BUDIMAN ANAK KAMPUNG YANG BERJAYA HINGGA PHD
HANYA kerana lima ringgit, dia terpaksa berhenti sekolah menengah.
Kemiskinan dan kesempitan hidup memaksanya bekerja di usia yang muda untuk
membantu menyara hidup keluarga di kampung. Tetapi berkat kegigihan, kerajinan
dan semangat yang tinggi, Budiman Abpa, pensyarah kanan di Institut Pendidikan
Guru (IPG) Kampus Keningau berjaya menamatkan pelajaran hingga peringkat PhD.
Budiman adalah salah satu contoh anak kampung yang berjaya dalam
pelajaran.Bermula sebagai anak nelayan, menjadi buruh pelabuhan, guru dan kini
Pensyarah Mata Pelajaran Jasmani Kesihatan IPG Keningau.Sebelum ini beliau
adalah Mantan Ketua Unit Kepimpinan dan Pembangunan Profesionalisme di IPG yang
sama.
Budiman Abpa dilahirkan di Kampung Nanamun Kota Belud pada 30
November 1956 daripada pasangan Abpa bin Andaman dan Liah bte Datu Taam. Anak kelima daripada lapan adik beradik
mendapat pendidikan awal di SRK Nanamun.Bagaimanapun, beliau tidak dapat meneruskan
pendidikan di peringkat menengah kerana kesempitan hidup.Selepas menjadi buruh,
beliau memohon menjadi guru. Budiman mengambil peperiksaan dengan belajar
sendiri dan lulus peperiksaan SRP, SPM, memasuki maktab perguruan, kemudian
berjaya menjejakkan kaki ke menara gading, lulus BA, MA dan berjaya menamatkan
pelajaran di peringkat doktor falsafah.
Beliau mendirikan rumahtangga dengan Binah binti Saliun @ Nancy
Salliun, peranakan dusun cina. Mereka dikurniakan tiga anak , seorang perempuan
dan dua lelaki.
Wartawan Utusan Borneo,ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN dan wartawan pelatih
MOHD.NURAZWAN AUGUSTINE berkesempatan menemubual Cikgu BUDIMAN ABPA di sebuah restoran makanan segera di Kota
Kinabalu. Ikuti petikan temubual bersama beliau berkaitan pengalamannya sebagai pendidik, kesusahan hidup yang
dilaluinya tetapi justeru itu yang membuat semangatnya semakin kuat untuk
belajar.
UTUSAN BORNEO: Boleh
ceritakan sedikit pengalaman cikgu ketika bersekolah dahulu?
BA: Saya mula
bersekolah dalam darjah satu di Sekolah Rendah Kerajaan (SRK) Nanamun. Kemudian pada tahun 1965, saya naik bridge
class di SMK Taun Gusi. Bagaimanapun kerana kemiskinan dan kesengsaraan hidup,
saya terpaksa berhenti sekolah menengah kerana tidak mampu membayar yuran
sekolah RM5.00 sebulan.
UB: Apa yang cikgu buat setelah berhenti sekolah?
BA: Selepas berhenti
sekolah, saya terpaksa mencari kerja untuk membantu menyara hidup keluarga. Di
kampung tidak ada apa-apa pekerjaan yang tetap. Jadi saya terpaksa ke Api-Api
untuk mencari kerja. Di Api-Api, saya bekerja menjadi buruh pelabuhan. Ketika
itu saya bersama Ulin Agap.Gaji kami waktu itu ialah kira-kira 100 ringgit
kalau tak silap.
UB: Berapa lama cikgu
bekerja sebagai buruh pelabuhan?
BA: Kira-kira enam
bulan. Selepas itu, kami memohon menjadi guru setelah diberi galakan oleh Cikgu
Raskan Asing. Waktu itu Cikgu raskan bertugas sebagai Penyelia Pendidikan
Jasmani Pantai Barat Selatan. Cikgu Raskan bilang, bagus kamu memohon jadi
guru.Nanti saya rekomen, katanya.
