SEKADAR
SUKA SUKA MEMBACA PELEKAT
BERAPA
ramai yang tidak memahami makna kata
pada pelekat yang dipasang di belakang kereta kita?
Suatu
hari dalam perjalanan balik kampung dari Kota Kinabalu ke Kota Belud, saya cuba
membaca slogan, ayat atau kalimat yang tertulis di belakang kereta yang
bergerak di hadapan kami.
Seorang
tua yang memandu kereta kancil memasang pelekat (sticker) bertulis `pintar
bana’ yang kira-kira bermaksud `sangat pintar atau sangat bijak’. Cuma saya
tidak pasti apakah yang dimaksudkannya itu dirinya, sang kancil atau kereta
kancilnya itu. Tapi saya pasti, belaiu orang Bajau kerana `bana’ dalam bahasa
bajau bermaksud `betul’ atau `benar’ atau boleh juga bermakna `amat’ seperti
dalam sticker `pintar bana’ itu.
Persoalan
ini menjadi menarik kerana setiap kata boleh merupakan satu gambaran kepada
sipemakainya. Setiap ujaran itu mungkin boleh mewakilinya keperibadian, perwatakan
atau suasana jiwa mereka. Mungkin juga mereka tidak memahami atau mengerti
makna kata yang mereka pasang di kenderaan mereka ataupun mereka sengaja
menggunakan perkataan itu keseronokan atau sekadar suka suka.
Saya
gunakan perkataan mereka kerana bukan satu orang atau dua orang yang
menggunakan sesuatu pelekat yang bertulis dengan slogan yang sama.Timbul juga
dalam fikiran saya, mungkin ini nama sesuatu kumpulan yang mereka anggotai
seperti `line clear’, sioloon’ bibac,otai,tompinai,qaruts.
Ada
juga pelekat yang berbunyi `bellon two’. Saya kurang pasti maksudnya. Beloon
dalam bahasa bajau bermakna gila. Jadi slogan dalam pelekat itu bermaksud `ini
gila’. Saya merasa hairan dan takjub juga kerana ada juga yang memasang kereta
mereka dengan slogan `pengakal’, perkataan dalam bahasa bajau yang bermaksud
`penipu’, `majal’ yang bermaksud memaksa.
Tiba-tiba
saya ternampak pelekat yang berbunyi `lalung’. Dalam bahasa Iranun, perkataan
ini bermaksud `gila’. Saya pasti pemilik kereta itu orang Iranun kerana
perkataan yang dipilihnya untuk dipasang di belakang keretanya.
Mengapa
mereka berbuat begitu? Memasang pelekat yang maknanya menunjukkan sesuatu yang
negatif.Mungkinkah mereka cuba
mengatakan sesuatu di sebaliknya.
Dalam
berfikir-fikir itu, saya terlihat pelekat kereta yang bertulis `pemandu
berhemah’. Cuma saja si `pemandu berhemah’ itu membawa keretanya dengan laju,
dan melanggar peraturan jalan raya termasuk memotong di tempat yang tidak
sepatutnya.
Pasti
tidak semua orang begitu. Ada juga yang benar-benat pemandu berhemah, tidak
mementingkan diri dan memandu keretanya tanpa membahayakan orang lain.
Satu
lagi pelekat kereta yang menarik adalah bertulis `proud to be muslim’. Cuma
yang kurang selesa ialah apabila melihat pemandunya meletakkan kereta di
pinggir jalan sehingga boleh menghalang pergerakan kereta lain. Alangkah
baiknya, saya berfikir, jika semua yang kita banggakan, jika semua yang kita
tuliskan itu dapat kita hayati dan mengerti.
Kemudian
tiba-tiba saya teringat cerita ipar saya, Isam, mengenai seseorang yang mahu
memasang tattoo ditubuhnya kerana terikut-ikut dan mahu dilihat hebat.Saya
tidak tahu dari mana dia mendapat cerita itu, tetapi katanya orang yang di
ceritakannya itu memasang tattoo ditubuhnya untuk membuat orang takut.
Badannya
memang sasa seperti seorang ahli bina badan. Tetapi ketika dia masuk kedai
untuk memperlihatkan tattoonya, orang bukan takut sebaliknya tersenyum dan
tertawa walaupun wajahnya tegang dan menyeringai.
Dia
merasa hairan.Mujurlah ada seorang kenalan yang memberitahu bahawa tattoo yang
ditorehkan ke badannya itu lebih kurang bermaksud `pendekar keropok udang’. Dia
menyesali diri kerana terikut-ikut sesuatu yang dia sendiri kurang mengerti.