CARA
KOREA `MENAKLUK’ KITA
DI
sepanjang deretan kedai itu terlihat tulisan Korea. Banyak kedai yang menjual
barangan Korea. Restoran makanan Korea dan banyak lagi yang berbau Korea. Kami
juga berjumpa dengan pelajar-pelajar Korea. Malah saya sempat terbaca
iklan-iklan yang ditampal di tiang-tiang dan dinding blok yang menawarkan
perkhidmatan kepada orang-orang Korea.
Apakah
kami tersesat jalan? Saya melihat di seberang jalan dan ternampak pejabat
suratkhabar The Korean Sunday Times di tingkat 2 bangunan itu. Saya mengajak
rakan-rakan untuk merakamkan gambar kenangan berlatarbelakangkan suasana Korea.
Sebelum
terlanjur menyangka kami berada di Seoul atau di Hankuk, di Pusan atau
Pyongyang, Taegu atau Kimpo, lebih baik saya beritahu lebih awal bahawa kami
bukan berada di Korea, sebaliknya kami berada di Ampang, sebuah Bandar yang
terletak benar-benar di antara sempadan Kuala Lumpur dan Selangor.
Bagi
seseorang yang baru saja membaca buku Catatan Perang Korea oleh Mochtar Lubis
yang pernah membuat liputan Perang Korea pada dekad awal tahun 1950-an, fikiran
saya masih melekat pada puing-puing bekas runtuhan bangunan yang terbakar
akibat perang antara dua Korea itu. Melalui buku itu, terngiang-ngiang di
telinga saya desing peluru dan bunyi pesawat perang. Anak-anak yang berbaju
koyak dan kotor, ibu-ibu dan orang tua yang kelaparan mencari makanan dan banyak
lagi bayangan buruk yang melintas dalam fikiran saya ketika selesai membaca
buku catatan perang itu dengan asyiknya. Kata wartawan dan sasterawan terkemuka
itu, `perang menghasilkan kesedihan, bencana, duka, air mata dan lain-lain.
Perang adalah keruntuhan perikemanusiaan dan tentulah sesuatu yang memilukan.
Pecahnya
Korea menjadi utara dan selatan adalah satu isu besar yang sampai sekarang
masih menjadi persoalan yang belum selesai lagi. Dua Korea itu masih
bertelingkah, meski tidak lagi berperang seperti dulu. Kita melihat betapa dua
negara itu tumbuh berbeza. Pada dasawarsa 90-an, Korea Selatan menjadi salah
satu negara Harimau Asia manakala Korea Utara masih menutup dirinya.
Bagaimanapun, kedua-dua Korea itu sama-sama layak dalam final Piala Dunia yang
diadakan di Afrika Selatan pada 2010.
Perang
Korea sudah lama berlalu. Tiba-tiba saya terfikir betapa Korea melancarkan
`perang’ yang lain terhadap kita dan mereka telahpun berjaya menakluki kita.
Kita
dikejutkan bagaimana industri budaya pop berubah kiblatnya dari Amerika ke
Seoul dengan kejayaan Korea mempopularkan `Gangnam Style’. Seluruh dunia
mengarah ke Seoul hanya kerana tarian `gangnam style ’ itu. Puluhan juta orang telah menontonnya melalui
Youtube, dan menjadi satu fenomena di seluruh dunia.
Seorang
penulis, Yudhistira ANM Massardi dalam satu tulisannya di majalah Gatra pernah
menulis betapa kita sudah menjadi korban dengan apa yang disebutnya Virus-K
(Kimchi). Terlalu banyak orang korea yang `hadir’ di rumah kita, katanya dan
ternyata mereka pandai menyanyi, menari dan berlakon.
Virus-K
(Kimchi) masuk melalui drama bersiri di tv, masuk melalui muzik dan videoklip
K-Pop, juga melalui perkakas TV, AC, telefon seluler, sudu dan sebagainya.
Bayangkan bagaimana Korea Selatan yang pernah diduduki Jepun pada 1905-1945
bangkit maju sebagai sebuah negara yang menguasai dunia kerana teknologinya.
Siapa
yang tidak tahu Samsung Electronics dengan teknologi Android nya yang telah
menjadi perusahaan elektronik terbesar di dunia. Bukan itu saja, Korea Selatan menaklukan
dunia secara damai melalui cita rasa makanan Korea di restoran-restoran Korea
yang terdapat di seluruh dunia.
Kini
Korea Selatan menjadi negara pengeksport kelapan terbesar di dunia. Bukan saja
dalam bidang internet berkecepatan tinggi, semikonduktor , telefon genggam dan
sebagainya malah negara itu juga unggul dalam pembuatan kapal, pengeluaran
tayar, automotif dan lain-lain lagi. Korea Selatan yang bakal dipimpin Presiden
baru, Park Geun-hye, seorang wanita mulai Februari nanti dijangka terus
memenangi `perang’ melalui pelbagai inovasinya dalam segala bidang.
Sambil
mengambil gambar berlatarkan pejabat The Korean Sunday Times yang terletak di
Ampang itu, saya terfikir betapa negara yang pernah hancur lebur kerana perang
itu kini menggoyangkan dunia dengan tarian gaya gangnamnya.Korea menakluk kita
dengan budaya pop dan teknologi dan inovasi dan sebagainya dan sebagainya.
Apakah kita pernah memikirkan dan mempelajarinya?