BURUNG
YANG HINGGAP DAN MONYET YANG BERGAYUT DI DAHAN DALAM LUKISAN PELUKIS SABAH
Oleh
ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com
BEBERAPA
ekor burung hinggap di dahan pohonan yang rendang. Daunnya rimbun.
Burung-burung yang lain berterbangan. Bunga-bunga berkembang mekar di tengah
hutan. Ada sinar matahari. Juga tupai-tupai yang berlompatan. Eh, di sana ada
burung yang entah kenapa seperti terpesona mendengar alunan sompoton.
Semua
ini hadir dalam lukisan-lukisan Arthur Siowou, seorang pelukis Sabah yang tidak
asing lagi.
Kisah
kehidupan dalam belantara Borneo ditangkap ke dalam kanvas dan diterjemahkan
dengan mata seni Arthur, pelukis dari Kampung Nambazan, Penampang yang lahir 35
tahun yang silam.
"Saya
melukis untuk memperkenalkan khazanah hutan kita yang kaya," katanya
dicelah-celah Pameran Lukisan Gaya Naive Sabah yang Pertama (1st Sabah Naive
Artist Showcase) yang diselenggarakan di Hotel Jesselton, salah sebuah hotel
tertua di ibu negeri.
Di
ruang pameran yang sederhana besar itu, Arthur menjelaskan bahawa Sabah
memiliki flora dan fauna yang mungkin tidak boleh didapati di tempat lain.
"Saya rajin masuk hutan, selalu meredah hutan dan sering melihat burung
burung," katanya yang meminati bidang seni lukis sejak kecil lagi. Arthur
menandai kehadirannya dengan lukisan `The Jungle Life 1-3' Borneoan
Bristlehead,Sompotin Man, Hornbills of Borneo. Kini, hasil karya lukisnya telah
dipamerkan di Balai Seni Lukis Sabah, dan tidak lama lagi akan dipamerkan di
Kuala Lumpur.
Selain
Arthur Siowou, pelukis lain yang menyertai pameran itu ialah Jainal Anambing,
Azlan Dulikab, Awang Fadilah dan Rosmaini Sunarjo.
Azlan
Dulikab, pelukis dari Kampung Sokuli Telipok, mempamerkan bentuk lukisan yang
menarik. Beliau gemar motif paku pakis, terutamanya lembiding. "Kenapa
suka melukis lembiding?"
"Saya
suka bentuknya," kata Azlan mengulas lukisan `Lemiding Sama Pakis'yang
turut menampilkan monyet belanda (proboscis monkey) dalam karyanya. Watak
monyet selalu muncul daripada karya Azlan,pelukis berbakat yang telah menyertai
beberapa pameran di Kota Kinabalu.
Lukisan lain yang dipamerkannya ialah Selalu Ada, Mari Pulang dan Siri My Home 1-5.
Awang
Fadilah, mungkin lain daripada yang lain.Pelukis terkenal dari Kampung Masjid
Menumbok ini banyak mendapatkan sumber ilham dari cerita rakyat, cerita dongeng
yang berkembang dalam masyarakatnya. Kebolehannya mengolah lukisan dari sumber
yang tidak biasa itu menjadikannya seorang pelukis yang layak diberikan
perhatian. Mula melukis tahun 1998, Awang Fadilah pernah menyertai pelbagai
pameran di Kuala Lumpur, dan pernah juga melukis untuk ilustrasi buku. Selain
cerita rakyat Sabah, beliau juga melukis unsur-unsur budaya sabah, alam flora
dan fauna serta pelbagai tema lain.
"Saya
belajar melukis sendiri, " kata Awang Fadilah yang kini seorang pelukis
sepenuh masa. Antara lukisan yang beliau pamerkan ialah siri lukisan Ajaibnya
di Tanah Borneo 1-4, Harmoni di Tanah Borneo, Pemburu 1 dan khazanah di Tanah
Borneo,
Bagi
Rosmaini Sunarjo, lukisannya banyak menyerlahkan mengenai keindahan cara hidup
di negeri ini. Bukan itu saja, beliau menterjemah kehidupan masyarakagt
seharian, misalnya bagaimana bermulanya gosip, bagaimana ianya disebarkan dari
mulut ke mulut, dari telinga ke telinga
dalam lukisannya yang bertajuk `Bermulanya Gossip"
Lukisan-lukisannya yang lain ialah Musim Buah Musim Bahagia, Siapa yang buta
dan Badang di Kinabalu.
Walaupun
terburu-buru pergi kerana sesuatu urusan, Jainal Anambing yang ikut menyertai
pameran itu bersama lukisannya Nabalu Rafflesia I-III, Myself at farm sempat
mengambil foto bersama lukisannya yang dipamerkan dalam pameran sepanjang dua
hari itu.
,
Penganjur
pameran itu, Dr.Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul yang juga seorang
kolektor seni, berkata masing-masing pelukis mengemukakan karya bergaya naive.
"Tetapi
saya mensyaratkan mereka mengemukakan karya-karya baru yang menyerlahkan keunikan dan kelainan dalam pameran yang
diadakan ini," katanya.
