Khamis, 21 Februari 2013

Duta Besar Indonesia Perkukuh Hubungan Malaysia-Indonesia

Tags




DUTA BESAR  INDONESIA PERKUKUH HUBUNGAN MALAYSIA-INDONESIA

Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN


MESKIPUN baru pertama kali berkunjung ke Sabah, Duta Besar Republik Indonesia untuk Malaysia, Marsekal TNI (Purn) Herman Prayitno menyifatkan negeri ini sebuah negeri yang damai dan tenteram.

Sepanjang kunjungan selama empat hari ke Sabah, beliau yang didampingi isteri, ibu Ratna Andarwaty telah membuat kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Mahiruddin di Istana Negeri.

Beliau juga telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Musa Haji Aman di pejabatnya.

“Kami telah mengadakan perbincangan dalam usaha mengukuhkan lagi hubungan bilateral antara kedua pihak,” katanya kepada Utusan Borneo sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur, Ahad lepas.

Sepanjang berada di Sabah, beliau juga sempat meninjau projek pembinaan Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK), beramah tamah dengan masyarakat Indonesia di Sabah dan mengadakan pertemuan dengan tenaga kerja Indonesia yang bekerja di ladang di Pantai Timur Sabah.

Beliau berkata, pihaknya menghargai kepimpinan negara yang memberikan sokongan kepada tenaga kerja Indonesia di Malaysia serta memberi dukungan terhadap pelaksanaan pendidikan anak-anak pekerja Indonesia.

Bagaimanapun, beliau berharap, lebih banyak Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC) dapat dibuka.

“Kini kita mempunyai 22 CLC, kita minta ditambah lagi, kalau boleh di luar kawasan ladang kelapa sawit untuk kemudahan pelajar-pelajar Indonesia,” katanya.

Dalam kunjungan itu, Herman yang menjawat jawatan Duta Besar Luar Biasa dan Berkuasa Penuh diiringi oleh Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu, Bapak Soepeno Sahid dan isterinya, Ibu Dinie Sahid.

Selain itu, beliau juga telah membincangkan mengenai usaha meningkatkan hubungan ekonomi dan perdagangan antara Indonesia dan Malaysia khususnya sabah.

Beliau berharap lebih banyak pelabur Malaysia menceburi bidang perladangan kelapa sawit, perlombongan di Indonesia khususnya di Kalimantan.

Katanya, bidang perladangan dan perlombongan adalah antara dua bidang yang boleh diceburi oleh pelabur dari Malaysia.

Bapak Herman juga berkata beliau telah berkunjung ke beberapa ladang kelapa sawit untuk memastikan pelaksanaan gaji minima RM800 kepada golongan pekerja turut dinikmati oleh tenaga-tenaga kerja Indonesia yang bekerja di sektor perladangan negeri ini.

Ketika ditanya mengenai hubungan Malaysia dan Indonesia, beliau menyifatkan hubungan kedua-dua negara amatlah baik.
Katanya, hubungan antara Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd.Najib Tun Razak sangat mesra dan sangat baik, saling menghargai dalam memimpin negara masing-masing.

Beliau juga berkata, selain hubungan antara pemimpin kedua negara, hubungan antara rakyat `people to people contact’ juga harus diperkukuhkan lagi kerana ia memberikan sumbangan yang besar kepada hubungan kedua negara.

“Hubungan kita adalah seperti saudara serumpun, saling hormat menghormati perasaan kita sebagai saudara serumpun.

Beliau juga menyatakan tenaga-tenaga kerja Indonesia di Sabah tidak menghadapi masalah dengan majikan.

“Walaupun begitu ada satu dua majikan yang jelek , tidak membayar pekerja dan ada juga TKI yang kerja kurang bagus,” katanya mengakui.

Bagaimanapun secara keseluruhan, pekerja di sektor perladangan di negeri ini mendapat layanan yang memuaskan daripada majikan mereka.

Selain itu, beliau berharap agar Komuniti Asean 2015 akan membantu memajukan lagi kerjasama dalam bidang ekonomi, budaya dan sebagainya.

“Kita mahu ekonomi maju, budaya maju apabila Asean Community 2015 itu direalisasikan nanti,” katanya.

Sebelum menjawat jawatan Duta Besar Indonesia untuk Malaysia  pada 6 Oktober 2012  , beliau merupakan Panglima Tentera Nasional (TNI) Angkatan Udara dari 13 Februari hingga 28 Disember 2007. Beliau berkhidmat dengan tentera udara Indonesia selama 34 tahun dan menjawat pelbagai jawatan penting dalam Angkatan Udara Republik Indonesia sebelum menceburi kerjaya dalam bidang diplomatik.

Beliau berazam untuk terus  memperkuat dan menjaga hubungan serta kerjasama antara Republik Indonesia dan Malaysia yang selama ini telah berjalan dengan baik.

Sementara itu, isterinya, Ibu Ratna Andarwaty  juga menyifatkan lawatannya ke sabah meninggalkan kesan yang amat mendalam.

Beliau menyifatkan wanita Sabah `cantik-cantik, sangat ramah dan baik”. Selain itu, beliau juga menyifatkan makanan di Sabah enak belaka.

Sabah lebih tenteram dan damai, katanya sambil menyifatkan gaya pertuturan antara bahasa Melayu yang digunakan di Sabah mempunyai banyak persamaan dengan bahasa Melayu di Indonesia.


Tersiar di UTUSAN BORNEO 20 FEBRUARI 2013
Photo Credit: Laksmana Yusuf KJRI KK