UB: Cikgu lulus temuduga?
BA: Ya, selepas lulus
temuduga, saya ditugaskan di SRK Tamu Darat. Setelah menjadi guru, fikiran saya
terbuka sedikit.Kemudian saya mengikuti peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran
(SRP) secara persendirian dan lulus. Selepas lulus SRP, saya memohon untuk memasuki
Maktab Perguruan Kent pada tahun 1975.
Tahun 1977, saya keluar maktab. Bertugas semula di SRK Tamu Darat.
UB: Selepas itu?
BA: Selepas itu, saya
memasuki Maktab Perguruan Ilmu Khas di Kuala Lumpur pada 1977-1978.
Sekembalinya dari Kuala Lumpur, saya ditugaskan pula di SRK Dudar, Kota Belud.
Sepuluh tahun kemudian, saya mengambil diploma
perguruan di UPSI 1988-1992. Kemudian saya menjadi guru di SMK Pekan
Kota Belud.
Pada tahun 1995, saya bertugas sebagai pensyarah di Maktab
Perguruan Keningau.Pada tahun 1996, saya memasuki Universiti Putra Malaysia
1999-2002. Tahun 2002, saya ambilsarjanan penyelidikan sukan hingga 2004.
Kemudian tahun 2006, saya mengambil Phd di Univderssiti Selangir (UNISEL).
UB: Bagaimana kaedah
mengajar dulu dengan sekarang?
BA: Dulu kita mengajar
gunakan benda-benda maujud, pakai buku,pensil, kapur. Tapi sekarang sudah
berubah kepada teknologi baru, internet dan sebagainya.
UB: Kalau menurut
pandangan Cikgu, bagaimana situasi pendidikan
di luar Bandar jika dibandingkan dahulu dan sekarang?
BA: Dari segi kemudahan
prasarana memang banyak perubahan yang berlaku.Kita boleh melihat kemajuan dari
segi pencapaian kecemerlangan pendidikan di sekolah-sekolah luar Bandar.
Guru-guru yang mengajar di luar Bandar diberikan elaun galakan insentif,
kemudahan prasarana yang jauh lebih baik . Selain itu, banyak asrama desa
dibina, kalau dulu tiada. Kalau dulu banyak sekolah luar Bandar yang mencatat
kosong peratus dalam UPSR sekarang sudah
kurang.
UB: Kalau dahulu
bagaimana?
BA: Pada zaman kami
dahulu, jauh berbeza berbanding sekarang.Kemudahan pengangkutan tidak ada. Kami
terpaksa berjalan kaki tiga empat batu ke sekolah. Kaki ayam. Selipar pun tidak
ada, apatah lagi kasut. Jika tali selipar terputus, kami terpaksa
menyambungnya. Sungguhpun begitu, kemiskinan tidak pernah menghalang kami untuk
terus belajar. Ambil contoh saya sendiri, walaupun terpaksa berhenti kerana
tidak mampu membayar lima ringgit yuran sekolah menengah, tetapi ia tidak
mematahkan semangat saya untuk belajar.Saya mengambil peperiksaan, secara
persendirian.Sebagai calon persendirian. Akhirnya lulus.Ambil peperiksaan SPM,
gagal,ambil lagi, gagal, ambil lagi sehingga lulus, masuk university, ambil
sarjana muda, sarjana dan kemudian PhD.
UB: Bagaimana dorongan
ibubapa kepada pelajar waktu itu?
BA: Asalkan pandai
baca,cukuplah.Asalkan jangan sesat jalan. Itu saja pesanan orang tua.Apatahlagi
kehidupan susah. Miskin. Jadi ramai anak-anak kampung waktu itu tidak dapat
meneruskan pelajaran mereka.Mereka hanya sampai setakat sekolah rendah.
