Isnin, 24 Disember 2012

satu catatan pendek mengenang arwah Pakcik Haji Sadin

Tags

Saya berdiri di luar saja. Orang begitu ramai.Saya lihat ramai saudara mara jauh dan dekat berkumpul di bawah khemah.Juga di bawah rumah. Di dalam rumah memang tak muat lagi. Sedangkan di halaman, ramai orang duduk takzim menunggu jenazah disembahyangkan.
Petang sebelumnya, kira-kira jam 5.00 petang saya menerima khabar mengenai pemergiannya ke alam yang satu lagi meninggalkan alam kini yang ternyata memang tidak kekal.Perasaan saya tiba tiba diserang perasaan haru mengenai pakcik yang kini menjadi arwah.
Dia pakcik saya. Sewaktu kecil, ketika masih berada di bangku sekolah menengah saya selalu menginap di rumah mereka di kampung Linau. Kalau ada acara atau majlis atau musim cuti, saya selalu menghabiskan masa berlama-lama di kampung Linau, yakni kampung halaman ayah saya.
Pakcik meninggal kami di di usianya yang ke-84.Sebenarnya beliau adalah suami kepada makcik saya iaitu sepupu ayah saya.Akan tetapi, rasa kekeluargaan di antara mereka itu amatlah rapat dan dekat.
Saya ingat betapa beliau seorang yang dengan gigihnya mempertahankan adat istiadat keluarga kami.Ketika saya melangsungkan perkahwinan di Tawau, di pantai Timur Sabah, beliau bersama ayah saya-tentunya, memastikan agar kami menggunakan usunan. Ketika itu, mungkin buat pertama kalinya, orang-orang di sepanjang perjalanan kami dari Batu 4 1/2 ke Kampung Titingan Hujung, di kampung isteri saya melihat adat istiadat orang Kota Belud.
Bukan itu saja, adik beradik saya yang lain semuanya memakai usunan ke majlis perkahwinan sesuai dengan adat turun temurun, dengan tambahan, upacara nikah bagi pengantin lelaki dilakukan dengan berdiri, sesuai dengan adat keturunan nenek moyang kami.
Penjaga adat itu  kini sudah tiada.Pakcik Haji Sadin sudah pergi meninggalkan isteri dan enam anaknya, kak Loi, kak Mata, abang aphil, abang ipok, kak rose dan kai. Kak Rose,(Dr.Bangrose Sadin)  adalah salah seorang wanita Bajau yang pertama lulus dalam bidang perubatan dari Universiti Gent, Belgium.
Ketika orang-orang berdatangan, ingatan saya melayang ke masa remaja, ketika mandi di sungai Linau yang dalam airnya.Kini sungai itu tinggal separas lutut setelah ditutup di sebelah hulunya. Di sanalah, di Sungai itu, saya melihat dua sukarelawan Jepun dan OISCA, Akiko Iinoo dan Mr Kobayashi seronok mandi manda.
Selain sungai dekat rumah Haji Mansor di Kampung Tamau itu, sungai Linau adalah sungai yang paling meninggalkan kesan ketika masa kecil saya. Waktu mandi adalah waktu yang sangat menyeronokkan.
Tetapi segalanya sudah berubah. Waktu juga berubah. Kini dekat tebing Sungai yang dulunya lapang itu, ditumbuhi pokok-pokok rambutan yang sedang berbuah lebat.
Pakcik yang menanamnya. Dia juga menanamkan perasaan cinta dan bangga di hati kami.
Beliau seorang yang sederhana. Suka melayani kami anak-anak buahnya sebagai orangtua yang bijaksana.
Kini dia telah menutup usia.Kami yang ditinggalkan akan selalu mengenang kebaikan dan nasihat-nasihatnya. Semoga rohnya ditempatkan di sisi orang-orang yang saleh. Alfatihah