tuan pada masa itu? Saya bertanya. Beliau cuba menginngat rakan rakan lamanya sambil sesekali menikmati Capat.

Antara rakan sekolah saya yang kemudian menjadi terkenal ialah mantan Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadsah Abdullah dan Tan Sri Bernard Dompok, katanya.

Malah petang tadi sempat main golf dengan Tun, katanya memberitahu.

Selepas menamatkan persekolahan di La Salle pada tahun 1967, beliau terus bekerja di Jabatan Penerangan. Gaji pada masa itu $80 sebulan.

Siapa antara pemain bolasepak Sabah pada masa itu?

“Stanley Chew, memang bagus. Dia main striker.Stanley seorang striker yang baik. Sekarang beliau terus berkecimpung dalam pembangunan kejurulatihan bolasepak.

Seorang lagi, state player Joseph Liew,  sekarang di rumah kebajikan. Michael Janu, Lawrence Sindol dan ramai lagi. Banyak yang sudah meninggal, kata Paul.Satu lagi pemain yang baik ialah Suhaili Said, pemain bolasepak di KK.

Antara pemain terbaik pada masa itu ialah Koo Eng Huat, dari Kota Belud dan Henry Chan dari Sandakan.

Masa itu orang bermain bolasepak, bukan saja kerana minat tapi kerana ia menjadi kebanggaan jika terpilih mewakili daerah, atau negeri.

“Setiap petang pemain turun padang.Bermain dan berlatih bolasepak,” katanya. Permainan bolasepak adalah sukan yang popular, yang selalu ditonton oleh orang ramai.

Mereka menyokong pasukan mereka dengan sungguh-sungguh.Jika mereka tidak suka kepada pengadil, mereka mengutuk pengadil, mengatakan itu ini dan sebagainya.

“Ada satu referee, Francis Sinapathy, saya ingat betul nama dia. Satu ketika ketika dia mengadili satu permainan, dia kena teriak oleh penonton, dicakap begitu begini

Waktu itu penonton berdiri di tepi padang. Dia kenalpasti  penonton itu, kemudian melangkah terus ke tempatnya, lalu kemudian dia buka baju pengadil dan suruh orang itu ganti jadi pengadil.

“Ada satu lagi Johnny Chang, kalau jadi pengadil orang suka tengok kerana apabila fault, dia akan tiup wisel dan tunjukkan aksi kesalahan pemain itu. Itu yang menarik,” katanya.

Paul terkenang pada tahun 1965, pasukan sabah membuat `tour’ jelajah keliling Semenanjung. Mereka bermain di Johor, Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

“Dulu bermain bolasepak, kita kena berani. Dulu punya orang memang orang berani.Umur mereka dalam 20-an hingga 30-an. Kalau pergi main bola, macam pergi perang,” kenangnya. Dia yang bertubuh kecil, mengakui walaupun tidak seberapa berani berbanding-rakan-rakannya terpaksa juga berpura-pura berani.

“Kalau nda’ berani jangan main bola,” kata Paul yang selalu digelar lada padi oleh rakan-rakannya.

Pada tahun 1971 hingga 1977, Paul berpindah di Sandakan.Di sana dia menyertai pasukan Sandakan, bermain bersama Henry Chan. Waktu itu top player ialah Jaya Aman.

Pada tahun 1977, beliau berpindah semula ke Kota Kinabalu., beliau menjadi Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kewangan Sabah, Datuk Haji Mohd.Noor Mansor. Matnor, begitu orang memanggilnya, adalah seorang pemain bola yang terkenal pada zamannya. Beliau lebih senior, enam tujuh tahun di atas kami, kata Leopoldo. Kalau dia menendang bola, net boleh koyak” katanya.

“Dia famous pada masa it,” katanya Paul mengenai Datuk Mohd Noor. Kata Paul, antara pemain yang terkenal pada zaman beliau ialah Ahmad Kreah, pemain dari Tawau. ShuaibSulong, abang Datuk Salleh Sulung. Shuaib selalu dribble, itu yang menarik.

Percakapan mengenai bolasepak memang sentiasa menarik. Pada masa itu, Sabah memang terkenal gemilang dalam sukan bolasepak.

“Satu hari saya orang tengok arkib” katanya dalam loghat Sabah. Dia mahu melihat keratan akhbar dan dokumentasi mengenai kegemilangan sukan bolasepak pada masa lepas.

“Saya fikir kalau pemain masih hidup mereka boleh jadi wakil Malaysia,” katanya.

Dia teringat satu perstiwa ketika masih kanak-kanak. Jika ada kejohanan ataupun perlawanan persahabatan, padang bolasepak selalu ditutup dengan guni. Penonton yang mahu melihat perlawanan perlu membayar tiket.

“Satu kali, saya cuba menyusup untuk menonton perlawanan bola, tetapi kepala saya diketuk oleh polis yang menjaga perlawanan itu,” kenangnya.

Di Tanjung Aru, dekat padang, ada manusia yang panjat pokok, tiga pokok yang terdapat d sana untuk menonton bola secara percuma.

Menonton bola adalah satu-satunya hiburan pada masa dulu, selain daripada pancaragam dan tengok wayang gambar.

Jadi kebanyakan remaja suka menonton perlawanan bola sebagai satu bentuk hiburan pada masa it. Pemain bola cepat menjadi terkenal dan meniti di bibir peminatnya.

“Itulah satu-satunya hiburan selain main band,” kata Paul. Dulu tak ada tv seperti sekarang.

Paul yang pernah mewakili Sabah dalam kejohanan seperti Borneo Cup, President Cup, Burnley Cup dan sebagainya. Selepas berpindah ke Sandakan pada tahun 1971-1977, beliau turut bermain untuk pasukan Sandakan.

Pada tahun 1979 hingga 1984, Paul terbang ke Amerika Syarikat. Beliau melanjutkan pelajaran di Indiana State University. Di sini, beliau pernah berada satu universiti dengan Tun Haji Ahmadshah Abdullah.

Sekembalinya ke Sabah, beliau terus bekerja di Jabatan Penerangan sehingga bersara pada tahun 2003.

Selepas bersara, Paul tidak duduk diam sebaliknya bekerja sebagai penyunting di akhbar The Borneo Post.

Masih berhubung dengan rakan-rakan lama? Saya bertanya.

“Semua pensioner (pesara) Jabatan Penerangan berkumpul pada Rabu minggu pertama setiap bulan,” katanya.

Namun makin hari, makin ramai yang tak datang. Ramai yang sakit, ramai yang meninggal pergi buat selamanya, kata Paul.

Tapi hidup harus jalan terus dan terus.

3 comments

Saya amat mengenali Hero of Sabah utk Borneo Cup tahun 1965 tersebut. Ejaan sebenar nama beliau ialah Hanafiah bin Kreah. Beliau adalah ayahanda saya.

Terima kasih kerana sudi berkunjung ke blog saya. saya ingin sekali menemuramah ayahanda saudara, jika ada kesempatan. Kalau ada nombor telefon beliau, saya kira mahu menemubual beliau. ini emel saya abdnaddin@yahoo.com, atau facebook abd naddin shaiddin II terima kasih

Saya mohon maaf banyak-banyak, Tuan. Baru hari ini kembali melihat blog Tuan ini. Hampir 4 tahun berlalu.

Ini no hp saya 019-3248928 & ini no talipon rumah ayahanda saya 089-752934.