Walaupun begitu, ternyata keadaan kesukaran hidup yang dilalui itu yang
mendorong untuk terus berusaha lebih gigih lagi. Kini keadaan jauh berbeza.Kesedaran
di kalangan ibu bapa di kampung semakin tinggi. Sekarang ramai anak-anak
kampung yang telah berjaya, menjadi professional, jurutera, peguam, guru, dan
sebagainya. Dulu, kesempitan hidup tidak memungkinkan, itu sebab ramai yang
terkandas dalam pelajaran.
UB: Apa falsafah atau
kata-kata hikmat yang menjadi pendorong cikgu untuk berjaya?
BA: Buat sehabis baik.
Itulah falsafah yang diterapkan kepada saya. Dalam kegiatan berpengakap juga,
sentiasa diterapkan begitu.
UB: Oh ya.Cikgu
mengatakan hanya kerana tidak mampu bayar yuran lima ringgit, itu yang
menyebabkan cikgu terpaksa berhenti sekolah. Berapa nilai lima ringgit waktu
itu ya?
BA: RM5.00 itu dulu
sama nilainya dengan seekor anak kambing. Seekor kambing itu dijual antara RM25
hingga RM30. Dulu murah.Sekarang harga kambing sudah mencecah RM500 seekor.
UB: Tiada bantuan
kerajaan?
BA: Pada waktu itu
tidak ada.Ibubapa kami terpaksa berusaha untuk sendiri, menjual ikan, hasil
pertanian, ambil atap nipah, ambil lokan dan sebagainya untuk dijual Jual ayam,
dan sebagainya untuk mrmbayar yuran
bulanan.
UB: Sengsara ya hidup
orang tua kita dahulu. Cikgu bantu ibu bapa juga?
BA: Memang kesengsaraan
hidup waktu itu, agak mencabar juga. Pagi kami pergi sekolah.Petang balik dari
sekolah, kami ke sawah menghalau pipit. Kalau padi belum berbuah, kami ikut
membersih permatang. Lepas itu tangkap ikan. Kadang ikut ke laut menangkap
ikan.Pergi jam empat atau lima pagi, kemudian pulang tengahari. Kami ke laut
pakai layar.Layar dari kain buruk yang bertampal-tampal. Selain itu, saya juga
pernah ikut cari lokan. Kemudian jual
lokan di tamu Pandasan.Kadang-kadang sebelah malam, ikut keluarga ambil atap
nipah. Waktu itu harga nipah ialah lima sen satu. Kalau seratus keping, dapatlah
RM5.00. Tapi sekarang harga atap,RM5.00 sekeping. Sekarang harga atap jauh
lebih baik berbanding dahulu.
UB: Siapa yang banyak
memberikan galakan kepada cikgu?
BA: Antara yang banyak
mendorong saya ialah Cikgu Raskan Asing. Arwah cikgu Matlin Jadi juga selalu
memberikan nasihat “Budiman, jangan berhenti belajar.”, katanya.Dialah yang
menasihati saya agar terus belajar. Waktu itu juga, antara pemimpin yang banyak
member inspirasi ialah Datuk Haji Yahya Lampong, ketika itu Timbalan Menteri
Kerajaan Pusat.,Dia selalu berikan dorongan agar mementingkan pelajaran.
Saya ingat juga Cikgu Peri, di Timbang Dayang. Dia yang bayak
menolong, dialah tukang ajar saya dalam matematik dan sains.
UB: Cikgu pernah juga aktif dalam politik?
BA: Saya pernah jadi Ketua Pemuda Cawangan UMNO Kampung
Nanamun pada tahun 1991 iaitu ketika
UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah. Pinjaman yang menjadi Ketua Cawangan.
Kemudian saya menjadi pengerusi tetap selama beberapa tahun. Jawatankuasa UMNO
Cawangan Nanamun hingga 1996,dan pernah menjadi perwakilan cawangan ke
peringkat bahagian. Sebenarnya saya mula berkecimpung dalam politik ketika UMNO
masuk ke Sabah dan bergiat cergas bersama-sama pemimpin tempatan untuk
meyakinkan rakyat atas kemasukan UMNO Ke Sabah khasnya di kawasan
Tempasuk.Sekarang ini saya bergerak semula dalam politik setelah ada pekeliling
yang membenarkan penjawat awam bergiat dalam politik.
