Sabtu, 13 April 2013

Dalam hidup kita perlu ikhlas, kata Datuk Haji Dahli Mohd Elias

Tags



DALAM HIDUP KITA PERLU IKHLAS, KATA DATUK HAJI DAHLI


Dalam hidup kita perlu ikhlas. Apapun yang kita buat, kita perlu ikhlas. Dalam bekerja, kalau kita tidak dapat bantu, kita jangan merosakkan. Kalau tidak dapat bantu pemerintah, kita jangan mengganggu, kata mantan Setiausaha Agung Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Haji Dahli Mohd.Elias. Beliau yang juga seorang tokoh pendidik yang dikenali menekankan betapa pentingnya keikhlasan dalam menjalani kehidupan.

Datuk Haji Dahli Mohd.Elias lahir di Papar pada 18 Julai 1939.  Selepas tamat persekolahan di kampungnya, beliau mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Kent, Tuaran pada tahun 1958-1959 sebagai guru pelatih. Selepas lulus dari Maktab Kent, beliau mula bertugas sebagai guru di SRK Kawang Papar tetapi tidak sampai sebulan, beliau berpindah ke  SRK Sembulan selama satu tahun. Selepas itu, beliau bertugas pula di SRK Tanjung Aru Kota Kinabalu. Kemudian beliau menjalani kursus di Maktab Perguruan Bahasa sebelum dihantar sebagai pensyarah di Pusat Latihan Guru-Guru Bumiputera NVSTTC. Datuk Dahli kemudian menjalani latihan di Maktab Perguruan Khas sebelum ditugaskan sebagai Pensyarah di Maktab Perguruan Gaya. Tidak lama kemudian, beliau diamanahkan untuk membuka semula NVSTTC yang sempat ditutup. Selepas itu, beliau dihantar bertugas sebagai Pegawai Pelajaran di Bahagian Pedalaman Sabah sehingga tahun 1975. Pada tahun 1976, beliau dilantik sebagai Penolong Pengarah di Jabatan Pelajaran Sabah dan pernah ditempatkan di Unit Sekolah Rendah dan kemudian di Unit Sekolah Menengah. Pada tahun 1987, beliau dilantik sebagai orang Sabah yang pertama menjadi Pengetua Maktab Perguruan Sandakan.Pada tahun 1992, beliau dilantik sebagai Pegawai  Pendidikan Bahagian Sandakan. Sebelum besara pada tahun 1994, beliau dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Sektor Sekolah di Jabatan Pelajaran Sabah.

Bagaimanapun selepas bersara, Datuk Haji Dahli Elias bertambah sibuk lagi. Beliau aktif dalam kegiatan dakwah dengan pelbagai kapasiti sehingga diberi kepercayaan sebagai  Setiausaha Agung Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dari tahun 1999 hingga 2006. Kini beliau masih aktif dalam kegiatan sukarela dan menjadi Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Menengah Islamiah Papar selain giat menguruskan perniagaan.

Dalam kegiatan berpersatuan, Beliau pernah menjadi Setiausaha Agung Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) kemudian dipilih sebagai Presiden, dan pernah menjadi Naib Yang Di Pertua Badan Bahasa Sabah (BAHASA). Datuk Haji Dahli juga adalah seorang penulis Sabah yang terkenal dengan nama penanya Edah Lisa.

Beliau mendirikan rumahtangga dengan Dayang Khamisah Pg Ahmad Bi dan dikurniakan enam cahaya mata iaitu Ahmad Rizal, Zuhanida, Zuridah,Dahlia, Baizura dan Mohammad Hatta.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat bersembang dengan beliau di salah sebuah restoran terkemuka di Jalan Gaya.Ikuti petikan temubual bersama tokoh yang mempunyai personaliti yang menarik ini.

UTUSAN BORNEO: Selepas keluar maktab, dimana Datuk mula bertugas?
DATUK HAJI DAHLI:  Saya mula bertugas pada tahun 1960, tidak sampai sebulan di Kawang, kemudian berpindah ke SRK Sembulan selama satu tahun. Selepas itu pindah lagi ke SRK Tanjung Aru Kota Kinabalu.

