BATANG
HARI AIRNYA TENANG
KALAU
bukan kerana sekeping pasport, saya tidak merasa berada di negeri asing.
Tapi
hanya dengan pasport itulah, saya dapat berkunjung ke bumi yang dikenali
sebagai Sepucuk Jambi Sembilan Lurah itu.
Sepucuk
Jambi kerana wilayah itu memiliki sebuah gunung yang tinggi dan Sembilan lurah
yang menjadikan bumi Jambi terkenal bukan saja kerana Sungai Batang Hari yang
mengalir di dadanya tetapi juga kehidupan yang terus berdenyut di kalangan
warganya.
Ketika
mendarat di Bandara Sultan Thaha, -bandar atau Bandar udara- iaitu lapangan
terbang satu-satunya di Jambi, anehnya saya teringat sebuah pantun.
“Seri
Langkat Kuala Tungkal
Padi
Pulut enak rasanya,
Kalau
kail panjang sejengkal,
Jangan
laut hendak diduga”.
Pantun
ini bukan saja menarik kerana bunyinya
tetapi juga kerana makna yang dikandungnya. Kuala Tungkal adalah sebuah tempat
yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari Kota Jambi. Saya tidak sempat
ke sana. Keadaan tidak mengizinkan, kata seorang rakan di sana.Bukan saja
kerana tempatnya jauh tetapi kerana air Batang Hari juga melimpah. Selain itu,
rakan saya juga agak jengkel kerana kereta sewa yang kami tempah sering pula
merubah-rubah harganya.
Hasrat
ke Kuala Tungkal terpaksalah ditunda. Tapi dalam pantun itu menyatakan, padi
pulut enak rasanya. Jambi memang bergantung dengan tanaman pertanian. Sepanjang
perjalanan dari Kota Jambi ke arah MuaraJambi, kira-kira 26 kilometer dari ibu
kotanya, pemandangannya memang mengasyikkan. Saya tertarik dengan usaha-usaha
yang dijalankan penduduknya. Saya melihat petani-petani kecil memasang tangkul
untuk menangkap ikan sepat dan sebagainya.
Saya
melihat masyarakat Melayu Jambi yang masih menjunjung tinggi nilai-nilai budi
pekerti, bahasa dan budayanya yang kaya.Banyak perkara yang mengingatkan saya
kepada kampung sendiri.Mendengar orang berbicara sesama mereka, saya merasa
seolah-olah sedang berada di tengah rakan-rakan.
Perjalanan
kami ke Jambi itu sebenarnya adalah untuk menyertai Pertemuan Penyair Nusantara
ke-VI atau International Poet Gathering 6th yang diadakan di Hotel
Shang Ratu, sebuah hotel yang terkemuka di propinsi itu.
Sepanjang
berada di Jambi, kami telah bertemu dan berkenalan dengan penyair-penyair dari
seluruh Indonesia, juga penyair dari Brunei, Singapura, Thailand, Korea,
Perancis, tidak terkecuali dari negara Malaysia sendiri. Seramai 261 penyair
menghadiri pertemuan bertaraf antarabangsa itu. Selain pembentangan makalah-makalah,
peserta juga telah dibawa melawat ke Candi Muarajambi yang dikatakan didirikan
antara abad ke 11 hingga 13. Ia terletak di atas kawasan seluas 12 kilometer
dan dibangunkan di tepian Sungai Batanghari, yang dikatakan antara kompleks
candi yang terbesar di kawasan Asia Tenggara. Ia juga dikatakan antara Kerajaan
Melayu tertua di Dunia Melayu. Sehingga kini, kalangan sejarawan dan pakar
arkeologi masih terus mengkaji dan meneliti mengenai kerajaan Melayu yang
dikatakan wujud pada tahun 1025 M itu sehingga ia dikalahkan dua ratus kemudian
oleh kerajaan Singosari.
Namun
rangkap pantun yang seterusnya itu, masih terngiang-ngiang di telinga
saya.Kalau kail panjang sejengkal, jangan laut hendak diduga. Maksud pantun itu
dapatlah kita fahami dengan mudah tetapi saya tersenyum memikirkan bahawa bukan
saja kami tidak memiliki `kail panjang sejengkal’ malah kami tidak membawa kail
sama sekali. Sementara itu pula, kami hanya ingin melihat sungai Batang hari.
Seorang
teman mengatakan kalau kami terminum air sungai Batang Hari, kami pasti akan
kembali semula ke Jambi. Saya sengaja mengamati sungai yang terpanjang di
Sumatera itu ketika kami melintasi jambatan dan mencari-cari misteri yang
mengalir bersamanya. Saya membayangkan betapa kapal-kapal saudagar, kapal kapal
dagang dari seantero dunia mudik di sungai batang hari.Sudah tentu sungai itu
pernah dimudiki oleh pelaut, utusan kerajaan, pahlawan bahkan mungkin oleh
nenek moyang kami di Borneo sana.
Ketika
berfikir-fikir itu, saya terkenang betapa baik dan ramahnya, betapa indah dan
mulia budi pekerti orang-orang yang melayan kami sepanjang berada di Jambi.
Namun seorang rakan cepat-cepat berpantun” Batanghari airnya tenang;Sungguhpun
tenang deras ke tepi;Anak jambi jangan dikenang;Kalau dikenang merosak hati”.
Namun saya yakin mengenang budi baik orang pasti tidak merosak hati.