UB: Dalam kegiatan
berpersatuan?
BA: Saya aktif dalam
pengakap.Dalam kegiatan pengakap saya pernah mengikut kursus dari peringkat
bawah hingga ke peringkat antarabangsa. Selain itu, kegiatan uniform yang lain
seperti KRS, St John dan sebagainya, bulan sabit merah dan sebagainya. Saya
juga bergiat cergas dalam NGO khasnya persatuan belia dalam bidang motivasi
kepimpinan masyarakat.
Melalui kegiatan pengakap dan kegiatan beruniform yang lain, saya
fikir sangat baik dan efektif dalam pembentukan sahsiah remaja dan pelajar.
UB: Siapa rakan Cikgu waktu sama-sama bersekolah dahulu?
BA: Rakan-rakan di sekolah
rendah dahulu, antaranya Cikgu Lantung, KAN Batun, Cikgu Tiardek, Dayang Imun
dan lain-lain.Kalau rakan di Universiti pula 1996-1999, antaranya ialah Datu
Ruslin Siabok, Azral Askal dan lain-lain.
UB: Apa kegiatan cikgu
sewaktu di UPM?
BA: Saya juga aktif,
ketika di universiti sebagai Penyelaras Sukan dan Rekreasi UPM.
UB: Oh ya, berapa tahun
Cikgu jadi guru?Apa pengalaman cikgu yang lain?
BA: Saya menjadi guru
sekolah rendah selama 21 tahun, guru sekolah menengah selama dua tahun,
Pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau selama 17 tahun, pensyarah
undangan UMS dari tahun tahun 2005 hingga masa kini. Selain itu, saya juga jadi
Open Universiti Malaysia dari tahun 2005 hingga kini.
UB: Apa tugas cikgu di
IPG Kampus Keningau?
BA: Saya jadi pensyarah
mata pelajaran Pendidikan Jasmani Kesihatan, Ketua Unit Kepimpinan dan
Pembangunan Profesionalisme, Jurulatih Kebangsaan Unit Beruniform Pengakap.
UB: Cikgu aktif juga
dalam NGO?
BA: Dalam bidang
kesukarelawanan/NGO, saya aktif sebagai Ahli Rela semenjak 1995, jurulatih
antarabangsa dalam Unit Persatuan Pengakap Malaysia, jurulatih Belia dalam
sukan permainan, Naib pengerusi Badan Amal Kota Belud, Pengerusi Jawatankuasa
Sukan dan Kebudayaan, Persatuan Graduan Iranun dan sebagainya.
UB: Apa harapan cikgu
terhadap generasi muda hari ini? Saya fikir cikgu boleh menjadi idola generasi
baru dalam soal kegigihan dalam pelajaran. Bermula daripada seorang buruh
pelabuhan, kerana tidak dapat meneruskan persekolahan hinggalah jadi guru,
masuk maktab, jadi pensyarah, ambil SRP, SPM secara persendirian, kemudian
BA,MA dan PhD, sesuatu yang amat membanggakan.
BA: Saya bersyukur
kerana walaupun kehidupan masyarakat kami dulu agak miskin tetapi kerana
kesedaran ingin belajar dan mencapai sesuatu kejayaan dalam hidup, saya tetap
menggagahkan diri untuk terus belajar.Meskipun terpaksa mengambil peperiksaan
secara persendirian, tetapi atas usaha, dan buat sehabis baik, akhirnya setelah
menempuh pelbagai keperitan hidup, akhirnya saya berjaya mencapai hingga
peringkat PhD.Alhamdulillah.
UB: Terima kasih kerana
cikgu sudi ditemuramah.kami berharap ini boleh menjadi contoh yang baik kepada
generasi muda, bahawa kemiskinan tidak pernah menghalang seseorang untuk
berjaya.Terima kasih.