UB:       Bagaimana keadaan Tanjung Aru dahulu jika dibandingkan dengan sekarang? Apa pengalaman yang menarik di sana?
DHD:    Keadaan Tanjung Aru dahulu berbeza dengan sekarang. Sewaktu mengajar di Tanjung Aru, saya sudah menulis dalam buletin Jabatan Pelajaran, bersama A.Bolly Asmara, Pengembara. Selain itu saya menulis di akhabr dengan menggunakan nama Edah Lisa. Keratannya puisi yang tersiar di akhbar itu masih saya simpan. Selain itu, puisi-puisi saya tersiar juga dalam antologi Kinabalu Mencakar Langit dan Gema Teluk Kimanis.

UB:       Selepas itu, Datuk bertugas dimana pula?
DHD:    Kami telah dipilih untuk mengikuti satu program Bahasa Inggeris untuk menjadi guru bahasa Inggeris. Program itu, pelajaran bahasa Inggeris diberi perhatian. Guru-guru yang tidak mempunyai latar belakang dalam bahasa Inggeris tetapi terpilih mengikuti program itu menerima enam kali kenaikan gaji.

UB:       Jadi lepas itu, Datuk ikut kursus keluar negara seperti Australia dan New Zealand?
DHD:    Tidak. Sebaliknya kami menjadi guru pelatih yang dihantar berkursus di Maktab Perguruan Bahasa di Kuala Lumpur. Pada masa itu, Datuk Alip Arshad meminta saya untuk mengikuti kursus perguruan di Maktab Bahasa. Seramai 15 orang guru dari Sabah terpilih mengikuti program itu. Saya yang paling muda. Kami adalah kumpulan yang pertama guru-guru dari Sabah yang mengikuti kursus di Maktab Bahasa. Masa itu, pengarah Pelajaran Sabah ialah Datuk Lokman Musa.

UB:       Oh ya. Sewaktu di Maktab Kent, siapa rakan-rakan seperjuangan yang Datuk masih ingat lagi?
DHD:    Antaranya ialah Datuk Haji Matussin Awang Damit, Awang Mohdzar Samad. Datuk Haji Yahya Lampong sebenarnya junior kami sewaktu di Maktab Kent. Datuk Herman Luping pernah masuk maktab.

UB:       Mungkin Datuk boleh ceritakan pengalaman sewaktu pertama kali ke Kuala Lumpur di Maktab Bahasa?
DHD:    Banyak pengalaman ketika itu. Dulu kalau orang ke KL, orang pakai kot, kapal terbang pula mendarat di Sungai Besi. Ketika itu, masih ada perkhidmatan kapal laut. Malah kebanyakan naik kapal laut. Pelajar yang dihantar oleh kerajaan untuk menuntut di Semenanjung naik kapal laut. Malah saya pernah terserempak dengan  Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad dalam kapal laut ketika beliau menuntut dalam tingkatan satu di sekolah di Semenanjung Malaysia.

UB:       Datuk sudah aktif dalam kesatuan guru ketika itu?
DHD:    Yang menarik ialah dalam tahun itu,ialah saya mula berjinak-jinak dengan  Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS). Pada akhir tahun tahun 60-an, saya dilantik sebagai Timbalan Yang Di Pertua Badan Bahasa Sabah (BAHASA). Waktu itu Yang Di Pertua Bahasa ialah, Datuk Haji Dzulkifli Abdul Hamid. KGKS bersama BAHASA telah memperjuangkan agar sekolah meenengah aliran kebangsaan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya diwujudkan. Pada masa itu kami berjuang mendaulatkan bahasa Kebangsaan sehingga menjadi bahasa rasmi.

UB:       Selepas kembali di Maktab Perguruan Bahasa, dimana Datuk ditempatkan?
DHD:    Sekembalinya ke Sabah, saya dihantar untuk menjadi Pensyarah di Maktab Perguruan Gaya. Tidak lama kemudian, kami membuka  semula NVSTTC pada tahun 1972 di Batu Tiga.

UB:       Kemudian?
DHD:    Saya pernah menjalani latihan attachment (sangkutan) di Maktab Perguruan Ilmu Khas dan Kementerian Pelajaran selama tiga bulan. Sekembalinya dari sana, saya ditugaskan sebagai Pegawai Pendidikan di Bahagian Pedalaman Sabah.

UB:       Tentu banyak pengalaman yang menarik?
DHD:    Masa itu, kami melawat pedalaman, Keningau,Tenom, Nabawan, Pensiangan, kadang-kadang dengan berjalan kaki, menyusuri sungai dan sebagainya, jika tidak dapat dihubungi dengan kereta. Waktu itu ada penerbangan dari Keningau ke Sepulut. Berjalan kaki, naik kapal terbang adalah pengalaman biasa bagi kami. Saya pernah berjalan kaki sejauh 13 batu, naik bot selama empat jam sebelum sampai ke Pensiangan. Dr Hasbollah (Datuk Seri Panglima) Datuk Khamis Noyoh pernah berjalan kaki, menyusuri sungai. Kami sempat bergambar, yang masih saya simpan hingga sekarang.