"Gaya
Naive masih tergolong sebagai gaya baru
dalam seni catan di Malaysia dan pamderan itu bertujuan untuk membantu
pelukis-pelukis memasarkan karya seni mereka," kata Dr. Awangku Hassanal
yang juga pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
"Pelancongan
seni berpotensi untuk dimajukan dalam di rantau BIMP-EAGA," katanya sambil
mendorong pelukis untuk terus berkarya dengan mengetengahkan pelbagai
keistimewaan dan keunikan Sabah melalui karya-karya baru mereka.
Seni
catan gaya naive di Sabah menampilkan kepelbagaian citra yang diolah dari
subjek seperti hutan, kehidupan seharian, unsur-unsur peribumi cerita
rakyat, flora dan fauna serta pelbagai
lagi warna kehidupan rakyat di negeri ini.
Melalui
pameran itu,banyak karya lukisan yang telah dibeli dan ditempah oleh
peminat-peminat seni dengan harga berpatutan di antara RM350 hingga RM500 bagi
sebuah karya.
Sementara
itu, seorang pengumpul karya seni halus, Dr.James Alin, yang juga seorang pakar
ekonomi yang tidak asing lagi berkata pasaran seni halus karya artis dari Sabah
walaupun masih muda tetapi kini sudah mempunyai petanda perkembangan yang
memberangsangkan.
Menurutnya, tiga dekad yang lalu,
artis-artis pelopor seperti Datu Mohd Yaman, Rita Rimmer, Christianne Goonting
dan ramai lagi artis lain yang seangkatan dengan mereka telah mengalami
kesukaran mempamerkan apatah lagi menjual dengan harga yang tinggi.
"Pada ketika itu pembeli karya-karya
seni halus hanya terhad kepada sekumpulan kecil pembeli yang terdiri daripada
hotel-hotel, expatriate (professional bukan warganegara Malaysia bekerja di
Sabah), orang politik, ahli perniagaan dan pelancong (yang biasanya membeli
karya sebagai souvenir bukannya tanda apresiasi nilai seni yang tinggi),"
katanya.
Pasaran seni halus di Kota Kinabalu
khasnya sudah menjadi semakin besar sejajar dengan pertumbuhan ekonominya amat
pesat. Di sini sudah wujud golongan pembeli yang dikategorikan sebagai
pengumpul hasil seni (arts collectors).
"Apakah yang membezakan mereka dari
dengan pembeli-pembeli biasa? ," katanya dalam ulasannya yang dikirimkan
melalui surat elektronik.
" Walaupun mereka datang dari
pelbagai latarbelakang pekerjaan (professional , ahli perniagaan, ahli akademi
dan sebagainya) tetapi mempunyai citarasa yang unik serta apresiasi seni yang
mendalam.
"Motif pembelian mereka juga serupa,
iaitu untuk mengumpul berdasarkan gaya-gaya tertentu (abstrak, naïve dan
lain-lain) dan medium yang diminati. Mengumpulkan karya seni bagi mereka,
bukannya untuk kegemaran, kepuasan diri atau simbol kekayaan dan status
semata-mata, tetapi juga satu bentuk pelaburan berinsuran yang kalis inflasi
dan penurunan nilai matawang," katanya.
Dr.James berkata, gologan pengumpul karya
seni halus mempunyai rangkaian media sosial yang luas untuk berkongsi maklumat
berkaitan dengan collectable items.
"Mereka membeli melalui orang tengah
(arts dealer/house) tetapi sebaliknya lebih suka mengunjungi sendiri galeri
persendirian tempatan tetap misalnya MaryJean gallery, Tianne gallery dan
Borneo Sunrise Art Gallery atau pameran sekali-sekala seperti Arts Bash (yang
dianjurkan oleh Dr.Awangku Hassanal seorang art dealer/art collector).
"Selain daripada itu mereka juga
berkunjung ke pameran-pameran serta jual lelong seni halus di Kuala Lumpur
(khasnya semasa Art Expo Malaysia), di Bali, Bandung, Singapora, Manila, Taipei
dan Hong Kong," katanya..
Beliau berkata, hari ini sudah ramai
artis dari Sabah telah mengukir nama di
peringkat antarabangsa. Karya artis-artis seperti Yee I- Lann (pelukis batik
dan photographer terkenal), Adrian Ho (pemilik Borneo Sunrise Art Gallery),
Awang Fadilah, Huang Poh Lo dan yang lainnya bukan sahaja telah memenangi
pelbagai pertandingan tetapi juga menjadi buruan pengumpul, pengemar dan
peminat karya seni dari luar negara.
"Di sebalik kejayaan mereka yang
membanggakan ini, karya-karya mereka belum lagi mendapat tempat dan
pengiktirafan dalam bentuk pameran kekal di Balai Seni Lukis Negara di Kuala
Lumpur," katanya yang datang ke pameran itu bersama keluarganya.Isterinya
Naomi Kato, juga seorang pelukis manakala anaknya peminat seni lukis, yang
sukakan lukisan mengenai hutan di Borneo.
Meskipun masih baru, seni catan gaya
naive mempunyai masa depan yang lebih baik. Berbanding negeri-negeri lain,
Sabah mempunyai banyak kelebihan kerana pelbagai citra boleh diolah dari subjek
seperti hutan, kehidupan seharian, unsur-unsur peribumi, cerita rakyat, flora
dan fauna serta pelbagai lagi warna kehidupan rakyat di negeri ini.