MESKIPUN
agak singkat, pertemuan itu tetap bermakna. Suhana Lina Sarkawi, penulis dan
penggiat sastera dari Bumi Kenyalang yang kebetulan sedang bercuti di Sabah dan
penulis Sabah, Faridah Abdul Hamid sempat memenuhi pelawaan minum teh tarik di
sebuah restoran makanan India, Restoran Choice, di Jalan Pantai sambil
bersembang mengenai perkembangan sastera, bahasa dan juga sejarah.
Suhana
sendiri adalah seorang yang menekuni kajian budaya. Selain itu, beliau juga
mempunyai pengetahuan sejarah yang luas dan agak arif mengenai soal sejarah dan
budaya di Borneo dan pernah pula menghadiri pelbagai seminar di peringkat
negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Kami sempat berbincang-bincang mengenai
pengalamannya ketika menyertai Konferensi International Kesusasteraan XXII anjuran Rumpun Sastera Fakultas Bahasa
dan Seni UNY dan Himpunan Sarjana Kesusasteraan Indonesia (HISKI) di Yogyakarta.
Walaupun
tidak menyertai persatuan sastera, Suhana bersama teman-temannya agak aktif
dalam kegiatan sastera di Kuching, walaupun dalam bentuk kecil-kecilan untuk
menyemarakkan lagi sastera. Biasanya mereka membawa buku-buku sastera, atau
sejarah dan budaya untuk dibincangkan bersama rakan-rakan sasteranya.
Kehadirannya
pada pagi itu, di sebiah restoran mamak di ibu negeri, ditemani rakan baiknya,
Faridah, yang juga seorang penulis Sabah yang sedang mencipta nama. Kami sempat
membincangkan mengenai perkembangan penulisan, sastera, dan hubungan akrab yang
terjalin antara penulis Sabah dan Sarawak yang boleh dimanfaatkan untuk
memartabatkan lagi sastera di negara ini.
Sebelum
ini, Suhana pernah ke Sabah untuk menyertai Mahjaran Sastera Islam yang
diadakan di Membakut. Dalam kunjungan kali ini, beliau sempat bertemu dengan
beberapa penulis seperti Ruhaini Matdarin, Yatim Ahmad dan beberapa penulis
lain. Semoga silaturrahim yang akrab itu dapat membantu meningkatkan
perkembangan sastera di kedua wilayah.