Jumaat, 21 Jun 2013

KAMPONG AYER BRUNEI, TERBESAR DAN TERMODEN DI RANTAU INI Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN

Tags



KAMPONG AYER BRUNEI, TERBESAR DAN TERMODEN DI RANTAU INI
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

Kampung itu memang lain dari yang lain.
Sejarahnya panjang.Wujud sejak abad ke-10 iaitu kira-kira 1,000 tahun lalu, Kampong Ayer yang terletak di Negara Brunei Darussalam adalah penempatan atas air terbesar di dunia. Penduduknya kini berjumlah kira-kiar 30,000 yang tinggal di 6 buah mukim dan lebih daripada 40 kampung.
Kampong Ayer dibekalkan dengan kemudahan tenaga elektrik dan air bersih yang membolehkan penduduknya menikmati kehidupan yang lebih selesa. Sekolah-sekolah rendah, menengah dan sekolah agama didirikan bagi memastikan penduduk menikmati pendidikan percuma. Kampung itu mempunyai balai polis, balai bomba, pejabat pos, stesen minyak, kedai runcit, klinik dewan kemasyarakatan dan pusat pelancongan manakala masjid-masjid dan surau mudah dilihat kerana ia sentiasa penuh setiap kali tibanya waktu solat lima kali sehari.
Dari sebuah perkampungan yang terbesar, pernah dikunjungi pedagang dari Cina dan Eropah, Kampong Ayer seringkali digambarkan sebagai “Venice of the East” atau “floating city”, sejak kedatangan orang barat pada abad ke-15.
Ketika melawat Brunei pada 1521, Antonio Pigafetta mencatatkan bahawa “…bandar itu keseluruhannya dibina di air kecuali istana dan rumah beberapa pembesar, mengandungi 25,000 keluarga.Rumah-rumah diperbuat daripada kayu menggunakan tiang-tiang tinggi. Apabila air pasang, wanita-wanita berperahu menjual barang-barang keperluan seharian…”.
Pada masa itu perdagangan di Kampong Ayer dipelopori oleh kaum wanita. Mereka menggunakan perahu-perahu kecil, dikenali sebagai bidar.Perahu ini biasanya menempatkan seorang wanita dan bahan-bahan dagangan ditempatkan di hadapan perahu.Mereka menggunakan topi lebar, dikenali sebagai Siraung Bini, berukuran besar bagi melindungi mereka daripada terik matahari dan juga hujan. Padian dikatakan diperkenalkan oleh Pateh Berbai, iaitu salah seorang adil Awang Alak Betatar. Syair Awang Semaun mencatatkan:
“Pateh Berbai empunya fikiran,
Pasar di air baik buatan
Dinamainya pasar padian
Senang bejual gulai-gulaian”
Sementara itu, dalam satu laporan Sepanyol mencatatkan”

“…Oleh sebab bandar itu terletak di atas air, mereka menggunakan bot-bot kecil yang dipanggi bancas.Perdagangan dijalankan dua kali sehari iaitu sebelah pagi dan petang.Bermacam-macam jenis hasil pertanian dan makanan tempatan dijual dan ditempatkan di perahu-perahu kecil, berjumlah lebih 500 buah.Setelah berniaga, mereka akan menyusur celah-celah rumah sambil melaungkan jenis jualan masing-masing.Harga jualan tidak tetap iaitu boleh tawar-menawar…”.
Bagaimanapun, sejak tahun 80-an, padian tidak lagi diamalkan seiring dengan faktor kemodenan sementara ramai penduduk Kampong Ayer yang berpindah ke daratan, mencuba penghidupan yang baru.
Kampong Ayer yang terletak kira-kira 8 km di sepanjang Sungai Brunei terkenal bukan saja kerana keramahtamahan masyarakatnya tetapi juga kerana kreativiti dan keindahan seni budaya mereka yang kekal dan diamalkan sehingga sekarang.
Keunikan Kampong Ayer sentiasa memukau pengunjung dan menjadi salah satu destinasi pelancongan utama di negara Brunei Darussalam. Kegiatan ekonomi penduduk lebih tertumpu kepada aktiviti perikanan dan penghasilan kraftangan.
Pembuatan perahu mash lagi diusahakan secara kecil-kecilan bagi menghasilkan perahu `pelauk’ dan perahu `tambang’.  Tukang perahu juga menghasilkan perahu seperti bagong, bidar, gubang, jumping, perahu lumba, perahu rigis, temuai serta tongkang. Walaupun berhadapan dengan kemodenan namun `pemburis’ yakni pembuat perahu masih mengekalkan teknik pembuatan secara tradisional.  Pada masa ini, perahu yang dilengkapi dengan motor sangkut banyak digunakan bagi aktiviti `menambang’, itu pengangkutan utama di Kampong Ayer.
Selain itu, perusahaan bertenun kain pada masa ini masih giat dijalankan. Kain tenunan sering dipakai pada  majlis-majlis kebudayaan, perayaan kebangsaan, majlis adat istiadat dan juga sebagai pakaian seragam di upacara rasmi kerajaan dan konvokesyen.Kain tenunan juga digunakan untuk menghasilkan produk-produk kontemporari seperti beg tangan, kain alas gangsa, kotak tisu dan kusyen bantal.
Produk anyaman seperti bakul, kulit ketupat, lakar periuk, seraung, tikar dan tudung dulang adalah salah satu hasil kraftangan masyarakat Kampong Ayer. Pembuatan songkok juga masih boleh didapati di Kampong Ayer. Songkok adalah sebahagian pakaian pelengkap bagi baju cara Melayu dan pakaian seragam sekolah. Songkok dipakai oleh kaum lelaki ketika menghadiri majlis-majlis beristiadat seperti majlis perkahwinan, majlis rasmi negara, acara keagamaan dan juga sebagai pakaian harian.
Jika dahulu, Kampong Ayer pernah menjadi pusat pemerintahan dan pentadbiran, selain berperanan sebagai sebuah pelabuhan perdagangan dan pusat perniagaan di antara Brunei dengan negara-negara luar, kini Kampong Ayer mengalami perubahan demi perubahan.
Sistem perumahan moden di Kampong Ayer seperti Kampung `Bolkiah `A’ dan Kampung Bolkiah `B’ yang disediakan oleh kerajaan dan dilengkapkan dengan sistem sanitasi bagi mewujudkan persekitaran yang lebih bersih dan kondusif.
Kini Kampong Ayer bukan saja petempatan atas air terbesar di dunia malah ia merupakan kampung air termoden di rantau ini.


-dari akhbar Utusan Borneo 19 Jun