UB:       Mungkin ada pengalaman yang tidak dapat dilupakan?
DHD:    Antara pengalaman yang saya tidak dapat lupakan ialah sewaktu Menteri Pelajaran pada masa itu, Dr.Mahathir Mohammad (kini Tun Dr.Mahathir, mantan Perdana Menteri Malaysia) melawat Tambunan, seterusnya Keningau, Tenom, Beaufort, Sipitang dan terus ke Lawas. Masa itu, beliau sempat melawat tapak Maktab Perguruan Keningau.  Beliau juga menemui guru-guru sepanjang lawatan itu. Masa itu, tahun 1975, hubungan antara kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan tidak berapa baik. Tapi Residen, Datuk William Abi meminta saya untuk mengiringi dan memastikan  Tun Dr.Mahathir dan rombongan mendapat  layanan yang baik. Antara yang ikut serta dalam rombongan itu ialah Tun Hamdan Sheikh Tahir , Datuk Omar Mohd Hashim dan Tan Hussein Ahmad.

UB:       Selepas itu, Datuk bertugas di mana pula?
DHD:    Pada tahun 1976, saya ditugaskan ke ibu pejabat Jabatan Pelajaran Sabah di Kota Kinabalu sebagai Penolong Pengarah Unit Sekolah Rendah dan kemudian Unit Sekolah Menengah hingga tahun 1987.

UB:       Kemudian Datuk pindah kemana?
DHD:    Saya dilantik sebagai orang Sabah yang pertama diberi kepercayaan menjadi Pengetua Maktab Perguruan Sandakan pada tahun 1987. Selepas itu, pada tahun 1992, saya dilantik pula sebagai Pegawai Pendidikan Bahagian Sandakan.

UB:       Apa pula pengalaman sewaktu bertugas di Sandakan?
DHD:    Saya rasa yang paling menarik ialah sewaktu bertugas di sana, kami menerbitkan Jurnal Jambongan, yang dilancarkan sendiri oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Tan Sri Wan Zahid Nordin. Pada waktu itu, inilah satu-satunya jurnal yang diterbitkan oleh Pejabat Pendidikan bahagian di seluruh negara. Sebelum itu, belum ada yang buat jurnal. Ini julung kalinya dibuat bukan saja di seluruh Sabah malah di seluruh negara. Ketika itu, pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Talib Matzin turut hadir.

UB:       Bagaimana caranya Datuk mendapatkan bahan-bahan?
DHD:    Setiap sekolah saya wajibkan untuk menghantar satu artikel untuk memastikan jurnal itu terbit.

UB:       Apa langkah-langkah yang Datuk buat untuk memastikan pelajar luar bandar tidak tercicir dalam pelajaran?
DHD:    Antara yang kita buat ialah menaik taraf sekolah-sekolah menengah seperti di Pinangah dan Telupid. Kemudian kita juga menghantar pelajar pelajar yang layak untuk melanjutkan pelajaran menengah mereka di sekolah-sekolah di Pinangah dan Telupid. Pada masa itu sekolah-sekolah itu masih tidak mempunyai ramai pelajar. Manakala untuk mengelakkkan pelajar dari luar bandar daripada mengalami kejutan budaya, jika mereka bersekolah di bandar, kita telah cuba menaiktaraf `upgrade’ sekolah-sekolah di luar bandar.

UB:       Berapa tahun berkhidmat sebagai Pegawai Pendidikan Bahagian Sandakan?
DHD:    Saya bertugas sebagai Pegawai Pendidikan Bahagian Sandakan dari tahun 1992 hingga 1994.Sebelum bersara pada Disember 1994, saya dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Sektor Sekolah di Jabatan Pendidikan Sabah.

UB:       Selepas bersara, apa kegiatan Datuk?
DHD:    Selepas bersara, kami menubuhkan Persatuan Anak-Anak Melayu Papar, bersama Pengiran Adnan, Pengiran Arshad, Awang Mohdzar dan lain-lain lagi.Kami giat mengadakan pertemuan untuk memikirkan masa depan bangsa dan golongan bumiputera di Sabah. Pada masa itu kami dapat mengumpulkan pelbagai suku bangsa, suku Brunei, Bajau, Bisaya, Dusun dan sebagainya untuk memperjuangkan halatuju dan masa depan bangsa.

UB:       Saya dapati Datuk seorang yang aktif dalam berpersatuan? Sejak bila aktif.
DHD:    Sebenarnya saya sudah terlibat dalam persatuan ketika KGKS pada tahun 1970an lagi.  Saya pernah menjadi Setiausaha Agung KGKS dan kemudian menjadi Yang Di Pertua KGKS Sabah. Dalam kegiatan bahasa dan sastera, saya pernah menjadi Naib yang Di Pertua Bahasa.

UB:       Datuk aktif juga dalam penulisan?
DHD:    Saya aktif dalam penulisan. Kami dalam Angkatan Persuratan Melayu Sabah (APMS) , antaranya Datuk Murshidi Nambi,Kisnawati, Jamdin Buyong. Ketika itu, kami sering berlawanan dengan Persatuan Penulis Sabah (PERPESA) yang dianggotai antaranya oleh Suhani S,(Datuk Hajah Noraini Datuk Haji Salleh) Datuk Halik Zaman dan Mohd.Saidi Lampoh.

UB:       Bagaimana pula Datuk terlibat dalam Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA)?
DHD:    Saya dilantik sebagai Pengarah Sosial dan Kebajikan USIA, kalau tak silap saya tahun 1998. Kemudian pada tahun 1999 , saya dilantik sebagai Setiausaha Agung USIA hingga tahun 2006.

UB:       Apa motto Datuk dalam hidup?
DHD:    Dalam hidup kita perlu ikhlas. Apapun yang kita buat, kita perlu ikhlas. Dalam bekerja, kalau kita tidak dapat bantu, kita jangan merosakkan. Kalau tidak dapat bantu pemerintah, kita jangan mengganggu.

UB:       Walau dah berusia 74 tahun, Datuk masih kelihatan segak dan sihat. Apa rahsianya, kalau boleh dikongsikan?
DHD:    Alhamdulillah.Ini semua Anugerah Tuhan. Saya fikir tabiat kita dalam mengawal diri, hidup berdisiplin. Bila kita hidup berdisiplin, semuanya menjadi baik. Allah sudah jadikan kita begini, kita gunakanlah sebaiknya.

UB:       Mungkin dari segi pemakanan?
DHD:    Saya suka makan sayur dan buah. Mungkin juga kerana saya tidak merokok. Saya tak suka merokok. Saya tak boleh, saya tak sesuai merokok.

UB:       Setiap malam, Datuk tidur jam berapa?
DHD:    Kalau boleh kita tidur awal. Dalam usia sebegini, saya tidur jam 10.00 malam dan bangun jam 4.30 pagi. Lepas itu saya berjalan kaki ke Masjid. Itulah rutin harian saya. Tapi kalau kita tak dapat tidur awal, jangan pula mengganggu fikiran kita. Kita jangan risau. Kalau kita dapat melupakan sesuatu masalah dengan cepat, itu lebih baik. Masalah, jangan kita heret ke sana ke mari.Kalau ada masalah di rumah, jangan bawa ke pejabat. Habis semua orang kita marah.Kalau ada masalah di pejabat, jangan pula bawa ke rumah.

UB:       Apa hobi Datuk jika ada masa lapang?
DHD:    Jika ada masa lapang, saya suka berkebun. Sayang sekali musim durian sudah berlalu. Kalau tidak ke kebun, saya selalunya giat dengan program-program di sekolah. Sampai sekarang, saya sudah 14 tahun jadi Pengerusi PIBG Sekolah Menengah Agama Islam Papar.

UB:       Bagaimana hubungan Datuk dengan keluarga?
DHD:    Kami sekeluarga mempunyai hubungan yang agak rapat. Sebulan sekali, anak-anak  datang ke rumah.Masak bersama, makan bersama. Saya juga agak rapat dengan cucu-cucu, 11 orang semuanya, jika mereka datang ke rumah, mereka selalu cari saya.

UB:       Siapa idola Datuk?
DHD:    Di Malaysia, tokoh yang menjadi idola saya ialah Tun Dr.Mahathir Mohammad, walaupun saya tak setuju keseluruhan tindakannya. Kalau di peringkat dunia, saya suka Gamal Abd Nasser, dan Mohammad Hatta.

UB:       Terima kasih Datuk kerana sudi memberi ruang dan masa untuk sesi temubual ini.
DHD:    Terima kasih.